Selasa, 18 Jun 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Pesakit tidak menunggu lama di SDH Park City

Posted:

Pesakit tidak menunggu lama di SDH Park City

Pesakit tidak menunggu lama di SDH Park City

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

DI bahagian kecemasan Pusat Perubatan Sime Darby Park City (SDH Park City), jururawat bertugas pada syif berkenaan mengambil bacaan kesihatan pesakit seperti tekanan darah. Prosedur yang dilakukan oleh jururawat terbabit dikenali sebagai Triage.

Maklumat yang diterima dimasukkan ke dalam sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bersepadu. Melalui sistem tersebut, pegawai perubatan ataupun doktor bertugas boleh terus mendapatkan maklumat mengenai pesakit.

SDH Park City yang dibuka pada 12 Disember 2012 itu merupakan antara bangunan baharu masa kini yang berkonsepkan mesra alam.

Dikelilingi taman-taman perumahan seperti Bandar Menjalara, Desa Park City dan lain-lain ia sememangnya memiliki persekitaran alami.

Dibina di atas tanah yang terdiri daripada batu-batuan granit, ia sangat mahal untuk membina bangunan bawah tanah.

Maka, bangunan parkir dibina secara berasingan daripada bangunan pusat perubatan utama dengan jambatan penghubung disediakan pada aras satu.

Sebagai sebuah bangunan mesra alam, Pengarah Hospital SDH Park City, Ch'ng Lin Ling menjelskan, terdapat beberapa kriteria yang dipatuhi.

Antaranya, penggunaan sistem EMR iaitu salah satu bahagian daripada Sistem Pengurusan Maklumat Hospital (HMIS) bagi mengurangkan penggunaan kertas secara maksimum.

Rekaan bangunan pula mempunyai cermin besar dan panjang bagi membenarkan cahaya semula jadi dari luar masuk ke dalam bangunan.

Tahap kelembapan

Ia menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Binaan laman di ruang tengah bangunan pula memungkin udara beredar dengan lebih baik.

"Namun, pendingin hawa masih diperlukan bagi mengekalkan tahap kelembapan yang dikehendaki," terang Lin Ling ketika ditemui di SDH Park City.

HMIS merupakan sistem pengurusan hospital yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia mula digunakan ketika SDH Park City dibuka kepada orang ramai dan sistemnya mula stabil pada bulan Februari 2013.

Kesan paling ketara terhadap penggunaan sistem HMIS terletak pada pengurangan kertas. Hal itu diakui sendiri oleh Lin Ling yang sudah 15 tahun dalam bidang perubatan.

Selain itu, ia membaiki sistem komunikasi antara dua atau lebih pihak yang terlibat dan maklumat terkini didapati pada masa nyata.

Terang Lin Ling, sistem tersebut bermula sebaik sahaja pesakit melakukan janji temu sama ada menerusi talian telefon atau laman web hospital.


BANGUNAN SDH Park City terbahagi kepada dua iaitu untuk ruang pusat perubatan dan lot parkir.


Setiap pesakit akan diberi satu nombor unik sebagai rujukan untuk berurusan di SDH Park City. Jika nombor rujukan itu hilang atau terlupa, nombor kad pengenalan dan nama boleh digunakan untuk mengesan semula rekod pesakit.

Maklumat pesakit

Sistem yang mengurangkan masa menunggu dan beratur itu hanya memerlukan pesakit datang ke klinik, membuat pendaftaran dan berjumpa dengan doktor.

Melalui sistem itu, segala maklumat pesakit disimpan dalam satu sistem berpusat dan boleh diakses apabila diperlukan.

Pengurangan kaedah penyimpanan secara fizikal mampu mengurangkan kesilapan maklumat.

Ketika sesi konsultasi bersama doktor, ubat-ubatan yang dipreskripsi akan dimasukkan ke dalam sistem EMR dan maklumat tersebut dapat dibaca oleh pihak farmasi untuk tindakan penyediaan.

Selepas pembayaran dibuat di kaunter yang sama, pesakit boleh terus ke farmasi untuk mendapatkan ubat-ubatan.

"Ubat-ubatan hanya boleh dikeluarkan oleh farmasi. Jika terdapat sebarang masalah seperti maklumat tidak jelas, ahli farmasi boleh berhubung dengan doktor menerusi sistem EMR," ujar Lin Ling lagi.

Tahap keselamatan sistem EMR sangat tinggi kerana hanya mereka yang terlibat boleh melihat rekod pesakit berkenaan.

Sebagai contoh, jururawat yang bertugas pada waktu kedatangan pesakit berkenaan sahaja yang dibenarkan membuka rekod, manakala cuma doktor yang terlibat dengan masalah pesakit boleh membacanya.

Malah, Lin Ling sebagai Pengarah Hospital SDH Park City sendiri dilarang melihat rekod kesihatan pesakit secara sembarangan.

Setiap kakitangan mempunyai kata kunci bagi log keluar dan log masuk. Log itu pula hanya boleh digunakan sewaktu bertugas.

Jika seseorang pekerja itu tidak memasukkan kata kunci log keluar selepas tamat waktu bekerja, sistem berkenaan akan secara automatik terkunci selepas beberapa minit. Ini bagi menjamin kerahsiaan rekod pesakit.

Kata Lin Ling, sistem tersebut telah pun digunakan di negara-negara Asia Barat seperti Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu. Malah, katanya, sistem tersebut sudah dianggap maju serta stabil.


SISTEM HMIS dapat mengurangkan masa menunggu para pesakit.


Sistem pembayaran

Ia dikenali sebagai Health Insight. Bagaimanapun, untuk digunakan di Malaysia, sistem HMIS itu memerlukan pengubahsuaian.

Antara yang diubah ialah sistem kemasukan maklumat seperti nombor kad pengenalan untuk pendaftaran dan cara pembayaran.

Menurutnya, sistem pembayaran merupakan perkara paling kritikal untuk diubah kerana terdapat pelbagai cara membayar bil kesihatan di Malaysia.

"Setiap syarikat insurans mempunyai sistem yang berbeza. Ada juga majikan yang mengeluarkan surat jaminan, malah ada yang membayar sendiri," cerita Lin Ling.

Jika terdapat kes yang memerlukan ia dirujuk ke hospital kerajaan, semua rekod pesakit akan dicetak, manakala rekod X-Ray disimpan dalam cakera padat.

SDH Park City telah menerima anugerah kecemerlangan dalam pelaksanaan HMIS untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan Frost & Sullivan 2013.

"Penilaian tersebut dibuat selama sembilan bulan dari peringkat perancangan sehingga pelaksanaannya," ungkapnya.

Sistem tersebut bakal dilaksanakan di dua lagi pusat perubatan Sime Darby iaitu di Subang Jaya dan Ara Damansara, Petaling Jaya.

Sekarang, terdapat dua buah pelayan untuk sistem tersebut yang beroperasi di tingkat dua dan tiga. Jika, pelayan di tingkat dua mengalami kegagalan operasi, aras satu lagi akan menjadi sokongan.

Apabila ketiga-tiga pusat perubatan sudah menggunakan sistem HMIS, sebuah pelayan di luar premis pusat perubatan akan digunakan. Ia dijangka beroperasi pada tahun 2014.

Selain itu, sistem tersebut bakal direka untuk dijadikan aplikasi mobil yang menggunakan sistem operasi Android bagi membolehkan ia diakses menggunakan tablet sekitar bulan Ogos 2013.

Buat masa ini, ia sedang diuji menggunakan gajet jenama Samsung.

Bagi memastikan ia lebih mantap, sebanyak dua talian WiFi disediakan khas untuk kegunaan kakitangan pusat perubatan itu yang mempunyai tahap keselamatan dan kata kunci.

Ia juga membolehkan pengunjung dan pesakit melakukan akses dengan lebih mudah.

Pokok karas melestarikan alam

Posted:

Pokok karas melestarikan alam

Pokok karas melestarikan alam

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM


USAHA Tesco kali ini mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Record sebagai percubaan terbanyak menanam pokok karas di negara ini.


DALAM mengejar arus pemodenan pembangunan dan teknologi yang semakin berkembang, ungkapan pemuliharaan alam tidak seharusnya dipinggirkan.

Menyedari kepentingan alam semula jadi, Tesco Stores Malaysia Sdn. Bhd. (Tesco) telah mengambil inisiatif menanam 1,500 batang anak benih pokok karas di Hutan Simpan Jengai di Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Lebih membanggakan, usaha Tesco menanam 1,500 anak benih pokok karas di kawasan seluas 1.3 kilometer persegi di hutan simpan berkenaan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Usaha itu merupakan percubaan terbanyak menanam pokok karas di negara ini yang mendapat kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Kayan Malaysia (MTIB) dan Kumpulan Pengurusan Katu Kayan Terengganu Sdn. Bhd. (KPKKT).

Pengarah Korporat dan Kerajaan Tesco Malaysia, Azlam Shah Alias berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif serta tanggungjawab sosial korporat syarikat itu kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Kira-kira 200 sukarelawan terdiri daripada pekerja Tesco, MTIB, KPKKT dan penduduk sekitar Kampung Pasir Raja, Dungun menjayakan program ini.

"Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menanam kesemua anak benih pokok karas ini," katanya.

Pada program tersebut, wakil MBOR, Helilia Juana telah menyampaikan sijil pengesahan rekod berkenaan kepada Azlam Shah dan Ketua Pengarah MTIB, Dr. Jalaluddin Harun.


SELAIN bernilai nilai komersial, pokok karas mempunyai khasiat tersendiri dalam merawat penyakit.


Spesies terancam

Hadir sama ialah Pengurus Besar KPKKT, Nordin Unoss dan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad., Datuk Zakaria Awang.

Azlam Shah menambah, program berkenaan tidak akan terhenti di Dungun sahaja kerana Tesco mempunyai sasaran untuk menanam 500,000 batang pokok karas menjelang tahun hadapan.

Katanya, ia merupakan satu usaha Tesco dalam memulihara alam semula jadi dan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan alam untuk generasi masa hadapan.

"Kita memilih spesies pokok karas kerana ia merupakan spesies pokok terancam dan mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi.

"Justeru, langkah ini dilakukan untuk memastikan pokok karas terus dipulihara," katanya.

Azlam Shah memberitahu, sebahagian daripada dana yang digunakan untuk mendapatkan anak benih pokok itu merupakan hasil kutipan jualan beg plastik berjumlah hampir RM700,000 daripada kempen Sehari Tanpa Beg Plastik di pasar raya berkenaan.


POKOK karas ke-1,500 batang yang ditanam pada program anjuran Tesco Store baru-baru ini.


Katanya, ini merupakan salah satu inisiatif Tesco dalam menjayakan Program Menghijaukan Bumi selain memulangkan semula hasil jualan tersebut kepada masyarakat melalui pelbagai pendekatan.

Dalam pada itu, Jalaluddin memberitahu, MTIB dan Tesco telah menanam 29,500 anak benih pokok karas pada tahun 2012.

"Kita telah menjalin kerjasama dengan universiti dan agensi kerajaan lain dalam usaha menanam pokok karas dan dijangka mampu menanam sehingga 300,000 batang anak benih pada tahun ini.

"Melalui program sebegini dan kerjasama yang dilakukan kita berharap dapat mencapai sasaran menanam 500,000 batang pokok karas pada tahun 2014," ujarnya.

Mencipta rekod

Dalam pada itu, seorang peserta, Dayang Nasuha Khairul Ikhwan, 7, memberitahu, dia gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab memulihara alam sekitar dengan menanam pokok.

"Saya sangat gembira kerana bukan sahaja dapat menanam pokok tetapi mencipta rekod pada program ini," katanya.

Bagi Abdullah Long, 45, yang pertama kali menyertai Program Menghijaukan Bumi, dia melahirkan rasa bangga kerana terpilih menjadi sukarelawan untuk mencipta rekod di hutan simpan berkenaan.

"Walaupun sumbangan saya kecil tetapi ia dapat membantu bumi yang dilanda pemanasan global yang semakin teruk kebelakangan ini.

"Saya juga tidak akan teragak-agak untuk menyertai Program Menghijaukan Bumi ini pada masa akan datang sekiranya dipilih berbuat demikian," katanya yang bekerja di Tesco Kota Bharu, Kelantan.

Pekerja MTIB, Nor Zanna Mazlan, 20, pula menyifatkan inisiatif Tesco, MTIB dan agensi-agensi lain itu sebagai satu usaha murni yang patut dibanggakan.

"Ini kerana pemuliharaan alam sekitar merupakan sesuatu yang penting dalam memastikan survival kehidupan manusia di muka bumi ini," katanya.

Pencetak berprestasi tinggi

Posted:

Pencetak berprestasi tinggi

Pencetak berprestasi tinggi

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


PRESIDEN Fuji Xerox Asia Pasifik Malaysia, Sunil Gupta memegang sekeping gambar yang dicetak menggunakan pencetak Color C75 Press di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENCETAK serba guna atau lebih popular dengan panggilan pencetak AIO (All In One) sebenarnya sinonim dengan dunia perniagaan. Ia juga telah mula digunakan secara meluas oleh pengguna rumah kerana harganya yang mampu milik.

Dengan keupayaan mencetak, mengimbas, menyalin dan turut dilengkapi dengan faksimili, tidak keterlaluan jika dikatakan pencetak AIO merupakan salah satu aset penting dalam dunia perniagaan.

Menyedari kepentingan itu, Fuji Xerox melancarkan pencetak Color C75 Press yang sesuai untuk sektor korporat serta grafik yang memerlukan kapasiti cetakan dan imbasan yang besar.

Antara ciri utama yang terdapat pada Color C75 ialah:

1. Skrin antara muka pengguna

Skrin dengan antara muka pengguna ini memudahkan anda untuk mengakses fungsi imbas dan salin.

Hampir kesemua arahan dan aturan pencetak ini dapat dilakukan secara terus daripada skrin tanpa memerlukan pengguna mengakses perisian pencetak daripada komputer.

2. Feeder kertas berkapasiti tinggi C1-DS/B1-S

Bagi menyokong tugas cetakan yang mencabar, Fuji Xerox menawarkan ruang simpanan tambahan sebagai pilihan bagi menyimpan kertas sehingga 2,000 helai.

Teknologi kawalan pergerakan kertas yang terdapat pada feeder itu mampu mengelakkan pembaziran kertas akibat kesilapan roller (penggulung) menarik masuk kertas.


KERTAS yang tersangkut antara masalah yang sering dihadapi pencetak biasa.


3. Imej berkualiti tinggi

dengan penjimatan toner

Produk itu menjanjikan hasil cetakan yang berkualiti tinggi dengan resolusi 2400x2400 dpi.

Teknologi emulsion aggregation mampu menghasilkan kualiti imej yang baik dengan penggunaan toner secara optimum sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan.

4. Pengimbas berprestasi tinggi

Tugas pengimbasan dan penyalinan kini telah menjadi bahagian penting dalam aliran sektor korporat. Justeru, C75 menawarkan pelbagai pilihan output imbasan dan lokasi untuk disimpan.

Ia termasuk ke komputer, e-mel (sebagai kepilan dan terus dihantar dalam bentuk e-mel), storan rangkaian atau flash drive USB.

Dengan pilihan resolusi 200x200, 300x300, 400x400 atau 600x600 dpi, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih resolusi yang bersesuaian dengan imbasan daripada gambar atau dokumen perniagaan yang dikehendaki.

5. Xerox Standard Accounting (XSA)

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh perniagaan adalah kawalan terhadap cetakan yang dibuat. Antaranya, isu cetakan berlebihan yang dilakukan oleh kakitangan.

Ia mungkin disebabkan kesilapan pada cetakan akibat tidak membuat ujian cetakan terlebih dahulu atau kakitangan menyalahgunakan pencetak pejabat untuk membuat cetakan peribadi.

Dengan XSA, pentadbir atau kakitangan teknologi maklumat boleh mendapatkan laporan terperinci tentang penggunaan pencetak seperti tarikh, waktu dan nama pengguna yang membuat cetakan.

Tindakan itu sekali gus memberitahu sumber kos berlebihan dan boleh membuat kawalan atau tindakan yang sewajarnya.

Apa yang pasti, pencetak keluaran Xerox ini hanya sesuai untuk digunakan oleh perniagaan yang benar-benar menggunakan servis cetak, imbas dan salin dalam kuantiti yang banyak.

Selain itu, ruang pejabat yang agak besar diperlukan untuk menempatkan pencetak ini kerana saiznya besar berbanding pencetak AIO berskala kecil.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved