Selasa, 6 Ogos 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Jangan nilai sekarang’

Posted:

'Jangan nilai sekarang'

'Jangan nilai sekarang'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SKUAD Harimau Muda tiba di KLIA petang semalam selepas 'berguru' lima bulan di benua Eropah.


SEJAUH mana keberkesanan Harimau Muda 'berguru' di Eropah hanya boleh dinilai pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar kecil) berkata, sebarang spekulasi negatif yang mendakwa anak-anak buahnya sekadar 'makan angin' ekoran beberapa keputusan kurang memberangsangkan semasa aksi persahabatan di Eropah wajar dihentikan segera.

Sebaliknya, Kim Swee mencabar 'kejantanan' setiap pemainnya berjuang bermati-matian dalam usaha melakar kejayaan hatrik 'ibu emas' pada temasya Sukan SEA kelak.

"Sebagai jurulatih, sudah tentu saya berazam mahu memburu emas hatrik pada temasya Sukan SEA.

"Soal sama ada latihan kami di Eropah sia-sia ataupun tidak... tunggu Sukan SEA.

"Jika kami gagal melangkah ke separuh akhir Sukan SEA nanti, barulah boleh kata sia-sia," katanya kepada pemberita sebaik skuad Harimau Muda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang semalam.

Skuad Harimau Muda yang menimba ilmu di Eropah sejak 16 Mac lalu melakar tiga kemenangan, empat seri dan selebihnya tewas sepanjang 17 aksi persahabatan di sana.

Anak-anak buah Kim Swee juga 'menutup buku' dengan kekalahan 1-5 kepada kelab liga utama Slovakia, FC Vion pada 31 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga membayangkan bakal memanggil beberapa pemain baharu seperti Nik Shahrul Azim Halim, Zubir Azmi, K. Reuben dan Putera Nadher Amarhan Maderner atau Junior Edstal bagi menghadapi Pestabola Merdeka yang akan membuka tirainya di Kuantan, Pahang pada 5 September depan.

Menurut beliau, beberapa pemain utama seperti Izzaq Faris Ramlan, Fandi Othman, Amir Saidin dan Nurridzuan Abu Hassan mengalami kecederaan ketika di Eropah dan belum pasti belum dapat beraksi pada kejohanan berkenaan.

"Saya akan menilai semula pemain... mungkin empat atau lima pemain baharu akan dipanggil. Cuma, pemain yang dipanggil perlulah memiliki prestasi semasa yang bagus," katanya.

Pada masa sama, Kim Swee juga menafikan spekulasi yang mengaitkan beliau sebagai pengganti Datuk K. Rajagobal sebaik kontrak pengendali Harimau Malaya itu tamat pada 31 Disember depan.

"Fokus saya ketika ini hanya mahu memburu emas hatrik temasya Sukan SEA, jadi cukup-cukuplah dan hentikan spekulasi seperti ini," tegasnya.

Malaysia ikut karakter Ireland

Posted:

Malaysia ikut karakter Ireland

Malaysia ikut karakter Ireland

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my


PAUL REVINGTON


MENTALITI skuad hoki negara harus berada pada landasan yang tepat jika berhajat menjuarai gelaran sulung Piala Asia 2013 di Ipoh, Perak.

Ketua jurulatih skuad negara, Paul Revington menjelaskan, pemain-pemainnya perlu memastikan mentaliti serta minda mereka dalam keadaan yang positif - sama seperti ketika beliau membimbing Ireland dalam kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Dublin pada Mac tahun lalu.

Dalam kempen tersebut, Ireland cemerlang untuk mara ke final penentuan slot ke Sukan Olimpik 2012 sebelum pasukan No. 15 dunia itu tumpas 2-3 kepada Korea Selatan (No. 8) tatkala Malaysia (No. 13) ketika itu hanya mampu menduduki tempat ketiga.

"Pemain-pemain kini telah berada dalam keadaan bersedia, malah mereka telah mengejutkan saya semalam (kelmarin) dengan komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan ketika latihan.

"Sejujurnya, mereka sentiasa memberi kejutan kepada saya dalam setiap sesi latihan dan ia sesuatu yang positif untuk melihat mereka dalam keadaan seperti itu.

"Amat penting untuk mereka mengekalkan minda dan mentaliti (yang kuat). Skuad Ireland juga pernah memiliki minda dan mentaliti yang sama ketika di bawah bimbingan saya dalam kempen kelayakan tahun lalu dan mereka hampir memenanginya (layak ke Olimpik London 2012).

"Jadi untuk menjawab soalan adakah pemain kita juga berada dalam keadaan yang sama, jawapan saya ialah ya, memang sama sekali," jelas Revington ketika sidang akhbar pengumuman skuad Piala Asia di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pengumuman itu, hanya 16 daripada 18 senarai penuh skuad negara telah dipilih manakala dua tempat lagi kekal menjadi rebutan baki lapan pelatih.

"Nama pemain yang mengisi dua tempat terakhir ini akan diumumkan pada 16 Ogos depan dan situasi ini berlaku ekoran ketiadaan Chua (Boon Huat yang meninggal dunia minggu lalu) serta ada beberapa pemain lagi yang masih belum cergas.

"Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi semangat dan persaingan yang sihat dalam kalangan lapan pelatih yang ada supaya mereka mencuba sedaya upaya untuk memenangi dua tempat terakhir ini," tambah pengendali dari Afrika Selatan itu.

Dalam kempen Piala Asia 2013 yang bermula 24 Ogos hingga 1 September depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Pakistan, Taiwan dan Jepun manakala Kumpulan B menampilkan pasukan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman.

Kem latihan skuad negara akan bermula 11 hingga 15 Ogos ini di Ipoh sebelum anak-anak buah Revington berdepan dua aksi persahabatan menentang India pada 10 Ogos dan Oman (22 Ogos).

Mencari bintang masa depan

Posted:

Mencari bintang masa depan

Mencari bintang masa depan

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

FIRDAUS (belakang) dan Shah Firdaus antara sandaran terbaik Malaysia di Glasgow.


KEJOHANAN Berbasikal Trek Remaja Dunia 2013 dianggap medan pertembungan di antara pelumba generasi baharu yang bakal menyinar pada masa hadapan.

Pada kejohanan itu, ramai 'bintang dalam pembikinan' berentap sesama sendiri untuk menilai sejauh mana keupayaan dan pencapaian mereka pada usia yang masih muda.

Bagi sesebuah negara membangun dalam sukan berbasikal termasuk Malaysia, kejohanan itu sudah pasti menjadi penanda aras dalam menentu hala tuju sukan berkenaan.

Pada edisi 2013 yang berlangsung di Glasgow, Scotland bermula hari ini, tujuh pelumba remaja akan menggalas misi Malaysia untuk menguji setakat mana tahap keupayaan mereka dalam kalangan pelumba dunia yang lain.

Pengorbanan tujuh pelumba itu yang terdiri daripada Muhammad Firdaus Mohd. Zonis, Asyraf Naim Ying, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Afiq Huznie Othman, Muhammad Aele Shafri Rusli, Irwandie Lakasek dan Mohamad Farid Razali sudah pasti amat besar.

Pada masa sama, mereka sudah boleh dianggap sebagai pelapis yang bakal meneruskan legasi jaguh-jaguh negara yang sedia ada seperti Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng serta Fatehah Mustapa.

Begitupun, mampukah mereka menepati setiap jangkaan dan ramalan yang diletakkan di bahu masing-masing atau tersungkur seperti tiga edisi yang lepas di Itali (2010), Rusia (2011) dan New Zealand (2012).

Sejak kali terakhir Muhd. Adiq Husainie Othman membawa pulang pingat gangsa dalam acara scratch 10 kilometer lelaki di Moscow, Rusia pada 2009, masih belum ada pelumba remaja berjaya menyerlah dan memenangi pingat pada kejohanan tersebut .

Namun di Glasgow kali ini, peluang dilihat agak cerah setelah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghantar kontinjen paling besar bagi memberi saingan dalam acara pecut dan endurance selama lima hari di Velodrom Sir Chris Hoy.

Diiringi oleh pegawai Mohd. Izham Mohamad dan jurulatih Suod Hussain serta penolongnya, Junaidi Mohamad Nasir, barisan pelumba muda negara akan beraksi dalam beberapa acara individu dan berpasukan dalam usaha membuktikan keupayaan mereka sebagai pelumba generasi baharu yang bakal menggegar dunia pada masa hadapan.

Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad menjelaskan, pihaknya menghantar tujuh pelumba remaja kali ini dengan misi memberi pendedahan dan mengukur tahap keupayaan sebenar mereka bersaing dengan pelumba terbaik dunia.

"Ketujuh-tujuh pelumba remaja ini akan bersaing dalam pelbagai acara dan ini bakal menjadi medan terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan mereka, meraih kejayaan dan seterusnya menyarung Jersi Pelangi selaku juara remaja dunia.


VELODROM Sir Chris Hoy bakal menghimpunkan barisan pelumba remaja terbaik dunia apabila Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia 2013 berlangsung.


"Kejohanan ini juga bakal memberi gambaran awal kepada PKBM sama ada kita mampu atau tidak bersaing dalam acara endurance kerana setakat ini Malaysia hanya lebih menyerlah dalam acara pecut sahaja," jelas Naim kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Naim, meskipun tujuan utama PKBM ialah menilai tahap sebenar kedudukan pelumba remaja negara, namun beliau menjelaskan PKBM turut mengharapkan satu kilauan pingat daripada pelumba kelahiran Selangor, Muhammad Firdaus.

Firdaus atau lebih dikenali Toi merupakan pemenang tiga pingat emas (keirin, 200 meter pecut dan 1 kilometer (km) ujian masa individu) pada Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, Mac lalu, sekali gus dilabel sebagai prospek terbaik untuk menyambung legasi Azizulhasni.

"Pelumba remaja kita akan mendapat pendedahan yang berguna pada Kejohanan Dunia ini dalam usaha mempersiapkan diri mereka sebagai pengganti kepada Azizulhasni dan Josiah.

"Mereka telah mempamerkan prestasi terbaik pada ACC 2013 New Delhi apabila membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

"Firdaus yang memenangi tiga pingat emas di New Delhi pasti akan mengetahui di mana tahap sebenar kemampuannya dalam kalangan pelumba remaja dunia yang lain.

"Ketika ini, Firdaus juga berada dalam prestasi terbaiknya, jadi saya rasa peluangnya untuk memenangi pingat lebih cerah, apatah lagi dia menyertai empat acara (1km ujian masa individu, keirin, pecut individu dan pecut berpasukan)," tambah Naim.

Firdaus dilihat bakal menggalas tugas berat apabila menyertai empat acara manakala Asyraf pula beraksi dalam acara satu kilometer ujian masa dan pecut berpasukan.

Seorang lagi pelumba pecut, Shah Firdaus pula mengambil bahagian dalam acara pecut, keirin dan pecut berpasukan.

Sementara itu, bagi acara endurance pula, Afiq akan mengambil bahagian dalam acara kejar-mengejar berpasukan, perlumbaan mata, scratch dan omnium sementara Aele Shafri nyertai acara kejar-mengejar berpasukan, perlumbaan mata dan omnium.

Irwandie yang memenangi emas dalam acara scratch pada ACC 2013 pula bakal beraksi dalam acara kejar-mengejar berpasukan, kejar-mengejar individu, scratch dan omnium sementara Farid akan bersaing bagi acara kejar-mengejar berpasukan dan kejar-mengejar individu.

"Namun, apa yang agak menyedihkan apabila kesemua anak-anak muda ini akan berhari raya di Scotland dan ia satu pengorbanan yang besar daripada mereka," kata Naim.

"Saya berharap pengorbanan mereka ini berbaloi dan memberi hasil yang setimpal kepada mereka. Kesemua tujuh pelumba ini masih muda dan memiliki masa depan yang cerah.

"Pada masa sama, Kejohanan Dunia ini sangat penting demi kesinambungan legasi yang kita ada. Ini kerana keputusan di Glasgow nanti akan dijadikan panduan kepada perancangan dan program pembangunan pelumba kita pada masa hadapan.

"Berdasarkan keputusan pada kejohanan ini, kita akan dapat mengetahui di mana kedudukan sebenar pelumba-pelumba kita dalam beberapa tahun nanti.

"Ini penting bagi ketua jurulatih (John Beasley) membuat perancangan dan mengatur program latihan kepada pelumba-pelumba ini yang akan meneruskan legasi Azizulhasni, Josiah dan lain-lain," tambah Naim.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved