Isnin, 1 April 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Antara Korea dan Hollywood

Posted:

Antara Korea dan Hollywood

Antara Korea dan Hollywood

BYUNG-HUN mempunyai banyak peminat di negeri kelahirannya, Korea Selatan.


BERPELUANG membintangi filem pecah panggung Hollywood seperti G.I. JOE: Retaliation pastinya mampu menjadi batu loncatan kepada aktor popular Lee Byung-hun untuk terus mengembangkan karier lakonannya di Amerika Syarikat.

Jika kebanyakan pelakon begitu mengidamkan penampilan di Hollywood, lain pula ceritanya bagi aktor kelahiran Seoul, Korea Selatan itu tentang perkembangan kariernya di sana.

Menurut Byung-hun, dia sendiri tidak pasti sama ada mahu mengembangkan lagi kerjayanya di sana atau terus aktif berlakon drama dan filem di negara kelahirannya sendiri.

"Saya anggap karier di Hollywood baru sahaja bermula, meskipun saya mula berlakon di sana sejak tahun 2009. Cuma saya masih belum nampak lagi sejauh mana perjalanan karier saya di luar negara.

"Sudah banyak perkara yang saya pelajari dengan pengalaman berlakon tiga buah filem Hollywood, terutamanya merasai sendiri cara kerja yang agak jauh berbeza dengan produksi di Korea," jelasnya yang bakal tampil dengan filem RED 2 pada tahun ini.

Ujarnya, biarpun ramai peminatnya yang gembira kerana dapat tampil di pentas Hollywood, tetapi ada segelintirnya yang mahukannya kerap berlakon di Korea Selatan.

"Selama ini saya mendapat pelbagai maklum balas daripada peminat tentang kerjaya lakonan saya dan kebanyakan lebih gemar saya muncul di kaca televisyen atau di layar perak menerusi drama dan filem Korea," ujarnya.

Mengakui sangat gembira dengan peluang yang diberikan sehingga namanya kini terkenal di seluruh dunia, aktor itu masih berbelah bahagi iaitu sama ada meneruskan karier di negaranya atau mula mencari peluang yang lebih besar di Hollywood.


LEE BYUNG-HUN mengaku dia harus bekerja keras untuk memastikan kredibiliti lakonan pelakon Asia di mata Hollywood sentiasa baik.


"Apa yang selalu bermain pada fikiran saya ialah sampai bila saya akan mendapat peluang sebegini lagi. Jadi, saya sendiri tiada jawapan sama ada dapat terus mengembangkan karier di Hollywood atau sebaliknya," ujar pelakon yang pernah menuntut di Universiti Hanyang, Korea Selatan itu.

Mengenai cabaran sepanjang berlakon di Hollywood terutamanya ketika menjalani penggambaran filem G.I. JOE: Retaliation, dia menyatakan bahasa bukan masalah besar buat dirinya memandangkan dia memang fasih berbahasa Inggeris, sebaliknya ia membabitkan soal pemakanan.

Jelasnya, sepanjang penggambaran berlangsung dia terpaksa mengawal pemakanannya dan ia sedikit memberikan tekanan, namun segalanya perlu dihadapi demi menjayakan watak yang diberikan.

"Secara jujurnya saya memang begitu merindui makanan Korea, malah semasa berada di negara sendiri saya tidak boleh mengambil sebarang makanan yang boleh memberi kesan kepada bentuk badan saya," jelasnya.

Namun begitu, Byung-hun menyatakan cabaran sebenar yang terpaksa dilaluinya adalah dia terpaksa memberikan lakonan yang terbaik dengan peluang berlakon dalam sebuah filem yang besar di Hollywood.

"Tidak ramai pelakon Asia yang berkesempatan beraksi di Hollywood. Jadi, saya perlu berusaha keras serta memberikan sepenuh komitmen agar peluang mengembangkan kerjaya di Hollywood lebih terbuka," jelasnya.

Kekal

Memandangkan nama Byung-hun sudah mula meniti di bibir peminat kerana lakonannya yang mantap dalam filem G.I. JOE: The Rise Of Cobra dan G.I. JOE: Retaliation, sudah ada pihak yang mencadangkan supaya dia mempunyai nama Inggeris untuk lebih mudah bekerja di Hollywood.

Namun begitu, pelakon tersebut menegaskan dia lebih selesa sekiranya terus kekal dengan nama asalnya. Dia merasakan nama bukanlah menjadi satu masalah yang besar untuk lebih diingati dan dikenali ramai.

"Kalau diikutkan saya boleh sahaja menukarkan nama yang lebih mudah disebut, cuma saya mempunyai ramai peminat dari Korea dan mereka lebih suka sekiranya saya terus menggunakan nama Byung-hun.

"Tidak dinafikan ramai kru produksi yang memanggil saya dengan panggilan 'Byung', tetapi saya menyatakan kepada mereka supaya menyebut nama saya 'Hyung' sekiranya sukar untuk menyebut 'Byung'," ujarnya mengenai cadangan penukaran namanya itu.

Bagaimanapun, pelakon itu tetap melahirkan rasa bangganya terhadap cadangan tersebut dan menganggap ia satu penghormatan kerana ramai yang sudah yakin dengan kemampuannya untuk berkembang di pentas Hollywood.

"Sebenarnya cadangan ini telah dikemukakan sendiri oleh beberapa orang pelakon dan kru produksi. Saya memang begitu menghormati cadangan tersebut, tetapi biarlah saya terus menggunakan nama Byung-hun," jelasnya.


PENGARAH filem G.I. JOE: Retaliation, Jon M. Chu (kiri) bersama barisan pelakon filem tersebut iaitu Dwayne Johnson, Adrianne Palicki, Channing Tatum dan Lee Byung-hun.


Obses kopi

Berbekalkan wajah tampan yang dimiliki sehingga menjadi kegilaan ramai wanita, siapa sangka Byung-hun sebenarnya seorang individu yang sangat obses dengan minuman kopi.

Menurutnya, dia mula rasa jatuh cinta dengan minuman tersebut ketika memegang watak sebagai Kim Sun-woo dalam filem Bittersweet Life pada tahun 2005.

"Semasa membintangi filem itu saya terlalu kerap meminum kopi sehinggalah ia menjadi minuman kegemaran saya. Setiap pagi selepas bangun tidur saya akan meminum kopi terlebih dahulu.

"Bagi saya, kopi mempunyai rasa yang cukup menarik. Namun, ia juga bergantung bagaimana ia dihasilkan. Tanpa meminumnya sehari, saya rasa hidup seperti tidak lengkap," dedahnya dalam sebuah program One Night of TV Entertainment baru-baru ini.

Mengenai makanan kegemarannya pula, aktor itu menyatakan dia begitu menggemari makanan Korea iaitu galbi dan kimchi. Namun begitu, dia terpaksa mengehadkan pengambilan makanan tersebut semasa menjalani penggambaran filem G.I. JOE: Retaliation.

"Saya hanya dapat menikmati semua makanan kegemaran saya selepas tamat penggambaran. Menariknya, pada hari terakhir penggambaran ibu saya datang sambil membawa galbi dan kimchi yang dimasaknya sendiri," ujarnya.

Hero 'jambu' bukan isu - Nazim

Posted:

Hero 'jambu' bukan isu - Nazim

Hero 'jambu' bukan isu - Nazim

Oleh FATEN SAPHILLAMOHAMED ISA


NAZIM tidak kisah berbelanja sehingga ribuan ringgit untuk sentiasa berpenampilan menarik.


PELAKON yang mendapat jolokan 'lelaki metroseksual', Nazim Othman, mengakui dia bukan sahaja cerewet dalam pemilihan watak, tetapi juga terlalu mementingkan imejnya dalam setiap karakter yang dilakonkannya.

Menurut Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, disebabkan itulah dia sanggup berhabis sehingga ribuan ringgit untuk mengubah bukan sahaja gaya rambutnya, tetapi pakaian yang akan dipakai dalam setiap karakter yang bakal dipersembahkan kepada khalayak.

Tidak bergantung kepada pakaian yang disediakan syarikat produksi, Nazim juga mengakui dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadap dirinya.

Ini kerana dia sememangnya seorang yang sangat menjaga penampilan.

Selain begitu cerewet dalam setiap penampilannya di kaca televisyen. Nazim mengakui dia tidak berminat untuk melakonkan aksi lasak dalam masa terdekat ini selain memberi kenyataan balasnya kepada aktres Rita Rudaini mengenai pelakon lelaki wajah 'jambu' (kurang maskulin) yang sering menghiasi kaca TV pada masa kini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Nazim selanjutnya

Kosmo!: Kenapakah anda terlalu mementingkan penampilan?

NAZIM: Sebagai individu biasa, saya juga perlu menjaga penampilan. Inikan pula pelakon yang menjadi perhatian orang ramai.

Buat masa kini wajah anda seringkali menghiasi kaca TV. Tidak risau penonton muak?

Alhamdulillah, kerana penerbit mempercayai dan mengambil saya berlakon. Saya tidak risau mengenai perkara itu (penonton muak) kerana setiap karakter dan jalan cerita yang dilakonkan saya adalah berbeza.

Bagaimanakah anda membezakan setiap karakter yang dilakonkan?

Sebagai pelakon, bukan sahaja watak utama, jika mendapat watak kecil juga kita perlu suntikkan sesuatu kelainan. Biar penonton nampak dan ingat watak yang kita dilakonkan.

Baru-baru ini, pelakon Rita Rudaini ada mengeluarkan kenyataan bahawa hero-hero (pelakon lelaki) sekarang banyak yang berwajah 'jambu'. Tidak seperti hero-hero dulu yang berwajah maskulin. Komen anda?

Itu hanya pendapat peribadi dia. Kita kena ambil pendapat majoriti. Kena juga berpijak pada realiti, mungkin penonton sekarang suka pada wajah-wajah 'jambu'. Saya rasa perkara begini tak perlu menjadi satu isu.

Boleh ceritakan perkembangan terbaharu anda?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama slot Samarinda berjudul Epilog Cinta Khirana bersama Tasha Shilla, Aliff Aziz dan Raja Ema.

Anda sering menjayakan watak cinta, tidak mahukah watak yang lebih berat?

Saya sudah banyak kali terima tawaran berlakon dalam cerita aksi, tetapi saya tolak kerana tahu kemampuan diri. Sehingga bulan Jun ini saya memang sibuk dengan penggambaran, mungkin bulan Julai nanti saya akan masuk kelas seni bela diri untuk menjayakan adegan aksi pula.

Seringkali berlakon drama tidak teringin berlakon filem pula?

Sejak tahun 2011, saya ada menerima tawaran berlakon filem, tetapi karakter yang diberi tidak menepati selera saya. Saya lebih selesa berlakon drama. Saya sangat cerewet dalam pemilihan watak dan juga sangat menitikberatkan mengenai watak yang akan saya jayakan. Saya juga lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

Bagaimanakah percintaan anda dengan pelakon Bella Dally. Ada perancangan untuk bertunang atau berkahwin?

Saya dan dia sudah bercinta selama dua tahun. Kalau boleh saya tidak mahu bercerita sangat mengenai hubungan kami sebab takut cerita peribadi mengatasi karier lakonan kami. Sudah banyak kali media minta untuk gandingkan kami berdua tetapi kalau boleh kami mahu mengelak untuk bergambar bersama. Insya-Allah, kalau ada jodoh kami akan berkahwin tetapi buat masa ini tiada sasaran ke arah itu lagi.

Mojo cemerlang di Hong Kong

Posted:

Mojo cemerlang di Hong Kong

Mojo cemerlang di Hong Kong

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


POSE Edry (kanan) dan Aweera serta dua lagi anggota Mojo, Johar (kiri) dan Denny (dua dari kiri) bersama trofi kemenangan mereka pada pertandingan Hong Kong Asian-Pop Music Festival 2013 baru-baru ini.


SETELAH penyanyi Shila Amzah mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan Asian Wave 2012 di China tahun lalu, kini giliran kumpulan Mojo pula mengukir nama di peringkat Asia.

Ia susulan kepada kejayaan kumpulan tersebut yang muncul tempat kedua Asian Super Nova ketika bersaing dalam pertandingan Hong Kong Asian-Pop Music Festival (HKAMF) 2013 yang berlangsung di Hong Kong Convention Centre pada 22 Mac lalu.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Kuala Lumpur baru-baru ini Edry Abdul Halim selaku ketua kumpulan berkata, ia merupakan satu kejutan buat mereka.

"Pertama sekali saya berterima kasih kepada pihak RIM yang telah memilih kumpulan Mojo untuk menyertai pertandingan ini atas kapasiti sebagai pemenang Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang lalu.

"Matlamat utama kami ke sana bukanlah semata-mata mahu meraih kemenangan, sebaliknya tampil dengan persembahan yang terbaik. Jadi, sudah tentu kejayaan yang diraih ini merupakan satu bonus buat kami," ujarnya.

Selain muncul pemenang tempat kedua setelah tumpas di tangan peserta dari China, Mojo tetap berbangga apabila berjaya meraih kemenangan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik menerusi lagu popular mereka iaitu Andai Ku Bercinta Lagi.

Tambah Edry, pada mulanya mereka tidak mengetahui mengenai HKAMF 2013 dan menyangka ia sekadar sebuah showcase biasa. Apabila diberitahu acara berkenaan merupakan sebuah pertandingan, akhirnya mereka menyahut cabaran tersebut.

Ujarnya, dia mengakui penyertaan Mojo dalam acara tersebut merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya memandangkan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan di luar negara semasa aktif bersama KRU dahulu.

"Kalau ditanya tentang cabaran sudah tentu faktor bahasa menjadi halangan utama.

"Majoriti penduduk di Hong Kong menggunakan bahasa Kantonis dan acara berkenaan turut disiarkan secara langsung di sebuah stesen televisyen di sana.

"Namun begitu, kami tetap gembira kerana halangan tersebut langsung tidak mendatangkan masalah besar untuk kami bersaing dengan peserta lain atas kejayaan yang diraih ini," ujarnya.

Pertandingan HKAMF yang sudah memasuki tahun ketiga itu merupakan sebuah acara yang dianjurkan oleh International Federation Of The Phonographic Industri yang diwakili oleh tujuh buah negara di rantau Asia.

Selain Malaysia, lain-lain negara yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut ialah Hong Kong, China, Singapura, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.

Ini merupakan kali ketiga Malaysia menyertainya setelah kumpulan Bunkface turut mengambil bahagian buat kali pertama pada tahun 2011 dan Projek Pistol pada tahun lalu.

Bahasa Kantonis

Selain berhasil muncul tempat kedua dalam pertandingan HKAMF 2013, Edry selaku pencipta lagu Andai Ku Bercinta Lagi turut mendapat khabar gembira selepas berakhirnya acara.

Menurutnya, seorang wakil daripada syarikat rakaman di Hong Kong telah berjumpa sendiri dengannya dan berminat untuk merakamkan lagu tersebut ke dalam bahasa Kantonis.

"Sudah tentu saya begitu berbesar hati apabila ada pihak yang berminat dengan lagu saya. Ternyata pemergian ke sana bukan sahaja memberi kejayaan kepada Mojo, malah buat diri saya sendiri sebagai pencipta lagu ini.

"Buat masa ini saya sudah e-mel lirik yang telah dialih ke bahasa Kantonis dan melodi lagu berkenaan kepada mereka kerana lagu ini akan dinyanyikan oleh artis di negara itu," jelasnya.

Mengulas mengenai masa depan kumpulan Mojo pula, Edry menyatakan selepas ini mereka akan menjadi sebuah kumpulan yang kekal dan akan melahirkan sebuah album dalam masa terdekat ini.

"Ketika penubuhan kumpulan ini dahulu ia merupakan sebuah band projek sahaja. Kini, kami mengambil keputusan untuk bergerak secara tetap dan bakal melancarkan single terbaharu berjudul Romancinta," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved