Rabu, 15 Mei 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Antara cinta dan cita

Posted:

Antara cinta dan cita

Antara cinta dan cita

BAHANG pagi hari Isnin lalu memaksa sesi fotografi memilih lokasi redup di bawah pepohon rendang sekitar premis milik Ramli Ibrahim di Sutra Dance Theatre bersebelahan Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur bagi menyejukkan diri.

Jenaka barangkali langkah ideal untuk mendinginkan suhu. Malah, mood serius Nadia Aqilah saat jurugambar Kosmo! membidik lentuk-liuk badan bintang utama teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! itu disulam seli dengan beberapa insiden melucukan.

Jelas pemilik nama Nadia Aqilah Bajuri, dia seorang yang selamba dan jarang diminta beraksi di luar kotak fikirannya. Sesi yang berakhir sebelum mentari tegak di kepala dilanjutkan dengan bicara mengenai Nadia.

Sambil menunjukkan kakinya yang terluka akibat memakai kasut tarian baharunya, Nadia, 28, tertawa saat diajukan soalan panas mengenai kehidupan peribadinya.

"Cinta? Cinta saya hanya pada Ilham!" luncur sepatah kata sambil tertawa kecil.

Bagi yang tidak tahu, Ilham merupakan watak utama yang disandang oleh Anding dalam Chow Kit Road! Chow Kit Road!, seorang anak gelandangan yang hidup di sarang pelacuran dan penagihan dadah namun bercinta dengan seorang anak orang kaya bernama Maya (lakonan Nadia Aqilah) tanpa diduga.

Sambung Nadia apabila diasak lagi soalan berkisar cinta, katanya dia kini gembira dan selesa dengan ruang privasi sekarang.

"Saya gembira dan saya selesa begini. Hidup peribadi saya tidak seindah kehidupan karier saya. Jodoh sampai, Insya-Allah saya tidak akan sorok. Namun selagi tiada yang benar-benar kukuh, saya akan kekal berahsia," kata Nadia.

Diasak lagi dengan soal hatinya dan apakah pandangannya mengenai institusi kekeluargaan atau lebih tepat lagi perkahwinan, Nadia menegaskan, jika bercinta dia akan melakukannya bersungguh-sungguh dan cinta mungkin hadir selepas berkahwin.

"Kalau jodoh saya dengan orang dalam industri, kami akan berikhtiar menyumbangkan sesuatu bermanfaat kepada industri. Prinsip saya dalam bercinta adalah kesetiaan.

"Kalau bercinta, saya nak bercinta 'bagai nak rak' (bersungguh-sungguh). Kena gilakan satu sama lain tapi harus ada rasa hormat, jangan serahkan segalanya. Sentiasa tinggalkan sedikit ruang untuk si dia merasakan sesuatu misteri akan diri kita," ujarnya yang meletakkan sasaran berkahwin dalam usia 30 tahun.


BERCAKAP soal cinta, Nadia mempunyai pandangan tersendiri.


Cinta pentas

Sementara itu, Nadia diminta mengulas mengenai turun naik kariernya yang kini sudah memasuki usia 14 tahun, satu tempoh yang lama bagi seseorang artis dan tempoh itu sebenarnya sudah matang untuk dikenali dan melakar populariti.

"Karier saya penuh pancaroba, gelak tawa, air mata, halangan, kepuasan dan tanda tanya. Saya tidak pasti ke arah manakah haluannya. Penerimaan terhadap saya tidak begitu positif seperti yang saya harapkan.

"Saya mahu perlahan-lahan orang menerima saya daripada orang tidak menghargai saya langsung. Apabila kita bekerja dari bawah perjalanan itu akan sakit sedikit tapi ia melatih untuk menjadi seorang artis yang kuat. Kita tidak akan tahu kita siapa kalau tiba-tiba 'meletup'!" jelasnya.

Antara teater, drama atau nyanyian yang manakah prioriti dirinya? Nadia terdiam seketika, menarik nafas panjang dan melontarkan suara hatinya.

Katanya dalam metafora umpama dadah, ketiga-tiganya membuatkan pelakon drama Tari Tirana itu ketagih!

"Ketiga-tiga adalah dadah berbeza yang menyebabkan saya sentiasa ketagih. Cabaran adrenalin tertinggi sudah pasti teater kerana saya perlu berlakon, menyanyi dan menari serentak. Tapi untuk pembentukan watak saya pilih televisyen manakala, menyanyi adalah sebahagian daripada jiwa saya.

"Kerja saya seolah-olah mengejar spotlight! Setiap hari adalah satu pertandingan bagi saya. Sayang saya kepada ketiga-tiga dan susah untuk dibahagikan," luah Nadia.

Milik Siapakah Gadis Ini

Mendalam mesej yang tersirat di sebalik judul lagu ciptaan Allahyarham Sudirman Arshad, Milik Siapakah Gadis Ini, namun bagi Nadia memori yang terkandung dalam kenangan terhadap lagu itu lebih bermakna daripada segalanya.

"Ayah saya selalu bercerita mengenai sejarah lagu itu sejak saya kecil. Kata ayah, lagu itu ditujukan sendiri oleh Allahyarham Sudirman menerusi arwah ibu saya kepada anaknya memandangkan mereka dahulu pernah berkawan.

"Apabila saya sendiri berpeluang menyanyikan lagu itu di atas pentas, perasaan sebak datang secara sendirinya. Mana tidaknya, lagu itu ibarat ditujukan kepada saya," ungkap Nadia yang turut menggemari beberapa lagu Sudirman yang jarang diperdengarkan antaranya Pertemuan Abadi, Di Dalam Sepi Itu, Pesta Dunia dan Dunia Baru.


NADIA mengakui ketagih dengan ketiga-tiga bidang teater, drama dan nyanyian.


Nadia melakonkan watak Maya menerusi Chow Kit Road! Chow Kit Road! iaitu anak perempuan kepada wanita kaya bernama Datin Jamilah (Adibah Noor) yang jatuh cinta kepada Ilham (Anding) apabila jejaka itu dibawa pulang ke rumahnya untuk diasuh menjadi seorang manusia berguna.

Kata Nadia, dia masih mencari-cari siapakah Maya seperti yang dimaksudkan dan diinginkan oleh pengarah, Saw Teong Hin.

"Saya masih mencari lagi siapakah Maya, bagaimanakah reaksi dan perasaan lain Maya. Watak sekeliling saya adalah besar peranannya seperti pelacur, pondan dan penagih dadah tapi saya diberikan watak 'manusia' yang mana tidak senang sebenarnya.

"Saya perlu mencari titik tengah yang tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Untuk mencari keserasian dengan Anding tidak payah kerana kami pernah bergandingan ketika teater muzikal Terima Kasih Cinta sebelum ini," jelas Nadia yang turut membintangi drama Kisah Cinta di TV3 arahan abangnya sendiri, Bahri Umararif Bajuri.

Kiah Propa ganti Che Ta

Posted:

Kiah Propa ganti Che Ta

Kiah Propa ganti Che Ta

Oleh IZRINDA BADROLHISHAM


GAMAT. Gelagat (dari kiri), Kiah Propa, Fara Fauzana, Amy Mastura dan Misha Omarpada sesi latihandi Istana Budaya.


BELUM sempat dipentaskan dan masih lagi dalam proses latihan, Teater Nyonya & The Gang kini mengalami pertukaran salah seorang daripada pelakonnya.

Rozita Che Wan atau Che Ta yang sepatutnya melakonkan watak Isteri iaitu isteri kepada lelaki yang dikenali sebagai Tuan (lakonan Taiyuddin Bakar) menerusi teater arahan bersama Rosminah Mohd. Tahir dan Rohayah Attan itu, terpaksa menarik diri ekoran komitmennya dengan sebuah produksi televisyen.

Tempat Rozita digantikan oleh Siti Rokhaida atau lebih dikenali dengan nama glamornya, Kiah Propa yang cukup dikenali sebagai wartawan program Terjah di TV3.

Rosminah yang ditemui pada sesi latihan Teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia yakin Kiah Propa bakal memberi impak positif buat teater tersebut.

"Kami faham jadual lakonan Rozita Che Wan padat, khususnya sibuk dengan penggambaran program Primadona.

"Justeru, tempat Rozita yang sepatutnya melakonkan watak isteri Tuan dalam Teater Nyonya & The Gang digantikan dengan Kiah Propa," ujarnya.

Teater Nyonya & The Gang yang menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 hingga 20 Jun ini.

Ia berkisar tentang Tuan yang ingin membeli barangan antik di rumah Nyonya lakonan Mardiana Awi, manakala Misha Omar, Fara Fauzana dan Amy Mastura masing-masing akan melakonkan karakter Keponakan A, Keponakan B dan Keponakan C.

Tambah Rosminah: "Kiah Propa dipilih untuk watak Isteri kerana dia amat sesuai dan diyakini membawa watak itu dengan baik.

"Watak Isteri ini perlulah berbeza dengan watak Nyonya sebagai seorang wanita kaya. Kami menyunting Kiah Propa untuk karakter watak Isteri kerana trademark gelaknya. Wataknya pasti akan 'meletup' dan diingati oleh penonton."

Bercerita tentang proses pascaproduksi teater tersebut, ujar Rosminah, para pelakon kini sedang gigih menjalani latihan.

"Para pelakon kini menjalani sesi latihan selama sepanjang minggu bermula pada 6 petang sehingga 11.30 malam dan sesi latihan penuh akan dilakukan pada awal bulan Jun sehinggalah tarikh pementasan berlangsung," kata Rosminah.

Sebagai pengarah, Rosminah yang sangat mementingkan kefahaman dalam sesuatu karakter serta penampilan watak-wataknya yang menggunakan dialog berjenaka.

"Namun, apabila mentafsirkannya secara tersirat, ia adalah sebuah karya sastera yang kaya dengan metafora, simbol dan personafikasi yang mampu membuat khalayak berfikir secara profesional," ujarnya.

Menurutnya lagi, Teater Nyonya & The Gang memberi nafas baharu berbanding Teater Nyonya yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Naskhah pementasan ini sebenarnya merupakan gabungan teater komidi sinis, Nyonya karya penulis Indonesia, Wisran Hadi dan karya muzikal tarian, The Gang.

Nyonya sudah dipentaskan oleh CTRA Production sebanyak lima kali sejak 1999. Dalam tempoh tersebut teater berkenaan telah diarahkan silih berganti oleh Siti Rohayah dan Rosminah serta dipentaskan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kedah.

Kak Pah teringin dapat menantu

Posted:

Kak Pah teringin dapat menantu

Kak Pah teringin dapat menantu

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ALIFF akan pulang setahun sekali ke Malaysia untuk mengunjungi ibu kesayangannya ini.


PADA pertengahan tahun lalu biduanita tersohor negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah telah dimasukkan ke hospital apabila disyaki menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.

Kesan daripada jangkitan tersebut, penyanyi berusia 59 tahun itu terpaksa berehat selama enam bulan dan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti nyanyian sepanjang tempoh tersebut.

Berkesempatan menemui bintang legenda ini pada majlis pelancaran konsert Malam Amal Bersama 3 Diva baru-baru ini, Kak Pah memberitahu, keadaan kesihatannya sekarang sudah bertambah baik.

Menurutnya, selepas berehat agak panjang untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi menyembuhkan penyakitnya itu, kini beliau sudah kembali aktif menyanyi semula.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan keadaan kesihatan Kak Pah sekarang ini?

KAK PAH: Saya sangat bersyukur kerana kini sudah beransur pulih sepenuhnya setelah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru sehingga mengalami demam yang teruk.

Sepanjang menjalani rawatan susulan, adakah doktor pernah menasihatkan supaya Kak Pah mengurangkan aktiviti nyanyian?

Doktor memang ada menasihatkan saya supaya tidak terlalu aktif, tetapi saya ini jenis wanita yang suka bekerja. Lagipun, kalau menghiburkan orang ramai ia boleh membuatkan diri saya gembira. Kalau ditanya tentang kemampuan saya membuat persembahan nyanyian pula, rasanya ia langsung tidak mendatangkan masalah besar. Dalam satu persembahan baru-baru ini, saya masih mampu menyanyi sehingga 18 buah lagu.

Adakah Kak Pah tidak kisah apabila anak tunggal iaitu Aliff Omar masih lagi berjauhan sehingga sekarang, meskipun ketika Kak Pah jatuh sakit dahulu?

Sebenarnya saya reda menerima dengan hati terbuka apabila berjauhan selama 11 tahun setelah dia melanjutkan pelajaran di Madinah. Selain itu, saya tak perlu risau atau bimbang kerana dia berada di sebuah tempat yang paling baik. Dengan adanya kemudahan teknologi seperti khidmat pesanan ringkas dan internet memudahkan lagi untuk kami berhubung. Lagipun, setahun sekali dia akan pulang ke Malaysia atau saya sendiri akan melawatnya di sana setiap tahun.


KAK PAH tenang dan menerima dengan hati terbuka dirinya yang ditohmah menyuntik botox pada wajahnya.


Pada usia Aliff yang sudah mencecah 31 tahun, adakah Kak Pah teringin melihat dia mendirikan rumah tangga?

Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya teringin mendapat seorang menantu dan cucu. Cuma, saya rasa buat masa ini tuan punya badan masih belum bersedia memikul tanggungjawab yang besar menjadi suami memandangkan dia masih belajar lagi.

Berkenaan dengan karier seni pula, apakah perancangan Kak Pah pada masa akan datang?

Kalau ikut perancangan saya ingin mengadakan sebuah konsert perpisahan pada tahun datang. Saya ingin memberikan tumpuan kepada kerja-kerja dakwah, tetapi tidaklah bersara sepenuhnya dalam bidang nyanyian.

Saya merancang menganjurkan program motivasi kepada orang ramai seperti bercerita tentang kisah kehidupan lampau saya supaya boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat. Menerusi program tersebut akan diselitkan persembahan nyanyian saya dalam tiga atau empat buah lagu.

Boleh komen tentang dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Kak Pah mengambil suntikan botox kerana perubahan pada wajah yang kelihatan berbeza?

Bagi saya, ia merupakan satu fitnah kerana saya memang tidak melakukannya. Perubahan yang terjadi pada wajah saya ini sebenarnya kesan daripada steroids apabila banyak mengambil ubat ketika saya sakit dahulu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved