Jumaat, 31 Mei 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tempoh hayat Search

Posted:

Tempoh hayat Search

Tempoh hayat Search

DALAM belantika muzik Malaysia, nama grup Search merupakan nama yang paling dominan dalam genre muzik rock.Menyebut nama Search, apa yang turut ligat dalam pemikiran peminat mereka adalah katalog untaian lagu yang sentiasa malar segar.

Antara yang paling melekat dalam pemikiran hampir semua generasi yang membesar sekitar tahun 80-an ialah lagu Isabella atau Fantasia Bulan Madu.

Itu belum diambil kira jika anda merupakan peminat tegar Search, maka lagu-lagu seperti Pawana, Isi Atau Kulit, Langit Dan Bumi mahupun Gothic Malam Edan adalah untaian lagu biasa yang menjadi 'perhiasan' bibir setiap kali grup tersebut mengadakan persembahan.

Selain begitu terkenal dengan lagu-lagu malar segarnya, Search pada ironinya menjadi ikutan kerana karakter fesyen dan karisma setiap anggotanya. Vokalisnya, Amy sentiasa tampil dengan fesyen yang menjadi ikutan.

Permainan gitar yang konsisten serta nilai fesyen yang tinggi dalam diri dua pemain gitar adik-beradik mereka, Din dan Kid juga tidak boleh disangkal.

Nasir, si pemain bass yang sentiasa kelihatan serius, biar hakikatnya seorang yang begitu ramah juga tidak mahu kalah dengan permainan kemas dan penampilannya.

Terakhir, pemain drum mereka, Yazit turut mempunyai karisma tersendiri. Maka apabila muzik dan fesyen yang selari bergabung, tidak hairan apabila Search masih konsisten dan relevan sehingga kini.

Malah, selepas lebih tiga dekad menyusuri sepak terajang dunia hiburan, Search menjadi grup yang tidak pernah kering jemputan persembahan biar banyak grup-grup seangkatan serta grup baharu hampir 'mati' tanpa diberi peluang untuk beraksi di atas sebuah panggung yang besar.

Terkini, 1 Jun (esok) akan menjadi sejarah penting buat Search apabila diberi penghormatan sebagai grup pertama dari Malaysia bermain di dalam The Star Performing Art Centre di Singapura menerusi Konsert Acoustica Malam Edan Search.

Konsert tersebut juga menyaksikan konsert akustik pertama mereka selepas 16 tahun mengadakan persembahan dalam bentuk tersebut.


WALAUPUN setiap anggota Search sudah berusia melebihi 40 tahun dan grup tersebut sendiri sudah terlalu lama berada dalam industri muzik tanah air, namun Search masih laris menerima undangan mengadakan persembahan.


32 tahun Search

Bercakap mengenai konsert tersebut, Amy yang ditemui baru-baru ini melahirkan keterujaannya. Ujarnya Acoustica Malam Edan Search bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi bakal menjadi kayu ukur kepada kredibiliti mereka sebagai pemuzik yang telah meledani fasa turun naik dunia hiburan.

"Saya kira, untuk usia 32 tahun Search, konsep seumpama ini amat dinantikan oleh kami. Beraksi di atas sebuah pentas yang berprestij dan konsep akustik yang bakal dipertontonkan akan menguji kredibiliti Search sebagai sebuah grup yang kompak," ujarnya penuh teruja.

Dengan penuh bersemangat, Amy memberitahu, kali terakhir mereka bermain secara akustik adalah dalam persembahan Gema Di Timur Jauh Unplugged sekitar tahun 1996 dahulu.

"Jadi, apabila penganjur Sound Check Pte. Ltd. datang membawa idea seumpama ini, Search tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju," katanya tersenyum sebelum menyambung: "Bermain secara akustik bermakna banyak perkara yang perlu diperincikan saat kami membuat persembahan kerana bunyinya yang dilantunkan satu persatu secara halus."

Sudah bersiap sepenuhnya untuk sekali lagi menakluk hati para peminatnya pada malam esok menerusi konsert tersebut, Search menyediakan untaian 20 buah lagu terhebat yang dipilih daripada album pertama mereka, sehingga terakhir iaitu Gothic Malam Edan.

Selain Acoustica Malam Edan Search, Search juga bakal menghiburkan peminatnya dalam sebuah lagi konsert mega yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Kali ini, mereka akan bergabung dengan tiga grup legenda dari Asia iaitu Loudness yang berasal dari Jepun dan Slank dari Indonesia serta Rusty Blade dari Singapura menerusi konsert yang diberi nama Thunder In The East 2013.

Melihat kepada larisnya Search, Amy yang ditebak persoalan tentang kedudukan grupnya yang kukuh hanya tersenyum.

Terdiam lama berfikir, vokalis tersebut akhirnya mula melontarkan buah fikiran tentang Search yang masih laris.

Ujarnya: "Mungkin kerana Search masih mampu menjual tiket. Daripada segi bisnes, ini yang dipentingkan oleh penganjur, dan daripada Search sendiri, kami juga mengharapkan peminat terus menyokong dan hadir menyaksikan setiap persembahan kami."

Walau bagaimanapun, ujar Amy, itu bukan bermakna mereka semberono mengambil semua tawaran yang datang.


KARISMA grup Search terletak kepada kredibiliti mereka sebagai pemuzik dan penampilan yang sering menarik perhatian.


Kudrat dan kesihatan

Sebagai sebuah grup yang cukup berpengaruh, mereka selektif dan menolak banyak permintaan jika konsep yang diusul tidak menarik.

Malah, ujar Amy lagi, paling penting, mereka juga tidak mahu mengadakan konsert terlalu kerap kerana bimbang momentum persembahan dan keghairahan peminat pudar.

"Jika dilihat, kami memang masih banyak mengadakan konsert, tetapi ia bukan terlalu kerap. Semua konsert yang dilakukan, ia berlainan konsep. Misalnya untuk konsert di Singapura, kami terima kerana ia dibikin dalam bentuk akustik.

"Untuk konsert pada 30 Jun ini pula, ia umpama pertempuran empat penjuru otai rock yang mempunyai tarikan tersendiri."

Ditanya bagaimana beliau melihat masa depan Search, Amy hanya tersenyum. Saat ditanya tentang jangka hayat Search, sambil tersenyum, beliau menjawab persoalan tersebut bersama hujah-hujahnya.

Ujar Amy, khalayak dan peminat barangkali akan dihidangkan dengan sebuah album studio selepas lebih enam tahun tidak menghasilkan album. Bagaimanapun, beliau tidak berani untuk berjanji bila ia akan dikeluarkan.

"Kami memang punya perancangan untuk mengeluarkan album studio, namun secara jujur, buat masa ini, Search belum mempunyai sebarang material untuk ke arah itu," ujarnya tenang.

Menjawab persoalan tentang kelangsungan Seacrh, Amy bagaimanapun menetapkan kemungkinan tempoh hayat Search akan berakhir dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini bermakna Search barangkali hanya akan wujud sehingga tahun 2018, sebelum setiap anggotanya membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun, Amy pantas mematahkan pemikiran saya dengan mengatakan: "Saya sekadar menyebut tempoh lima tahun bukan kerana berasa sudah letih bermain muzik.

"Sebaliknya, saya perlu realistik terhadap faktor usia dan tahap kesihatan setiap anggota Search.

"Jika dalam tempoh lima tahun ini kami diberi kudrat dan kesihatan yang baik untuk terus menghiburkan khalayak dan masih relevan, Search akan terus hidup," ujarnya yang barangkali mampu menutup rasa gusar peminat setia mereka terhadap pembubaran grup tersebut.

Misi terakhir Versus 2 rebut RM200,000

Posted:

Misi terakhir Versus 2 rebut RM200,000

Misi terakhir Versus 2 rebut RM200,000

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


DARI kiri: Tomok, Rich, Lan, Mior dan Fuad yang mewakili band masing-masing dalam usaha merebut gelaran juara Versus 2 yang menawarkan hadiah wang tunai RM200,000.


SETELAH lapan minggu bersaing sesama sendiri, program pertandingan Versus 2 yang membabitkan persaingan lima buah band, akhirnya menuju kemuncak menerusi Konsert Konfrontasi Terakhir yang akan berlangsung pada malam ini.

Menampilkan antara band tempatan terhebat seperti Manifesto, Estranged, Oh Chentaku, Kyoto Protocol dan Kristal, salah sebuah band yang berjaya bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.

Tomok yang mewakili band Manifesto ketika ditemui berkata, sepanjang lapan minggu beraksi di pentas pertandingan Versus, kesemua band yang bertanding telah mempersembahkan kehebatan masing-masing.

"Secara jujurnya, saya bersama ahli kumpulan Manifesto yang lain tidak pernah meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk muncul juara memandangkan persaingan yang cukup sengit.

"Kalau ditanya tentang peluang untuk muncul juara pula, keyakinan itu memang ada dan paling penting kami perlu cuba lakukan yang terbaik untuk menewaskan empat band yang lain," ujarnya ketika ditemui semasa saingan minggu kelapan yang berlangsung Jumaat lalu.

Meskipun Manifesto merupakan band yang paling banyak memenangi saingan battle iaitu sebanyak tiga kali, Tomok menegaskan bahawa mereka tidak boleh memandang rendah saingan band yang lain.

Ujarnya, kejayaan memenangi saingan battle paling banyak juga bukanlah jaminan buat Manifesto untuk dipilih sebagai juara kerana apa sahaja boleh berlaku semasa konsert terakhir nanti.

"Kami anggap kemenangan sebanyak tiga kali sebelum ini merupakan satu rezeki dan sudah tentu ia mampu menjadi pembakar semangat supaya misi meraih gelaran juara akan tercapai," jelasnya yang menganggap kelima-lima band mempunyai peluang yang sama rata untuk menang.

Bagi sebuah lagi band iaitu Kristal pula berpendapat bahawa setiap band sudah melakukan yang terbaik untuk memenangi hati penonton serta dua orang juri tetap, Jennifer Thompson dan Loque.

Roslan atau lebih sinonim dengan panggilan Lan yang mewakili Kristal menyatakan mereka begitu bersungguh-sungguh setiap minggu kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk bergelar juara.

"Kalau ditanya tentang persiapan untuk saingan akhir, kami perlu bersedia lebih awal kerana cabaran yang akan ditempuhi pastinya lebih sukar dan kehebatan band yang bertanding juga perlu diberi perhatian serius.

"Namun begitu, kami ada mempunyai strategi tersendiri untuk memberikan cabaran kepada pesaing yang lain, termasuk melakukan kejutan yang pastinya tidak disangka oleh para peminat yang menonton rancagan ini nanti," ujarnya.

Sementara itu, band Estranged yang pernah muncul sebagai juara di Anugerah Juara Lagu 2007 menerusi lagu Itu Kamu sudah menyiapkan lebih awal lagu baharu yang akan dipersembahkan ketika konsert penutup.

Diwakili oleh Richael L. Gimbang atau Rich yang juga selaku vokalis utama, dia menegaskan, kejayaan yang pernah diraih mereka sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana Versus 2 merupakan sebuah pertandingan nyanyian yang berbeza.

"Saya yakin lagu baharu yang kami cipta itu pastinya akan digemari ramai, manakala untuk bergelar juara, kami tidak mahu terlalu berharap kerana ingin lebih fokus kepada persembahan nanti," ujarnya.


MENGANGGAP sebagai band underdog, Oh Chentaku menggunakan strategi menerusi laman sosial bagi menarik lebih ramai peminat yang menyokong perjuangan mereka dalam saingan Versus 2.


Laman sosial

Sebuah lagi band yang bersaing dalam Versus 2 iaitu Oh Chentaku pula sememangnya antara band yang perlu diberi perhatian berdasarkan persembahan yang ditampilkan sepanjang lapan minggu.

Salah seorang wakilnya iaitu Mior Luqman Hakim atau Mior berkata, mereka berasa kerdil berbanding band-band yang lain kerana kurang dikenali ramai kerana mereka lebih banyak bergerak secara underground.

"Pada mulanya kami berasa agak gugup untuk bersaing dengan empat buah band lagi yang lebih dikenali ramai, tetapi lama-kelamaan kami sudah dapat membiasakan diri.

"Memandangkan Oh Chentaku kurang dikenali, beberapa strategi telah diaturkan seperti menggunakan laman sosial Facebook dan Twitter untuk menarik lebih ramai peminat dan ternyata cara sedemikian cukup berkesan," jelasnya.

Bagi band Kyoto Protocol yang sentiasa mencuri perhatian peminat setiap minggu sehingga dilabel band pilihan, mereka menganggap masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi terakhir.

Wakil band tersebut iaitu Fuad Alhabshi berkata, mereka akan menjadikan semua komen yang diberikan oleh juri tetap setiap minggu sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan.

"Sudah tentu kami mengambil serius setiap yang diperkatakan oleh kedua-dua juri. Kami sedar persembahan yang ditampilan belum cukup mantap, tetapi ia tidak melemahkan semangat kami untuk muncul sebagai juara," ujarnya.

Saingan terakhir rancangan Versus 2 yang diadakan di Space U8, Shah Alam, Selangor akan turut disiarkan secara langsung menerusi TV9 dan saluran radio Hot FM pada pukul 9.30 malam.

Bella Bundle of Joy raikan para ibu

Posted:

Bella Bundle of Joy raikan para ibu

Bella Bundle of Joy raikan para ibu


DYNAS MOKHTAR membuat kemunculan khas menerusi program Bella Bundle of Joy.


BIARPUN Hari Ibu diraikan pada tanggal 12 Mei lalu, namun stesen televisyen ntv7 pula menganggap pengorbanan seorang ibu bukan sahaja harus diingati pada hari-hari tertentu sahaja, sebaliknya mereka selayaknya diraikan setiap hari.

Ini kerana pengorbanan para ibu dalam melahirkan, membesarkan dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak tidak ternilai.

Atas dasar itu, ntv7 mengambil inisiatif menganjurkan sebuah acara istimewa buat kaum wanita yang bakal bergelar ibu iaitu Bella Bundle of Joy.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, acara mirip baby shower itu sebenarnya diilhamkan daripada rancangan temu bual wanita popular stesen itu iaitu Bella, sempena kempen Will & Kate and The Royal Baby.

"Acara Bella Bundle of Joy akan diadakan pada hari Ahad ini (2 Jun) bertempat di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, dari pukul 2 hingga 7 petang. Menariknya, penyertaan untuk menghadiri majlis ini adalah percuma," ujarnya.

Mengulas mengenai objektif acara itu diadakan, kata Airin, para ibu akan diberi pelbagai maklumat berkaitan bayi yang bakal dilahirkan dan sebagai persiapan buat diri mereka yang bakal bergelar ibu.

Ungkapnya lanjut, acara itu bakal menyediakan ruang buat para ibu untuk bertanya lebih lanjut kepada pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Lebih menarik, acara Bella Bundle of Joy itu juga merupakan percubaan terbesar dalam menghimpunkan wanita hamil tanpa mengira usia. Ia akan direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

Beberapa selebriti seperti Dynas Mokhtar dan Daphne Iking akan membuat kemunculan khas pada acara tersebut.

Kepada para ibu hamil yang berminat menyertainya boleh hadir terus ke acara tersebut atau anda juga digalakkan mendaftar menerusi borang ringkas yang terdapat di laman web www.ntv7.com.my dan menghantarkan borang menerusi e-mel bellashower@ntv7.com.my atau hubungi talian 03-7726 877 sambungan 7040/7009.

Bagi para ibu yang hadir awal ke acara tersebut akan diberikan cenderahati menarik dan eksklusif daripada ntv7.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved