Sabtu, 11 Mei 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Nenek maut ditinju cucu sendiri

Posted:

Nenek maut ditinju cucu sendiri

Nenek maut ditinju cucu sendiri

Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@ksomo.com.my


MAYAT Che Minah (gambar kecil) dibawa menggunakan jip polis di Tumpat semalam.


TUMPAT – Seorang warga emas berusia 84 tahun maut dalam keadaan menyayat hati selepas ditumbuk beberapa kali di bahagian muka oleh cucunya di Kampung Pasir Pekan Hilir dekat sini semalam.

Mangsa, Che Minah Che Hassan, yang sudah uzur meninggal dunia selepas cedera parah akibat dibelasah suspek berusia 35 tahun itu.

Lelaki terbabit turut bertindak ganas dengan menumbuk bertubi-tubi ibu kandungnya, Che Rahmah Che Will, 61, sehingga cedera dan terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Difahamkan, suspek 'naik angin' secara tiba-tiba lalu menyerang nenek serta ibunya di dalam rumah mereka dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu.

Menurut menantu mangsa, Mohd. Ghani Zakaria, 46, dia menyedari kejadian tersebut selepas mendengar jeritan suspek yang tinggal bersebelahan rumahnya.

"Ketika itu saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja. Apabila mendengar jeritan itu saya terus bergegas ke rumah mereka.

"Bagaimanapun, suspek yang dalam keadaan berang menghalang saya masuk. Ketika itu saya ternampak ibu mertua saya terbaring kaku manakala Che Rahmah duduk dengan mukanya cedera," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mohd. Ghani, dia kemudian terus menghubungi pihak polis yang bertindak menahan anak saudaranya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, pemangku Superintendan Zaharudin Rasip berkata, suspek sebelum ini pernah dirawat sebagai pesakit mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Perak dan Wad Psikiatri HPRZ II.

"Suspek baru sahaja selesai menjalani rawatan mental di hospital tersebut sejak dua tahun lalu.

"Dia kini ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dia mengamuk," katanya ketika ditemui di sini.

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

10 pemenang peraduan Warkah Buat Ibu 2 dipilih

Posted:

10 pemenang peraduan Warkah Buat Ibu 2 dipilih

10 pemenang peraduan Warkah Buat Ibu 2 dipilih

Oleh Sahlizah Mohamed
dan Izyan Liyana Mohd. Darif
berita@kosmo.com.my


KATHERINE (barisan kedua tengah) bersama Lokman (barisan belakang tengah) bergambar bersama para pemenang peraduan Warkah Buat Ibu 2 anjuran Resorts World Genting
di Awana Kijal Terengganu, Kemaman malam tadi.


Kemaman – Seramai 10 pemenang bertuah telah dipilih sebagai pemenang peraduan Warkah Buat Ibu 2 anjuran Resorts World Genting (RWG) dengan kerjasama akhbar Kosmo!.

Dengan kemenangan itu, peserta bersama ibu dan dua ahli keluarga masing-masing dibawa menikmati percutian selama tiga hari dua malam di Resorts World Kijal, di sini semalam.

Peraduan yang dianjurkan buat kali kedua ini bermula pada 1 April hingga 2 Mei lalu.

Peserta dikehendaki menghantar dan memuat naik warkah kreatif di Facebook RWG mengikut lima tema yang ditetapkan tidak melebihi 200 patah perkataan.

Menurut Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi RWG, Katherine Chew, pihaknya telah menerima lebih 250 penyertaan dan pemenang telah dipilih berdasarkan kreativiti dan undian yang tertinggi di Facebook RWG.

"Sambutan pada kali ini sangat menggalakkan. Kami bukan sahaja menerima penyertaan daripada golongan muda, tetapi juga mereka yang berusia 59 tahun.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada akhbar Kosmo! yang sentiasa membantu mempromosikan peraduan dan resort kami," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan tempat pertama dimenangi oleh Shamsul Mustaffa Mohd. Kamal, 55, manakala tempat kedua, Siti Nurulhidayah Zainal, 25, dan ketiga menjadi milik Tan Liong Hong, 18.

Foo Wei Ling, 32, pula memenangi Anugerah Pilihan Ramai Warkah Buat Ibu 2 dengan undian melebihi 4,000.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Pengarang 2 Kosmo!, Lokman Othman dan Pengurus Besar Resorts World Kijal, Noorazzudin Omar.

20 rumah hangus

Posted:

20 rumah hangus

20 rumah hangus

Oleh NUR AISHAH AMIN
Berita@kosmo.com.my

BEBERAPA anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di Cheras semalam.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 20 buah rumah musnah dalam kebakaran di Taman Ikan Emas, Cheras di sini kira-kira pukul 2.15 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Tun Razak, Abdul Rahman Abu Hassan berkata, kebakaran melibatkan 16 buah rumah berpenghuni dan empat buah rumah kosong.

Dalam kejadian itu, dua anggota bomba iaitu Sueb Abd. Halim, 29, cedera selepas terkena percikan air panas ketika memadam kebakaran manakala Mike Anak Keliang, 21, pengsan.

Kedua-duanya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini untuk rawatan lanjut.

"Panggilan mengenai kebakaran itu diterima kira-kira pukul 2.34 petang dan tujuh buah jentera bomba dihantar ke lokasi kebakaran," katanya di sini semalam.

Menurut Abdul Rahman, bomba berjaya memadamkan kebakaran pada pukul 3 petang.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah kosong sebelum merebak dengan pantas ke beberapa buah rumah yang berdekatan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Rohani Adnan, 58, berkata, dia panik melihat api sedang marak ketika sampai di rumahnya semasa pulang dari kedai.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rumah saya terselamat dalam kebakaran itu," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved