Isnin, 11 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Srikandi dunia seni kontemporari

Posted:

Srikandi dunia seni kontemporari

Srikandi dunia seni kontemporari

BERMULA dari bawah Wei Ling kini merupakan pemilik dua galeri, masing-masing di Brickfields dan Mid Valley.


PERNAH bersama-sama Galeri Wei Ling, menjayakan dua pameran seni solo utama, Yusof Ghani, 63, mengakui wanita di sebalik galeri tersebut adalah seorang yang mempunyai semangat dan kekuatan setanding kaum lelaki.

Wanita itu, Lim Wei Ling juga dilihat sebagai seorang yang mengangkat martabat industri seni kontemporari tanah air melalui semangat penuh agresif setiap kali mengendalikan sesebuah pameran.

"Kadangkala saya sendiri kelam-kabut untuk memenuhi permintaannya. Tetapi, harus diakui Wei Ling menjadi batu loncatan kepada industri seni kontemporari," ujar Yusof Ghani.

Pernah berkerjasama mengadakan pameran pada awal pembukaan Galeri Wei Ling di Townhouse, Bangsar serta di Jalan Scott, Brickfields, Kuala Lumpur, Yusof berkata pada waktu itu, Wei Ling begitu menghargai bakat artis-artis veteran.

"Kini dia sudah mengubah sedikit pendekatan itu dengan memberi ruang kepada artis muda dalam mengembangkan karya seni kontemporari. Ia satu perubahan yang bagus bagi saya," kata Yusof semasa dihubungi melalui telefon. Antara dua pameran seni utama Yusof di Galeri Wei Ling ialah Segerak dan Biring, masing-masing diadakan pada tahun 2007 dan 2006.

Semenjak memiliki ruang penghayatan karya seni, Wei Ling berjaya membina sebuah empayar tersendiri. Empayar yang menjadi titik permulaan dan penambah nilai kepada seni kontemporari.

Mengetengahkan lebih 100 pameran dan melibatkan berpuluh-puluh orang artis seni di galerinya, Wei Ling juga pemilik kepada sebuah lagi galeri iaitu Wei Ling Contemporary di pusat beli-belah The Gardens di Bangsar.


WEI LING di hadapan galeri beliau di The Gardens, Mid Valley.


Sikap suka memilih

Semua kejayaan serta reputasi Wei Ling dalam industri seni tempatan dan antarabangsa diakui disebabkan sikapnya yang suka memilih, mempelbagai dan mendalami setiap hasil seni sebelum disampaikan untuk pameran umum.

"Saya percaya kepada hasil kerja seni yang sejati dengan kedalaman yang nyata. Bukan sekadar melukis di atas kanvas. Seorang artis harus bersikap mementingkan diri, berkarya untuk diri sendiri dan meminati setiap calitan yang dihasilkan olehnya.

"Ia perlu menjadi koleksi peribadi terdahulu sebelum tujuan pameran," kata Wei Ling yang enggan bercakap tentang harga pada hasil sejati sesebuah karya.

Menerangkan secara lanjut, Wei Ling berkata, lazimnya, dia akan meminta para artis iaitu peserta pameran untuk menampilkan hasil seni yang berbeza dari semasa ke semasa.

Walaupun sesuatu hasil kerja seni mendapat sambutan menggalakkan, Wei Ling tidak meminta artis itu menghasilkan kerja yang serupa bagi pameran berikutnya.

"Tetapi itu tindakan yang bersifat komersial. Saya pula lakukan demi reputasi, perkembangan dan kepuasan galeri serta artis. Maka, saya tidak boleh membekukan kreativiti mereka demi wang," katanya yang sedikit lari daripada naluri bisnes.

Berdepan dengan situasi demikian, Wei Ling mengakui dia ialah seorang pemilik galeri yang sering meminta artis mempamerkan sentuhan berbeza.

Fasa hidup

Wei Ling percaya, perjalanan seseorang artis harus melalui kepelbagaian variasi, naik dan turun dalam perjalanan karier. Kisah suka duka golongan penggiat seni itu juga sesuatu yang indah untuk diketengahkan.

"Ia seperti membaca sebuah buku. Apabila anda tiba-tiba menyelak muka surat 35, ia menceritakan satu fasa baharu. Di muka surat 40, ia sebuah lagi fasa berbeza. Anda tidak mahu mengulangi kisah yang sama dalam muka surat seterusnya," katanya.

Menurutnya, jika kisah yang sama bakal diulangi, seelok-eloknya, artis hanya berhak menerbit buku empat muka surat sahaja, Wei Ling memberi kiasan.

Gesaan dan permintaan Wei Ling ternyata menjadi intipati beliau dalam menjayakan perjalanan Galeri Wei Ling di arena tempatan serta di platform antarabangsa.

Salah seorang artis Galeri Wei Ling, Anurendra Jegadewa, 43, mengalu-alukan tindakan Wei Ling yang tidak pernah sepi daripada menyemarakkan dunia seni kontemporari.

Anurendra yang mengenali Wei Ling sejak tujuh tahun memberitahu, wanita itu sebagai seorang pengoperasi seni yang efisien dan mempunyai 'mata' dalam menghayati setiap penyampaian seni.

"Dia mengambil berat terhadap pergerakan seni Malaysia dan antara perintis galeri seni. Jadi saya berbangga menjadi sebahagian daripada artis galerinya yang kini berkembang maju," kata Anurendra yang pernah mengadakan kira-kira lima pameran solo dan beberapa pameran berkumpulan bersama Galeri Wei Ling.


SETIAP kali Galeri Wei Ling mengadakan pameran, majlis pelancarannya diadakan dengan penuh meriah.


Bangkit dari abu

Wei Ling pernah tampil dengan karya lukisan yang dipamer secara solo di ruang tertutup pejabat bapanya, di Town House Gallery di Bukit Bandaraya, Bangsar pada tahun 2002.

Graduan Rekaan Barangan Kemas dari Universiti Charles Sturt di New South Wales, Australia itu bukan sahaja terlibat dalam kerja seni sebagai pelukis dan pereka barangan kemas malah pernah menjadi broker saham selama tujuh tahun sebelum kembali kepada dunia seni.

"Saya merasakan diri ini perlu kembali kepada dunia seni. Saya bermula di Town House," kata beliau.

Begitupun, sebuah kejadian buruk pernah terjadi kepada Wei Ling dan juga bapanya, Jimmy C.S. Lim, 60. Pada tahun 2004, pejabat dan galeri Town House musnah sekelip mata dalam sebuah kebakaran yang tragis.

Daripada serakan abu, beliau kembali semula ke titik mula dan bangkit meneruskan perjuangan memartabatkan seni berbekalkan sokongan ahli keluarga.

"Kemudian kami berpindah operasi ke Brickfields. Bapa selaku seorang arkitek membantu saya mengatur sebuah galeri seni seperti yang anda lihat sekarang. Ia berlaku begitu sahaja tanpa dirancang," katanya.

Anak kepada arkitek terkemuka yang pernah tersenarai antara 100 arkitek terbaik dunia itu mengakui bahawa keluarga beliau mempunyai cita rasa yang tinggi dalam bidang kreatif.

Ibu beliau, Winnie Cheah, seorang pemain alat muzik, biola manakala abangnya, Lim Cho Wei, seorang arkitek, mengikut jejak langkah bapanya.

"Saya direstui oleh seluruh ahli keluarga untuk berkecimpung dalam bidang ini. Bayangkan, ketika kawan-kawan saya mahu belajar menjadi akauntan, undang-undang, perubatan dan lain-lain, saya pula minta belajar seni. Kedua-dua ibu bapa akur dengan minat saya," kata Wei Ling.

Sementara itu, suami beliau, Yohan Raj, pula sentiasa memberi dorongan dan membantu menguruskan operasi Galeri Wei Ling.

Sehingga kini, antara nama-nama yang pernah dan terus mengadakan pameran di Galeri Wei Ling ialah Ivan Lam, Chin Kong Yee, Hamidi Haidi, Zulkifli Yosoff dan ramai lagi. Ini tidak ketinggalan artis seni antarabangsa seperti Amin Gulgee dari Pakistan dan Stewart Macfarlane dari Australia.

Anak hasil sperma penderma

Posted:

Anak hasil sperma penderma

Anak hasil sperma penderma

SPERMA penderma disimpan dalam tangki khas.


HIDEAKI KATO menemui identiti sebenar dirinya secara tidak sengaja. Semuanya bermula apabila beliau menjalani latihan perubatan kira-kira 10 tahun yang lalu. Doktor Jepun itu yang kini berusia 39 tahun telah menjalankan ujian darah terhadap ahli-ahli keluarganya.

Hasil keputusan ujian darah itu amat mengejutkan Kato apabila mengetahui beliau sebenarnya tiada pertalian darah dengan ayahnya.

Mengetahui kebenaran itu, Kato mengesyaki ibunya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain memandangkan bapanya suatu ketika dahulu sering bertugas di luar daerah.

Kato kemudian menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengetahui siapakah bapa kandungnya yang sebenar.

Namun, Kato akhirnya diberitahu, ibu bapanya sejak awal menyembunyikan kemandulan bapanya daripada beliau.

"Saya berasa separuh badan seolah-olah mahu rebah. Saya bertanya kepada diri sendiri, mungkinkah selama ini senyuman yang terukir di bibir ibu bapa ketika saya kecil adalah palsu?" soalnya.

Namun demikian, hasrat Kato untuk menjejaki lebih lanjut mengenai perkara tersebut terbantut kerana mendapat halangan daripada ibu bapanya.

Selain itu, tiada undang-undang yang membenarkan dia mengakses lebih lanjut mengenai butiran genetik di Jepun.

Begitupun, masalah penderma sperma tanpa nama adalah satu cabaran yang dikongsi oleh beribu-ribu orang di Jepun serta di negara lain yang menawarkan sperma tanpa nama.

Oleh itu, ramai yang mengalami masalah identiti apabila mahu menjejaki semula latar belakang mereka.

Mereka juga tertanya-tanya tentang kewujudan abang dan kakak.

Mereka berasa bimbang kemungkinan menjalani hubungan dengan adik-beradik sendiri.

Kebimbangan itu telah menyebabkan ramai kanak-kanak yang mengandung menerusi penderma sperma tanpa nama menyarankan amalan tersebut diharamkan.

"Saya berharap ia diharamkan. Mengapakah ia diterima pakai? Bagi saya, teknologi itu satu cara untuk berpura-pura bahawa anda mempunyai 'keluarga' sedangkan ia sebenarnya menyembunyikan kemandulan.

"Saya tidak mahu anak-anak hasil penderma sperma tanpa nama berasa sedih seperti mana yang saya alami sekarang," tegas Kato.


KATO secara tidak sengaja mendapati dia tidak mempunyai pertalian darah dengan bapanya sewaktu menjalankan ujian darah.


Tidak bersendirian

Seorang lagi mangsa yang lahir daripada proses yang sama, Olivia Pratten yang berasal dari Kanada telah memfailkan tuntutan mahkamah untuk mengetahui keturunan genetiknya.

Pada tahun 2011, Britain telah menggubal undang-undang untuk membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan menerusi proses sperma penderma mengetahui identiti ibu bapa kandung mereka.

Mengikut laporan akhbar Kanada, undang-undang tersebut digubal pada bulan November tahun lalu tetapi Pratten boleh membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.

"Industri kesuburan suka menipu dan mendakwa masih belum ada penderma. Ia sememangnya palsu. Negara-negara lain seperti New Zealand, Sweden, United Kingdom, Australia telah mengharamkan teknologi ini," katanya.

Pada tahun 2005, Britain mengubah undang-undang supaya individu yang lahir daripada proses itu boleh mengetahui tentang identiti mereka.

Di negara Jepun, terdapat peraturan baharu bagi doktor menjalankan prosedur berkenaan.

"Ia lebih kompleks untuk menjalankan sistem terbuka, tetapi hak dan keperluan kanak-kanak yang dilahirkan mesti disimpan.

"Saya bersimpati kepada mereka yang menghadapi kemandulan, tetapi keinginan untuk mempunyai keturunan genetik perlu dihormati bagi ibu bapa dan kanak-kanak," ujarnya.

Pelopor rawatan kesuburan di Jepun, Netsu Yahiro berkata, beliau tidak boleh mengabaikan keinginan pesakit untuk mempunyai anak.

"Jika seorang kanak-kanak yang lahir daripada penderma sperma menghadapi krisis identiti, ia akhirnya akan meredakan kemarahan jika terdapat kepercayaan antara anak-anak dan ibu bapa," kata Netsu.

Begitupun, beliau bersetuju kanak-kanak harus mempunyai hak untuk mengetahui sejarah genetik mereka.

Sementara tu, Profesor dari Universiti Tezukayama, Mari Saimura terpilih untuk mewujudkan undang-undang mengenai isu itu.

"Jepun hanya boleh meluluskan teknologi itu selepas menetapkan garis panduan untuk menjamin hak rakyat mengetahui identiti mereka," katanya.

Namun dalam kes Kato, peluang untuk dia mengetahui siapakah bapa kandungnya masih lagi kabur.

"Saya tidak pernah lupa tentang bapa biologi saya. Saya sentiasa membawa senarai penderma. Saya cuma mahu mengetahui asal usul genetik saya," jelas Kato.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved