Isnin, 11 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pusat tumpuan industri marin

Posted:

Pusat tumpuan industri marin

Pusat tumpuan industri marin

MESIN penguji pergerakan yang canggih ini mempunyai kelajuan maksimum lima meter per saat.


SETIAP peralatan termasuk sambungan struktur batang paip telah dipasang, namun Mohd. Haidi Samsuri, 27, masih belum berpuas hati. Dia memeriksa sekali lagi.

Tindakan itu bagi memastikan ujian yang akan dijalankan berjalan lancar sekali gus mendapat keputusan yang paling tepat.

Kemudian dia menekan satu butang lantas mesin penguji mulai bergerak. Batang paip yang dipasang mulai bertindak balas dengan ombak dan data-data tertera di skrin monitor komputer.

"Saya perlu pastikan peralatan yang diuji dipasang dengan betul dan pelarasan mesin juga mengikut aturannya. Jika salah, mesin mungkin tidak berfungsi dengan baik atau keputusan yang diperoleh tidak tepat.

"Data-data yang tertera di skrin akan direkodkan kerana ia akan menentukan keupayaan batang paip berkenaan ketika digunakan dalam operasi di tengah laut," kata juruteknik yang bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai itu.

Anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu melakukan ujian daya tahan batang paip ketika digunakan di dalam laut untuk industri minyak dan gas.

Ujian batang paip itu dilakukan sebuah syarikat berkaitan minyak tempatan di Pusat Teknologi Marin, UTM. Hasil ujian adalah rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada syarikat pesaing.

Pusat marin bernilai RM35 juta itu dibangunkan pada tahun 1996 bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kerja komersial di bawah seliaan Jabatan Teknologi Marin malah merupakan yang pertama di Malaysia dan kedua di Asia Tenggara, selepas Indonesia.

Ia dilengkapi pelbagai prasarana terkini dan moden, antaranya tempat ujian model kapal merangkumi sebuah takungan air sepanjang 120 meter dan mesin penguji pergerakan dengan kelajuan maksimum lima meter per saat.

Pusat tersebut juga menyediakan mekanisme penjana ombak bagi menghasilkan olakan air seperti suasana sebenar dan penyerap gelombang. Ia menjadikan pusat berkenaan menjadi tumpuan pelbagai pihak yang inginkan khidmat perundingan mahupun kerja teknikal.


MAZIAH (kiri) bekerja sebagai jurutera seni bina kapal dan luar pantai di sebuah syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur.


Tugas berat

Mohd. Haidi berkata, dia bersama lima pekerja lain bertanggungjawab melakukan ujian seperti yang dikehendaki pelanggan terbabit.

"Pelanggan mahu kami melakukan kira-kira 300 ujian dalam tempoh tiga bulan. Ia merupakan satu tugas berat kerana setiap hari kami perlu melakukan sekurang-kurangnya 18 ujian rintangan.

"Ujian rintangan batang paip ini amat penting kerana apabila ia dipasang di lokasi sebenar di platform tengah laut, ia sepatutnya mampu menahan arus ombak. Jika gagal, kesan buruk akan berlaku seperti tumpahan minyak," kata anak kelahiran Labis, Johor yang memiliki kelulusan Diploma Elektronik dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor Bahru.

Ketika ujian dijalankan, beberapa pekerja syarikat minyak terbabit turut berada di lokasi ujian bagi memantau perjalanan ujian berkenaan yang membabitkan kos lebih RM1 juta.

Selain daripada tugas tersebut, Mohd. Haidi juga terbabit dengan kerja-kerja pembinaan prototaip kapal-kapal sebelum melakukan ujian rintangan, kestabilan, ombak dan pendorongan.

Pembinaan prototaip dilakukan di bengkel kayu di makmal berkenaan. Tugas tersebut memerlukan kreativiti dan imaginasi tinggi bagi menghasilkan model seperti lukisan yang diberikan oleh pelanggan atau pihak tertentu.

"Model kapal yang dihasilkan adalah berdasarkan nisbah 1:40 daripada saiz sebenar kapal. Model kapal yang diuji mestilah mempunyai kelajuan sederhana iaitu pada kadar 40 knot dan lazimnya ia untuk kapal yang panjangnya 200 meter pada ukuran yang sebenar," katanya.

Menimba ilmu

Selain tumpuan pihak luar menjalankan ujian bagi produk-produk mereka, pusat berkenaan juga menjadi medan para pelajar menimba ilmu dalam bidang berkenaan.

Antaranya, Maziah Suraya Abd. Majid, 32, yang kini mengikuti pengajian separuh masa peringkat Sarjana Teknologi Marin dan sibuk menjalankan kajian tentang platform minyak di tengah laut.

Pada masa sama dia turut bekerja sebagai jurutera seni bina kapal dan luar pantai (naval architect) di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa di KL Sentral, Kuala Lumpur.

Setelah enam tahun bekerja, Maziah berpendapat inilah masa terbaik baginya menimba ilmu baharu malahan kemudahan yang ada di UTM tersebut merupakan satu peluang keemasan yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.

"Saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran demi menggembangkan kerjaya dalam bidang ini. Ini kerana, saya dapati negara kita kekurangan pakar dalam menghasilkan platform terapung di laut untuk industri minyak dan gas," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Ekoran kekurangan itu, pakar-pakar luar terpaksa diimport bagi membantu membina platform terapung berkenaan.

Antara kajian yang dilakukannya termasuk mengenal pasti kemampuan platform dan paip gas menentang arus laut pada paras kedalaman berbeza.


UJIAN terhadap model kapal turut dilakukan di kawasan laut terbuka.


Kestabilan kapal

Seorang pelajar dari Sulawesi, Indonesia, Rahimuddin Samad, 41, sanggup merantau ke negara ini bagi mendalami ilmu berkaitan kestabilan kapal.

Antara perkara yang dipelajarinya termasuk membuat prototaip kapal, menjalankan ujian terhadap model kapal, pembangunan perisian komputer dan stimulasi komputer yang kesemuanya berkaitan dengan kapal.

"Sebahagian ujian perlu diadakan di kawasan laut terbuka seperti di perairan Selat Melaka atau Selat Johor. Ketika kajian dijalankan, pergerakan-pergerakan ombak akan direkodkan. Ini bagi memastikan apabila kapal sebenar dibina, tidak berlaku olengan yang boleh menyebabkan anak-anak kapal mabuk lauk.

"Kajian juga penting bagi memastikan prestasi kapal sebenar, keselesaan dan kemampuan menghadapi rintangan ombak. Jika tiada kajian itu, apabila dipukul ombak yang tinggi, kapal akan pecah sekali gus membahayakan keselamatan," katanya.

Dimensi baharu pementasan Secret Cinema

Posted:

Dimensi baharu pementasan Secret Cinema

Dimensi baharu pementasan Secret Cinema


PENONTON akan dibawa ke sebuah gudang yang diubah suai menjadi penjara untuk turut sama berlakon dengan para pelakon sebenar filem itu.


DI bawah pemantauan pengawal, sekumpulan penonton wayang duduk dalam keadaan senyap ketika bas era 1950-an yang mereka naiki meredah kota London. Tidak lama kemudian, sebuah kompleks penjara kelihatan.

Selamat datang ke Secret Cinema. Namun, berbeza daripada menonton di pawagam biasa, di Secret Cinema penonton akan dibawa ke lokasi lakonan sebenar.

Filem tidak setakat ditayangkan di skrin kerana penonton boleh melihat sendiri dengan lebih dekat karakter yang dihidupkan oleh pelakon.

Penonton datang sehelai sepinggang ke lokasi rahsia yang hanya diketahui melalui jemputan e-mel.

Mereka membayar sejumlah 43.50 pound sterling (RM213) untuk sekeping tiket Secret Cinema.

"Segalanya adalah rahsia. Mereka tidak mempunyai sebarang idea apa yang akan ditonton dan perkara yang akan dilalui.

"Namun, sebaik sahaja sampai ke lokasi pelakon, pengarah dan kru menjadi lebih terbuka. Penonton perlu bersedia merasai pengembaraan hebat itu," kata Fabien Riggall yang mengasaskan Secret Cinema pada tahun 2007.

Pendekatan wayang gambar inovatif itu juga kini sudah mula menjadi fenomena di New York, Amerika Syarikat (AS) dan Athens, Greece apabila mula merebak sejak April tahun lalu.

Lokasi sebenar

Secret Cinema menyaksikan penganjurnya mengubah sebuah gudang menjadi lokasi yang pelbagai.

Contohnya sebuah taman untuk latar belakang Lawrence of Arabia dan terowong bergenangan air bagi filem The Battle of Algiers.

Siri terbaharu pengembaraan menawarkan penonton pengalaman kehidupan penjara yang sukar seperti yang dialami Morgan Freeman dan Tim Robbins seperti dalam filem The Shawshank Redemption.

Pada awalnya penonton dimaklumkan akan tiba di sebuah perpustakaan di timur London dengan pakaian era 50-an, sebelum dibawa ke mahkamah dan dibicarakan atas pelbagai jenis jenayah yang menggelikan hati daripada penculikan hinggalah mempunyai dua isteri.

'Banduan' baharu tersebut kemudian dibawa menaiki sebuah bas vintaj ke sebuah sekolah tinggal yang ditukar oleh Secret Cinema kepada penjara.

Diasak masuk oleh 'pengawal penjara' iaitu pelakon sebenar filem, mereka kemudian dipaksa menanggalkan pakaian asal mereka.

Daripada topi cantik dan kot panjang, mereka kini diminta memakai uniform kelabu dan menghabiskan tiga jam meneroka bilik kurungan masing-masing dengan gangguan pengawal secara berkala.


UNTUK menjadi penonton Secret Cinema anda perlu bersikap terbuka kerana ia akan membawa anda mengembara ke lokasi sebenar filem itu.


Peningkatan penonton

"Jika anda mengikut rentaknya, ia menjadi menarik.

"Setiap kali menyertainya, ia menjadi lebih besar," kata Andy yang sudah enam kali mengikuti Secret Cinema dan pernah datang dengan pakaian Badwi untuk Lawrence of Arabia dan pesakit psikologi untuk One Flew Over The Cuckoo's Nest.

Babak filem seolah-olah jatuh daripada layar perak menjadi realiti. Bagi The Shawshank Redemption, ia melihatkan sebahagian pelakon tidak dapat dibezakan dengan penonton kerana memakai uniform yang sama, mencipta semula babak rogol dengan kejam, pergaduhan dan hukuman mati.

Bermula dengan kelompok penonton pertama seramai 400 orang pada 2007, Secret Cinema kini berkembang sehingga 13,500 orang 'banduan' dalam beberapa siri tayangan untuk The Shawshank Redemption pada Disember lalu.

"Setiap kali pembikinan, kami cuba mencipta sesuatu yang melebihi sebelumnya dari sudut bagaimana penonton menjadi sebahagian daripada dunia itu dan cara mewujudkan kekaburan antara persembahan serta tontonan," kata Riggall.

Tambahnya, ramai peminat melihat bentuk wayang baharu itu sebagai satu penawar kepada pengalaman biasa yang hanya memerlukan seseorang duduk di hadapan skrin.

"Ramai yang mahukan pengembaraan. Mereka mahukan kelainan daripada apa yang mereka sudah ketahui dan saya rasa Secret Cinema adalah langkah tersebut.

"Kami mempunyai pelakon yang tidur bersama penonton, malah anda mungkin bangun dan terdapat tahanan yang menyanyikan lagu klasik di sebelah. Seluruh bangunan ini menjadi pentasnya," katanya lagi.

Tiket-tiket untuk Secret Cinema kali ke-20 di London untuk April ini sudah pun habis dan ia buat julung-julung kalinya dijalankan serentak di lokasi rahsia di Athens dan New York.

Jos, seorang pemuda Belanda yang tinggal di London berkata, peminat filem dari bandar-bandar lain mengalu-alukan projek itu dengan tangan terbuka.

"Anda seperti disedut ke dalamnya. Pada mulanya agak kelakar namun selepas 10 minit anda sudah turut serta.

"Ia membuat anda berfikir bagaimana rasanya berada di penjara sebenar," katanya. - AFP

Karya agung Enid Blyton

Posted:

Karya agung Enid Blyton

Karya agung Enid Blyton

Oleh NIZHA PERIASWAMY


BLYTON (tengah) disanjung kerana menghasilkan karya penulisan kanak-kanak dengan gaya penceritaan dan watak-watak menarik.


JIKA anda pernah menjadi penggemar buku novel sewaktu zaman kanak-kanak, koleksi novel seperti Siri Lima Penyiasat, Siri Tujuh Penyiasat dan Siri Tiga Penyiasat pastinya tidak dapat dilupakan.

Ia antara koleksi buku wajib dalam kalangan murid sekolah, tidak kira rendah atau menengah.

Semestinya, lebih separuh daripada kita yang kini berada dalam lingkungan usia pertengahan 20-an hingga 40-an, membesar dengan berimaginasi watak dan jalan cerita karya-karya mereka.

Daripada senarai tersebut, penulis buku yang sangat popular menerbitkan lebih 800 buah novel ialah Enid Blyton.

Koleksi novel beliau adalah antara yang paling popular pada era 80-an dan 90-an apabila buku-buku beliau bukan sahaja boleh didapati dalam bahasa Inggeris, malah turut dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu.

Sedikit mengenai latar Blyton atau nama penuhnya, Enid Mary Blyton, beliau merupakan seorang warga Britain yang lahir pada 1897 hingga tamat hayatnya pada tahun 1968.

Beliau merupakan penulis novel kanak-kanak pada abad ke-20 serta disanjung oleh para pengkritik kerana gaya penceritaan dan watak-wataknya yang tidak dapat dilupakan.

ANTARA novel kanak-kanak pelbagai genre seperti pengembaraan, penyiasatan dan misteri tulisan Blyton yang terus kekal diminati sehingga ke hari ini.


Kekal popular

Blyton terkenal dengan siri buku berdasarkan watak-watak yang berulang-ulang dan ditujukan kepada kumpulan umur yang berbeza. Kehebatan Blyton membuatkan bukunya terjual lebih 400 juta naskhah di pelbagai negara.

Pada tahun 2007, Blyton diiktiraf sebagai penulis kelima popular di dunia di belakang beberapa penulis tersohor seperti William Shakespeare menurut Indeks Translationum.

Analisis itu berdasarkan bilangan naskhah buku Blyton yang dijual.

Jika diimbas semula karya Blyton, salah satu watak paling terkenal dan lekat di hati semua peminat siri Blyton ialah watak Noddy. Di samping itu, tidak dilupakan juga watak-watak dalam Siri Lima Sekawan (terdiri daripada 21 buah novel berkenaan empat orang remaja serta seekor anjing yang membuat pelbagai pengembaraan) dan Siri Tujuh Penyiasat (terdiri daripada 15 buah novel tentang tujuh orang remaja yang menyelesaikan pelbagai misteri).

Sehingga kini, buku-buku Blyton masih popular di Britain, India, New Zealand, Pakistan serta Australia malah telah diterjemahkan dalam hampir 90 bahasa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved