Isnin, 17 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sejadah istimewa dari Isparta

Posted:

Sejadah istimewa dari Isparta

Sejadah istimewa dari Isparta

SEBAGAI seorang Islam, sudah menjadi kewajiban kepada Hartini Zubir, 35, untuk menunaikan solat sepenuh hati.

Istiqamahnya untuk menunaikan Rukun Islam kedua itu semakin membara sejak menggunakan sejadah wangi tahun lalu.

"Bukan saya tidak bersungguh-sungguh menunaikan solat sebelum ini, cuma sejadah itu menyebabkan saya berasa lebih tenang terutama ketika sujud kerana harumannya," luah pekerja swasta itu.

Sejadah wangi memasuki pasaran Malaysia sejak pertengahan Julai tahun lalu. Begitupun, tidak ramai yang menyedari kemunculan produk terbaharu itu kerana ia diimport secara kecil-kecilan dari Isparta, Turki.

Bagaimanapun, ia mula mendapat tempat dalam kalangan umat Islam di Malaysia sejak awal tahun ini. Selain digunakan sendiri, sejadah wangi juga sesuai dijadikan hantaran, hadiah untuk jemaah di masjid dan surau.

Menurut Hartini, penggunaan sejadah itu turut mendorongnya untuk solat dengan lebih khusyuk.

"Malah, saya dapat sujud dengan lebih lama berbanding sebelum ini sekurang-kurangnya lima minit," ceritanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Aman Hasbullah, 20, mula menggunakan sejadah wangi sejak awal bulan Februari lalu.

Anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu berkata, dia mula menyedari kehadiran sejadah wangi selepas terlihat jualannya di internet.

"Lagipun, saya belum pernah melihat ia dijual di kedai-kedai permaidani. Sehubungan itu, saya membuat tempahan sehelai sejadah untuk menikmati haruman sejadah tersebut," katanya.

Akui penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu, kali pertama menggunakan sejadah tersebut, ia ternyata memberi ketenangan ketika solat.

"Apa yang pasti, ia meningkatkan rasa khusyuk ketika solat berbanding menggunakan sejadah biasa. Malah, saya turut membawanya jika menunaikan solat di masjid kerana ia ringan dan mudah dilipat," ujarnya.

Bertitik tolak dari situ, Muhammad Aman telah menukarkan trend pemberian hadiah berbentuk sejadah wangi.

Dia yang kini mempunyai empat helai sejadah yang berharga antara RM60 hingga RM100 itu berkata, kesukaran mencari hadiah yang unik membuatkan dia mengambil keputusan memberi sejadah wangi kepada ibu bapa, rakan dan adik-beradik sempena ulang tahun kelahiran mereka.

"Selain wangi, ia memberi seribu makna kerana dapat diabadikan buat selama-lamanya," ujarnya sambil memberitahu rakan-rakan yang menerima sejadah wangi itu turut mengakui belum pernah melihat produk itu.


GALERI Sejadah Wangi SAS terletak di Kota Damansara, Kuala Lumpur.


Nafas baharu

Ternyata, ia turut memberi nafas baharu kepada pengusaha perniagaan sejadah tersebut. Bagi Marhaini Yusoff, 43, dia juga tidak menyedari kehadiran sejadah tersebut sehinggalah salah seorang rakannya mencadangkan supaya dia membuka perniagaan sejadah wangi itu.

Anak jati Kota Bahru, Kelantan itu memberitahu, dia mula mengenali sejadah tersebut selepas rakannya, Shahrina Ahmad Sharkawi, 42, melancong ke Turki tahun lalu.

Hasil kunjungan Shahrina di butik-butik yang menjual barangan ibadah mendapati, rakyat di negara itu lebih gemar menjual sejadah wangi berbanding sejadah biasa.

Melihat ia sesuatu yang baharu, Shahrina menyarankan Marhaini supaya menjual sejadah tersebut di Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai perniagaannya itu, pemilik Galeri Sejadah Wangi SAS itu memberitahu, beliau mengambil keputusan membuka perniagaan sejadah wangi pada awal Januari lalu.

Dia mendapatkan produk itu terus daripada Shahrina memandangkan rakannya itu sering berulang-alik ke Turki.

Sambil mengeluarkan pelbagai warna dan corak sejadah itu daripada plastik, Marhaini berkata, sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

Sejadah tersebut diimport dari Isparta, Turki. Isparta, merupakan sebuah bandar yang terletak di barat daya Turki yang mengeluarkan hampir 1.5 juta tan metrik bunga ros setiap tahun.

Bandar Isparta yang terletak di ketinggian 1,035 meter dari paras laut menyebabkan pokok bunga mawar hidup subur di bandar berkenaan.

Lebih 120 tahun yang lalu, Isparta telah menjadi pusat pengeluaran minyak bunga mawar dalam industri kosmetik dan minyak wangi.

Isparta juga mengeluarkan pelbagai produk kosmetik berasaskan bunga mawar seperti losen, syampu, jem, sejadah wangi dan tasbih wangi. Selain itu, terdapat juga aiskrim, minuman, minyak wangi, kosmetik dan banyak lagi.

Menurut Marhani, bau wangi pada sejadah boleh bertahan sekurang-kurangnya selama sebulan bergantung kepada kekerapan penggunaannya. Bau wangi pada sejadah yang terbebas ke udara menyebabkan baunya hilang sedikit demi sedikit.

Justeru, ia masih boleh tahan lebih lama dari itu jika ia disimpan dengan baik dan dibungkus di dalam plastik selepas menggunakannya.

Malah, terdapat minyak wangi khas yang boleh disembur. Pati wangian itu diperbuat daripada ekstrak bunga mawar dan boleh didapati dari RM7 hingga RM10.

Syarikat korporat

Berapakah harga sejadah wangi ini? Sejadah wangi itu dijual pada harga antara RM60 hingga RM250.

Harganya bergantung kepada jenis kain, corak dan sulaman sejadah itu.

Melihat kepada tawaran harga itu, ia sebenarnya berbaloi kerana ia sukar didapati di Malaysia.

Menurut Marhaini, selain kegunaan sendiri, sejadah tersebut sesuai dijadikan hadiah.

"Ia amat sesuai untuk dijadikan hantaran perkahwinan selain pemberian hadiah kepada orang-orang tersayang," katanya yang banyak menerima tempahan daripada syarikat-syarikat korporat.

ANTARA corak sejadah wangi yang dijual di Galeri Sejadah Wangi SAS.


Sebagai satu-satunya pembekal sejadah wangi dari Malaysia, Shahrina mendapatkan produk tersebut terus dari kilangnya di Isparta, Turki.

Ditanya mengenai pembuatan sejadah tersebut, lantas dia berkata: "Itu rahsia mereka. Setahu saya, ia bukan direndam atau direnjis dengan minyak wangi kerana Isparta merupakan kota bunga mawar.

"Saya telah melawat kilangnya sendiri dan mendapati satu liter pati minyak wangi dibuat daripada empat tan metrik kelopak bunga mawar segar," katanya.

Bekas graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mula membabitkan dirinya dalam bidang penjualan sejadah wangi di Malaysia selepas mengunjungi Isparta tahun lalu.

Semuanya bermula apabila dia mengikuti sekumpulan penyelidik yang membuat kajian tentang Bediuzzaman Said Nursi pada bulan Mei tahun lalu di Isparta.

Habis dijual

Bediuzzaman merupakan salah seorang ulama yang bertungkus-lumus berjuang menyedarkan rakyat Turki agar menolak fahaman sekular di Turki. Beliau lahir pada tahun 1878 iaitu era pemerintahan Khalifah Abdul Hamid II (1876 - 1909).

Ketika berada di Turki, Shahrina membeli sejadah tersebut sekitar 30 helai dan membawa pulang ke Malaysia lalu membuat promosi menerusi laman sosial Facebook.

"Saya tidak sangka kerana kesemua sejadah itu habis dijual dalam tempoh dua hari sahaja selepas ia diuar-uarkan," cerita anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu.

Ibu kepada tujuh anak itu membeli 200 helai lagi kerana ramai rakan-rakan menempah sejadah yang sama.

Lebih mengujakan Shahrina, permintaan terhadap sejadah wangi itu semakin memberangsangkan.

Justeru, dia yang sering kali berulang-alik ke Turki atas urusan kerja membuat keputusan menjadi pembekal dengan membuat tempahan sehingga 5,000 helai sejadah.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di kedai-kedai permaidani sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mendapati, tiada pengusaha menjual sejadah wangi.

Seorang pengusaha kedai permaidani yang hanya mahu dikenali sebagai Kader memberitahu, harga sejadah wangi yang tinggi menyebabkan dia enggan menjual kerana khuatir mengalami kerugian.

"Jika dibandingkan dengan sejadah biasa yang dijual pada harga yang mahal, pelanggan tidak menunjukkan minat. Mereka lebih gemar membeli sejadah yang nipis kerana harganya lebih murah," katanya.

Perjuangan ibu mangsa rogol

Posted:

Perjuangan ibu mangsa rogol

Perjuangan ibu mangsa rogol


HUI tidak akan sesekali berputus asa untuk memperjuangkan keadilan untuk anaknya.


PENCULIKAN, perkosaan dan paksaan melacur yang dihadapi anak perempuan Tang Hui mendorong ibu itu merangka misi untuk meraih keadilan. Namun perjuangan murninya seringkali dipatahkan pihak berkuasa China, malah tanpa rasa bersalah menahan wanita yang dilabel sebagai aktivis ekstrem itu

Selama tujuh tahun Hui menentang kumpulan lelaki yang menganiayai anak gadisnya tetapi sistem undang-undang China seolah-olah tidak berpihak kepadanya.

"Saya hilang kepercayaan terhadap sistem undang-undang di negara ini, namun saya tetap bersabar," ujar Hui dalam satu temu bual di Changsha yang merupakan pusat bandar bagi wilayah Hunan.

Wanita itu mendesak hukuman setimpal dilaksanakan ke atas tujuh lelaki yang memaksa anak perempuannya pada tahun 2006 yang berusia 11 tahun ketika itu menjadi pekerja seks.

Hui turut memfailkan dakwaan ke atas sekumpulan anggota polis yang memperkosa anaknya. Bagaimanapun kedua-dua laporan itu dipalsukan bagi melindungi anggota polis yang terlibat.

Berdasarkan laporan tersebut, mereka yang didakwa cuba menggoda anak gadis Hui di sebuah gelanggang luncur ais yang terletak di Yongzhou. Kumpulan lelaki itu menarik perhatian gadis itu menerusi aksi meluncur ais yang hebat sebelum menangkap mangsa.

Tiga bulan kemudian, Hui menemui anaknya di sebuah rumah pelacuran dan memberitahu bahawa pegawai polis yang mengendalikan kes itu enggan campur tangan.

Singkap Hui: "Dia (pegawai polis) tidak mahu masuk ke rumah pelacuran itu dan hanya menunggu di tepi jalan. Kemudian pegawai polis itu masuk ke dalam kereta dan berlalu pergi."

Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang lain telah menyelamatkan mangsa.

Namun, ia hanyalah permulaan kecil kepada perjuangan Hui. Sepanjang proses menuntut keadilan, Hui dipukul dan ditahan atas tuduhan palsu.

Trauma

Anak perempuan Hui kini trauma dan dijangkiti penyakit herpes. Setiap malam tidur remaja itu dibayangi mimpi ngeri dan cuba mengelak daripada berjumpa mana-mana lelaki. Sebagai langkah berjaga-jaga, dia kerap terpaksa berpindah sekolah.

Hui yang masih tinggal di Hunan meneruskan usaha keadilan ke atas anaknya. Perjuangan Hui dibiayai keluarga dan rakan-rakannya serta pendapatan tidak seberapa suaminya daripada kerja-kerja sambilan.

Hui mengikuti setiap perbicaraan ke atas suspek itu dengan penuh sabar. Selepas setahun baru kes itu dibuka untuk siasatan, namun proses mahkamah mengambil masa selama empat tahun. Proses yang perlahan itu menimbulkan keraguan masyarakat memandangkan China sangat dikenali dengan sistem perundangan yang ketat.


HUI sanggup menunggu berjam-jam lamanya di luar mahkamah bagi memastikan mereka yang bersalah dihukum. - Gambar hiasan


Kecewa dengan cara pihak berkuasa mengendalikan kes itu, Hui melakukan desakan ekstrem ke atas pemerintah China yang mencetuskan kemarahan orang awam.

Dia kemudiannya mengedar risalah-risalah tentang kisah anak dan perjuangan keadilannya. Dua kali Hui menunggu berjam-jam lamanya di luar mahkamah tinggi Changsha dan puluhan kali wanita itu merentasi Changsha untuk ke Beijing bagi merayu pihak berkuasa tertinggi.

Sementara itu, pegawai-pegawai yang bertugas dalam unit pencegahan protes pula mula memantau pergerakan Hui. Ujarnya: "Setiap kali saya ke Beijing mereka menghantar saya pulang."

Pernah suatu ketika, Hui ditahan di Changsha dan dipukul teruk sehingga dia dimasukkan ke hospital selama seminggu.

Berkat kesabaran Hui, pada bulan Jun 2012, dua lelaki yang terlibat menganiaya anak gadisnya dijatuhkan hukuman mati, empat lagi dipenjara seumur hidup manakala seorang lagi menerima hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Dihukum

Hui tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Dia terus mendesak keadilan atas jenayah rogol yang dilakukan beberapa anggota polis terhadap anaknya. Bagaimanapun, tindakannya itu membuatkan Hui dicampak ke kem buruh paksa selama 18 bulan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Hui dihukum atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam dan cuba mencetuskan impak negatif kepada masyarakat.

Sebuah majalah di China mendedahkan, kem yang terletak di pinggir Changsha itu beroperasi seperti penjara. Ramai pejuang keadilan seperti Hui menerima nasib pilu sepanjang berada dalam tahanan. Ia melibatkan penderaan menerusi renjatan elektrik dan pesalah dirantai dalam posisi yang menyakitkan.

Hui menceritakan bahawa dia tidak dibenarkan berkomunikasi dengan pesalah lain bagi mengelakkan perkongsian jenis penderaan yang dialami.

Berita tentang penahanan Hui disiarkan di internet dan mencetuskan skandal hangat. Orang awam berpendapat pihak pemerintah sewajarnya melindungi rakyat dan menyifatkan hukuman ke atas Hui sebagai tidak adil. Selepas seminggu, Hui dibebaskan.

Dia memfailkan tuntutan mahkamah atas hukuman yang diterimanya namun ditolak. Katanya: "Orang biasa macam saya tidak akan mendapat keputusan rayuan walaupun beribu rayuan dikemukakan." - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved