Selasa, 23 April 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Informasi terkini industri elektrik dan komputer

Posted:

Informasi terkini industri elektrik dan komputer

Informasi terkini industri elektrik dan komputer

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

TAHUKAH anda, meter elektrik yang menunjukkan kadar penggunaan elektrik di rumah anda menggunakan sistem meter elektronik?

Meter tersebut merupakan pengganti kepada sistem meter elektromekanikal yang digunakan sejak penggunaan elektrik mula diperkenalkan di Malaysia.

Pertukaran meter elektromekanikal kepada elektronik mula diperkenal sejak tahun 2004. Walaupun meter elektronik menunjukkan bacaan meter yang lebih jitu, masih terdapat kediaman yang masih menggunakan sistem lama itu.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Vendor Krizik (Malaysia) Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Razali, memberitahu, meter elektronik di kediaman mahupun kilang-kilang mempunyai jangka hayat lebih daripada 15 tahun.

"Selepas jangka hayat itu, meter elektronik masih menunjukkan bacaan yang tepat dan jitu tanpa sebarang kesalahan. Ia juga dapat mengelakkan penipuan dalam pengiraan bil elektrik bagi kediaman.

"Selain itu, analisis pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap meter elektromekanikal, bacaannya kurang tepat 20 hingga 30 peratus selepas jangka hayat 10 hingga 15 tahun," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada pameran ASEAN Elenex 2013 (AE 2013) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Krizik (Malaysia) Sdn. Bhd. (Krizik) merupakan salah sebuah syarikat yang menyertai pameran yang diadakan dua tahun sekali itu. AE 2013 disertai oleh 450 syarikat dari 30 buah negara yang mempamerkan inovasi dalam industri tenaga, elektrik dan sistem komputer.

Penyertaan syarikat tersebut dalam AE 2013 ternyata memberi informasi yang lengkap mengenai penggunaan meter elektrik di Malaysia. Krizik turut membawa sampel meter elektronik yang digunakan di rumah dan kilang-kilang.


PENGATURCARAAN komputer merupakan perkara asas dalam industri elektrik dalam mahupun luar negara.


"Krizik merupakan salah satu daripada empat vendor yang membekalkan meter elektronik kepada pihak TNB di Lembah Klang dan negeri-negeri Pantai Timur. Sehingga kini, hanya satu juta rakyat Malaysia yang telah menukar meter elektromekanikal kepada elektronik," jelas Mohd Nizam.

Tambahnya lagi, sekiranya dahulu dengan hanya meletakkan magnet pada meter elektromekanikal, penghuni kediaman boleh menipu bacaan penggunaan elektrik di rumah mereka. Namun, dengan meter elektronik, terdapat fungsi merekod setiap penggunaan elektrik yang tepat setiap masa.

Pameran yang dihoskan oleh pihak TNB itu tidak hanya tertumpu kepada AE 2013 sahaja. Pameran perindustrian automasi 2013 (IA 2013) turut menjadi acara utama sepanjang empat hari majlis itu berlangsung.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee turut hadir merasmikan majlis pelancaran AE 2013.

Dalam ucapan perasmiannya, Took Gee menyatakan bahawa pameran tersebut merupakan peluang terbaik untuk syarikat yang terlibat dalam industri kejuruteraan elektrik, penjanaan kuasa dan komputer untuk memperluaskan rangkaian serta bertukar-tukar idea atau pendapat.

Antara syarikat utama dalam industri elektrik dan teknologi komputer yang terlibat dalam pameran tersebut ialah ABB Malaysia, Alpha Automation, Komponen Elektrik Axis, TNB, Penghantaran dan Pembahagian Toshiba, United U-Li Corporation serta VSD Automation.

Tidak hanya menarik pengunjung dari dalam negara, AE 2013 turut menarik minat syarikat dari luar negara untuk melihat inovasi terbaharu di pameran itu.

Seorang pengurus industri kejuruteraan dari Taiwan, Min Han Tsai memberitahu, percutiannya di Kuala Lumpur ternyata membawa tuah kepadanya apabila turut berpeluang berkunjung ke pameran tersebut.

Menurut Han Tsai, tiada pameran spesifik di Taiwan yang menekankan hal ehwal industri elektrik di negara asalnya itu.

"Pameran ini memberi informasi yang jelas mengenai industri elektrik. Selain itu, kelengkapan elektrik yang dipamerkan juga boleh dikira terkini dalam pasaran dunia.

"Kelengkapan yang dipamerkan terutamanya daripada TNB juga memberi inspirasi kepada saya untuk mengekperimentasikan sistem yang digunakan di dalam projek elektrik saya apabila pulang ke Taiwan kelak," ujarnya.


TOOK GEE (depan) sempat berkunjung ke kios-kios di AE 2013 selepas majlis perasmian pameran tersebut baru-baru ini.


Dengan penganjuran pameran AE 2013, ia merupakan sahutan kepada seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu. Seruan itu ialah mencapai objektif tenaga nasional sebanyak 5.5 peratus dalam sumber keperluan tenaga negara pada tahun 2015, lima tahun sebelum sasaran asal iaitu pada tahun 2020.

Sementara itu, seorang jurutera muda dari syarikat Toki Solution Sdn. Bhd., Muhammad Azlan Kamaruddin, 23, memberitahu, kunjungannya ke pameran itu bersama rakan sepejabatnya untuk melihat sistem komponen elektronik yang terbaharu di pasaran.

Selain itu, dia juga bertanggungjawab untuk membuat kajian mengenai pembekal kelengkapan elektronik seperti sistem pengawalan dan panel sesentuh untuk diaplikasikan dalam produk syarikatnya.

"Pasaran bagi kelengkapan elektronik di Malaysia banyak membekalkan barangan yang dapat menghasilkan produk yang berspesifikasi sederhana.

"Di pameran ini, saya dapat lihat barangan yang dipamerkan mempunyai kriteria untuk menghasilkan produk yang mempunyai spesifikasi yang tinggi dalam produk keluaran syarikat kami," ujarnya.

Selain daripada produk elektrik, pameran itu juga memberi peluang kepada pengunjung atau syarikat untuk mencari servis penyelenggaraan yang bersesuaian untuk diaplikasikan dengan perkhidmatan syarikat yang mengendalikan sistem elektrik.

Pembersihan sampah di dasar laut

Posted:

Pembersihan sampah di dasar laut

Pembersihan sampah di dasar laut

Oleh SUHANA VERU

PROGRAM pembersihan dasar laut itu disifatkan mencabar kerana perlu berdepan keadaan laut yang bergelora.


SIKAP sesetengah masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam laut sebenarnya mengancam habitat laut selain mencemarkan keindahan dasar laut.

Namun malangnya, masih ramai yang tidak menyedari perkara itu. Melihat senario tersebut, tidak mustahil pada satu hari nanti laut akan menjadi tempat untuk kita melupuskan sampah dan pelbagai sisa lain.

Mahu mendidik masyarakat mencintai alam semula jadi, Astro mengambil inisiatif menganjurkan program Astro Kasih Beautiful Malaysia. Program itu merupakan sebahagian tanggungjawab korporat sosial dalam menjalankan aktiviti berbentuk pemuliharaan alam sekitar.

Justeru, seramai 134 penyelam dari seluruh dunia termasuk Perancis, Australia, New Zealand, Belanda, Switzerland, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Malaysia mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Mereka telah melakukan kerja-kerja pembersihan sampah dasar laut di 224 buah lokasi sekitar Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Cuaca tidak menentu

Lebih menarik, kerja-kerja pembersihan sampah berkenaan yang dilakukan lebih 168 jam tanpa henti itu turut melakar sejarah tersendiri apabila tercatat dalam Guinness World Records sebagai projek pembersihan dasar laut terpanjang di dunia iaitu sejauh 26 kilometer. Ia merupakan rekod pertama di dunia.

Seorang penyelam, Jolyn Gasper, 36, berkata, dia teruja kerana dapat menyertai program tersebut buat pertama kali.

"Ia satu pengalaman yang mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah kakitangan swasta itu, sepanjang melakukan kerja-kerja pembersihan sampah itu, dia tidak menyangka terdapat pelbagai jenis sampah.

"Kami berjaya memungut kayu reput, botol, plastik, kertas, tin dan besi. Apa yang pasti, sampah sarap itu bukan sahaja akan menjejaskan pembiakan hidupan laut tetapi merosakkan terumbu karang," ujarnya.


PROGRAM pembersihan dasar laut diharapkan dapat mendidik masyarakat mencintai alam.


Pengalaman berharga

Pendapat Jolyn turut disokong kakitangan Astro, Norhisham Nordin, 42, yang menyifatkan sepanjang melakukan aktiviti-aktiviti menyelam, ia sangat mencabar.

"Bayangkan, ketika itu ribut dan laut bergelora. Jadi, kerja-kerja tersebut sukar dilakukan namun ia tidak menghalang kami untuk meneruskannya,"katanya.

Dalam pada itu, Norhisham rasa berbangga kerana dapat mengambil bahagian dan tidak akan melupakan pengalaman yang berharga tersebut.

"Saya juga amat gembira kerana dapat bertemu dan berkongsi pengalaman dengan penyelam tempatan dan antarabangsa," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan pula berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk menunjukkan tanda komitmen kepada alam sekitar.

"Hasil daripada program ini, lebih daripada tiga tan sampah berjaya dikumpul termasuk botol, beg plastik, tali pancing, jala dan tayar.

"Ini satu perkara yang membanggakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk memelihara kehidupan laut," katanya.

Terdahulu, Rohana menerima sijil daripada wakil Guinness World Records, Kirsty Bennet.

Bennet memberitahu, Astro Kasih dan pasukan penyelam sukarelawannya telah mencatatkan rekod dunia baharu dalam kerja-kerja pembersihan dasar laut yang terpanjang.

"Program ini sekali gus dapat menambah kesedaran dan menggalakkan penglibatan orang ramai secara langsung dalam pemuliharaan marin," katanya.

Bahaya e-mel penggodam

Posted:

Bahaya e-mel penggodam

Bahaya e-mel penggodam

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


PERIKSA dulu kesahihan e-mel yang diterima sama ada dengan membuat panggilan terus atau melakukan carian di internet.


RATA-RATA pengguna internet mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun e-mel untuk berkomunikasi di dunia siber.

Secara purata pada hari ini, seseorang itu mempunyai dua akaun e-mel, satu untuk kegunaan peribadi, manakala lagi satu untuk kegunaan pejabat.

Namun begitu, selaku pengguna e-mel kita berhadapan dengan pelbagai risiko antaranya:

- Pendedahan maklumat peribadi atau korporat secara tidak sengaja

- Serangan virus terhadap sistem komputer

- Memberikan maklumat kepada penggodam dengan maklumat yang cukup bagi menceroboh sistem rangkaian korporat

Malangnya, ramai yang beranggapan mereka celik komputer dan tidak terdedah kepada risiko di atas. Ada juga yang berpendapat mereka bukan orang yang penting dan mustahil boleh menjadi golongan sasaran.

Pada hakikatnya, pengguna daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan mempunyai pengetahuan teknikal yang mendalam tentang sistem komputer turut menjadi mangsa.

Jika anda bekerja untuk organisasi yang menyimpan rekod pelanggan, anda tidak terkecuali daripada menjadi sasaran penjenayah siber yang ingin mendapatkan akses bagi memecah masuk rangkaian korporat.

Antara umpan yang sering digunakan dalam e-mel kepada pengguna adalah seperti tawaran wang tunai, diskaun, hadiah cabutan loteri dan juga amaran tentang akaun kad kredit atau perbankan dalam talian milik pengguna.

Bagaimanapun, pengguna secara tidak sengaja mungkin akan memberikan maklumat seperti kata pengguna, kata laluan, nombor akaun, nombor CVV kad kredit dan maklumat pelanggan.

Jangan buka langsung

Selain itu, pengguna juga seharusnya lebih berhati-hati apabila menerima e-mel yang mengandungi pautan laman web.

Gerakkan tetikus di atas pautan tersebut bagi melihat alamat sebenar laman web tersebut bagi mengelakkan daripada memasuki laman web palsu atau yang mengandungi perangkap.


PENGGODAM sentiasa mengambil peluang atas setiap kelalaian pengguna internet.


Pastikan juga anda tidak hanya berpandukan semata-mata kepada logo atau alamat untuk mengesahkan kesahihan e-mel yang diterima.

Logo boleh ditiru dan alamat laman web boleh diletakkan ke dalam e-mel dengan mudah bagi meraih keyakinan pengguna.

Jangan sekali-kali memberikan maklumat peribadi melalui e-mel. Dalam banyak kes, mangsa menerima e-mel elektronik yang kononnya dihantar oleh pihak bank meminta pengguna memberikan maklumat peribadi mereka sebagai langkah untuk mengelakkan sistem perbankan mereka digantung.

Pihak institusi kewangan tidak akan meminta maklumat peribadi pengguna. Jika tidak pasti, hubungi pihak institusi kewangan dengan mendapatkan nombor daripada sumber lain (contohnya di bahagian belakang kad ATM dan kad kredit, bukannya daripada e-mel itu sendiri).

Satu lagi kaedah untuk mengesahkan alamat atau nombor telefon yang tertera pada e-mel betul atau tidak adalah dengan membuat carian di internet.

Pengguna seharusnya lebih berhati-hati apabila menerima e-mel yang mempunyai lampiran fail. Pastikan anda tidak memuat turun atau membuka lampiran yang mengandungi fail berformat *.EXE.

Fail jenis itu sering kali digunakan oleh penggodam bagi mendapatkan akses jarak jauh kepada sistem komputer mangsanya.

Paling penting, sekiranya berasa sangsi dengan kesahiha e-emel, pastikan anda tidak membuka langsung lampiran yang disertakan.

Penggodam juga boleh membuat penyamaran format fail dengan menghantarkan fail dengan format berbeza, tetapi sebaik dibuka oleh mangsa, ia memberi kesan yang sama.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved