Selasa, 14 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Generasi muda celik al-Quran

Posted:

Generasi muda celik al-Quran

Generasi muda celik al-Quran

SEBAIK Ustazah Muzaiyanah Mohamed Said, 27, melangkah masuk ke kelas 3 Wawasan, ucapan salam yang mendoakan kesejahteraan buat si guru bergema di seluruh kelas.

Kemudian, semua pelajar pantas mengangkat jari telunjuk seraya mengalunkan lafaz suci kalimah syahadah yang bermaksud: "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."

Ia diikuti dengan bacaan doa penerang hati, doa qunut dan diakhiri dengan selawat serta salam ke atas Rasul Junjungan. Masing-masing kelihatan bersemangat ketika membacanya.

Usai menyudahkan bacaan tersebut, Muzaiyanah terus menulis jawi di papan putih yang menjadi subjek pembelajaran pada petang itu. Guru muda itu turut menyediakan bahan bantu mengajar menggunakan kreativitinya sendiri.

Dia menampal beberapa sampul surat kecil di sehelai kertas keras berwarna biru. Di atas kertas warna itu tertera tulisan jawi yang bermakna Perkataan Berimbuhan Apitan.

Ternyata ia berjaya menarik minat pelajar untuk berlumba-lumba menjawab soalan yang dikemukakan melalui setiap sampul surat yang dipilih mereka.

Muzaiyanah merupakan salah seorang guru yang terlibat untuk program pembelajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur.


PARA pelajar sekolah rendah mengikuti kelas J-Qaf yang mula diwujudkan pada tahun 2004.


Kreativiti guru

Mula mengajar sejak Januari 2011, graduan Ijazah Sarjana Muda Sunnah & Pengurusan Maklumat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu semakin bijak dalam usaha menarik perhatian pelajar program J-Qaf di sekolahnya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah memberikan saya peluang untuk menceburkan diri dalam bidang pendidikan.

"Justeru, saya perlu sentiasa kreatif bagi mengelakkan para pelajar bosan dengan konsep pembelajaran dan pengajaran yang biasa," tutur Muzaiyanah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu, dia memilih untuk menjadi guru J-Qaf kerana minat dan tanggungjawab terhadap anak-anak Muslim.

Pada tahun akhir pengajiannya, Muzaiyanah bertekad untuk mendidik murid-murid ini dan mengajar mereka mengenal huruf jawi, membaca al-Quran dan cara melaksanakan solat dengan betul.

"Kesedaran ini timbul kerana saya merasakan ramai anak-anak zaman sekarang tidak kenal huruf jawi. Malah, terdapat sebilangan kecil daripada mereka masih tidak tahu membaca Iqra apabila melangkah masuk ke alam persekolahan tahun satu.

"Mungkin sesetengah orang mengatakan bahawa jurusan yang saya ambil di universiti tidak sesuai dengan kerjaya ini. Namun, secara peribadi saya bangga dengan tugas ini kerana dapat memberi tunjuk ajar kepada anak-anak kecil mengenai ilmu asas dalam Islam," terang Muzaiyanah penuh berhikmah.

Antara skop tugas guru J-Qaf ialah mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam serta memberi perhatian lebih kepada murid-murid yang lemah dalam subjek Jawi dan al-Quran.

Selain itu, guru-guru J-Qaf juga perlu melakukan tugas-tugas memfailkan maklumat, memasukkan data peribadi, prestasi murid, aktiviti kokurikulum dan sebagainya.

Untuk program J-Qaf, ia meliputi beberapa subjek dengan tempoh mengajar yang berbeza. Subjek Jawi selama 30 minit, Ulum Syariah atau Fardu Ain (60 minit), al-Quran (90 minit) serta Tasmik (30 minit).

Mereka yang berminat untuk menjadi guru J-Qaf perlu mempunyai kelayakan seperti mempunyai ijazah serta diploma pendidikan dalam bidang pengajian Islam termasuk Usuluddin, Syariah, al-Quran dan sunnah.

Setakat ini, Muzaiyanah bertanggungjawab mengendalikan lima kelas atau 200 orang murid.

"Bagi subjek tertentu seperti al-Quran dan Tasmik, pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan kecil dan biasanya setiap kelas ada tiga orang guru. Murid-murid pula akan dibahagikan mengikut pencapaian mereka," ujarnya.

Apakah cabaran sepanjang bergelar guru J-Qaf? Anak kelapan daripada 11 beradik itu memberitahu, setiap tugas atau kerjaya pasti mempunyai masalah tersendiri.

Bagaimanapun, ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mereka melahirkan pelajar atau generasi muda yang celik al-Quran dan berkeperibadian mulia.

GURU J-Qaf sentiasa memberi perhatian khusus kepada pelajar dalam setiap kelas.


Kekangan masa

Bagi Ustazah Norihan Yusof, 28, antara cabaran yang mereka hadapi ialah mengurangkan jumlah murid yang tidak mahir membaca tulisan jawi dan al-Quran selain terdapat kekangan masa dalam menjalankan program-program yang dicadangkan oleh Kementerian Pelajaran seperti Kem Bestari Solat.

"Dalam subjek al-Quran pula, wujud perbezaan kaedah dalam membaca al-Quran semasa murid berada di rumah dan sekolah agama rakyat. Sebelum ini, mungkin kaedah mempelajari al-Quran yang dijalankan secara tradisional mengikut teknik yang pelbagai dan berbeza antara satu sama lain.

"Contohnya menggunakan kaedah Baghdadi atau ketukan, qiraah dan sebegainya. Tetapi, apabila program J-Qaf muncul, ia mengubah senario yang sedia ada. Kaedah mengajar al-Quran telah disusun secara sistematik dan terurus oleh kementerian dengan menggunakan buku Iqra sebagai asas terhadap kemahiran membaca al-Quran," ungkap Norihan yang merupakan graduan Diploma Tahfiz Al-Quran dari Darul Quran Kuala Kubu Bharu.

Di samping itu, Norihan juga berharap ibu bapa akan memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka di rumah sentiasa membaca al-Quran setiap hari dan melaksanakan kewajipan solat lima waktu yang telah dipelajari melalui kelas J-Qaf.

"Insya-Allah, jika ada usaha, saya percaya kita mampu melahirkan generasi al-Quran yang unik dan soleh untuk menjadi pewaris para Anbiya pada masa akan datang," tegasnya.

Rakyat AS gemar bahasa Mandarin

Posted:

Rakyat AS gemar bahasa Mandarin

Rakyat AS gemar bahasa Mandarin


SELAIN kaum Cina, kelas bahasa Mandarin di AS turut menarik perhatian murid kaum lain.


PADA mulanya, Susan Wang, 16, yang berasal dari Taiwan tidak boleh bertutur bahasa Inggeris apabila dia tiba di California.

Kini, pada usia 49 tahun, beliau berjaya menubuhkan sebuah sekolah iaitu Sekolah Rendah Broadway, Venice, di barat Los Angeles.

Penubuhan sekolah itu bertujuan untuk mengembangkan bahasa Mandarin di Amerika Syarikat (AS) dan beliau dibantu dengan kehadiran guru bergaji rendah dari Beijing untuk mengajar di sekolah berkenaan.

Usaha tersebut berbaloi apabila mendapat sambutan menggalakkan malah murid paling muda berusia lima tahun.

"Perkara yang paling menarik ialah menyaksikan anak-anak belajar, cara mereka belajar dan berapa cepat mereka menguasai bahasa lain, ia sememangnya menakjubkan," katanya yang merupakan pengetua sekolah tersebut.

Permintaan meningkat

Program pendidikan bahasa Mandarin bukanlah sesuatu yang baharu di sekolah AS. Perkembangan pengaruh China di seluruh dunia membuatkan permintaan terhadap kemahiran bahasa Mandarin semakin meningkat.

Ia secara tidak langsung mencerminkan diplomatik Washington merentasi Lautan Pasifik.

"Bahasa Mandarin merupakan salah satu bahasa yang semakin digemari rakyat AS berbanding bahasa Perancis, Jerman dan Jepun," ujarnya.

Kementerian Pengajian Beijing turut membantu dengan membawa masuk guru-guru dan penceramah dari negara China untuk bekerja di sekolah-sekolah AS.

California merupakan perintis program tersebut sama ada dari segi geografi atau sejarah.

Kemasukan pekerja China ke AS berlaku apabila mereka dibawa untuk bekerja membina landasan kereta api. Selain New York, San Francisco dan Los Angeles turut mempunyai komuniti Cina terbesar.

Sehubungan itu, secara tradisional, keluarga yang mempunyai salah seorang atau kedua-dua ibu bapa yang berketurunan Cina akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah bahasa Mandarin.

Langkah itu dilihat untuk memartabatkan budaya dan warisan mereka. Selain itu, kemahiran menguasai bahasa itu membolehkan mereka berkomunikasi dengan datuk dan nenek apabila pulang ke rumah.

Di dalam bilik darjah di Sekolah Rendah Broadway itu kelihatan dindingnya ditampal dengan gambar dan tulisan-tulisan Cina.

Bukan itu sahaja, kandungan buku teks juga menggunakan bahasa Mandarin selain guru-guru tidak akan menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, kelas tersebut bukan hanya disertai murid berketurunan Cina tetapi turut menarik perhatian kaum lain seperti Afrika-Amerika, Kaukasia dan Latin.

Seorang guru tadika, Carol Chan memberitahu, pada kebiasaannya, pada peringkat awal memasuki kelas bahasa Mandarin, murid-murid sukar untuk memahami bahasa berkenaan.

"Jadi, saya menggunakan banyak gambar, muzik, bahasa fizikal dan gerakan isyarat akhirnya, mereka dapat tangkap apa yang diajar.

"Lama-kelamaan, mereka mudah memahami bahasa Mandarin dan berasa gembira menghadiri kelas berkenaan," ujarnya.


SEORANG guru menggunakan alat bantu mengajar bagi memudahkan murid-murid memahami bahasa Mandarin.


Secara percuma

Seorang murid, Grace Ehlers mengakui pada mulanya, mempelajari bahasa Mandarin adalah sukar namun kini dia boleh bertutur bahasa tersebut dengan yakin.

"Mempelajari bahasa Mandarin menjadi sedikit mudah kerana ayah saya boleh bertutur banyak bahasa dan kadang-kadang dia mengajar saya," katanya.

Pengetua sekolah Pusat Bahasa, Nancy Rhodes pula berkata, kehadiran guru bahasa Mandarin secara percuma amat penting bagi Sekolah Rendah Broadway untuk menawarkan program belajar bahasa secara menyeluruh.

"Saya orang Cina, dilahirkan dan dibesarkan di Taiwan tetapi itu tiada kaitan langsung dengan apa yang saya lakukan untuk program ini. Kami boleh mengajar bahasa Mandarin kerana mempunyai guru sukarelawan berketurunan Cina.

"Sekiranya mempunyai guru yang boleh mengajar bahasa Perancis atau Sepanyol, kami juga akan menawarkan program yang sama," jelasnya.

Dalam pada itu, berdasarkan data yang dikumpulkan Pusat Linguistik Gunaan, terdapat 74 program bahasa Mandarin di AS.

Secara keseluruhan, program bahasa Sepanyol paling banyak diadakan yang mewakili 45 peratus, diikuti 22 peratus Perancis, Mandarin 13 peratus dan masing-masing 10 peratus bagi Jepun serta Jerman.

Tambah beliau, satu ketika dahulu bahasa Mandarin diajar di sebelah pantai barat dan bandar besar tetapi kini ia sudah menular di seluruh negara.

"Malah, sekolah-sekolah rendah di daerah kecil sedang menimbangkan untuk beralih dari mengajar bahasa Sepanyol ke bahasa Mandarin," ujarnya.- AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved