Sabtu, 17 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Aidilfitri menteri lebih meriah

Posted:

Aidilfitri menteri lebih meriah

Aidilfitri menteri lebih meriah

Oleh WARTAWAN KOSMO! AHAD
ahad@kosmo.com.my

SEMUA menteri Kabinet beragama Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu.


PASCAPILIHAN Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu menyaksikan perubahan dan penampilan muka baharu dalam barisan Kabinet Persekutuan dan di negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional.

Antara tokoh yang pertama kali menjadi menteri ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Tokoh yang pertama kali menjadi menteri besar ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Menteri Melaka, Idris Haron dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Seramai 18 orang menteri selepas PRU-13 merupakan muka baharu dengan 12 daripadanya beragama Islam.

Justeru, 1 Syawal lalu merupakan Hari Raya Aidilfitri pertama yang mereka sambut selepas kira-kira tiga bulan menjawat jawatan masing-masing.

Menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Jemaah Menteri di Masjid Negara sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara merupakan detik paling manis buat Hasan sejak bergelar menteri.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, pagi Syawalnya banyak dihabiskan bersama keluarga dan masyarakat di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

HASAN MALEK


Pada hari raya kali ini, katanya, beliau berpeluang menyambutnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Jemaah Menteri pada pagi Aidilfitri.

"Selepas itu, kami turut sama memeriahkan rumah terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya," katanya.

Ceritanya, walaupun beliau berada di Masjid Negara dan Putrajaya pada pagi Syawal, ia tidak menghalangnya daripada pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta di kampung halaman.

Ujar Hasan, juadah istimewa yang wajib ada pada pagi Syawal ialah ketupat nasi yang dihidangkan bersama kuah kacang.

"Walaupun saya menggemari sate tetapi apabila ketupat nasi dan kuah kacang sudah terhidang di depan mata, ia sudah cukup untuk saya melupakan seketika juadah kegemaran saya itu," selorohnya.

Sambutan Aidilfitri kali ini juga lebih bermakna kepada Rohani selaku Ahli Parlimen Batang Lupar. Ini merupakan kali pertama beliau menyambut Syawal sebagai menteri.


DATUK Abdul Rahman Dahlan (kanan) beramah mesra dengan pelancong dari Jerman yang turut hadir dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.


Pada tahun ini, beliau berpeluang meraikan sambutan hari raya Aidilfitri bersama golongan kurang berkemampuan, warga emas, kanak-kanak, anak yatim, orang kelainan upaya dan wanita.

Rohani memberitahu, beliau sebenarnya mula bersama kumpulan masyarakat tersebut sejak bulan Ramadan lagi.

"Program seperti majlis berbuka puasa, solat tarawih dan rumah terbuka sangat meriah lebih-lebih lagi apabila kakitangan kementerian turut turun padang untuk menjayakannya.

"Menerusi cara tersebut, kita dapat mendekati kelompok sasaran ini dan secara tidak langsung memberi mereka peluang untuk merasai keseronokan berhari raya," katanya.


KATA Rohani, beliau menyambut hari raya bersama keluarga secara sederhana sahaja.


Rohani turut menyertai majlis sambutan hari raya bersama Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pada pagi raya lalu.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, walaupun kali pertama meraikan hari raya sebagai menteri, sambutan Syawal tetap diraikan secara sederhana bersama keluarga dan sahabat handai.

"Saya juga menziarahi pusara kedua-dua arwah ibu dan bapa sehari sebelum hari raya.

"Memandangkan jadual kerja agak padat, saya ziarah lebih awal pada tahun ini bagi memastikan tanggungjawab sebagai anak tetap ditunaikan," katanya.

Bercerita mengenai juadah raya, Rohani berkata, menu kegemaran rayanya ialah ketupat pulut, kari ayam ala Sarawak dan daging masak hitam resipi arwah ibunya.

"Saya turut menyediakan juadah seperti soto ayam, laksa Sarawak, kuah kacang dan nasi himpit untuk memberi kepelbagaian kepada menu. Kek lapis Sarawak dan baulu kelapa juga tidak terkecuali," katanya.

Kemeriahan malam raya Khairy

Posted:

Kemeriahan malam raya Khairy

Kemeriahan malam raya Khairy

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my


BIARPUN sibuk, Khairy dan Nori (dua dari kanan) tetap meluangkan masa untuk persiapan raya anak-anak mereka.


KALAU sudah namanya kanak-kanak, pasti habuan duit raya yang diperoleh setiap kali tibanya Syawal membuatkan mereka gembira bukan kepalang. Apa tidaknya, kanak-kanak berpeluang memegang jumlah wang yang lumayan sekali dalam setahun.

Dalam pada kanak-kanak lain bergembira dengan kutipan wang raya masing-masing, rupa-rupanya figura politik yang memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada waktu kecil pernah menangis gara-gara duit raya yang diberikan kepadanya terpaksa dipulangkan semula kepada si pemberi.

Memori tersebut masih terpahat kemas dalam ingatan bondanya, Datuk Rahmah Abdul Hamid ketika mereka sekeluarga menyambut lebaran di Kuching, Sarawak pada akhir tahun 1970-an. Ketika itu, bapa Khairy berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu di sana.

"Pada mulanya, kami tidak tahu budaya orang di sana yang akan memasukkan duit raya ke dalam poket anak-anak. Bila arwah bapa Khairy tengok ada duit RM1,000, dia pulangkan kepada orang tersebut.

"Arwah berpesan agar jangan beri wang sebanyak itu kepada anak-anaknya dan beranggapan ia bukan duit raya. Jadi menangislah Khairy kerana wangnya diambil," ujar Rahmah yang tersenyum mengingatkan kejadian tersebut. Katanya, Khairy baru berusia tiga tahun pada waktu itu.

Khairy lekas mencelah, beliau tidak begitu ingat akan peristiwa berkenaan kerana masih kecil. Namun, Khairy, 37, secara berseloroh berkata, beliau pasti menyimpan duit tersebut dengan cepat sekiranya mengetahui tentang nilai wang itu.

Dilahirkan di Kuwait, membesar di Tokyo, Jepun, bersekolah di Singapura dan menamatkan zaman universiti di London, England mencalitkan pelbagai nostalgia Aidilfitri pada diri Menteri Kabinet termuda Malaysia yang dilantik pada Mei lalu.

RAHMAH tersenyum mengenangkan peristiwa Khairy menangis kerana duit raya yang diterimanya dipulangkan semula.


Persiapan raya

"Saya sukakan makanan Jepun kerana dibesarkan di sana. Tapi apabila tiba hari raya, saya kena makan ketupat, rendang, ayam golek dan lemang.

"Ketika masih kanak-kanak saya tertanya-tanya, apakah hidangan tersebut. Semua itu saya pandang dengan berhati-berhati," katanya sambil tergelak besar.

Lama-kelamaan, beliau mula menyukai hidangan tradisional masyarakat Malaysia terutamanya suasana raya yang lengkap dengan baju Melayu, bersamping dan bersongkok. Baginya, itulah kelebihan berada di luar negara dan perkara itu benar-benar istimewa kerana peluang sebegitu hanya datang sekali setahun.

Jika sebahagian besar umat Islam di negara ini menjadikan pagi Aidilfitri sebagai masa yang paling ideal untuk berkumpul beramai-ramai, bermaaf-maafan dan menjamu selera dengan juadah lazat, lain ceritanya dengan keluarga besar Khairy.

Sambutan itu diraikan lebih awal iaitu pada malam raya (selepas solat Isyak). Semua sanak saudara akan berkampung di rumah ibunya di ibu negara untuk menikmati hidangan raya bersama-sama.

Tradisi itu sebenarnya memudahkan Khairy selepas beliau menceburi bidang politik kerana beliau tidak perlu risau tentang sambutan pada pagi Syawal. Semuanya sudah diuruskan pada malam sebelumnya.

Rutin lain yang dilakukan pada petang Ramadan terakhir adalah menziarahi kubur arwah bapanya di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan kubur arwah ibu Nori di Putrajaya.

Tahun pertama bergelar menteri pada tahun ini mengubah sedikit jadual hari raya pertamanya yang sebelum ini pasti diluangkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Rembau, Negeri Sembilan. Tahun ini, beliau perlu mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama jemaah menteri yang lain menghadiri majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara.

Berkongsi tentang persiapan raya pula, Khairy dan isterinya, Nori Tun Abdullah tidak terkecuali untuk berkunjung ke Masjid India, Kuala Lumpur seperti ibu bapa lain. Mereka ke sana untuk membeli-belah kelengkapan raya bagi anak-anak mereka, Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar, 5, dan Timor Abdullah Jamaluddin Abu Bakar, 4.

KHAIRY mesra melayan anak saudaranya yang menghidap sindrom Down, Aisha Jamaluddin Aziz, 10 (dua dari kiri).


Ayam golek

"Kami akan tunggu dua hingga tiga hari sebelum raya untuk ke Masjid India kerana waktu lain terlalu sesak. Biasanya waktu itu sudah ramai warga kota pulang ke kampung halaman.

"Saya meminta pembantu pejabat untuk kosongkan jadual pada tempoh tersebut dan biasanya memang tidak banyak aktiviti rasmi kerana kebanyakan orang sudah balik kampung," jelasnya sambil memberitahu, tugas menyiapkan pakaian anak-anak pada pagi raya diuruskan oleh Nori.

Figura tinggi lampai yang gemar berjenaka itu turut memberitahu yang beliau memasak sendiri 20 ekor ayam golek untuk dihidangkan kepada saudara-mara pada pagi raya. Ayam golek merupakan menu wajib bagi keluarganya.

Nori yang anggun dengan busana kaftan labuh ketika temu bual kelihatan mengerling sambil tersenyum ke arah suaminya.

"Itulah dapur fantasia Khairy Jamaluddin," kata Nori dan membiarkan kru Kosmo 2 menafsir sendiri sejauh mana kebenaran Khairy hebat di dapur.

Diusik dengan soalan adakah mereka sekeluarga mengamalkan tradisi memakai persalinan sedondon, mereka lebih selesa memakai baju raya daripada kumpulan rona yang sama dan tidak semestinya sedondon.

Menurut Khairy, konsep menyambut Ramadan dan Syawal di Malaysia sudah semakin lari daripada hikmah asalnya iaitu melatih kesabaran, mengawal hawa nafsu dan meraih ketakwaan.

"Saya harap kita dapat kekalkan ketulenan sambutan kedua-dua bulan mulia ini dan tidak terlalu dikomersialkan walaupun ia sukar dielakkan.

"Sambutan raya bukanlah pesta material tapi sebaliknya menerapkan prinsip kemaafan, mengeratkan silaturahim dan mengenang kembali pengorbanan yang dilakukan selama sebulan pada bulan Ramadan," ujar Khairy.

Sementara itu, kebimbangan terhadap jalinan kemesraan yang terganggu antara keluarga dan sanak saudara pada hari lebaran turut mendapat perhatiannya.

Kata Khairy, memang akan ada saingan daripada program menarik di televisyen dan gajet seperti telefon pintar yang mengganggu perhatian. Katanya, masa sewajarnya diluangkan untuk bersama keluarga tercinta.

Sekiranya perlu, mereka yang menyambut Aidilfitri elok menutup seketika siaran televisyen, mematikan talian telefon bimbit dan menyembunyikan gajet daripada anak-anak.

Khairy turut berharap agar pengusaha stesen televisyen menyelitkan nasihat khidmat masyarakat yang menganjurkan rakyat meluangkan masa bersama keluarga sewaktu program raya disiarkan.

Bayi koma

Posted:

Bayi koma

Bayi koma


YU (kiri) dan Liu (kanan) tidak menyangka anak mereka, Lucas, masih hidup selepas kemalangan ngeri yang mereka alami.


PERIHAL keajaiban boleh dikatakan berlaku kepada sesiapa sahaja. Cerita seumpama itu turut berlaku ke atas seorang wanita, Wei Liu, 30, yang dibedah untuk mengeluarkan bayinya di sebuah hospital di Manchester, England baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia dibedah semasa dirinya berada dalam keadaan koma setelah terlibat dalam nahas jalan raya.

Liu yang bekerja sebagai seorang pembantu kedai telah terlibat dalam satu kemalangan di Ancoats, Manchester.

Dia dan teman lelakinya Geng Yu, 24, sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka dengan menaiki sebuah teksi. Teksi itu kemudian dilanggar sebuah kenderaan lain pada 3 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, wanita malang ini sedang sarat mengandung lapan bulan. Dia yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Manchester Royal Infirmary.

Tulang pipi Wei turut retak, patah kaki dan luka di kepalanya memerlukan 48 jahitan.

Situasi istimewa berlaku kerana doktor berjaya menyelamatkan nyawa Lucas yang dilahirkan sebulan lebih awal menerusi pembedahan. Selepas 40 hari berada di hospital, wanita yang bekerja sebagai pembantu jualan di Selfridges, Manchester itu dibenarkan pulang.

LIU masih tidak dapat berjalan dengan normal akibat kecederaan kedua-dua pergelangan kakinya.


"Semasa terjaga daripada koma, orang ramai berada di sekeliling saya. Terdapat satu benda di dalam perut saya menyebabkan saya tidak boleh bercakap. Tapi, saya menyedari perut saya semakin kecil dan bayi saya sudah tiada.

"Mereka (orang yang berada di sekelilingnya) menyatakan bayi saya selamat," ujarnya kepada akhbar Manchester Evening News baru-baru ini.

Dia terjaga daripada koma selepas tiga hari nahas itu berlaku.

Walaupun selamat, Wei perlu menggunakan kerusi roda selama beberapa bulan.

"Saya berasa bertuah kerana dapat terus hidup dan Lucas berada dalam keadaan baik," kata Wei.

Teman lelakinya itu juga patah tulang rusuk, serta cedera di kaki dan paru-paru.

Menurut Yu, dia berasa amat gembira apabila mendapati nyawa Wei dan anak mereka berjaya diselamatkan oleh doktor.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved