Ahad, 14 April 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia julang Piala Axiata 2013

Posted:

Malaysia julang Piala Axiata 2013

Malaysia julang Piala Axiata 2013

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMi
Ikhsan.azmi@kosmo.com.my

CHONG WEI (dua dari kanan) menjulang Piala Axiata selepas menerimanya daripada Rosmah (kanan, depan) selepas tamat perlawanan akhir di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur semalam.


SKUAD badminton negara muncul juara Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 apabila menundukkan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ternyata kejutan yang dilakukan pemain No. 1, Datuk Lee Chong Wei untuk tampil buat kali pertama pada Piala Axiata berjaya menguatkan lagi strategi skuad negara untuk mengungguli kejohanan berpasukan berprestij itu.

Mengulas mengenai kemenangan itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelaskan bahawa kehadiran Chong Wei telah menambahkan lagi keyakinan para pemain untuk tampil dengan lebih bersemangat.

"Kalau kejohanan berpasukan, kita (Malaysia) memang susah hendak menang kerana pasukan-pasukan lain lebih kuat.

"Malam ini (semalam), kehadiran Chong Wei membantu melonjakkan semangat berpasukan dalam kalangan pemain, dan saya juga yakin dapat meraih mata menerusi perseorangan lelaki," kata Rashid.

Selaku juara, skuad negara membawa pulang hadiah wang wang tunai AS$400,000 (RM1.2 juta) dengan trofi kejuaraan, manakala Thailand yang meraih tempat kedua menerima AS$200,000 (RM608,500)

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansur, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.

Pada aksi tersebut, skuad negara ketinggalan 0-1 apabila perseorangan wanita, Sonia Cheah Su Ya tewas 16-21, 17-21 kepada pemain No.8 dunia, Ratchanok Intanon pada perlawanan pertama.

Begitupun, Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi gandingan mantap beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mudah menundukkan Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam untuk mengikat Thailand 1-1.

Pada aksi kedua itu, beregu campuran No. 5 dunia itu mengalahkan Prapakamol-Thoungthongkam (No. 6) 21-16, 21-12.

Chong Wei yang tampil dalam perseorangan lelaki, menyumbangkan mata kedua negara apabila menewaskan pemain No. 25 dunia, Tanongsak Saensomboonsuk 21-12, 21-18.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh beregu utama negara, Tan Boon Heong-Koo Kien Keat yang menewaskan Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon 21-10, 21-17.

Pada edisi pertama tahun lepas, kedua-dua pasukan negara, Malaysia Tiger dan Malaysia Leopard tersingkir pada pusingan separuh akhir selepas tewas kepada Indonesia Garuda dan Indonesia Rajawali.

Nunez peledak baharu Johor DT

Posted:

Nunez peledak baharu Johor DT

Nunez peledak baharu Johor DT

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


TENAGA baharu Johor DT (dari kiri), Mohd. Farid, Muhammad Nazri, Nunez, Da Silva dan Jasazrin bergambar kenangan pada majlis memperkenalkan pemain-pemain baharu skuad tersebut di Johor Bahru semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mendapat khidmat pemain import baharu dari Argentina bagi memantapkan bahagian serangan pasukan yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu.

Berita gembira itu diumumkan Timbalan Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil pada majlis memperkenalkan pemain baharu Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin, Johor semalam.

Leonel Jorge Nunez, 29, yang beraksi dengan Argentinos Juniors di Argentina, bermain di posisi serangan.

Beliau menggantikan bintang import dari Sepanyol, Daniel Guiza yang ditamatkan kontrak lebih awal oleh Johor DT.

Pemain yang berasal dari Buenos Aires ini yang pernah menyarung jersi pasukan Olympiacos, Independiente dan Bursaspor akan mula beraksi bersama Johor DT pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Selangor esok.

Selain Nunez, Andre Francisco Wiliam Rocha Da Silva, 27, yang sebelum ini bermain untuk pasukan Johor FA turut melengkapkan kuota pemain import skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

Nunez ketika ditemui berkata, keputusannya untuk menyertai pasukan Johor DT dicapai selepas meneliti perancangan masa depan Harimau Selatan yang kini sedang melalui gelombang perubahan dalam misi memburu kejayaan pada saingan Liga Malaysia.

"Saya juga melihat bahawa pasukan ini sebuah pasukan yang profesional dengan pentadbiran tersusun, fasiliti stadium yang setaraf dengan kelab-kelab Eropah dan juga para penyokong yang memenuhi stadium pada setiap perlawanan untuk menaikkan semangat pemain, saya akan cuba memberi persembahan terbaik," katanya.

Tegas Nunez, beliau tidak mahu dibayangi dengan kehandalan Guiza kerana matlamat utamanya ialah menemui keserasian bersama para pemain lain, sekali gus mahu membantu pasukan baharunya bergelar juara.

Bagi Da Silva pula, beliau menyatakan komitmennya untuk mempamerkan kualiti permainan yang cemerlang setelah diberi peluang menyertai sebuah pasukan bertaraf bintang.

Pemain yang berasal dari Brazil ini menggantikan Simone Del Nero yang gagal menunjukkan aksi memberangsangkan ekoran berdepan masalah kecederaan musim ini.

Pada majlis sama, Obet turut memperkenalkan tiga muka baharu yang sebelum ini bermain dengan Johor FA iaitu Mohd. Farid Ramli, 26, Muhammad Nazri Ahmad, 23, dan Jasazrin Jamaludin, 27.

Ketiga-tiga pemain berkenaan telah pun beraksi pada perlawanan terakhir Johor DT di Terengganu Jumaat lalu.

"Bagi pihak Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Nunez dan semua pemain, dan berharap mereka dapat membantu mempertingkatkan mutu persembahan pasukan dengan harapan dapat menjulang satu piala pada musim ini.

"Pihak pentadbiran juga akan sentiasa membantu pasukan untuk menjadikan pasukan Johor DT sebagai salah satu pasukan yang digeruni di Malaysia dan luar negara," katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya dan Ketua Pegawai Pemasaran Southern Tigers, Faruk Fadzil.

Nazirul tak patah semangat

Posted:

Nazirul tak patah semangat

Nazirul tak patah semangat


NAZIRUL (kanan) bersama jurulatih FC Ryukyu, Satsukawa selepas sesi latihan kelab tersebut baru-baru ini.


OKINAWA, Jepun - Pemain muda negara, Nazirul Naim Che Hashim tidak berasa kecewa meskipun tidak membuat penampilan bersama FC Ryukyu pada aksi pertama menentang Sagawa Printing kelmarin.

Menurutnya, masanya akan tiba kerana perjalanan liga masih panjang dan dia tetap optimis bakal diberi peluang beraksi selepas ini.

Keyakinan itu hadir selepas dia menyaksikan persembahan cemerlang rakan senegara, Wan Zack Haikal Wan Nor ketika membantu pasukan kelab tersebut menewaskan Sagawa Printing 2-1 di Stadium Okinawa City Athletics, kelmarin.

Pemain kelahiran Perak itu yang terpaksa disisihkan akibat masalah kecederaan mendedahkan, dia masih mampu untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, dengan syarat dia terus bekerja kuat untuk meyakinkan pihak pengurusan.

Jelas Nazirul, dia juga tidak menolak bahawa perasaan gugup dan takut sentiasa hadir, namun pemain berusia 19 tahun itu kekal optimis bahawa dia memiliki keupayaan untuk bersaing secara sihat dalam skuad kendalian Norihiro Satsukawa itu.

Untuk rekod, FC Ryukyu berjaya melakarkan kemenangan menerusi jaringan, Shunta Takashi dan Kazuki Gahana pada minit ke-53 dan masa kecederaan sementara gol sagu hati Sagawa dijaringkan Kei Nanako (17).

"Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada sedikit perasaan kecewa kerana saya gagal beraksi dalam skuad utama pada aksi menentang Sagawa semalam (kelmarin).

"Selepas menyaksikan persembahan Wan Zack, keghairahan saya untuk beraksi semakin menebal, dan saya percaya peluang untuk beraksi itu bakal tiba.

"Berdasarkan laporan perubatan, kecederaan saya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu atau selewat-lewat dua minggu.

"Saya akan menunggu waktu tersebut, dan mengenai peluang diturunkan dalam kesebelasan utama, saya fikir saya mampu bersaing untuk posisi pertahanan kiri kelab tersebut.

"Pada aksi menentang Sagawa, pertahanan FC Ryukyu mempamerkan persembahan yang baik tetapi dalam masa yang sama, saya tetap optimis bahawa peluang saya untuk beraksi nanti pasti ada," katanya.

Selain mendedahkan mahu beraksi bersama pasukan utama FC Ryukyu, Nazirul turut berazam untuk membantu pasukan itu layak beraksi dalam Divisyen Pertama Liga Jepun musim depan.

Katanya, dia bersama Wan Zack masih belajar untuk berkomunikasi dengan barisan pemain FC Ryukyu sebagai usaha untuk memantapkan persembahan mereka ketika beraksi di atas padang.

"Fokus utama saya ialah untuk membantu FC Ryukyu layak ke Divisyen Pertama Liga J dalam tempoh terdekat," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved