Khamis, 30 Mei 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Punca utama kebutaan kekal

Posted:

Punca utama kebutaan kekal

Punca utama kebutaan kekal

SENG KHEONG (tengah) bergambar kenangan dengan wakil-wakil organisasi yang menjayakan Minggu Kesedaran Penyakit-penyakit Retina Kebangsaan baru-baru ini.


PERSATUAN Oftalmologi Malaysia (MSO) dengan sokongan Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia (NCBM), AMD Alliance International dan Dana Mata Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah melancarkan Minggu Kesedaran Penyakit-penyakit Retina Kebangsaan yang pertama, pertengahan Mei lalu.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap dua penyakit mata yang biasa menjejaskan retina iaitu degenerasi makula berkaitan umur (AMD) dan retinopati diabetes.

Selain itu, ia diadakan untuk mendidik orang ramai, terutamanya mereka yang berisiko tinggi menghidap penyakit-penyakit tersebut, mengenai keperluan untuk menjalani pemeriksaan berkala dan pengesanan awal bagi menghalang kebutaan akibat AMD dan retinopati diabetes.

"Tahap kesedaran AMD dan retinopati diabetes adalah agak rendah dalam kalangan masyarakat. Ramai orang termasuklah pesakit tidak mengetahui lebih mendalam tentang penyakit-penyakit tersebut.

"Justeru, sebagai pakar penjagaan mata, kami perlu mendidik orang ramai tentang AMD dan retinopati diabetes yang merupakan penyebab-penyebab utama kebutaan kekal," kata Dr. Fang Seng Kheong yang merupakan Presiden MSO.

MSO ialah satu badan profesional yang mewakili semua doktor mata di Malaysia.

Bagi memulakan kempen tersebut, aktiviti-aktiviti pendidikan seperti ceramah oleh pakar penjagaan mata dan pemeriksaan retina percuma diadakan pada hujung minggu di Pusat Beli-belah 1 Utama, Damansara Utama, Selangor.

Aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif seperti pertandingan mewarna, Zumba, aktiviti pentas dan Cabaran Misty Maze akan dianjurkan untuk menggalak penglibatan orang ramai di samping mendidik mereka tentang penyakit-penyakit tersebut.

Pemeriksaan retina

Selain itu, MSO juga memperluaskan aktivitinya di dalam dan luar kawasan Lembah Klang dengan mengadakan ceramah pendidikan dan pemeriksaan retina di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Orang ramai telah menyertai aktiviti-aktiviti tersebut yang diadakan di Ipoh, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching, Melaka, Pulau Pinang, Petaling Jaya, Klang serta Puchong, Selangor, Seremban dan Kota Kinabalu, Sandakan serta Tawau, Sabah.


SEORANG pengunjung melakukan ujian mata sambil diperhatikan oleh Aishah (dua dari kiri).


Pesakit diabetes atau mereka berusia melebihi 50 tahun digalakkan untuk membuat pemeriksaan retina di pusat-pusat pemeriksaan tersebut.

"Kami menggalakkan semua pesakit diabetes dan AMD untuk menjalani ujian mata dan pemeriksaan retina secara berkala dengan doktor mata masing-masing. Pengesanan awal sangat penting agar langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelakkan kebutaan," ujar Dr. Kenneth Fong Choong Sian, Pengerusi Penganjur program kesedaran kesihatan awam yang juga Setiausaha MSO.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat sebanyak 25 juta penghidap AMD di seluruh dunia manakala retinopati diabetes merangkumi lima peratus daripada jumlah kebutaan di seluruh dunia, iaitu mewakili hampir lima juta orang buta.

AMD ialah penyakit mata yang biasanya dihidapi oleh golongan yang berusia 50 tahun ke atas. Ia merupakan penyebab utama kehilangan deria penglihatan dalam kalangan orang dewasa yang lebih berumur.

Rawatan awal

Penyakit tersebut menyebabkan kerosakan makula secara perlahan-lahan iaitu bahagian retina yang memberikan ketajaman dan kefokusan penglihatan agar mata dapat melihat objek dengan jelas.

AMD dapat dirawat sekiranya dikesan lebih awal dan ia dapat dikenal pasti menerusi ujian mudah menggunakan carta grid Amsler. AMD juga dapat dicegah dengan mengamalkan pemakanan yang kaya dengan antioksidan, lutein dan zeaxanthine.

Retinopati diabetes pula ialah pendarahan dan pembengkakan luar biasa pada retina disebabkan penyakit diabetes yang tidak terkawal. Ia merupakan penyebab utama kebutaan di seluruh dunia.

Di Malaysia, retinopati diabetes menjadi penyebab utama kehilangan deria penglihatan dalam kalangan orang dewasa yang berupaya bekerja. Kebutaan akibat retinopati diabetes dapat dicegah melalui ujian mata secara berkala dan rawatan awal.

Minggu Kesedaran Penyakit-penyakit Retina dianjurkan dengan kerjasama The Star, Novartis, Bausch & Lomb, Bayer Healthcare, Pusat Beli-belah 1 Utama, Allergan, CIMB Foundation, KSK Group Berhad dan LBS Bina Group Berhad.

Acara tersebut dirasmikan oleh Pro-Canselor Universiti Malaya, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan dihadiri oleh Perunding AMD Alliance International, Glendon Harris serta Pengerusi Yayasan MMA, Datuk Dr. N. Athimulam.

Maklumat lanjut mengenai Minggu Kesedaran Penyakit-penyakit Retina dan Persatuan Oftalmologi Malaysia, sila layari www.mso.org.my atau www.facebook.com/MalaysianSocietyOfOphthalmology.

Tenaga berterusan untuk rangsang otak kanak-kanak

Posted:

Tenaga berterusan untuk rangsang otak kanak-kanak

Tenaga berterusan untuk rangsang otak kanak-kanak


ISOMALTULOSA menjadikan tenaga kekal lebih lama dalam otak.


HARI ini, ibu bapa amat mengutamakan pendidikan anak-anak. Seawal usia tiga tahun, anak-anak dihantar ke tadika atau kelas-kelas lain semata-mata mahu memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

Bagi kanak-kanak yang telah memasuki alam sekolah rendah, ibu bapa turut mengaturkan kelas tuisyen, seni, agama dan bahasa selepas waktu persekolahan tamat. Ekoran itu, kanak-kanak bukan sahaja memerlukan tenaga untuk badan malah tenaga berterusan untuk otak.

Pakar Sains Kanan FrieslandCampina Innovation International, Dr. Anne Schaafsma berkata, asid dokosaheksaenoik (DHA) dianggap sebagai blok binaan bagi otak manakala glukosa merupakan sumber tenaga utama untuk kecekapan fungsi kognitif seperti daya tumpuan dan daya ingatan.

Pusat tersebut turut menjalankan penyelidikan berkaitan perkembangan dan fungsi otak khususnya peranan Isomaltulosa dalam memberi bekalan tenaga secara berterusan.

Isomaltulosa ialah bahan semula jadi yang diperoleh daripada madu dan tebu. Ia membekalkan jumlah tenaga yang sama seperti sukrosa tetapi dihadamkan secara lebih perlahan sekali gus membolehkan kenaikan glukosa lebih rendah dan perlahan berbanding sukrosa.

"Hasil kajian, saya mendapati Isomaltulosa membolehkan glukosa memasuki darah secara lebih perlahan mengelakkan kenaikan dan kejatuhan mendadak tahap glukosa. Ini menjadikan bekalan tenaga secara lebih kekal dan panjang kepada otak," kata Schaafsma.

Sehubungan itu, Dutch Lady milik Royal FrieslandCampina mengorak langkah dengan memperkenalkan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak iaitu Dutch Lady ActivGold dengan Isomaltulosa dan DHA serta formula yang membekalkan nutrisi penting untuk perkembangan kanak-kanak.

"Dutch Lady Malaysia sedar bahawa untuk merangsang proses bermain, belajar, meneroka secara optimum, kanak-kanak memerlukan pemakanan yang baik dan tenaga secukupnya untuk badan serta otak. Pada zaman keemasan hidup kanak-kanak, mereka aktif belajar setiap hari sekali gus memerlukan bekalan tenaga berterusan kerana otak mereka hanya boleh menyimpan tenaga selama 15 minit," kata Anja Henze, Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia.

Hasil kajian menunjukkan fungsi otak bergantung kepada bekalan tenaga yang stabil. Selain itu, bekalan tenaga yang stabil membolehkan otak berfungsi pada tahap optimum untuk jangka waktu lebih lama.

Ducty Lady ActivGold Langkah 3 dan Langkah 4 dengan Isomaltulosa serta DHA boleh didapati dalam pek 550 gram atau pek berkembar 550 gram. Ia didatangkan dengan dua pilihan perasa iaitu asli dan madu. Produk tersebut boleh didapati di semua rangkaian pasar raya dan kedai-kedai runcit di seluruh negara.

Kembali hidup kerana Zara

Posted:

Kembali hidup kerana Zara

Kembali hidup kerana Zara

Oleh IZRINDA BADROLHISHAM

PELAKON berbakat Redza Minhat kembali ke layar perak memikul watak utama bersama heroin muda, Cristina Suzanne.


LAYAR perak pada minggu ini menyaksikan sebuah filem arahan Nik Amir Mustapha yang penuh dengan mesej menghargai kehidupan dalam konteks masyarakat Timur.

Dilakonkan oleh Redza Minhat dan Cristina Suzanne Stockstill, KIL memaparkan pergolakan dalam diri seorang lelaki bernama Akil yang cuba membunuh diri.

Sementara itu, bagi anda yang gemarkan filem sains fiksyen, Jurassic Park tampil dengan paparan tiga dimensi (3D). Filem tersebut berdasarkan novel dengan nama yang sama oleh Michael Crichton yang diarahkan oleh Steven Spielberg.

Bagi penonton yang gemarkan filem santai, The Hangover 3 bakal membuatkan anda tidak berhenti bergelak ketawa.

Syarikat produksi Metrowealth seperti biasa, pada setiap bulan tidak pernah kering dengan produksi layar perak baharu. Minggu ini, Metrowealth menyajikan filem aksi komedi, Bro, Nampak Motor Gua?.

KIL

Tarikh tayangan: 30 Mei 2013

Genre: Drama, romantik dan misteri

Durasi: 1 jam 30 minit

Pengarah: Nik Amir Mustapha

Pelakon: Redza Minhat dan Cristina Suzanne Stockstill

Sinopsis: Menariknya filem arahan Nik Amir Mustapha ini, ia mengisahkan tekanan yang dihadapi oleh seorang lelaki bernama Akil yang dibintangi oleh Redza Minhat.

Akil cuba membunuh diri dengan pelbagai cara tetapi tidak berhasil. Akhirnya dia menemui sebuah agensi khas yang boleh melunaskan keinginannya itu.

Agensi itu akan mengupah individu tertentu membunuh Akil.

Namun tidak berapa lama kemudian, Akil bertemu dengan seorang wanita iaitu Zara (lakonan Cristina Suzanne Stockstill).

Cinta yang berputik memberi harapan baharu kepada Akil untuk kembali hidup. Sempatkah Akil membetulkan kembali kesilapan yang dirancangkan dirinya sendiri itu?

Jurassic Park 3D

Tarikh tayangan: 30 Mei 2013

Genre: Pengembaraan, sains fiksyen

Durasi: 2 jam 7 minit

Pengarah: Steven Spielberg

Pelakon: Sam Neill, Laura Dern, Jeff Goldblum, Samuel L. Jackson dan Richard Attenborough

Sinopsis: Filem Jurassic Park 3D berkisar tentang seorang dermawan yang kaya dan sekumpulan saintis genetik telah mencipta sebuah taman tema klon dinosaur.

Keindahan taman tema itu memukau orang ramai. Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi hura-hara apabila sistem keselamatan taman tema tersebut dimatikan oleh penjenayah yang mahu mencuri embrio dinosaur.

Semua pagar elektrik sekitar taman tema tersebut telah ditutup dan seekor tyrannosaurus rex terlepas.

Filem itu dibuat semula menggunakkan kesan 3D dan ia bakal mengegarkan panggung apabila pelbagai kesan animasi dihasilkan.

The Hangover 3

Tarikh tayangan: 30 Mei 2013

Genre: Komedi

Durasi: 1 jam 40 minit

Pengarah: Todd Phillips

Pelakon: Bradley Cooper, Zach Galifianakis dan Ed Helms

Sinopsis: Tiada lagi parti seperti dalam filem sekuel sebelumnya, empat lelaki yang menamakan kumpulan mereka The Wolfpack hidup seperti biasa di kediaman masing-masing.

Namun, hidup mereka kembali berliku apabila seorang penjenayah yang pernah ditangkap mereka bernama Leslie Chow berjaya meloloskan diri dari penjara di Thailand.

Mereka kini mempunyai misi baharu - bukan sahaja untuk mencari Leslie bahkan mendapatkan jongkong emas bernilai jutaan ringgit yang telah disorokkan penjenayah berkenaan.

The Wolfpack bagaimanapun sebelum itu perlu menjejaki seorang rakan mereka, Alan yang telah hilang sejak dua tahun lalu, malah dikatakan dimasukkan ke sebuah hospital gila.

Bro, Nampak Motor Gua?

Tarikh tayangan: 30 Mei 2013

Genre: Aksi, komedi

Durasi: 1 jam 45 minit

Pengarah: Razif Rashid

Pelakon: Shah Rempit, Fadzil Zahari, Along Cham, Mon Ryanti dan Along Eyzendy

Sinopsis: Filem arahan Razif Rashid ini memaparkan seorang remaja bernama Epol yang mempunyai sebuah motosikal kesayangan.

Bagaimanapun satu hari, motosikal miliknya dicuri oleh dua orang penjenayah.

Epol cuba menjejaki motosikal kesayangannya itu dengan mengunakan keistimewaan deria bau terhadap motosikal itu.

Dalam masa yang sama Epol terjumpa dengan Azura yang kehilangan beg tangannya yang mengandungi alat pemacu yang penting bagi seorang peniaga kaya, Tan Sri Bakhir.

Bakhir memberikan ganjaran bernilai RM50,000 untuk Epol jika berjaya mencari pemacu berkenaan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved