Selasa, 30 Julai 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


New York destinasi cita-cita

Posted:

New York destinasi cita-cita

New York destinasi cita-cita

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

"CANTIK, lembutkan sedikit hujung jari. Tangan kena melentik lagi," gamat Studio Utusan Melayu (M) Bhd. dengan arahan profesional si jurugambar, Rashid Mahfof pada sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini.

Di tengah-tengahnya, berdiri seorang wanita yang diapit lampu studio, akur bergerak mengikut kehendak jurugambar itu. Tiada rungutan atau tanda bantahan disuarakan mahupun ekspresi letih diriakkan pada wajah anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.

"Beginilah saya, masih belajar menjadi model yang baik setiap kali dipanggil untuk sesi fotografi," akui empunya diri, Dayang Nur Atikah Karim atau lebih mesra dipanggil Atikah.

Meskipun disogok letih berpuasa, energi Atikah tidak sedikit pun terkurang usai sesi fotografi yang memakan masa hampir empat jam itu.

Personaliti bersahaja ditonjolkan Atikah tanpa kekok saat sesi temu bual sangat mencuit hati, mengikis persepsi pasif individu terhadap seorang peragawati yang sedang meniti fasa populariti.

"Saya lebih suka berjalan di atas pentas peragaan. Mungkin ia lebih mudah berbanding beraksi di hadapan lensa kamera. Menghidupkan karakter dalam sekeping gambar merupakan satu tugas berat. Ekspresi dan emosi perlu dizahirkan pada raut wajah dengan bijak agar tampak semula jadi.

"Supermodel antarabangsa seperti Chanel Iman antara rujukan utama dan sumber inspirasi saya dalam bidang peragaan," cerita anak ketiga daripada empat adik-beradik itu penuh galak.

Tiga tahun mencuba nasib, tiga tahun merebut ruang dalam industri fesyen tempatan dan tiga tahun yang membuahkan hasil, nyata tempoh itu melakar fasa termanis kepada Atikah.

Selepas menjuarai Ford Models Supermodel of the World Search Malaysia 2011 anjuran STYLO, kelibat Atikah semakin kerap dilihat pada pertunjukan-pertunjukan fesyen tanah air.

KEBARUNG pesak bawah lengkap bersama kerongsang menjadikan penampilan anak Kota Kinabalu ini tampak klasik mempesona.


Wajahnya ibarat wajib disenaraikan, bukan auta, malah ia realiti yang berlaku dalam arena fesyen tempatan.

Rupa eksotik campuran darah Bajau dan Brunei, kulit hitam manis dan ketinggian idaman para gadis, secara automatik memberi kelebihan kepada Atikah untuk mengorak langkah dalam bidang peragaan.

Bakat ranum Atikah turut dilirik agensi model antarabangsa. Tawaran uji bakat (casting) di New York, Amerika Syarikat digenggam rapat Atikah, menjadi api nyalaan semangat untuk direalisasikan.

Katanya: "Mungkin dua tahun lagi saya akan ke New York untuk casting di agensi tersebut. Saya masih menyimpan duit untuk menampung perbelanjaan penerbangan, penginapan dan keperluan asas lain ketika berada di sana.

"Ibu saya juga menyatakan hasrat untuk menemani saya di New York nanti. Harap-harap perancangan tersebut berjalan lancar."

Pelajar sepenuh masa

Menjelmakan impian menjadi kenyataan memerlukan kerja keras dan semangat yang berterusan.

Demikianlah Atikah, berumur 20 tahun bukan bermaksud dia boleh senang-lenang berhibur menikmati alam muda-mudi tanpa panduan serius dalam hidup.

Keseronokan mengumpul wang sendiri hasil bayaran sebagai model sambilan pernah melekakan Atikah sejenak. Namun, dia yang merupakan penuntut Diploma Reka Bentuk Multimedia, Taylor's University Lakeside Campus, Petaling Jaya, Selangor, kembali meletakkan pelajaran sebagai keutamaan.

"Ramai orang ingat saya model sepenuh masa. Mereka tidak tahu saya masih seorang pelajar dan buat masa sekarang, pendidikan mesti didahulukan berbanding kerjaya sampingan.

"Menjadi pelajar dan model serentak memang susah. Awal-awal dulu mungkin saya kurang bijak membahagi masa sampai pelajaran sedikit terabai, tetapi kini saya tahu tawaran kerja mana yang perlu ditolak supaya tidak bercanggah dengan jadual kelas," serius butir kata Atikah memberi penjelasan.

Kesempitan waktu membuatkan Atikah jarang berpeluang pulang ke Sabah untuk melepaskan rindu bertemu orang tuanya. Jika balik sekalipun, tempoh yang diperoleh amat pendek dan dirasakan tidak puas untuk bermesra bersama keluarga.

Menjelang Aidilfitri tahun ini, ruang waktu buat keluarga di Kampung Tanjung Aru dipanjangkan Atikah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ujarnya: "Cuti raya tahun ini bersambung dengan cuti semester. Jadi dapatlah saya duduk di Sabah selama hampir dua minggu. Selalunya cuti seminggu sahaja."

ANTARA pertunjukan fesyen awal yang disertai Atikah sebelum berkecimpung secara serius dalam bidang peragaan.


Tolak diet

Apa yang pasti, setibanya raya, segala bentuk pantang makan dan minum dimansuhkan Atikah serta-merta. Pada hari kemenangan umat Islam itu, Atikah tidak ralat menjamah makanan dalam kumpulan 'menggemukkan'.

"Buat apa diet pada hari raya? Musim perayaan kena tolak tepi soal penjagaan badan sebab sepanjang bulan puasa saya jaga makan dengan penuh disiplin. Masuk raya kedua atau ketiga baru saya kembali menjaga pemakanan," ikhlas pengakuan Atikah kepada Stailo.

Lemang bersama kari ayam dan rendang merupakan juadah wajib Atikah pada pagi raya. Tidak ketinggalan kuih cincin dan biskut cip coklat yang menjadi kemestian Atikah setiap Syawal.

Tradisi berkumpul di rumah arwah neneknya pula masih diteruskan meskipun neneknya telah meninggal dunia tiga tahun lepas.

"Sejak kecil saya dan saudara-mara belah ibu beraya bersama-sama di rumah nenek. Saya masih ingat, waktu kecil dahulu, kami beramai-ramai beratur mengutip duit raya. Itu antara momen raya paling menyeronokkan ketika saya masih kanak-kanak.

"Baju raya pula selalunya saya pakai baju kurung yang dibeli siap atau ditempah. Sekarang bila sudah dewasa, lagi kuat saya melaram. Tahun ini sahaja saya sudah sediakan empat pasang busana termasuk kurung moden dan peplum," sakan Atikah berkongsi kisah lalunya yang suka berbulu mata palsu.

Gaya idealis lebaran

Posted:

Gaya idealis lebaran

Gaya idealis lebaran

BUSANA yang menggunakan material likra ini memberikan keselesaan berpanjangan kepada golongan wanita.


AIDILFITRI tidak lagi berkait pada seragam wajib seperti baju kurung, kebaya atau kebarung yang klasik rekaannya. Peralihan cita rasa kaum Hawa dalam bergaya pada pagi Syawal telah merombak tata gaya berulang setiap kali perayaan terbesar umat Islam itu tiba.

Permintaan tinggi wanita Malaysia terhadap busana aliran terkini khususnya kurung moden membuka peluang kepada para pereka tempatan untuk mengetengahkan kreativiti masing-masing. Lantas tercetuslah busana dengan potongan, warna dan perincian baharu yang mendominasi pasaran pada masa kini.

Pereka duo negara, Wanpa antara jenama tanah air yang kian mekar prestijnya, mula menjadi pilihan golongan wanita setiap kali menjelang lebaran. Rekaan moden minimalis signatur Wanpa nyata menggendong nama paduan dua lelaki itu ke paras membanggakan.

Tahun ini tidak kurang hebatnya, Wanpa menampilkan rekaan ringkas elegan yang mencipta gaya merentas zaman dengan mudah. Menolak kegilaan umum terhadap peplum, busana Aidilfitri ciptaan Rashid Omar dan Wan Mohd. Ridzuan Wan Ismail kali ini memaksimumkan penggunaan fabrik likra.


PERINCIAN daun gangsa pada bahagian kolar baju menambahkan ciri eksklusif kepada si pemakai.


"Material likra mudah meregang dan melekap. Jadi ia sempurna digunakan untuk pakaian hari raya, menepati suasana dan cuaca negara. Keselesaan si pemakai juga dapat dipanjangkan sehingga ke petang, melenyapkan rasa rimas yang sering dialami wanita.

"Ada juga koleksi raya kami menggunakan fabrik sifon dan broked," tambah Rashid, 29, kepada Stailo.

Rona-rona pastel melatari indah busana lebaran Wanpa, lembut mempesona pandangan sesiapapun yang melihat. Ia mengalir sempurna dalam penampilan seorang perempuan yang mahukan imej feminin lengkap bersama sensasi elegan.

Jika mahu lebih 'hidup' dalam persalinan Aidilfitri anda, pilih warna-warna ceria (candy) yang tidak terlalu menjerit gandingannya. Bukan apa, dalam kemeriahan Syawal, penampilan harus sederhana dan tidak berlebihan. Busana Wanpa cukup idealis bagi anda yang bijak membentuk gaya berpada-pada.

"Perincian juga tidak sarat. Kami menggunakan batu berwarna untuk dipadankan bersama busana rona pastel. Paduan dua elemen ini menghasilkan persalinan yang anggun namun minimum," ujar Wan Mohd. Ridzuan yang mengumumkan mereka juga menerima tempahan sempena majlis rumah terbuka. - ALIF ABU BAKAR

Wangian alam L'occitane

Posted:

Wangian alam L'occitane

Wangian alam L'occitane


VARIASI pilihan minyak wangi baharu L'occitane, La Collection de Grasse.


BAU-BAUAN mempunyai keupayaan untuk membuai perasaan dan membangkitkan memori sesuatu peristiwa. Kita lantas teringat setiap momen indah bersama teman istimewa ketika menghidu haruman tertentu.

Tahun ini, L'occitane memberi penghormatan kepada rantau Grasse, Perancis yang terkenal sebagai lokasi pakar-pakar minyak wangi dunia untuk belajar membuat haruman dan mengasah kemahiran mereka. Penghargaan itu menghasilkan La Collection de Grasse yang merangkumi empat wangian iaitu Jasmin & Bergamote, Magnolia & Mure, Vanille & Narcisse atau The Vert & Bigarade.

Koleksi ini membawa penggemar L'occitane menyusuri perjalanan deria bau melalui bahan yang diperoleh dari seluruh dunia antaranya ialah beri hitam dari Selatan Perancis, teh hijau dari Jepun dan Bitter Orange dari Tunisia.

Gandingan dua bahan menghasilkan keharmonian hasil sentuhan kreatif pembuat minyak wangi, Karine Dubreuil. Hanya ekstrak terbaik digunakan dalam wangian ini untuk mencerminkan ketelusan dan kejernihan setiap bahan.

Setiap haruman itu disertakan bersama empat produk lain iaitu pelembab badan, gel mandian, semburan kabus rambut dan sabun wangi. Setiap item dijual secara berasingan pada harga bermula RM37. Bagi wangian utama pula berharga RM225 dan boleh didapati di semua rangkaian L'occitane, bermula 1 Ogos 2013.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved