Sabtu, 27 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Belai enau seperti perempuan

Posted:

Belai enau seperti perempuan

Belai enau seperti perempuan

MEMANJAT tangga buluh setinggi lebih 20 meter sambil menjinjing tong berisi air tanpa dilengkapi peralatan keselamatan mungkin dianggap sebagai sengaja mengundang nahas.

Namun ia tidak menjadi masalah buat seorang pengusaha gula enau tradisional di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Ali Munas Abdullah yang telah melakukan kerja itu sejak muda lagi.

Berbekalkan parang pendek yang diikat pada pinggangnya, Munas, 50, cermat mengatur langkahnya semasa dia memanjat tangga yang juga dikenali sebagai sigai itu.

Sigai hanya disandarkan pada batang pokok enau yang tingginya bersamaan dengan bangunan lima tingkat itu.

Berpengalaman mengutip nira enau selama 25 tahun, bapa kepada tujuh orang anak itu masih gagah memanjat pokok bagi mendapatkan air nira sebelum ia dimasak menjadi gula enau.

Soal gayat bagaikan tidak pernah hadir dalam kamus kerjaya lelaki bertubuh kurus ini sementelah ia sudah menjadi rutin hariannya.

"Setiap hari saya akan memanjat 15 batang pokok enau, sekali pada sebelah pagi dan sekali lagi pada sebelah petang untuk mengutip nira.

"Ia merupakan rutin yang tidak boleh ditinggalkan walaupun sekali kerana kelewatan mengutip nira akan membuatkan batang tandan merajuk dan ia tidak mahu mengeluarkan nira lagi," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Terusan, baru-baru ini.

Mula memanjat pada pukul 8 pagi, kesemua bekas tadahan nira yang dilekatkan pada 15 batang pokok enau yang berlainan lokasinya itu perlu diturunkan dengan segera.

GULA enau yang dituang ke dalam acuan hanya memerlukan tempoh selama lima minit untuk mengeras.


Dalam masa kurang dua jam nira dikutip, ia perlu dimasak bagi mengelakkannya rosak.

"Walaupun pada setiap sesi tadahan saya meletakkan cebisan akar mambu yang telah ditumbuk dan sedikit air kapur untuk mengelakkan nira menjadi masam, ia tidak mampu bertahan lama.

"Nira yang ditadah boleh bertahan selama 12 jam sahaja," katanya yang mengutip nira pada pukul 8 pagi.

Biarpun nampak mudah, menurut Munas, proses penghasilan nira sebenarnya remeh dan pengutip perlu sentiasa peka pada tempoh waktu yang ditetapkan.

Belai perempuan

"Pengutip tidak boleh saja-saja memanjat pokok enau dan memotong nira untuk mendapatkan niranya. Ada banyak proses yang perlu dilakukan sebelum itu.

"Pertama, kita tidak boleh pergi ke sebarang pokok, sebaliknya perlu memilih pokok yang sesuai dan melamarnya.

"Bunyinya mungkin pelik, tetapi itulah amalan yang diperturunkan oleh pengutip-pengutip nira sebelum ini.

"Pokok enau perlu dibelai seperti perempuan jika mahu mendapatkan airnya walaupun pada hakikatnya, hanya tandan mayang jantan yang akan mengeluarkan nira.

MAYANG dipotong bagi mengeluarkan air nira dari batangnya.


"Proses melamar dimulakan dengan memerhatikan tandan mayang dan mengetuk batang pokok.

"Jika mayangnya terurai cantik dan tidak pecah, ia menunjukkan pokok tersebut sesuai untuk dilamar. Sekiranya pengutip suka dengan pokok tersebut, batangnya perlu dililit dengan akar kayu bagi menandakan ia sudah berpunya atau bertuan.

"Selesai melamar, pengutip perlu menjalankan proses mengetuk batang pokok dan tandan mayang selama 12 hari dan pokok itu akan dipanjat selama tiga hari berturut-turut sebelum dibiarkan rehat selama sehari. Rutin tersebut perlu dilakukan sehingga genap 12 hari.

"Ketukan pada batang dan tandan mayang bertujuan untuk melonggarkan rongga-rongga saluran nira dalam batang tandan berkenaan. Pada kebiasaannya, ia akan dibuat sebanyak empat kali. Dua kali ketukan menghala ke atas dan dua kali ketukan mengarah ke bawah.

"Ia perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Jika ketukan terlalu kuat, batang tandan boleh tercedera sekali gus boleh merencatkan pengeluaran nira," jelas Munas.

"Pada hari ke-12, proses memutus pula akan dilakukan. Batang tandan mayang akan dicantas. Pada ketika ini, batang yang telah dipotong sudah boleh mengeluarkan air tetapi ia belum boleh disadap atau ditadah lagi.

NIRA yang dimasak perlu sentiasa dikacau bagi mengelakkannya meruap dan tumpah.


"Proses menapai perlu dilakukan selama tiga hari tiga malam bagi mengeluarkan sisa kayu dan habuk supaya nira yang ditadah bersih serta tidak keruh. Batang yang dipotong akan ditutup dengan ijok iaitu serat hitam yang meliputi pokok enau.

"Walaupun masih dalam proses menapai, batang tandan perlu diketuk pada waktu pagi dan petang. Jika tidak dibelai dengan sempurna, tidak mustahil ia akan merajuk," katanya yang jarang berjalan jauh disebabkan pekerjaannya itu.

"Selepas tamat tempoh menapai, barulah ijok akan dibuka. Batang akan dihiris nipis bagi mengeluarkan nira baharu yang lebih segar. Selepas itu, nira sedia untuk ditadah dan dituai," kata Munas yang mengusahakan pembuatan gula enau secara tradisional bersama isterinya, Hazlizah Mohamed yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Hazlizah memainkan peranan penting dalam memasak gula enau di dapur yang dikenali sebagai sabak.

Pada setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam, masanya banyak dihabiskan untuk memasak gula enau.

Jelas Hazlizah, nira perlu dimasak dengan api yang benar-benar marak.

Aunty Aini popular kerana Gordon

Posted:

Aunty Aini popular kerana Gordon

Aunty Aini popular kerana Gordon

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


AUNTIE Aini (dua dari kiri) serta keluarganya bergambar kenangan bersama Gordon (tiga dari kiri) ketika cef tersohor itu berkunjung ke kafenya dua tahun lalu.


GRAF populariti wanita ini melonjak selepas kunjungan cef selebriti tersohor Britain, Gordon Ramsay ke kafe miliknya, Aunty Aini's Garden Cafe pada Mei 2011.

Nama wanita itu yang mesra dengan panggilan Aunty Aini dicari sebanyak 60,000 kali dalam enjian carian Google selepas program jelajah masakan, Gordon Great Escape disiarkan dua tahun lalu di saluran masakan popular seperti Asia Food Channel, Channel 4 dan BBC Lifestyle.

Gordon merupakan figura ikon dunia masakan, cef selebriti dan pemilik beberapa restoran terkenal di Amerika Syarikat (AS) serta Britain.

Selain Gordon's Great Escape, cef dari Britain itu turut terkenal dengan beberapa rancangan televisyen kendaliannya seperti Hell's Kitchen, The F Word, Ramsay's Best Restaurant, Ramsay's Kitchen Nighmares dan MasterChef yang berjaya menarik jutaan penonton pada setiap siri.

"Kedatangan Gordon ke mari bukan sekadar mahu menikmati keunikan kulinari tradisional tempatan, tetapi dia mahu mempelajari teknik memasak," ujar Aunty Aini yang memiliki nama sebenar, Norzaini Abdul Hamid, 55.

Menurutnya, dalam siri jelajah masakan tersebut, Malaysia menjadi destinasi pilihan Gordon selain Thailand, Vietnam dan India.

"Saya berpendapat ia merupakan peluang yang baik untuk saya memperkenalkan masakan tradisional Melayu ke dunia luar, apatah lagi selepas saya diberitahu program itu boleh ditonton di seluruh dunia," ujar wanita tersebut yang memilih rendang daging sebagai masakan istimewa untuk dikongsikan bersama Gordon ketika memasak pada tahun 2011.

Jika ditonton rakaman program tersebut, pasti ramai yang kagum dengan sikap keterbukaan, keramahan, spontan dan bersahaja yang ditunjukkan Aunty Aini.

"Saya menjadi diri saya sendiri. Tidak timbul perasaan gementar ataupun gugup apabila diminta berganding dengan Gordon di dapur saya.

"Malah, saya tidak memberi pelung langsung kepada Gordon untuk membuli saya walaupun ramai yang maklum dia seorang yang cerewet dan mementingkan kesempurnaan.

"Contohnya, sebagai cef profesional, Gordon sangat mementingkan resipi yang tepat untuk setiap masakannya sedangkan saya seorang yang jenis agak-agak sahaja.

"Malah, saya katakan kepadanya, jangan ditanya resipi kepada saya, kerana saya tidak tahu apa yang nak diberitahu.

"Kalau anda hendak belajar memasak, berdiri di sebelah saya dan perhatikan apa yang saya lakukan.

"Bila dia teragak-agak untuk memasak, saya katakan kepadanya, percayalah dengan gerak hati dan yakin dengan kemampuan air tangan anda sendiri," katanya.

Hirup kuah

Biarpun memasak dengan resipi yang hanya agak-agak, resipi rendang daging yang dikongsikan dalam Gordon's Great Escape telah mempopularkan Aunty Aini.

Dia mengaku mula tidak menang tangan menguruskan kafe selepas rancangan tersebut disiarkan.

AUNTY AINI mengetengahkan masakan asli Negeri Sembilan di kafenya di Kampung Chelet, Nilai.


"Selepas saya mengajar Gordon memasak rendang, ramai pelanggan yang datang ke sini bertanyakan rendang daging sedangkan ia tidak ada dalam menu.

"Namun, disebabkan permintaan tinggi, saya mengambil keputusan untuk meletakkan rendang daging dalam senarai menu di kafe ini," ujarnya.

Gordon bukanlah figura popular pertama yang pernah berkunjung ke kafe yang diusahakan oleh Aunty Aini bersama suaminya, Yeop Abdul Mutalib Azizul Hasan, 60.

"Pada tahun 2005, cef popular AS, penulis dan juga personaliti televisyen, Anthony Bourdain telah berkunjung ke Aunty Aini's Garden Cafe.

"Pada masa itu, Bourdain sedang merangka dokumentari masakan. Dia datang ke sini bersama kru Discovery Channel untuk mengenali masakan Melayu tradisional.

"Sejak tersiar beberapa kali daam Discovery Channel, ramai pelancong asing datang ke sini.

"Jika ada acara perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, memang meriahlah kafe ini.

"Apa yang mengagumkan, lidah mereka boleh menerima baik masakan Melayu, terutamanya masakan lemak cili api yang disediakan di sini.

"Jangan terkejut kalau anda melihat orang Sepanyol, Jepun, Korea, Australia dan orang asing lain boleh menghirup kuah lemak cili api yang pedas ," kata Aunty Aini yang tidak berkompromi tentang rasa masakan yang ditawarkan di kafenya.

Dia mengekalkan tahap kepedasan sebagai cara untuk mengekalkan keaslian rasa juadah Melayu Negeri Sembilan.

"Kalau namanya masak lemak cili api, memang kena pedas. Kalau saya kurangkan cilinya, ia sudah tidak asli lagi," katanya yang belum pernah menerima kritikan atau mendengar rungutan daripada pelanggan mengenai masakannya.

Sebagai pemilik kafe, Aunty Aini turut menjadi individu yang penting di dapur.

"Memasak merupakan jiwa saya. Di kafe ini, saya tidak menyerahkan bulat-bulat kerja memasak kepada pekerja. Selagi saya boleh buat, saya akan buat," katanya yang memberitahu, tiada rahsia dalam penyediaan masakannya.

Pewaris ketiga institusi beraja Britain

Posted:

Pewaris ketiga institusi beraja Britain

Pewaris ketiga institusi beraja Britain


GEORGE Alexander Louis seberat 3.8 kilogram semasa dilahirkan di Hospital St. Mary, London.


PENDUDUK Britain teruja dengan kelahiran cahaya mata sulung lelaki pasangan Putera William dan isterinya, Kate Middleton pada 23 Julai lalu.

Anak pasangan diraja itu yang diberi nama George Alexander Louis bakal menjadi penerus legasi institusi monarki Britain yang mempunyai rentetan sejarah panjang dan hebat.

Cicit pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II itu akan menjadi Raja Britain selepas ayahandanya, William.

Menurut Istana Kensington, cahaya mata William itu menggunakan gelaran Putera George.

William yang menggunakan gelaran Duke Of Cambridge berada dalam senarai kedua pewaris takhta selepas ayahandanya, Putera Charles yang merupakan anakanda Elizabeth II.

Beliau berada di sisi Kate semasa George dilahirkan pada pukul 4.24 petang waktu tempatan di Hospital St Mary, London pada Isnin lalu.

Bayi tersebut seberat 3.8 kilogram ketika dilahirkan.

Proses kelahiran bakal Raja Britain itu bermula pada kira-kira pukul 6 pagi.

Kedua-dua pasangan diraja itu berusia 31 tahun dan berkahwin pada 29 April 2011.

Penduduk Britain amat teruja dengan kelahiran bakal raja mereka itu. Ribuan penduduk berhimpun di depan Istana Buckingham, tengah London untuk menunggu berita kelahiran anakanda William itu pada Isnin lalu.

Popular

Semua akhbar utama antaranya, The Daily Telegraph, The Sun dan Daily Mail di Britain memberikan liputan di muka depan tentang berita kelahiran anak pasangan William dan Kate itu.

William amat popular dalam kalangan penduduk Britain kerana beliau ialah anak mendiang Puteri Diana yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Paris pada tahun 1997 semasa menaiki kereta bersama Dodi Al-Fayed yang merupakan anak bilionair kelahiran Mesir, Mohamed Al-Fayed.

Diana semasa hidupnya amat disayangi oleh penduduk Britain kerana dia bukan sahaja cantik tetapi juga sikap ramahnya disenangi ramai.

Namun, Diana akhirnya bercerai dengan ayahanda William pada tahun 1996.

Justeru, anak William itu juga merupakan cucu Diana.

Isteri William, Kate merupakan anak golongan kelas pertengahan manakala Diana mempunyai darah keturunan raja.

Hospital St. Mary juga merupakan lokasi yang sama Diana melahirkan William pada tahun 1982.

Sebelum ini, enam Raja Britain mempunyai nama George.

Cenderamata


PUTERA William dan isterinya, Kate Middleton teruja dengan kelahiran anak sulung mereka.


Namun, pemilihan nama George hanya mengambil masa dua hari berbanding nama William yang mengambil masa seminggu.

William dikatakan memilih nama George sebagai penghormatan kepada ayahanda Elizabeth II, George VI.

Raja George VI memerintah dari tahun 1936 hingga 1952.

Pelbagai bentuk cenderamata turut dijual di kedai-kedai di Britain bagi meraikan kelahiran anggota baharu keluarga diraja itu.

Kate yang memakai gelaran Duchess of Cambridge itu turut dipuji kerana beliau sanggup mempamerkan anakandanya di depan jurugambar selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Pertunjukan cahaya di beberapa lokasi di London juga diadakan bagi meraikan kelahiran bakal Raja Britain itu.

Jualan syarikat pakaian yang dipakai Kate semasa beliau pergi ke rumah ibu bapanya di West Berkshire, England pada Rabu lalu juga meningkat sebanyak 40 peratus.

Pakaian jenama Séraphine itu berharga £50 (RM246.73).

Tembakan meriam sebanyak 21 das juga kedengaran di Parliament Hill bagi meraikan berita kehadiran anggota baharu keluarga diraja Britain itu.

Dalam pada itu, seorang ahli nujum India meramalkan bahawa anakanda William itu akan menceburi dunia politik pada tahun 2044 dan bertanding pada pilihan raya.

Menyentuh tentang sambutan hebat penduduk Britain yang meraikan kelahiran George, pakar sejarah, Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam memberitahu, beliau juga berasa teruja dengan kelahiran anak sulung William dan Kate itu.

"Liputan medianya cukup meluas bukan sahaja di negara itu tetapi seluruh dunia.

"Apa sahaja cerita mengenai institusi beraja Britain mendapat liputan meluas termasuk soal perkahwinan, pertunangan malah semasa mereka melancong beberapa tempat di seluruh dunia," katanya kepada Jurnal.

Ramlah memberitahu, rakyat negara ini juga seharusnya bangga serta menghormati institusi beraja di negara ini yang telah berusia beratus-ratus tahun.

"Jangan sesekali cemarkan institusi beraja yang menjadi payung kepada rakyat negara ini sejak sekian lama.

"Kita harus berbangga kerana dahulu empayar Melayu Melaka mempunyai sultan-sultan yang berwibawa sehingga terkenal di seluruh dunia," katanya.

Tambah Ramlah, budaya mencintai raja dan sultan negara ini termasuk pemimpin perlu disemai sejak awal terutamanya kepada generasi muda dan kanak-kanak.

"Ia boleh direalisasikan terutama pengenalan subjek khusus mengenai raja dan sultan negara ini di sekolah dan universiti," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved