Khamis, 30 Mei 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Dua tayar khas untuk negara ASEAN

Posted:

Dua tayar khas untuk negara ASEAN

Dua tayar khas untuk negara ASEAN

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

TREND para pengeluar motosikal membawa masuk dan melancarkan produk baharu nampaknya agak rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pelbagai model yang ditawarkan oleh pemain-pemain dalam pasaran sudah berwajah baharu. Sekali gus membuatkan segmen motosikal sedia ada kini menjadi semakin meriah.

Contoh mudah, motosikal kembara, motard, off-road, jentera berkuasa tinggi, skuter maxi dan motosikal berkuasa tinggi boleh dilihat di mana-mana sahaja.

Salah satu faktor penyumbang kepada situasi itu adalah kuasa pasaran dan pemansuhan duti import motosikal dari negara-negara ASEAN (ASEAN CKD).

Malah, motosikal juga tidak lagi dilihat sebagai kenderaan kegunaan harian semata-mata. Ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup pemiliknya.

"Lihat sahaja pada kehadiran Kawasaki Ninja 250 dan Honda CBR250R di atas jalan raya di negara ASEAN. Pengguna motosikal di Asia Tenggara lebih cenderung ke arah keseronokan tunggangan.

"Ini mewujudkan keperluan untuk produk-produk lebih sesuai dengan corak kegunaan jentera," kata Pengarah Komersial Dua Roda Michelin Asia Pasifik dan India, Laurent Lemonnier pada taklimat dua produk terbaharu Michelin di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Tambahnya, Michelin percaya Asia Tenggara berpotensi muncul sebagai pasaran paling pantas berkembang di dunia tidak lama lagi.

Pilot Street

Bersandarkan kepada perkembangan itu, Michelin menghasilkan dua rangkaian tayar khas untuk para pengguna negara ASEAN iaitu Pilot Street dan Pilot Street Radial.

Pilot Street dibangunkan untuk kegunaan harian iaitu 100 peratus di atas jalan raya biasa. Tayar itu ditumpukan kepada kelas motosikal di bawah 250cc.

Profail penggunanya ialah golongan lelaki muda urban yang meminati sukan bermotor. Mereka juga mementingkan imej motosikal.

Corak penggunaan pula lebih ke arah tunggangan sporty dengan purata jarak tunggangan sekitar 150km sehari.


KUMPULAN peserta sedang bersiap sedia untuk menguji tayar Michelin Pilot Street di Bangkok baru-baru ini.


Jadi, kumpulan sasar itu mengharapkan tayar yang memberi pengendalian terbaik, kestabilan dan tunggangan tepat, jangka hayat lebih lama, selain cengkaman di atas jalan basah atau kering.

Pilot Street Radial

Demi menampung keperluan segmen jentera supersports berkapasiti 250cc pula, Michelin tampil dengan Pilot Street Radial.

Bezanya, produk itu sudah dicampur dengan silika dalam kandungan getah tayar. Silika ialah material yang diekstrak daripada pasir.

Campuran silika pada bunga tayar dapat membantu mengurangkan rintangan, menjimatkan minyak dan menambah baik aspek cengkaman di atas jalan basah.

Rangkaian tayar terbaharu itu direka di Pusat Teknologi Michelin di Ladoux, Perancis. Kilang pengeluarannya pula terletak di Thailand.

Saya bersama kumpulan media Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam berpeluang menguji Pilot Street dan Polit Steet Radial di Thailand Circuit Nakhon Chaisri, Bangkok.

Dua baris motosikal berkapasiti 250cc disediakan. Barisan pertama dilengkapi tayar standard keluaran kilang. Barisan kedua menggunakan Pilot Sport Radial.

Pusingan pertama menggunakan tayar standard, sebelum ia ditukar dengan tayar Pilot Street Radial.

Sewaktu tunggangan lurus, tidak banyak perbezaan di antara tayar standard dan Michelin. Tetapi perbezaan dapat dirasai ketika di selekoh.


KEKUATAN cengkaman dapat dirasai dengan agak ketara apabila motosikal dipasang tayar Pilot Street Radial.


Apabila keluar dari kawasan selekoh dan pendikit minyak dipulas lebih, saya mendapati Pilot Street Radial lebih stabil cengkamannya.

Selepas sembilan pusingan di litar, apa saya boleh katakan ialah produk Michelin itu memberi keyakinan untuk menurunkan jentera lebih rapat ke bahu litar. Tayar belakang nyata tidak membuang.

Kami kemudian beralih kepada tunggangan motosikal underbone. Tayar digunakan ialah Pilot Street jenis tiub.

Ujian sama dibuat pada jentera 125cc itu. Tahap cengkaman tayar cukup memuaskan, sehinggakan pemijak kaki menyentuh litar.

Bagi menguji aspek kendalian tayar Pilot Street, kami dijemput untuk menunggang di trek berhalang dengan had masa 45 saat sahaja.


KUMPULAN media yang hadir di Thailand Circuit Nakhon Chaisri, Bangkok untuk sesi pelancaran rangkaian tayar Michelin Pilot Street dan Pilot Street Radial.


Cabaran setiap penunggang ialah meniti titi kayu, membelok di sudut berbentuk huruf L, membuat pusingan kecil di lorong sempit dan slalom.

Itulah antara halangan yang lazimnya dihadapi ketika mengharungi kesesakan lalu lintas di bandar. Bukan mahu puji lebih-lebih, tetapi prestasi tayar itu memang cukup memuaskan.

Senarai harga tayar Pilot Street dan Pilot Street Radial untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan secara rasmi.

Pengedar tunggal tayar motosikal Michelin untuk Malaysia ialah Verati Sdn. Bhd. Maklumat lanjut berkenaan tawaran tayar itu boleh didapati dengan menghubungi talian 03-9075 2609 atau e-mel ke alamat info@verati.net.

Pengenalan dua rangkaian tayar itu disifatkan sebagai satu permulaan bagi Michelin di ASEAN. Bak kata Lemonnier, banyak lagi model akan ditawarkan tidak lama lagi.

Tawaran menarik UMW Toyota

Posted:

Tawaran menarik UMW Toyota

Tawaran menarik UMW Toyota


TOYOTA Camry kini hadir dengan sistem keselamatan Vehicle Stability Control (VSC).


Sedan eksekutif paling popular di Malaysia sejak enam tahun lalu, Toyota Camry telah dikemas kini dan ditambah baik untuk tahun 2013.

Camry kini hadir dengan sistem Vehicle Stability Control (VSC) yang turut meliputi Traction Control (TRC) untuk varian 2.5V dan 2.0G. Sistem keselamatan aktif itu dibangunkan oleh Toyota untuk mengesan gelinciran tayar sewaktu memecut di selekoh atau membelok di atas jalan yang licin.

Biarpun penampilan luaran tidak berubah, ruang kabin Camry 2.5V dan Camry 2.0G kini menggunakan tona hitam (sebelum ini warna beige). Sementara varian Camry 2.0E pula kekal dengan warna beige. Semua varian Camry juga dilengkapi dengan ISOFIX.

Camry 2.0G dilengkapi dengan sistem kemasukan pintar (Smart Entry) dan Start System yang merupakan ciri standard untuk model Camry 2.5V.

Spesifikasi teknikal Camry tetap sama. Ia masih menggunakan dua pilihan enjin iaitu 2.5 liter 2AR-FE dan 2.0 liter 1AZ-FE. Untuk ketenangan jiwa pemiliknya, Camry hadir bersama jaminan selama 36 bulan atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).


MODEL hibrid Toyota seperti Prius dan Prius c menjadi pilihan pengguna yang peka terhadap alam sekitar.


Biarpun dengan penambahan tersebut, harga yang ditawarkan untuk Camry 2.5V masih sama iaitu RM180,917. Sementara harga Camry 2.0G bertambah sebanyak RM1,000 (RM158,915) dan Camry 2.0E boleh anda miliki pada harga RM149,915 seunit.

Selain penambahbaikan tersebut, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) mengadakan kempen Amazing Toyota Value sepanjang bulan Mei dengan promosi-promosi menarik dan peningkatan ke atas beberapa model pada harga yang cukup kompetitif.

Sebagai contoh, Toyota Vios kini hadir dengan warna putih mutiara untuk varian 1.5G, 1.5G Limited dan 1.5 TRD Sportivo dalam unit terhad. Untuk opsyen ini, anda perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM800.

Model-model lain yang turut ditambah baik ialah Hilux double cab 2.5G M/T, 2.5G A/T, dan 3.0G A/T. Trak pikap itu ditawarkan dengan sistem Toyota DVD Audio Video Navigation (AVN) dan kamera mengundur secara percuma. Aksesori tulen Toyota ini bernilai RM2,990.


VIOS hadir dengan warna putih mutiara untuk varian 1 .5G, 1.5G Limited dan 1.5 TRD Sportivo dalam unit terhad.


Tidak cukup? UMW Toyota juga menawarkan rebat pembayaran pendahuluan yang menarik untuk model-model seperti Vios, Camry, Altis, Prius, Prius c, Hilux dan Avanza.

Maklumat lanjut, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Toyota atau layari laman web: www.toyota.com.my. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Kia Soul 2013: Jelmaan Track'ster Concept

Posted:

Kia Soul 2013: Jelmaan Track'ster Concept

Kia Soul 2013: Jelmaan Track'ster Concept

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
geartinggimedia@gmail.com


SOUL mempunyai imej tersendiri, funky dan segar yang membolehkannya dicam secara serta-merta.


KADANG-kadang kita ada terlepas pandang tentang sesuatu perkara. Mungkin sebab kita pandang remeh, tidak berfikir secara mendalam atau langsung tidak terlintas dalam fikiran.

Perkara ini terjadi kepada saya apabila mendapat berita atau membaca tentang Kia Soul. Nama model tersebut dibaca tanpa rasa apa-apa, berkali-kali dalam tempoh yang agak lama hinggalah saya tersedar bahawa sebutan Soul adalah sama seperti Seoul, Korea Selatan.

Baru-baru ini di New York, Amerika Syarikat (AS), Kia memperkenalkan model Soul serba baharu.

Soul dibangunkan di atas chasis baharu yang lebih tegar, panjang dan lebar. Ini sekali gus menjadikannya lebih besar untuk penumpang dan ruang bagasi. Sementara bunyi, gegaran dan kekasaran turut dikurangkan.

Menghormati pelanggan Soul yang unik, Kia memperkenalkan tiga varian kemasan untuk pasaran AS iaitu Base, Plus dan Exclaim.

"Apabila Soul pertama kali diperkenalkan pada tahun 2009, kami di Kia percaya bahawa kami telah berjaya menghasilkan sesuatu yang popular. Tetapi apa yang kami tidak tahu ialah sejauh mana populariti tersebut akan berkembang.

"Soul telah merubah perspektif jualan dan pemasaran, sebelum menjadi antara model jualan terlaris Kia di AS. Maka, adalah penting untuk Soul baharu ini kekal menggunakan formula yang berjaya iaitu reka bentuk ikonik, selain menyuntiknya dengan dinamik pemanduan yang ditambah baik serta ciri-ciri yang meningkatkan keterampilan, sofistikated dan nilai," kata Naib Presiden Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi, Kia Motors America (KMA), Michael Sprague.

Mengekalkan ciri-ciri yang membuatkan Soul istimewa dan menambah baik apa yang perlu bukanlah tugas mudah. Semasa pasukan pereka sibuk di studio Kia di California, jurutera di AS dan Korea pula fokus untuk menjadikan Soul seronok dipandu.

Memetik laporan agensi berita Newspress, model baharu Soul dibangun berdasarkan kepada tiga fokus iaitu reka bentuk ikonik dengan pengaruh moden, ciri-ciri premium dan menambah baik dinamik pemanduan untuk membuatkan ia lebih menarik.

Kia dikenali dengan model konsep yang mirip dengan model produksi. Jadi, pasaran boleh mengagak reka bentuk model baharu Kia yang tidak lari jauh dengan model konsep dan Soul tidak terkecuali.


RUANG kabin Soul yang luas dan ergonomik.


Kerangka lebih kukuh

Dengan model konsep Track'ster yang diperkenalkan pada 2012, Kia mendapat maklum balas untuk menterjemahkan model itu kepada realiti. Dengan tempoh 18 bulan antara penetapan reka bentuk dan produksi, pasaran boleh menjamah model baharu itu yang banyak mempunyai pengaruh gayaan model konsep Track'ster.

Ketua Pereka studio Kia di California, Tom Kearns mengatakan yang Track'ster banyak dipengaruhi oleh anjing bulldog. Malah, tema tersebut dizahirkan kepada hampir semua sudut Soul baharu.

"Soul baharu sebenarnya merupakan antara tugasan yang paling sukar kami lakukan. Menghasilkan model dengan kombinasi reka bentuk sedia ada dengan suntikan elemen Track'ster sememangnya satu tugas yang mencabar.

"Model ini dibina hasil bimbingan Peter Schreyer di Frankfurt dan bantuan daripada studio kami di Korea. Hasilnya kami berjaya mengekalkan nilai asal Soul. Pada masa yang sama mengadun elemen baharu pada bahagian luar dan dalam kereta," kata Kearns.

Badan baharu Soul sebenarnya lebih kukuh iaitu peningkatan 28.7 peratus ketegaran kilasan (torsional rigidity). Jurutera telah menguatkan chasis pada poin sambungan sepanjang dinding enjin (cowl), bahagian atas dan bawah tiang B, cross member dan tiang C.

Secara keseluruhannya, 66 peratus chasis menggunakan Ultra High Strength Steel (35 peratus) dan High Strength Steel (31 peratus). Tiang A kini 20mm lebih nipis seterusnya memperbaiki tahap penglihatan ke luar, saiz yang berkurangan tersebut ditebus dengan penggunaan Ultra High Strength Steel yang lebih ringan dan kuat.


SOUL baharu dihasilkan dalam tempoh 18 bulan.


Penambahbaikan juga dibuat pada aspek pemanduan serta pengendalian melalui talaan semula suspensi depan dan belakang. Palang penstabil dialih ke belakang pada bahagian suspensi depan. Sementara kotak stereng pula dianjak ke depan supaya lebih seimbang, seterusnya memperbaiki tahap pengendalian.

Kuasa untuk varian Base dihantar oleh enjin aluminium 1.6 liter Gamma Gasoline Direct Injection (GDi) berkuasa 130hp. Varian Plus dan Exclaim pula menggunakan enjin 2.0 liter Nu GDi berkuasa 164hp.

Kedua-dua opsyen enjin tersebut telah ditala semula untuk memberikan lebih kuasa tork pada rpm rendah. Peningkatan sembilan peratus bagi model 2.0 liter dan lima peratus untuk model 1.6 liter bagi memperbaiki prestasi pemanduan bandar.

Enjin 1.6 liter dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual atau automatik. Varian Plus pula mungkin akan dipadankan di antara kedua transmisi tersebut, manakala varian Exclaim hanya ditawarkan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Jika anda perasan, kereta buatan Korea mempunyai beberapa model yang mengambil nama tempat seperti Hyundai Tucson dan Hyundai Santa Fe.

Jadi tidak hairanlah jika Kia menggunakan nama Soul untuk model ini. Pilihan nama tersebut merupakan suatu yang pintar kerana ia turut mengangkat nama ibu kota Korea Selatan itu di mata dunia.

Tahukah anda bahawa tayar Astar keluaran Sime Tyres berasal daripada perkataan Alor Setar? Nama tersebut diambil sempena lokasi kilang produksi tayar yang kini dimiliki oleh Continental AG.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved