Jumaat, 17 Mei 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Kekal DNA tahan lasak dan jimat bahan api

Posted:

Kekal DNA tahan lasak dan jimat bahan api

Kekal DNA tahan lasak dan jimat bahan api

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

SELEPAS sekian lama menunggu, trak pikap popular keluaran Isuzu iaitu D-Max generasi kedua akhirnya dilancarkan secara rasmi pada malam Rabu lalu. Jika dilihat kepada skala majlis pengenalannya, Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (Isuzu Malaysia) nampak serius untuk memberitahu semua orang tentang kemunculan produk terkininya itu.

Harus tahu bahawa ia bukanlah model naik taraf. D-Max yang tampil dengan rekaan lebih segar dan kontemporari itu merupakan model serba baharu. Sama ada dari segi penampilan, teknologi, mahupun rangkaian kuasanya.

Model itu sebenarnya telah menjenguk pasaran Thailand sejak tahun 2011. Sambutan yang diterimanya juga amat menggalakkan apabila 250,000 unit telah berjaya dijual. D-Max bukan popular di Thailand sahaja. Kalau dilihat di pasaran antarabangsa, trak pikap itu sudah terjual lebih 2.5 juta unit di 80 buah negara di seluruh dunia.

Program pembangunan komprehensif

Pengguna di Malaysia mula diperkenalkan dengan D-Max pada tahun 2003. Sejak itu, ciri utama D-Max iaitu ketahanan, kebolehpercayaan dan penjimatan bahan api sudah diketahui oleh rakyat negara ini.

Maka, tidak hairanlah jika lebih 30,000 unit D-Max sudah menemui pemiliknya. Malah, semuanya berpuas hati dengan kualiti yang ditawarkannya.

Bagi menjadikannya terus kekal relevan dalam segmen trak pikap yang begitu sengit, D-Max juga telah menjalani proses penambahbaikan sebanyak beberapa kali.

"Pasukan jurutera Isuzu bukan sekadar meningkatkan ciri-ciri utama seperti ketahanan, kebolehpercayaan dan penjimatan bahan api. Malah pakej keseluruhan seperti keselesaan, keselamatan dan prestasi pada Isuzu D-MAX serba baharu ini juga telah dibawa ke tahap lebih tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kimitoshi Kurokawa.


KUROKAWA (kiri) dan Pengarah Eksekutif Kanan Isuzu Motors Ltd., Katsumasa Nagai ketika melancarkan Isuzu D-Max serba baharu di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.


Merupakan hasil daripada program pembangunan paling komprehensif dalam sejarah Isuzu Motors, D-Max kini nyata tampil dengan lebih bersedia untuk memenuhi apa jua keperluan pelanggannya.

Program pembangunan D-Max baharu melibatkan penyelidikan dan kaji selidik pelanggan dari seluruh dunia secara ekstensif. Hasilnya, trak pikap itu mampu menjelma menjadi sebuah kenderaan yang benar-benar tahan lasak. Tidak percaya? D-Max sudah pun ujian ketahanan sejauh lebih empat juta kilometer!

Menyambung kolaborasi daripada model generasi pertama, D-Max baharu turut dibangunkan bersama General Motors (GM). Tetapi Isuzu mengetuai proses pembangunan tersebut. Maka, produk yang mereka hasilkan iaitu D-Max dan Chevrolet Colorado adalah berbeza dari segi enjin, transmisi, dinamik pemanduan dan gayaan luaran. Apa yang sama cuma platform dan ruang dalamannya sahaja.

D-Max kini mempunyai saiz yang lebih besar pada setiap dimensi. Selain mampu menawarkan ruang kabin dan kargo lebih luas, penampilannya juga semakin maskulin dan agresif.

Sekiranya diteliti, profail rekaan badan yang berbentuk seperti baji itu sebenarnya direka untuk kecekapan. Fokus kepada aspek aerodinamik, rekaan itu dicipta menggunakan kemudahan terowong angin milik Institut Penyelidikan Teknikal Kereta Api Jepun. Ia merupakan kemudahan sama yang digunakan untuk membangunkan kereta api laju Jepun yang terkenal itu.

Hasilnya, tahap pekali seretan (coefficient of drag, Cd) D-Max adalah yang paling rendah dalam kelasnya. ia sekaligus menjadikannya sebah kenderaan yang lebih senyap dan cekap terutama ketika memecut di lebuh raya.

Isuzu menyatakan bahawa kualiti ruang kabin D-Max sekarang sudah seperti sebuah SUV. Selepas duduk seketika di dalamnya, saya bersetuju dengan kenyataan tersebut. Ruang kokpitnya kini semakin luas, moden dan mewah.

Sistem audio mewah

Pereka Isuzu memastikan semua butang kawalan diposisikan agar mudah dicari dan dicapai oleh pemandu. Sebagai contoh, posisi pemilihan mod pacuan empat roda sebelum ini diletakkan pada fascia papan pemuka. Kini, tombol itu diletakkan lebih hampir dengan pemandu dan tuil gear. Ini membolehkan pemandu untuk memilih mode pemanduan tanpa perlu mengalihkan pandangan daripada jalan raya.

Kefungsian ruang juga dipertingkatkan. Kini terdapat sepuluh tempat untuk anda meletak minuman dan 15 kompartmen barang, termasuklah di bahagian bawah tempat duduk belakang.

Untuk keselesaan maksimum penumpang, tempat duduk belakangnya mempunyai sudut kedudukan terbaik dalam kelasnya. Ketiga-tiga orang penumpang belakang juga mempunyai perehat kepala dan tali pinggang keledar tiga poin sendiri. Jika tiada penumpang di tengah, perehat tangan boleh diturunkan untuk menambah keselesaan. Untuk mereka yang mempunyai anak kecil, ciri ISOFIX disediakan.

Berita baik untuk peminat muzik, D-Max kini dilengkapi sistem audio mewah yang mampu menghasilkan bunyi berkualiti tinggi. Di samping pembesar suara, Sistem Audio Premium Isuzu turut hadir dengan sepasang tweeter 'exciter' yang dipasang kemas pada kemasan bumbung di bahagian atas kepala penumpang.

Bercakap tentang prestasi pula, sumber kuasa trak pikap tersebut diperoleh daripada unit enjin 2.5 liter Super Commonrail baharu. Ia dilengkapi sistem turbo Variable Geometry System (VGS) yang dikawal oleh komputer.


RUANG kabin trak pikap ini menggunakan warna hitam dan calitan warna perak sebagai latar utamanya.


Enjin berkenaan bukan sahaja memberikan maklum balas pendikit dan prestasi yang lebih baik, malah para jurutera Isuzu berjaya mengimbanginya dengan mengurangkan emisi ekzos serta penggunaan bahan api lebih efisien sehingga sepuluh peratus .

Enjin baharu dengan kod nama 4JK1-TCX itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 100kW (136PS) @ 3,600 rpm dan tork 320Nm di antara 1,800rpm hingga 2,800rpm. Ia sememangnya lebih berkuasa jika dibandingkan dengan prestasi enjin 3.0 liter sebelum ini.

Berbanding enjin 2.5 liter terdahulu, kuasa dan tork enjin baharu meningkat sebanyak 17 dan 14 peratus. Selain memaksimumkan kecekapan enjin, pengecas turbo VGS berfungsi menghilangkan 'turbo lag' bagi memberikan pecutan lebih pantas. Saiz intercooler juga ditingkatkan bagi menambah baik prestasi penyejukan dan memastikan suhu operasi yang konsisten untuk jangka hayat enjin lebih lama.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan pilihan kotak gear lima kelajuan manual atau automatik yang baharu bersama mode penukaran berurutan bagi memberikan kawalan sepenuhnya kepada pemandu.

Tidak pernah kompromi dengan keselamatan pengguna, D-Max dilengkapi pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif. Misalnya Traction Control System (TCS), Electronic Stability Control (ESC), ABS dengan Electronic Brake Distribution (EBD) dan Brake Assist. Kerangka dan dinamik tubuh juga menerima penambahbaikan ketara.

D-Max ditawarkan melalui lima varian berbeza. Varian-varian tersebut dibezakan oleh sistem pacuan roda, enjin, transmisi, aksesori dan jumlah beg udara yang ada padanya. Harga D-Max bermula dari RM69,799 hingga RM101,150 seunit.

Bagi memberi pilihan lebih luas kepada bakal pemiliknya, D-Max hadir dalam lima warna menarik iaitu merah, kelabu, hitam, putih dan perak.

Nissan Almera Grade E

Posted:

Nissan Almera Grade E

Nissan Almera Grade E

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


WALAUPUN nampak kompak, ruang dalaman Almera sebenarnya luas.


SAYA pernah bertanya kepada bekas seorang Pengarah Urusan sebuah syarikat automotif mengenai pengeluar manakah yang bakal menjadi ancaman kepada syarikatnya.

Jawapannya di luar jangkaan apabila dia tidak menyebut jenama Korea Selatan seperti yang saya jangkakan. Jawapan yang diberikan ialah Nissan dengan alasan pengeluar tersebut boleh menawarkan harga kereta yang murah.

Benar katanya, selang beberapa bulan kemudian, Nissan melancarkan Almera pada harga RM66,000 yang berada pada paras harga kereta nasional.

Serta-merta Almera menjadi popular dan mencatat rekod tempahan melebihi 15,000 unit dalam masa tiga bulan selepas dilancarkan pada penghujung Oktober 2012. Almera juga terbukti popular apabila mencatat carian tertinggi dalam senarai automotif Google untuk tahun 2012.

Selepas enam bulan dilancarkan, saya mendapat peluang untuk memandu uji Nissan Almera Grade E. Sebelum itu, sudah lama saya memerhatikan Almera dari luar. Memang diakui saiznya besar dan saya fikir itulah antara faktor jualan utama model tersebut.

Nampaknya pasukan pembina model itu berjaya menekan butang yang betul memandangkan banyak sungguh Almera di atas jalan sekarang. Demografi pembelinya juga pelbagai. Lelaki, wanita, muda dan berusia. Selain itu, Almera merupakan alternatif yang segar di antara pesaingnya yang lain seperti Toyota Vios dan Honda City yang kini sudah memasuki kitaran akhir produk.

Nissan dilihat mempunyai jalan mudah untuk membuat penanda aras memandangkan kedua-dua model itu sudah lama berada di pasaran. Senang kata, Nissan dapat mengagak selera pembeli berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pesaingnya. Hasilnya, Almera tampil dengan pakej yang kena dengan selera pengguna. Jadi tidak hairanlah kenapa model itu merupakan sedan global terlaris Nissan.

Saiz dalaman Almera memang besar walaupun dari luar nampak kompak. Ini berjaya dilakukan melalui teknik memaksimumkan ruang. Ruang kaki penumpang belakang luas, begitu juga dengan bonet.

Dua ciri tersebut sangat penting berdasarkan budaya pembeli terutama sekali di negara membangun yang mempunyai keluarga, selain suka berjalan jauh seperti pulang ke kampung dan bercuti. Kerusi pemandu dan penumpang juga selesa. Saya yakin penumpang pasti lena tidur semasa dalam perjalanan.

Penjimatan kos

Daripada tempat duduk pemandu, kerusinya boleh dilaras ke atas dan ke bawah. Namun disebabkan fizikal saya yang tinggi perbezaannya tidak ketara. Melihat keluar, kereta ini terasa tinggi namun itu merupakan poin bonus untuk pemandu wanita dengan fizikal yang rendah.

Almera Grade E adalah varian kedua termurah pada harga RM69,000. Maka peralatannya tidaklah semewah varian lain. Terdapat beberapa ciri-ciri penjimatan kos seperti stereng yang kurang selesa dipegang. Perkakasan plastik juga nampak kasar permukaannya.

Paparan grafik meter juga berbeza daripada varian lain dan nampak biasa-biasa sahaja. Almera Grade E didatangkan dengan hanya satu beg udara di sebelah pemandu. Tetapi sistem keselamatan lain seperti EBD, BA dan ABS dikekalkan.

Dari segi pemanduan, Almera sememangnya ditala untuk negara membangun dengan keadaan jalan yang tidak sempurna. Almera menyerap hentak lopak jalan dengan baik. Pada kelajuan sederhana di atas lebuh raya, kereta terasa stabil walaupun dengan saiz tayar yang langsing. Kiranya dua ciri tersebut boleh saya kelaskan sebagai bagus.


RUANG kabin dengan rekaan ringkas dan praktikal.


Suasana di dalam kabin juga agak senyap. Namun Almera tidak boleh lari daripada sifat kereta sedan biasa. Olengannya sederhana sewaktu mengambil selekoh, manakala stereng tidaklah 'setajam' mana.

Untuk kuasa pula, Almera dijana oleh enjin bersesaran 1.5 liter CVTC yang dipadankan dengan transmisi empat kelajuan. Pecutan Almera terasa linear dan saya fikir mungkin itulah karakter enjin moden yang mungkin dipengaruhi oleh teknologi penjimatan minyak.

Sewaktu memandu dalam keadaan normal, enjin Almera sememangnya senyap dan lancar. Namun karakternya berubah menjadi lebih 'garau' apabila gear dianjak daripada seleksi D ke gear 2 semasa mendaki bukit atau memotong kenderaan.

Harus diakui Nissan memang pandai memasarkan kereta mereka bagi memenuhi pelbagai kehendak pasaran. Ini boleh dilihat melalui aksesori rasmi dengan jaminan kilang seperti Nismo, Autech dan paling popular ialah Impul.

Bagi mereka yang mahukan penampilan dan karakter sporty, Nissan ada menyediakan pakej Impul. Pakej itu terdiri daripada kit badan, sistem suspensi dan ekzos dengan tambahan RM10,000 untuk pakej penuh.

Pembeli juga boleh menaik taraf aksesori standard seperti pemain cakera padat kepada DVD dan sistem navigasi, kerusi kulit dan roda aluminium. Jika terasa banyak sangat yang hendak ditambah, beli sahaja model spesifikasi penuh iaitu Grade VL yang pastinya lebih menarik dan mewah.

Setakat ini saya sudah memandu uji tiga buah model Nissan. Harus diakui bahawa produknya mempunyai ciri tersendiri seperti pemanduan selesa dan semestinya penggunaan minyak yang ekonomikal.

Berdasarkan pengalaman pandu uji, saya dapat rasakan Almera dibina dan dibangunkan oleh pasukan jurutera dan pereka berpengalaman. Mereka berjaya memberikan semua ciri-ciri yang diperlukan oleh pasaran.

Almera juga dilihat popular kerana ia menawarkan alternatif sesuai untuk mereka yang baru berkeluarga dan pilihan yang segar untuk menaik taraf daripada kereta bandar. Nissan memasarkan Almera pada masa yang sangat sesuai, ketika pengeluar lain sedang menyiapkan model masing-masing.

Liberty berimej premium

Posted:

Liberty berimej premium

Liberty berimej premium

Oleh SHAWKATH AZDE


SKUTER jenama Itali ini sesuai untuk kegunaan harian dalam kawasan bandar.


JIKA ditanya model skuter jenama Itali yang kerap kelihatan atas jalan raya tempatan, sudah pasti jawapannya Vespa LX150.

Sebenarnya, ada satu lagi produk sekelasnya diedarkan oleh pengedar sama, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira). Model yang dimaksudkan ialah Piaggio Liberty 150ie.

Tidak dinafikan Liberty 150ie agak sukar ditemui berbanding LX150. Mungkin disebabkan populariti Vespa lebih dekat dengan pengguna sejak zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi.

Pelancaran Liberty 150ie diadakan bersama perasmian bilik pameran Naza Premira di Kota Damansara, Selangor pada Julai 2011.

Produk keluaran kilang pemasangan Piaggio di Vietnam itu dikuasakan oleh enjin empat lejang bersesaran 150cc. Transmisi pemboleh ubah berterusan automatik (CVT) dan sistem pancitan bahan api diberikan sebagai padanan.

Skuter berkenaan berupaya menjana kuasa maksimum sebanyak 8.9kW pada 7,750rpm, manakala tork puncaknya adalah 11.8Nm @ 6,500rpm.

Jika diamati, Liberty 150ie mencerminkan kombinasi rekaan sebuah skuter moden bersama gayaan klasik. Lampu hadapannya berbentuk segi tiga. Bentuk piramid pula diaplikasi pada lampu isyarat membelok.

Wajah hadapan skuter dan fork hadapan diberi kemasan krom. Begitu juga dengan perumah dan batang cermin pandangan sisi. Ia kelihatan mewah.

Garis dan lekuk pada bahagian tubuh menonjolkan imej tegap. Set lampu belakang separa bulat menjadi tarikan pada bahagian belakang.

Liberty 150ie menggunakan saiz rim aloi berbeza. Bahagian hadapan ialah 15 inci dan 14 inci untuk roda belakang.

Melihat ke arah meter instrumen, ia memaparkan meter laju, status bekalan petrol, odometer, jam dan tarikh digital. Di samping beberapa lampu petunjuk kecil berhubung keadaan semasa skuter itu.


ENJIN yang dipasang pada model ini menawarkan kuasa pecutan yang boleh diberi pujian.


Ruang simpanan

Anda juga dibekalkan dengan ruang simpanan barang. Barang-barang boleh ditempatkan di dalam kotak simpanan yang disediakan di bawah hendal atau tempat duduk.

Bagaimanapun, ia tidak cukup besar untuk memuatkan sebuah topi keledar.

Untuk memulakan operasi enjin, tarik tuil brek dan tekan butang pemula enjin. Tiada penendang kaki disediakan bagi model ini.

Sewaktu enjin dihidupkan, getaran tetap dirasai. Keadaan bertukar lebih lancar apabila roda mula menjelajah jalan raya.

Pendikit minyak jentera tunggang uji sedikit keras namun menawarkan prestasi pecutan agak baik. Dalam tempoh beberapa saat sahaja, jarum meter laju sudah sampai ke angka 60 kilometer sejam (km/j).

Berhubung soal penggunaan petrol, pengisian RON95 sebanyak RM8 (4.45 liter) membolehkan saya mencapai jarak perjalanan sejauh 161km.

Kadar kelajuan tunggangan adalah sekitar 60km/j hingga kelajuan maksimum iaitu 110km/j.

Tugas memperlahan atau memberhentikan jentera diberikan kepada set brek cakera hadapan dan jenis gelendong di belakang.

Sepanjang enam hari sesi tunggang uji, didapati kawalan dan pengendalian Liberty 150ie agak mudah. Skuter itu tidak berdepan masalah apabila mengharung trafik di bandar.

Posisi hendal dan pelana empuk membantu meningkatkan keselesaan tunggangan. Keselesaan kaki juga dibantu oleh rekaan lantai yang rata.

Peranan fork hadapan dan sistem penyerap hentak tunggal belakang boleh dikatakan sebagai sederhana keras. Ia menggalas tugas dengan baik ketika menyerap hentakan atas laluan tidak rata.

Piaggio Liberty 150ie dijual pada harga asas RM8,420 seunit. Jaminan yang diberikan adalah selama setahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dahulu).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved