Sabtu, 11 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Makan pucuk ubi dengan roti

Posted:

Makan pucuk ubi dengan roti

Makan pucuk ubi dengan roti

RENDANG pucuk ubi Mak Long Timah dijual pada harga RM8 untuk 100 gram.


SEBUT sahaja ubi kayu, pasti mereka yang pernah hidup pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1940-an amat menghargai nostalgia makanan popular tersebut.

Disebabkan kesempitan hidup pada era tersebut, ubi kayu menjadi makanan utama sebagai pengganti nasi. Biarpun ada yang menganggap ubi kayu makanan golongan miskin, ia memiliki khasiat yang banyak.

Ubi kayu atau nama botaninya Manihot Esculenta Crantz ialah tumbuhan tropika dan subtropika daripada keluarga Euphorbiaceae yang terkenal sebagai sumber utama karbohidrat manakala daunnya boleh dijadikan sayur.

Ubi kayu berasal dari bahagian tropika Amerika Selatan tetapi kini taburannya hampir di semua kawasan tropika seluruh dunia.

Populariti ubi kayu telah mendorong sebuah syarikat bumiputera, Innova Food Industries mengkomersialkan makanan tradisional Negeri Sembilan iaitu rendang pucuk ubi bagi memenuhi permintaan penggemar makanan kampung itu.

Walaupun berlainan dari segi pembungkusan, jenama Rendang Pucuk Ubi Mak Long Timah tetap mengekalkan rasa rendang tradisi yang menyelerakan. Ia didatangkan dalam dua perisa iaitu udang dan ikan bilis.

Malah masakan rendang yang popular di Malaysia dan Indonesia ini juga telah diiktiraf oleh sisipan pelancongan CNN Go pada tahun 2011 sebagai 50 masakan terlazat di dunia. Ia sering dihidangkan ketika perayaan dan sambutan acara tertentu.

Tahan lama

PERALATAN moden digunakan bagi mempercepatkan proses memasak rendang pucuk ubi yang memakan masa selama enam jam.


Bercerita lanjut, Pengurus Operasi Innova Food, Mohd. Fadzil Mohd. Isa memberitahu, resipi rendang pucuk ubi keluaran syarikatnya itu merupakan resipi turun-temurun daripada ibunya.

"Pada mulanya kami hanya memasak rendang pucuk ubi ini untuk dimakan sendiri selain memasarkannya secara kecil-kecilan di restoran kepunyaan ibu yang terletak di pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

"Ketika itu kami hanya meletakkan rendang pucuk ubi di dalam bekas plastik sebelum mendapat idea untuk mengkomersialkannya kira-kira setahun yang lalu.

"Untuk tujuan itu, kami tampilkan rendang pucuk ubi di dalam bungkusan yang menarik dan senang dibawa ke mana sahaja termasuklah ke luar negara. Produk ini sedia dimakan begitu sahaja," ujarnya ketika ditemui kru Jurnal di kilang memasaknya di Kampung Tembun, Jelebu.

Tambah Mohd. Fadzil, keunikan produk keluaran syarikatnya itu terletak pada pengekalan kualiti masakan rendang itu sendiri selain tahan lama. Rendang pucuk ubi itu terdapat dalam perasa pedas, sederhana pedas dan asli.

"Setakat ini, belum ada syarikat lain yang mengeluarkan produk makanan tradisional seperti ini. Untuk itu, kami mengambil inisiatif mengkomersialkan produk ini yang sememangnya sudah mempunyai penggemar.

"Dengan harga RM8 bagi 100 gram, rendang pucuk ubi ini sesuai dimakan bersama nasi, lemang, ketupat, roti dan kuih-muih. Ia juga boleh dipanaskan semula untuk mendapatkan rasa yang lebih enak.

"Proses memasak rendang pucuk ubi ini mengambil masa selama enam jam bermula dengan proses penyediaan bahan mentah, memasak, menimbang dan membungkus. Pada kebiasaannya, kami akan memasak pada hari Selasa, Rabu dan Khamis.

"Setelah siap dimasak, ia disejukkan terlebih dulu sebelum dibungkus," jelasnya yang mengusahakan produk itu bersama adik-beradiknya yang lain.

Menurut Mohd. Fadzil, setiap sukatan perlu tepat bagi mengekalkan rasa asli rendang pucuk ubi resipi ibunya yang sememangnya sudah terkenal di sekitar Jelebu.

"Apabila sebut sahaja rendang pucuk ubi Mak Long Timah, pasti ramai yang mengetahuinya. Kami menggunakan daun pucuk ubi pulut kerana rasanya yang lebih sedap berbanding daun pucuk ubi batang merah yang biasanya dijadikan ulam itu.


RENDANG pucuk ubi Mak Long Timah mula dikomersialkan pada tahun lepas.


Makanan sejuk beku

"Kami tidak menggunakan bahan pengawet dalam penyediaan produk ini, jadi kami kena pastikan rendang pucuk ubi ini benar-benar kering supaya ia tahan lama.

"Jika dahulu kami menggunakan kaedah manual dengan memasaknya menggunakan kuali dan mengacaunya seperti dodol tetapi seiring dengan perkembangan teknologi, kini kami menggunakan peralatan moden bagi membantu mempercepatkan proses memasak.

"Dalam seminggu, kami berjaya memproses sebanyak 100 kilogram (kg) daun pucuk ubi bagi menampung tempahan sebanyak 5,000 peket sebulan," ujarnya sambil memberitahu, proses memetik daun pucuk ubi sahaja mengambil masa satu hingga dua jam kerana dilakukan secara manual.

Jelasnya, bagi memastikan bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi, mereka mengambil inisiatif dengan menanam sendiri kira-kira 5,000 pokok ubi kayu di tanah seluas 0.4 hektar di belakang rumah.

"Pasaran produk ini sangat luas. Untuk itu, kami memerlukan bekalan bahan mentah yang mencukupi.

"Selain menanamnya di belakang rumah, kami turut memperoleh bekalan daripada pengusaha ubi kayu dan peniaga di pasar-pasar tani.

"Kami juga sedang berusaha melaksanakan projek tanaman ubi kayu secara menyeluruh di kawasan sekitar Simpang Durian di Jelebu," ceritanya sambil menambah, proses memetik daun pucuk ubi dilakukan sebanyak dua kali seminggu.

Ujarnya, proses penanaman batang ubi kayu secara berbaring dilakukan bagi mendapatkan daun pucuk ubi yang lebih banyak berbanding kaedah penanaman biasa iaitu secara menegak.

Menurut Mohd. Fadzil, di samping rendang pucuk ubi, pihaknya juga dalam perancangan untuk mengkomersialkan produk lain seperti pegaga, pucuk paku dan maman.

Tambahnya, rendang pucuk ubi itu turut mendapat tempahan daripada pelajar universiti yang sedang menuntut di Britain.

"Kami akan mempelbagaikan lagi produk-produk tambah nilai yang berkaitan dengan rendang pucuk ubi ini secara berperingkat-peringkat.

"Kami sedang merancang untuk menjadikan rendang pucuk ubi ini sebagai inti untuk makanan sejuk beku selain mempelbagaikan lagi perisanya," jelasnya sambil memberitahu, terdapat 10 pengedar di seluruh negara yang memasarkan produk keluaran syarikat itu.

Sementara itu, ibunya, Fatimah Zahara Abu Hasan atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Long Timah, 76, memberitahu resipi rendang pucuk ubi merupakan resipi turun-temurun milik keluarganya.

"Dengan ubi kayu ini, saya boleh menghasilkan bermacam-macam jenis kuih dan masakan lain seperti lepat, talam dan kerepek.

"Malah di restoran saya turut menyediakan masakan kampung seperti pucuk ubi masak lemak," ujarnya yang sudah mengusahakan restoran di pekan Kuala Klawang itu selama 31 tahun.

Tahir pemburu barangan nostalgik

Posted:

Tahir pemburu barangan nostalgik

Tahir pemburu barangan nostalgik

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


LELAKI ini mula mengumpul barangan antik sejak lebih 30 tahun lalu.


RUANG tamu rumah Ahmad Tahir Abdul Rahim, 53, di Puchong Prima, Selangor bagaikan muzium barangan terpakai. Rumah pangsa dua bilik tidur itu sarat dengan bermacam-macam barangan lama.

Sebaik sahaja melangkah masuk, lelaki yang mempunyai tiga orang anak ini terus bercerita tentang obsesnya itu.

"Semasa mula-mula berkahwin dahulu, isteri sering merungut kerana rumah ini daripada ruang tamu, dapur hingga bilik tidur, penuh dengan barangan lama.

"Dia bising sebab saya banyak habiskan duit untuk membeli barangan antik berbanding membelikan barang kemas untuknya," kata Tahir.

Setakat ini, Tahir telah membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk hobinya itu.

"Barangan lama ini mudah mengingatkan saya kepada kenangan lalu sekali gus mendorong saya bermuhasabah tentang diri saya sekarang," jelas pesara kerajaan ini.


BEKAS tiket yang pernah digunakan konduktor bas Red Yellow Omnibus di Perak masih tersimpan elok.


Hobi

Sebagai contoh kata Tahir, lencana sekolah-sekolah di sekitar Perak yang disimpannya akan mengingatkan dia mengenai suasana persekolahan pada zaman dahulu yang berbeza daripada sekarang.

"Hobi ini akan saya teruskan hingga ke akhir hayat," katanya.

Koleksi barangan antik yang dimiliki Tahir termasuklah set televisyen, radio, kamera, rantai kunci dan lencana yang jarang-jarang diperoleh kini.

"Itu pun ada yang ditinggalkan di rumah saya di kampung kerana tidak cukup ruang di sini," katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Tahir teruja menceritakan bibit permulaan dia terlibat dengan dunia barangan antik pada 30 tahun lalu.

"Sebenarnya minat itu berputik semasa sekolah menengah. Pada masa itu, saya suka mengumpul lencana, baju sekolah, tanda nama dan topi.

"Minat itu kemudian beralih kepada peralatan elektrik, produk makanan, minuman serta aksesori dapur," terangnya.

Tetapi Tahir bersyukur hobinya itu membolehkan dia meraih pendapatan sampingan yang agak lumayan menerusi penjualan barangan lama itu secara dalam talian.


KOLEKSI lencana sekolah mengimbau zaman remaja.


Dikejar anjing

"Syukurlah jualan melalui medium online boleh mencecah ratusan malah ribuan ringgit sebulan.

"Setakat ini, barangan termahal yang dijual ialah seterika arang iaitu pada harga RM1,500 tahun lepas," ujarnya.

Tambahnya, hasil jualannya pernah mencecah ribuan ringgit dalam dalam tempoh kurang seminggu.

Tahir berkata, kebanyakan barangan lama tersebut adalah hasil pemberian keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

"Ada juga yang dibeli di pasar-pasar yang menjual barangan antik di sekitar Ipoh, Perak dan Shah Alam, Selangor. Lokasi lain ialah di kedai-kedai menjual barang-barang lama.

"Kebanyakan orang tidak tahu nilai barangan ini malah menganggapnya seperti sampah," ujarnya.

Tahir tidak dapat melupakan pengalaman dikejar sekawan anjing semasa dia asyik mencari barangan kegilaannya itu di kawasan bekas lombong di Kampar, Perak.

"Mujurlah pada masa itu saya sempat masuk ke sebuah rumah milik seorang lelaki Cina. Dia kemudian bertindak menghalau haiwan itu, kalau tak, tak tahulah apa yang terjadi," katanya ketawa.

Semasa mencari barangan lama itu juga Tahir dapat bertemu kembali rakan-rakan sekolah yang sudah lama terputus hubungan.

Kenderaan jenis Perodua Viva pula menjadi pengangkutan utama Tahir untuk membawa barangan tersebut. Kalau barangan itu bersaiz besar, van atau lori akan digunakan.

"Kebanyakan barangan itu diletakkan di rumah kampung saya di Kampung Kati, Kuala Kangsar.

"Walaupun rumah itu tiada penghuni, saya akan pulang sebulan sekali untuk membersihkannya," jelasnya.

Pulau larangan bagi lelaki

Posted:

Pulau larangan bagi lelaki

Pulau larangan bagi lelaki

Pulau Arezou di Iran satu-satunya pulau di dunia yang khusus untuk kaum wanita.


WANITA Iran tetap diwajibkan untuk memakai purdah walaupun mandi di pantai. - Gambar hiasan


IRAN lebih dikenali kerana kontroversi program nuklearnya walaupun Presiden Ahmadinejad telah berkali-kali menafikan tuduhan Amerika Syarikat itu.

Ia juga popular dengan dua ikon bandar lama iaitu Shiraz dan Isfahan.

Bandar Shiraz yang seluas 339 kilometer persegi tersohor dengan seni bina bersejarah, antaranya, Makam Ali Hamzein, Kubu Karem Khan dan pusara penyair Hafeiz.

Isfahan pula yang mendapat jolokan 'Separuh Daripada Dunia' menonjol dengan kehebatan arkitekturnya seperti Dataran Imam, Istana Ali Gapu, Istana Chahel-Sotoon dan Masjid Jamek Isfahan.

Dataran Imam yang didirikan pada tahun 1602 merupakan dataran kedua terbesar di dunia selepas Dataran Tiananmen di China.

Walaupun begitu, tidak ramai yang menyedari Iran juga memiliki keunikan budaya apabila kerajaannya mewartakan sebuah pulau iaitu Pulau Arezou sebagai tempat khusus untuk wanita melakukan aktiviti air pada tahun 2007.

INISIATIF negara yang berjiran dengan Iraq ini sewajarnya mendapat pujian dan contoh kepada negara lain.


Air masin

Ini sekali gus memberi peluang kepada kaum Hawa untuk bersantai, beriadah dan bermain ski. Idea berkenaan muncul berikutan wanita Iran sukar untuk mandi-manda di laut walaupun memakai pakaian mandi yang menutup aurat.

Idea itu disokong sepenuhnya oleh Pemimpin Agung Iran, Ayatullah Ali Khamenei. Sebelum ini, terdapat beberapa taman awam di sekitar Iran yang dibina khusus untuk wanita.

Selain itu, Pulau Kish yang terletak bersebelahan Pulau Arezou turut dikhususkan untuk golongan tersebut. Pulau Kish terkenal sebagai lokasi eksklusif untuk aktiviti beli-belah, penginapan hotel mewah dan taman laut.

Pulau Arezou yang bermaksud harapan, terletak di Tasik Oroumiyeh yang memiliki 100 buah pulau. Tasik Oroumiyeh ialah tasik terbesar di Asia Barat dan telah diwartakan sebagai Taman Negara oleh Teheran.

Tiada hidupan akuatik di dalam tasik yang bersempadan dengan Turki itu berikutan tahap kemasinan airnya yang terlalu tinggi.

Tasik ini juga semakin mengecil kerana faktor ketidakstabilan cuaca dunia.


WANITA Iran juga terdedah dengan arus pemodenan semasa.


Kemudahan yang disediakan di Pulau Arezou cukup lengkap meliputi pengangkutan, restoran dan klinik dengan semua kakitangannya adalah wanita.

"Pulau Arezou akan dijadikan pulau khas untuk wanita," kata pegawai wilayah Azerbaijan Barat, yang hanya dikenali sebagai Aghai kepada akhbar Teheran Emrouz.

Menurutnya, tiada lelaki di pulau itu dan ia merupakan tempat pertama seumpamanya di negara ini dan mungkin juga di dunia.

"Ia diharap akan meningkatkan sektor pelancongan di kawasan itu yang sememangnya terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna. Selain itu, ini menunjukkan penghargaan Iran terhadap kaum wanita," katanya.

Ujarnya lagi, inisiatif pulau bebas lelaki itu tidak bertentangan dengan undang-undang syariah negara itu.

"Malah, pemimpin negara sendiri bersetuju dan majoriti rakyat menyokongnya," tambah lelaki itu.

Di bawah Kod Islam Iran, pendedahan aurat wanita kepada lelaki bukan muhrim dilarang sama sekali.

Kemudahan kios turut disediakan di Pulau Arezou dengan pengunjung wanita yang ingin memesan air minuman bersantai di kerusi di tepi pantai. Mereka juga bebas membuka tudung dan jubah mereka.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved