Sabtu, 17 Ogos 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Susu percuma tarikan ke sekolah

Posted:

Susu percuma tarikan ke sekolah

Susu percuma tarikan ke sekolah

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my

SUSU berperisa coklat menjadi kegemaran murid-murid SK Sri Permai di Gua Musang, Kelantan.


MASIH segar di minda betapa seronoknya hari persekolahan suatu ketika dahulu apabila guru memberitahu ada susu kotak akan diedarkan kepada murid-murid pada hari itu.

Susu berperisa coklat yang diberikan ketika di sekolah rendah secara percuma oleh kerajaan melalui Program Susu Sekolah (PSS) itu menjadi rebutan murid-murid sejak tahun 1981 lagi.

Namun, akibat terpaksa berhadapan dengan beberapa isu serius terutamanya keracunan laktasi yang berpunca daripada 35 peratus bekalan susu dicemari bakteria, PSS dimansuhkan pada 22 Mei 2007.

Bagaimanapun, program pemberian susu sekolah itu dihidupkan semula menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 September 2010.

Penganjuran semula program itu melibatkan peruntukan sekitar RM4 juta.

Sebanyak empat buah syarikat pengedar susu telah dilantik untuk menjayakan program itu termasuk Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia).

Syarikat multinasional itu telah memperbaharui kontrak selama dua tahun bagi tahun 2013 dan 2014 pada Mac lalu dengan liputan pengedaran termasuk Kelantan dan Terengganu.

Menurut Pengurus Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Malaysia, Mohd. Afizi Mohd. Ross, tanggungjawab tersebut lebih mencabar kerana kawasan terbabit mempunyai banyak sekolah di pedalaman.


MENURUT Rashidah (tengah), seramai 1.4 juta murid sekolah rendah mendapat manfaat daripada Program Susu 1Malaysia.


"Bilangan sekolah yang terlibat dalam edaran kami ialah sebanyak 769 buah membabitkan 232,489 orang murid.

"Tidak seperti tahun lalu apabila kawasan pengedaran bertumpu di Selangor yang sinonim dengan kawasan bandar.

"Tahun ini kami berdepan dengan lebih banyak cabaran kerana terpaksa memasuki kawasan pedalaman terutamanya ke sekolah-sekolah Orang Asli yang adakalanya mengambil masa perjalanan sehingga enam jam," katanya.

Penghantaran

Baru-baru ini pihak Dutch Lady Malaysia telah memberi peluang kepada anggota media untuk melihat sendiri proses penghantaran susu tersebut ke sekolah-sekolah terlibat.

Kami telah dibawa ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di Gua Musang, Kelantan yang merupakan sebuah sekolah Orang Asli. Perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda itu mengambil masa selama tiga jam dari jalan utama Gua Musang.

Untuk sampai ke sekolah tersebut, rombongan harus melalui dua buah bukit dan meniti curam yang hanya boleh dilepasi menggunakan kenderaan.

"Cabaran utama penghantaran seperti ini adalah cuaca dan masa.

"Susu mesti tiba di sekolah sebelum waktu persekolahan tamat pada tengah hari. Sekiranya hujan, kumpulan penghantaran tidak boleh keluar ekoran tanah basah, berselut dan ini amat berbahaya," jelasnya.

Salah seorang guru sekolah berkenaan, Rosli Abd. Rahim, 39, berkata, program susu tersebut dapat menarik minat murid-murid untuk hadir ke sekolah.

"Setiap murid menerima sekotak susu pada setiap hari Isnin dan Rabu. Mereka akan minum terus susu tersebut di hadapan guru dan tidak dibenarkan membawanya pulang," jelas beliau.

Menurut Pembantu Pengurusan Murid Prasekolah, Anis Fauzana Ismail, 31, tidak sukar untuk meminta murid-murid terlibat meminum susu yang dibekalkan.

Nutrisi tambahan

"Susu yang diedarkan berperisa coklat dan sudah tentu ia menjadi kegemaran kanak-kanak. Tambahan pula, kanak-kanak pedalaman ini sukar untuk mendapatkan akses kepada susu coklat yang berada di pasaran.

"Dengan adanya susu ini, mereka boleh mendapatkan nutrisi yang mencukupi kerana ramai antara mereka tidak pernah minum susu selain susu ibu semasa kecil," ujarnya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Murid Kementerian Pelajaran, Datin Rashidah Md. Yusoff.

Katanya, program yang diperkenalkan itu mampu menjadi satu mekanisme bagi mencapai sasaran kehadiran murid 100 peratus bagi sekolah-sekolah di pedalaman.

"Tahun ini Kementerian Pendidikan membelanjakan sebanyak RM103 juta bagi bantuan susu segar menerusi PS1M yang membabitkan 1.4 juta murid sekolah rendah di seluruh negara," katanya.

Cara masakan perlu diubah

Posted:

Cara masakan perlu diubah

Cara masakan perlu diubah


CHEF Muluk (dua dari kiri) memantau wakil media dan kakitangan Nestle menyempurnakan tugasan menyediakan tiga jenis hidangan dalam Cabaran Kulinari Kotak Misteri di Petaling Jaya baru-baru ini.


TIDAK dapat dinafikan bahawa nutrisi sangat penting lebih-lebih lagi kepada seluruh rakyat Malaysia. Mengapa? Malaysia mencatatkan angka tertinggi penyakit diabetes dan pelbagai penyakit tidak berjangkit berbanding negara-negara lain.

Menyedari kepentingan nutrisi terhadap gaya hidup masyarakat Malaysia, Nestle Malaysia menampilkan cara masakan baharu bagi menangkis tanggapan bahawa makanan sihat tidak sedap.

Pakar Pemakanan Kanan Nestle Malaysia, Nurul Iliani Ahmad memberitahu, penyediaan makanan sihat perlu merangkumi pelbagai kumpulan dalam piramid makanan.

Andai tidak melibatkan setiap kumpulan zat, bermakna seseorang itu tidak menghidangkan makanan sihat dan berkhasiat buat keluarga mereka.

"Mengikut garis panduan diet Malaysia, pengambilan gula maksimum sehari ialah sebanyak 15 sudu teh, minyak empat sudu besar dan garam satu sudu teh.

"Adalah mustahil untuk mengurangkan pengambilan gula secara drastik. Apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkannya sedikit demi sedikit," katanya sambil memaklumkan pengunaan rempah seperti kulit kayu manis dan buah pala boleh memberikan rasa manis.

Tambah Nurul Iliani, pengambilan minyak ke dalam masakan perlu dikawal.

"Setiap satu sudu besar minyak, anda menambah 100 kalori dalam masakan," ujarnya.

Bagi menyediakan masakan sihat dan berkhasiat, cara masakan perlu diubah. Jika sebelum ini masakan selalu ditumis atau menggunakan minyak yang banyak, ia seharusnya diubah dengan cara mengukus, memanggang, rebus atau stu.

"Gunakan sedikit garam dalam masakan. Sebelum meletakkan garam, rasa dulu masakan tersebut.

Berkhasiat

"Kurangkan penggunaan makanan yang mempunyai tahap kemasinan tinggi seperti ikan, telur dan sayur masin serta belacan," ujarnya sambil menyarankan orang ramai supaya tidak memasak sayur terlalu lama kerana ia akan menghilangkan zat dalam sayuran tersebut.

KARI ayam ini dimasak tanpa menggunakan santan kerana telah digantikan dengan yogurt.


Sejajar dengan hasratnya menggalakkan pemakanan secara sihat dan berkhasiat, Nestle Malaysia telah menjemput wakil media bagi menyaksikan demonstrasi masakan menggunakan Maggi Magic Meals oleh Chef Eksekutif Maggi, Abdul Muluk Rambli atau lebih dikenali sebagai Chef Muluk.

Antara menu yang dimasak oleh beliau adalah ayam masak kicap, ayam masak merah, kari ayam, nasi ayam Hainan, nasi beriani dan salad mi Maggi.

Katanya, bagi menyediakan hidangan ayam masak kicap, kita hanya perlu masukkan ayam, perencah ayam kicap, hirisan bawang, cili yang dipotong dua dan daun ketumbar ke dalam plastik khas yang disediakan dalam paket Magic Meals kemudian sebatikan ramuan-ramuan itu.

"Panaskan periuk, masukkan empat sudu besar minyak, letakkan marjerin dan tumiskan halia serta bawang putih. Masukkan setengah kilogram beras siam dan gaulkan.

"Dua sudu setengah stok ayam dimasukkan ke dalam periuk bersama 600 mililiter air dan masukkan daun pandan. Masukkan plastik yang mengandungi ayam kicap tadi ke dalam periuk dan tunggu sehingga nasi masak," ujarnya sambil menekankan kaedah itu sangat mudah disediakan.

Usai menonton demonstrasi masakan, wakil-wakil media menyahut Cabaran Kulinari Kotak Misteri untuk menyediakan hidangan dengan menggunakan bahan-bahan masakan yang disediakan dalam kotak khas yang disediakan.

Setiap kumpulan terdiri daripada empat individu yang menggandingkan wakil media dan kakitangan Nestle Malaysia.

Masing-masing beraksi menunjukkan kemahiran memasak dengan menghasilkan tiga jenis hidangan iaitu hidangan protein, nasi goreng dan sayur sambil dipantau oleh Chef Muluk.

Ternyata, tidak sesukar mana untuk memasak hidangan berkhasiat lagi enak menggunakan produk Maggi kerana dalam masa kurang 30 minit, wakil media berjaya tampil dengan pelbagai hidangan antaranya, nasi goreng cina, ikan masak asam, nasi goreng kampung dan kari ayam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved