Ahad, 16 Jun 2013

Kosmo Online - Kesihatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Penyakit aras 2,400 meter

Posted:

Penyakit aras 2,400 meter

Penyakit aras 2,400 meter

Oleh SYALMIZI HAMID

AMS merupakan masalah paling utama yang menghantui pendaki pada ketinggian 2,400 meter dari aras laut.


SELAIN udara dingin dan dikelilingi suasana putih bersalji, penyakit akut ketinggian (AMS) turut menunggu ramai pendaki gunung. Penyakit itu sering menyerang para pendaki dengan menampilkan simptom-simptom seperti sakit kepala, loya dan tidak bermaya.

Namun, penyalit itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pendaki kerana ia boleh menyebabkan kematian.

Baru-baru ini, seorang penolong jurutera di Perbadanan Putrajaya, Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, yang merupakan salah seorang daripada 14 pendaki Ekspedisi Mendaki Gunung Kala Patthar dan Kem Pusat Everest, Perbadanan Putrajaya menjadi korban akibat penyakit AMS di Banjaran Himalaya di Nepal.

Pada awalnya, dia dilaporkan sihat dengan tidak mendapat sebarang simptom AMS pada ketinggian 2,000m.

Bagaimanapun, dia mula mengalami tanda-tanda tidak sihat ketika melangkah ke aras 2,600m.

Situasi menjadi semakin buruk apabila dia menunjukkan perubahan drastik termasuk sesak nafas yang teruk ketika tiba di Labouche yang terletak setinggi 4,930m.

Kem Pusat Everest terletak pada ketinggian 5,364m yang menjadi tumpuan pendaki ke puncak Gunung Everest yang setinggi 8,848m.

Editor laman web perubatan WebMD, Dr. Steve Doirr mendedahkan bahawa masalah tersebut berlaku akibat tekanan oksigen yang terlalu rendah pada ketinggian yang melebihi 2,400m.

"AMS disebabkan oleh jumlah oksigen yang semakin berkurangan. Pada kebiasaannya, ia menyerang para pendaki yang berasal dari kawasan aras laut. Mereka yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru perlu lebih berhati-hati (dengan penyakit itu)," katanya.

Menurut Doirr, penyakit tersebut sebenarnya dianggap serangan biasa yang dihadapi kebanyakan pendaki, namun ia tetap berbahaya.

"AMS sebenarnya perkara biasa, namun ia boleh bertukar menjadi lebih buruk. Cara anda mendaki juga penting kerana semakin pantas anda mendaki, semakin tinggi risikonya.

"Bagi mengelakkan meningkatnya risiko (terkena AMS), melangkahlah dengan perlahan dan relaks. Berikan ruang untuk berehat sehari dalam sela pendakian 600m apabila berada pada aras 2,400m dan ke atas.

"Jika kumpulan anda tidak boleh bergerak terlalu perlahan, pastikan cecair dalam badan mencukupi, elakkan minuman alkohol dan beri perhatian tentang pengambilan diet yang betul untuk memberi tenaga," kata pakar perubatan tersebut.

Bekas Timbalan Menteri Penerangan yang aktif melakukan pendakian Gunung Everest, Datuk Khalid Yunus dalam catatan pendakiannya di sebuah daripada 18 puncak gunung popular di Banjaran Himalaya pada tahun 2010 mendedahkan bahawa AMS merupakan serangan rutin yang dihadapi hampir semua pendaki yang melepasi aras tersebut.

"Kesan AMS mula dirasai sebaik sahaja tiba di Kem Utama Mera Peak yang berada pada paras 5,000m dari paras laut semasa mendaki bersama para pendaki Projek Everest 2011 sebagai persediaan mendaki Gunung Everest di Mera Peak.

"Kandungan oksigen dirasakan mula berkurangan dan cuaca silih berganti. Pada peringkat itu, bibir mula membeku dan retak manakala muka mula sembap dan terbakar. Selera makan makin berkurangan dan kepala mula pening. Lebih teruk lagi, hidung mula berdarah.

"Serangan AMS terhadap salah seorang peserta menjadi lebih teruk sehingga dia meracau dan membuat pelbagai isyarat tidak menentu apabila tiba di puncak Mera Peak pada ketinggian 6,476m," kata Khalid.

Selain rasa loya, sakit kepala dan tidak bermaya, simptom-simptom lain AMS ialah muntah, sesak nafas, hilang selera makan dan sukar tidur.

Ketika berkongsi tip untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku sekiranya mendapat serangan AMS, pendaki wanita termuda negara, Siti Hanisah Sharuddin menasihati para pendaki agar kembali semula ke kawasan yang lebih rendah jika mereka mendapat simptom tersebut.

"Saya pernah mengalami tanda-tanda itu sehingga tidak mampu bergerak dan kepala seakan hendak pecah.

"Cara terbaik untuk meredakannya adalah dengan turun semula ke paras yang lebih rendah sehingga badan kembali normal. Kemudian barulah boleh kembali meneruskan pendakian ke puncak seperti telah dirancang," kata gadis berusia 23 tahun itu.

Dalam pada itu, seorang pakar perubatan dari Universiti Tubingen, Jerman, Dr. Gabriel Willmann dalam kajiannya memberitahu, para pendaki tidak boleh lari daripada mendapat serangan AMS jika mendaki ke tempat yang tinggi.

"Dalam beberapa kes, edema serebral atau edema pulmonari juga berlaku. Kebocoran kapilari dikaitkan menjadi penyebab kepada AMS. Jika itu berlaku, ia boleh membawa maut," katanya seperti dipetik daripada jurnal Researcher Letter.

Minyak ikan dapat mengurangkan kesan makanan ringan

Posted:

Minyak ikan dapat mengurangkan kesan makanan ringan

Minyak ikan dapat mengurangkan kesan makanan ringan


MINYAK ikan memberi sumbangan secara tidak langsung ke arah mengurangkan berat badan .


MAKANAN ringan perlu dielakkan kerana ia mengandungi kalori yang tinggi dan menyebabkan berat badan berlebihan.

Jika sukar untuk mengatasi godaan makanan itu, ada baiknya anda mula melakukan rutin dengan mengambil minyak ikan sebagai makanan tambahan.

Seorang penyelidik dari Universiti Liverpool telah melakukan kajian terhadap sumbangan minyak ikan yang mengandungi asid omega-3 bagi mengurangkan kesan terhadap pengambilan makanan ringan.

Ketua Penyelidik dari Institut Penuaan dan Penyakit Kronik di Universiti Liverpool, Dr. Lucy Pickavance memberitahu, berat badan dipengaruhi oleh banyak faktor.

Menurutnya, salah satu faktor terpenting yang mempengaruhi pertambahan berat badan adalah kerana pengambilan makanan.

"Pengambilan makronutrien yang berlebihan, gula kilang dan lemak tepu yang terdapat dalam makanan ringan menyebabkan peningkatan berat badan, mengganggu kadar metabolisme selain memberi kesan ke atas otak.

"Perubahan itu dapat dilihat pada struktur otak, termasuk kemampuan untuk melakukan proses pembentukan sel saraf yang baharu. Ia menyebabkan obesiti dan mempunyai kaitan dengan kehilangan fungsi saraf," katanya.

Menurut Pickavance, minyak ikan kelihatan tidak menyebabkan penurunan berat badan secara langsung.

Bagaimanapun, katanya, minyak ikan mungkin menghalang kesan-kesan buruk yang berlaku di dalam otak akibat pengambilan diet yang mempunyai kandungan lemak tinggi. Menurutnya, pengambilan diet yang mempunyai minyak ikan atau makanan tambahan ikan merupakan langkah yang positif ke arah untuk memperbaiki tahap kesihatan.

Pengambilan ubat penahan sakit untuk jangka panjang jejaskan jantung

Posted:

Pengambilan ubat penahan sakit untuk jangka panjang jejaskan jantung

Pengambilan ubat penahan sakit untuk jangka panjang jejaskan jantung


PENGAMBILAN ubat dalam dos yang tinggi mempunyai risiko tersendiri.


PENGGUNAAN ubat penahan sakit dengan dos yang tinggi dalam tempoh jangka panjang boleh meningkatkan risiko serangan sakit jantung.

Ubat dalam kumpulan yang bukan steroid berdos tinggi diketahui akan meningkatkan risiko serangan jantung, strok atau kematian akibat sakit jantung.

Satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Lancet mendapati ubat tersebut memberi risiko yang tinggi ke atas para perokok dan pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan.

Menurut seorang penyelidik dari Universiti Oxford, Profesor Colin Baigent, pesakit yang mengambil ubat untuk jangka pendek tidak sepatutnya berasa bimbang dengan risiko itu.

Tekanan darah tinggi, kolesterol dan menghisap rokok akan meningkatkan risiko untuk menghadapi masalah sakit jantung.

Dalam kajian yang dilakukan itu, perangkaan menunjukkan bagi setiap 1,000 orang yang mengambil ubat tersebut, akan berlaku tiga serangan sakit jantung, empat kes kegagalan jantung dan satu kematian termasuk kes perut berdarah.

Justeru, bilangan serangan jantung akan meningkat dari lapan pesakit untuk setiap 1,000 orang kepada 11 pesakit bagi setiap 1,000 orang yang mengambil ubat tersebut pada setiap tahun.

Baigent berkata, jika seseorang itu mempunyai risiko sebanyak dua kali ganda untuk mendapat sakit jantung, dia juga mempunyai kebarangkalian yang sama untuk diserang sakit jantung.

Menurutnya, para pesakit perlu menimbangkan cara bagi mengurangkan risiko untuk diserang sakit jantung.

Kajian itu dibiayai Majlis Penyelidikan Perubatan dan Yayasan Jantung Britain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved