Rabu, 10 Julai 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Posted:

Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

DUA sahabat, Asisten Superintendan Mohd. Hafiz Shamsudin dan Asisten Superintendan Raiz Mukhliz Azman yang bertugas di Bukit Aman, Kuala Lumpur tidak memandang ringan cabaran mendaki Gunung Kala Patthar di Nepal.

Kedua-dua mereka yang berusia 38 tahun telah membuat persediaan rapi membabitkan mental serta fizikal termasuk membaca pelbagai risalah dan maklumat berkaitan kawasan pergunungan itu.

Ini kerana perjalanan tersebut memakan masa selama 16 hari sebelum boleh menakluki gunung yang terletak berdekatan puncak tertinggi dunia itu iaitu Gunung Everest.

Bagi Raiz Mukhliz, mendaki Gunung Kala Patthar memerlukan ketahanan stamina, justeru dia melakukan latihan dengan berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) setiap hari.

Setelah yakin dengan kemampuan diri dan persiapan telah lengkap, mereka akhirnya memilih untuk mendaki gunung tersebut pada Januari lalu kerana pada waktu itu musim sejuk sedang menyelubungi seluruh Banjaran Himalaya.

Perancangan mendaki ketika musim sejuk itu merupakan salah satu cara untuk mencabar ketahanan diri mereka yang sebelum ini sudah menawan banyak kawasan pergunungan di tanah air seperti Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu.

"Sepanjang pendakian selama lapan hari ke puncak dan enam hari turun, kami tidak menggunakan penunjuk arah dan pengangkut barangan. Peta merupakan komponen penting yang dibawa sepanjang pendakian bagi memandu arah kami," ujar Mohd. Hafiz.

Menurutnya, kebanyakan pendaki dari Asia menggunakan khidmat penunjuk arah dan pengangkut barang untuk ke Everest Base Camp atau Kala Patthar. Namun, ada antara mereka yang terpaksa berpatah balik kerana mengalami serangan penyakit akut ketinggian (AMS).

Paling bahaya

Puncak Kala Patthar merupakan salah satu kawasan terbaik untuk melihat keindahan panorama Gunung Everest dengan jelas sekali gus menjadi tumpuan jurugambar.

Penerbangan selama lima jam dari Kuala Lumpur ke Kathmandu pada 17 Januari lalu merupakan perjalanan yang mengujakan mereka. Tiba di ibu kota negara Nepal itu, penerbangan diteruskan ke Lapangan Terbang Lukhla yang mengambil masa selama 45 minit.


LATAR belakang Glasier Khumbu di kawasan Everest Base Camp pada hari kelapan ekspedisi pendakian.


Bagi pendaki yang ingin ke Gunung Everest dan Gunung Kala Patthar, Lapangan Terbang Lukhla merupakan antara cabaran awal yang perlu dilalui.

Menurut Mohd. Hafiz, lapangan terbang itu merupakan lapangan terbang paling bahaya di dunia.

"Jarak landasan kapal terbang itu amat pendek, curam dan berdekatan kawasan berbukit namun ia tidak memberikan masalah kepada juruterbang," jelasnya.

Setibanya di Lukhla, mereka ke terus berjalan kaki mengikut trek bersalji melalui laluan pendaki ke Phakding. Suhu sejuk yang mencecah 3 darjah Celcius menjadi peneman setia sepanjang perjalanan mereka.

Di Phakding, pemandangan kawasan pergunungan membuatkan mereka kembali mengimbau kenangan mendaki Gunung Kinabalu. Dengan pendakian tanpa penunjuk arah daripada penduduk tempatan, perjalanan mereka ternyata lebih santai walaupun ada misi yang perlu diselesaikan. Mereka boleh singgah untuk bermalam dan berehat di mana sahaja dengan harga yang murah.

Dengan bajet kurang daripada RM5,000, pendakian secara sendirian adalah pilihan yang terbaik untuk mendaki kawasan pergunungan itu. Ia meliputi tiket penerbangan, kelengkapan pendakian dan penginapan.

Ketika di tanah air, Mohd. Hafiz telah bersiap sedia membawa sehelai Jalur Gemilang. Dalam keghairahannya, dia tertinggal bendera itu dan cuma menyedarinya apabila tiba di bumi Nepal.

Bagi mengekalkan semangat patriotisme, Raiz Mukhliz melukis bendera Malaysia pada kertas untuk diletakkan di salah sebuah restoran di sana.

Antara kawasan yang menjadi laluan dan persinggahan semasa pendakian dari Phakding ke Kala Patthar ialah Namche Bazaar, Tengboche, Dingboche, Lobuche dan Gorak Shep kemudian melalui Everest Base Camp sebelum sampai ke puncak Kala Patthar.

Menurut Raiz Mukhliz, setibanya di Namche Bazaar dari Phakding yang mengambil masa selama tujuh jam itu, mereka memasuki Taman Negara Sagarmatha untuk membayar permit mendaki pergunungan itu.

Ketika di kawasan tersebut, mereka perlu memakai pakaian yang lebih tebal kerana salji tebal dan suhu mencecah -2 darjah Celcius.

"Namche Bazaar ialah kawasan persinggahan utama para pendaki ke Everest Base Camp. Di sana, pendaki boleh mendapat bekalan makanan dan tempat tinggal sebelum meneruskan perjalanan," jelas Mohd. Hafiz ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Paling mencabar

Ceritanya lagi, di setiap persinggahan, dia dan sahabatnya itu meringankan beg dengan cara menyimpan makanan yang dibawa dari Malaysia di hotel-hotel dan mengambil kembali bekalan itu sewaktu pulang.

MOHD. Hafiz (kiri) dan Raiz sempat bergambar kenangan di Kuil Swayambunath, Kathmandu, sebelum pulang ke tanah air.


Pendakian mereka turut menemukan dengan lembu bertanduk panjang serta berbulu tebal yang jarang ditemui di kawasan lain iaitu yak.

Ketika ditanya cabaran yang paling getir dihadapi oleh mereka, Mohd. Hafiz memberitahu, pendakian dari Phakding ke Namche Bazaar paling menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.

"Laluan sepanjang 3,500 meter dari Phakding ke Namche Bazaar bukanlah kawasan tertinggi sepanjang pendakian kami. Namun, laluan yang seolah-olah menegak itu ternyata menyukarkan kami untuk meneruskan perjalanan," ujarnya.

Menurutnya lagi, mereka juga berselisih dengan pendaki dari Belanda, Jepun serta Korea Selatan bersama dengan penunjuk arah dan pengangkut barang yang sudah berjaya menamatkan pendakian mereka.

Dua sahabat itu juga berjumpa dengan seorang pendaki berumur dalam lingkungan 20-an yang berpatah balik kerana diserang AMS. Namun, situasi itu tidak melemahkan semangat mereka untuk meneruskan pendakian.

Sepanjang pendakian ke Everest Base Camp dan Kala Patthar, terdapat dua tempat yang harus dijadikan persinggahan pendaki bertujuan mengelakkan serangan AMS.

"Namche Bazaar dan Dingboche merupakan kawasan persinggahan untuk para pendaki menyesuaikan perubahan tekanan. Sekiranya pendaki terkena serangan AMS, mereka akan mengalami pening kepala yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian," jelas Raiz Mukhliz.

Keghairahan mereka tersentap apabila melihat banyak gambar bersaiz besar ditampal pada batu peringatan yang menunjukkan pendaki yang hilang ketika mendaki Gunung Everest.

"Ketika berada di Laboche ke Gorak Shep, kami melihat dan menjerit ke arah seorang pendaki solo dari China yang tersasar dari trek untuk ke Kala Patthar. Nasibnya baik kerana kami sempat memanggilnya. Jika tidak, gambarnya pasti terpapar pada batu-batu peringatan itu," jelas Mohd. Hafiz.

Pada pukul 10 pagi, 26 Januari lalu, mereka akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kala Patthar. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mengambil gambar dan berehat sebelum kembali meneruskan perjalanan menuruni gunung tersebut.

"Bagi pendaki yang ingin mendaki Kala Patthar tanpa penunjuk arah dan pengangkut barang, pastikan anda membuat persediaan yang rapi terutama mental dan fizikal. Banyakkan membaca dan membuat kajian mengenai perjalanan yang harus ditempuhi," ujar Mohd. Hafiz.

Iftar amal bersama Aman Palestin

Posted:

Iftar amal bersama Aman Palestin

Iftar amal bersama Aman Palestin


ANAK-ANAK yatim turut diraikan pada Majlis Iftar Amal di Hotel Grand Blue Wave.


BERSEMPENA dengan bulan Ramadan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) yang berperanan memberi pertolongan dan sokongan kepada rakyat Palestin mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia dalam Majlis Iftar Amal.

Majlis tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu umat Islam di bumi para syuhada itu. Ia diadakan di dua lokasi berbeza iaitu Hotel Residence, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi dan Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, Selangor.

Bagi majlis iftar di Hotel Residence, ia dianjurkan oleh Aman Palestin dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Majlis berbuka itu diadakan pada 20 Julai ini bagi mengisi tabung membaik pulih masjid yang menjadi kebanggaan umat Islam di bumi Palestin iaitu Masjid Al-Aqsa.

Sementara itu, majlis iftar kedua di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam pula berlangsung pada 3 Ogos bertujuan mengumpul dana untuk tabung wanita dan kanak-kanak di negara tersebut.


RAKYAT Malaysia berpeluang membantu kanak-kanak dan wanita Palestin melalui penyertaan dalam Majlis Iftar Amal anjuran Aman Palestin.


Pihak Aman Palestin turut mengadakan tayangan multimedia, pidato dan bacaan ayat al-Quran sebagai acara selingan sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Bagi iftar di Hotel Residence, majlis itu akan disertai sekurang-kurangnya 500 penyumbang dari sekitar Kajang dan Bangi. Bagi iftar di Hotel Grand Blue Wave pula, seramai 30 orang anak-anak yatim dari Lembah Klang akan turut serta.

Selain untuk mengumpul dana, Majlis Iftar Amal itu mahu mengajak umat Islam di Malaysia menghayati erti ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Aman Palestin amat berharap dengan majlis iftar itu, rakyat Malaysia dapat menghayati perjuangan umat Islam Palestin mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Imam muda dari Gaza yang menyertai majlis itu akan mengimamkan solat sunat tarawih. Mereka terdiri daripada Khaled Abu Aathraah, Waleed Mustofa, Abed Barzaq dan Islam Diab Qanitoh.

Bukit Tabur pilihan pendaki

Posted:

Bukit Tabur pilihan pendaki

Bukit Tabur pilihan pendaki

Oleh MUHAMMAD AFIQ MOHD. ASRI


SAAT dapat menawan Bukit Tabur pasti memberi kepuasan.


BILA berbicara mengenai kerja, ramai yang mengakui penat dan tertekan selepas seminggu bertugas di pejabat atau tempat kerja. Sesekali apa kata kita merapatkan hubungan dengan alam semula jadi untuk merehatkan minda. Aktiviti mendaki antara rekreasi mesra alam yang memberi kepuasan diri.

Penulis baru-baru ini berpeluang mendaki Bukit Tabur bersama empat rakan dalam ekspedisi yang dijalankan selama sehari bagi melihat panorama indah bukit itu.

Ia menawarkan terapi minda bagi warga kota yang sudah lumrah dengan kehidupan penuh tekanan.

Bukit Tabur yang terletak di Taman Melawati, Gombak, Selangor juga dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Bukit Hangus dengan ketinggian 396 meter.

Bukit yang membentuk permatang kuarza sepanjang kira-kira 14 kilometer itu berada dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan Satu. Ia boleh dilihat dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2 (MRR2).

Bagi laluan pendakian untuk ke sana anda boleh melalui Kampung Klang Gates yang terletak 50 meter dari pintu pagar Empangan Klang Gates iaitu di belakang kawasan perumahan Taman Melawati.

Menurut satu sumber, Empangan Klang Gates yang merentangi Sungai Klang adalah kawasan tadahan air utama untuk Kuala Lumpur. Ia juga empangan yang tertua di Malaysia.

Empangan itu dibuka pada tahun 1958 sebagai satu daripada Projek Nasional Malaysia. Selain empangan, di sana juga terdapat taman rekreasi yang berupa kolam-kolam air serta air terjun di sepanjang anak sungai yang terhasil daripada limpahan air empangan.


EMPANGAN Klang Gates merupakan kawasan tadahan air yang boleh ditemui pendaki.


Pemandangan

Bagi peminat aktiviti berkhemah dan merentas hutan pastinya, Bukit Tabur menjanjikan kepuasan. Sebelum pengunjung sampai ke puncak bukit, mereka akan melalui beberapa penanda aras yang ditandakan pada batu iaitu dari Checkpoint 1 hingga Checkpoint 12.

Di Checkpoint 3, pengunjung dapat melihat Empangan Klang Gates yang terbentang luas seakan-akan laut yang dilitupi banjaran gunung.

Seorang pendaki profesional yang mahu dikenali sebagai Alam, 27, memberitahu, pendakian ke puncak bukit itu mengambil masa selama satu jam setengah.

"Pengunjung bakal diuji oleh laluan yang berbukit-bukau, laluan sempit, tebing curam serta licin selain memanjat batu yang berbahaya. Bagaimanapun, segala kesukaran dan keletihan akan hilang apabila pengunjung tiba di puncak bukit yang menjanjikan pemandangan menarik serta suasana nyaman," katanya.

Menurut Alam, dari puncak bukit pengunjung boleh menikmati pemandangan yang mengujakan iaitu seluruh ibu kota Kuala Lumpur.

Mendaki adalah salah satu aktiviti lasak yang cukup popular di dunia, namun faktor keselamatan harus diutamakan. Berdasarkan pemerhatian penulis ketika mendaki Bukit Tabur, aliran denai dakian yang ditetapkan begitu sempit.

Untuk sampai ke puncak, pengunjung akan melalui tebing curam yang tinggi serta permukaan bukit yang terdiri daripada batuan keras.

Kepada pengunjung yang ingin mendaki Bukit Tabur anda disarankan bergerak secara berkumpulan. Sebaik-baiknya sebelum mendaki laporkan diri ke balai polis yang berdekatan.

Pengunjung juga tidak digalakkan mendaki ketika hujan kerana laluan agak licin.

Penjawat awam, Mazizul Akmal Abdullah, 27, menjadikan aktiviti mendaki sebagai rutin wajib hujung minggunya.

"Mendaki adalah hobi saya, jika ada kelapangan saya akan ke sini dan Bukit Tabur adalah tempat ekstrem yang penuh dengan cabaran.

"Lagipun aktiviti ini sinonim dilakukan di kawasan berbukit-bukau dan gunung-ganang yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal," katanya. – Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved