Rabu, 13 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keharmonian pelbagai suku di Sabah

Posted:

Keharmonian pelbagai suku di Sabah

Keharmonian pelbagai suku di Sabah

HARI itu Abdul Majid Arbani, 52, tidak turun ke laut. Sebaliknya dia mengamati pemandangan dari pangkin kayu yang terletak di pinggir pantai Kampung Batu, Tanjung Labian, Lahad Datu.

Sesekali dia tersenyum sendirian dengan membelek topi berwarna putih yang dipakainya sambil membetulkan postur tubuh agar selesa duduk di pangkin kayu tersebut.

"Nelayan dan ombak bagaikan sahabat di lautan luas. Kehidupan nelayan yang keluar mencari rezeki dengan menyabung nyawa di sungai dan laut bukanlah mudah. Pelbagai cabaran perlu dihadapi demi kelangsungan hidup," ujarnya membuka kata.

Terletak kira-kira 140 kilometer dari bandar Lahad Datu, Tanjung Labian terkenal akibat tempias kes pencerobohan pengganas bersenjata dari kepulauan Sulu di Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu.

Malah, jarak perjalanan dari Kampung Tanjung Batu ke Kampung Tanduo hanya empat kilometer memakan masa selama sejam dengan berjalan kaki di pesisir pantai.

Lebih menarik, di Tanjung Labian orang ramai berpeluang melihat dengan jelas beberapa pulau di selatan Filipina yang tidak jauh dari situ.

"Jika cuaca baik dan terang, pasti kamu akan dapat lihat beberapa pulau kecil di selatan Filipina yang berada di depan tanjung ini. Lagipun pulau tersebut tidak jauh dari sini dan boleh menaiki bot pancung sahaja namun ia bergantung kepada keadaan ombak," kata lelaki keturunan Bajau itu.

Dibesarkan di Kampung Tanjung Labian, dia yang mahu dikenali sebagai Pak Majid memberitahu, penduduk di sekitar Tanjung Labian hidup aman dan harmoni dengan suku kaum berlainan seperti Idahan, Suluk dan Bajau.

Tanjung Labian menempatkan empat buah kampung utama iaitu Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian, Kampung Lok Sambuang dan Lok Buani. Rata-rata penduduknya menjalankan aktiviti nelayan sebagai sumber utama kepada ekonomi selain ada yang bekerja di ladang kelapa sawit di Felda Sahabat. Di pesisiran pantai yang bersih dan kecantikan tanjungnya yang terkenal dengan lubuk ikan menjadikan Tanjung Labian antara lokasi tumpuan bagi segelintir para pemancing.

Aktiviti memancing

"Kadang-kadang ada juga orang luar terutamanya kaki pancing berkunjung di sini sebab di sekitar kawasan ini ada lubuk ikan termasuk kerapu, pari dan tenggiri," tegasnya.

Pak Majid memberitahu, dia sendiri pernah membawa beberapa pemancing bagi melepaskan ketagihan memancing.


WANITA ini menjalani kehidupan seperti biasa meskipun pelbagai cerita negatif dimomokkan di Tanjung Labian.


Tindakannya itu secara tidak langsung merancakkan lagi ekonomi segelintir para nelayan selain dapat berinteraksi dengan masyarakat luar.

"Memang seronok apabila ada orang luar datang ke sini kerana kampung ini memang jauh terpencil di dalam Felda Sahabat.

"Mereka juga melahirkan kekaguman terhadap kecantikan pantai dan tanjung-tanjung yang terdapat di kawasan ini terutama pada awal pagi dan lewat petang," kata anak bongsu daripada 12 beradik ini.

Berada di perairan yang berdekatan dengan kawasan sempadan, berdiam di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti sememangnya harus diketepikan.

Biarpun, bimbang dengan kegiatan memancing di sekitar perairan berkenaan kerana dikhabarkan menjadi laluan lanun dari negara jiran, bagi seorang lagi nelayan, Alimudin Omar, 52, berkata, pasukan keselamatan negara terutama Maritim Malaysia, Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am sentiasa menjalankan pemantauan yang rapi.

Masa bersama keluarga

"Bekerja di bawah panas mentari di dalam bot yang dipukul gelombang sepanjang hari memberikan pengalaman berbeza dengan hasil yang tidak menentu dan pulangan tidak seberapa terutama pada musim tengkujuh.

"Bukan mudah untuk menangkap seekor ikan. Namun, saya bersyukur dengan apa yang ada kerana ada orang lain yang lebih susah daripada kita.

"Kami reda dan tetap berasa gembira menetap di kampung ini," tegasnya yang membuat blok bata rumah sebagai kerja sampingan.

Alimudin mendedahkan, bagi melupakan seketika tekanan yang dirasai, kebanyakan penduduk di Tanjung Labian menghabiskan masa bersama keluarga berkelah di pantai tersebut.

"Rata-rata penduduk di kawasan ini mempunyai hubungan persaudaraan antara satu sama lain. Jadi, bila ada masa terluang aktiviti berkelah sememangnya ditunggu-tunggu bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain," cerita Alimudin.


MUHAMMAD GABRIL menunjukkan ikan hasil tangkapannya di tepi pantai Kampung Tanjung Labian.


Realitinya, segelintir kehidupan keluarga nelayan dihimpit kesusahan terutama dari segi infrastruktur.

Namun, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa memastikan kehidupan mereka terjamin bagi memastikan kehidupan mereka tidak terpinggir sejauhnya.

Buktinya, Ketua Kampung Tanjung Labian, Mahmood Mallang berkata, pelbagai infrastruktur sedang rancak dibangunkan termasuklah projek tenaga elektrik solar kerajaan bernilai RM132 juta.

"Beberapa buah rumah di kampung ini sudah menerima bekalan elektrik sejak dua minggu lalu. Sebelum ini, para penduduk hanya bergantung penuh kepada sumber elektrik daripada set janakuasa mini yang dibeli sendiri oleh sebilangan penduduk yang berkemampuan.

"Di kampung ini sahaja, terdapat kira-kira 20 set janakuasa yang digunakan penduduk. Jadi, setiap malam apabila janakuasa dihidupkan, kampung ini memang diselubungi bunyi bising daripada set jana kuasa tersebut," katanya.

Tenaga solar

Menurut Mahmood, persekitaran tersebut bakal berubah apabila syarikat utama pembekalan elektrik negeri, Sabah Electricity Sdn. Bhd. sedang rancak menjalankan operasi pembekalan elektrik tenaga solar dan proses pemasangan wayar pada tiang elektrik ke rumah di setiap kampung terlibat dan empat buah sekolah rendah di kawasan tersebut.

Hubungan Malaysia, Filipina tidak terjejas

Posted:

Hubungan Malaysia, Filipina tidak terjejas

Hubungan Malaysia, Filipina tidak terjejas

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my


TANJUNG Simpang Mengayau di Kudat merupakan titik pertemuan antara Laut Sulu dan Laut China Selatan yang dikelaskan sebagai salah satu destinasi pelancongan paling cantik di Sabah.


PERTEMPURAN yang berlaku antara pengikut Sultan Jamalul Kiram III dengan pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia pada 1 Mac lalu mencatat tragedi berdarah yang sukar dilupakan.

Keengganan pengganas Sulu berundur dari Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah selepas menceroboh kawasan tersebut sejak 12 Februari lalu mengundang insiden berbalas tembakan hingga ramai menjadi korban.

Ekoran pencerobohan itu, 10 anggota keselamatan gugur sebagai pejuang negara. Mereka terdiri daripada anggota polis Komando VAT 69, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46; Superintendan Ibrahim Lebar, 52; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27; Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48; Koperal Salam Togiran, 42; Sarjan Baharin Hamit, 49; Asisten Superintendan Michael Padel, 36, dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24.

Seorang lagi anggota tentera, Prebet Ahmad Farhan Ruslan meninggal dunia kelmarin selepas trak yang dipandu untuk menghantar bekalan ke kawasan operasi Ops Daulat hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 36, Jalan Lahad Datu-Tungku dekat Cenderawasih di Lahad Datu.

Sementara itu, seramai 57 pengganas Sulu berjaya ditumpaskan oleh pasukan keselamatan Malaysia dalam Ops Daulat yang dilancarkan sebagai tindak balas ekoran serangan tersebut.

Berasal dari Selatan Filipina, kumpulan pangganas tersebut yang belayar ke perairan Sabah dengan menaiki bot pancung semata-mata untuk menuntut hak mereka yang mahu kerajaan Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.

Jamalul Kiram, 74, mendakwa dia merupakan pewaris kerajaan Islam Kesultanan Sulu yang suatu ketika dahulu pernah menguasai sebahagian Borneo termasuk beberapa buah pulau di selatan Filipina.

Justeru, kehadiran kumpulan lelaki yang lengkap bersenjata dan berpakaian ala tentera itu bertujuan membuat tuntutan terhadap perkara tersebut.

Sejak itu, Malaysia telah mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lalu sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.

Bagaimanapun tempoh pengusiran mereka telah dilanjutkan kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.


ANGGOTA keselamatan negara tiba di jeti selepas melakukan pemantauan di perairan Lahad Datu rentetan pencerobohan pengganas Sultan Sulu.


Kecam tindakan

Malah, Presiden Filipina, Benigno Aquino turut mengecam tindakan pengikut Jamalul Kiram III yang dianggap keterlaluan dan melampau hingga sanggup menceroboh kawasan Lahad Datu, Sabah.

"Kehadiran pengikut Kiram di sana langsung tidak membantu tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah," ujar jurucakap Aquino, Edwin Lacierda baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Malaysia (MPN), Datuk Prof. Dr. Zainal Kling berkata, mengikut sejarah, Sabah dahulu asalnya diperintah oleh kerajaan Brunei. Kemudian ia bertukar pemerintahan kepada Kesultanan Sulu bermula pada tahun 1870-an.

Menurut beliau, pada waktu itu, Sabah melalui Kesultanan Sulu sudah dicagar atau dipajak kepada kuasa Eropah untuk dibangunkan.

"Jadi, surat penyewaan atau pajakan itulah sebenarnya yang dituntut oleh Jamalul Kiram," ujar Zainal ketika dihubungi Kosmo!.

Apabila Sabah ditadbir oleh Inggeris melalui North Borneo Chartered Company pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, mereka tetap menerima bayaran pajakan.

Begitu juga selepas Perang Dunia Kedua apabila Sabah kemudian diserah kepada koloni British, bayaran sewaan sebanyak AS$1,700 (RM5,300) ketika itu masih diberikan kepada mereka.

"Bagaimanapun, sewaktu Sabah memilih untuk merdeka pada tahun 1963, ia adalah satu keputusan yang dinamakan self determination iaitu penentuan kepentingan sendiri oleh mereka. Atas prinsip ini, ia menjadikan Sabah merdeka dalam Malaysia.

"Namun, sewa yang dahulu dibayar kepada keturunan Raja Kiram masih diteruskan. Tetapi, keputusan sebenarnya telah dibuat oleh rakyat Sabah melalui pungutan suara sama ada rakyat di Sabah hendak masuk Malaysia atau tidak. Pungutan suara ini dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Dari sudut itu, rakyat Sabah sudah buat keputusan memilih untuk menyertai Malaysia sebagai satu negara. Bagaimanapun, bagi keturunan Sultan Sulu, mereka masih menganggap bahawa mereka mempunyai hak terhadap tanah tersebut," jelas Zainal sambil menegaskan bahawa tragedi serangan balas antara anggota keselamatan Malaysia dan pengganas Sulu merupakan peristiwa berdarah yang tidak sepatutnya berlaku.

"Ia merupakan satu pencerobohan, namun secara peribadi saya rasa isu ini tidak akan menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Filipina kerana Presiden Aquino sendiri sudah menyatakan pendiriannya terhadap pencerobohan tersebut.

Berita palsu jejas imej negara

Posted:

Berita palsu jejas imej negara

Berita palsu jejas imej negara


TANGGUNGJAWAB anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara tidak harus dipolitikkan demi kepentingan peribadi sesuatu pihak.


PENCEROBOHAN yang dilakukan oleh puak pengganas Sulu di beberapa lokasi di Sabah baru-baru ini adalah satu isu besar membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam kejadian serangan berdarah itu, ia turut mengorbankan sembilan anggota keselamatan dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain seorang anggota ATM meninggal dunia akibat kemalangan ketika membawa bekalan untuk operasi Ops Daulat di Lahad Datu.

Sementara itu seramai 57 pengganas Sulu terbunuh dalam serangan tersebut.

Di sebalik tragedi yang memberi kesan besar terhadap emosi seluruh rakyat Malaysia itu, tidak kurang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku.

Penyebaran berita palsu dan khabar angin yang dilakukan di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog-blog peribadi berkaitan peristiwa tersebut muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Malah, ada segelintir individu biadab yang sanggup mengeluarkan kenyataan menuduh pihak berkuasa tidak menjalankan tanggungjawab atau memperlekeh tugas mereka yang berada di perbatasan.

Selain itu, ada juga yang dengan sewenang-wenangnya mengkritik segala tindakan yang dilakukan dalam usaha mengatasi masalah tersebut, seolah-olah merekalah yang lebih bijak dan mempunyai otak.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya, Dr. Samsul Adabi Mamat berkata, situasi sedemikian mampu menggugat keamanan negara.


TARIKH pilihan raya yang semakin hampir membuatkan ramai mahu menangguk di air keruh daripada sesuatu isu yang timbul.


Menurut beliau, adalah berbahaya bagi sesebuah populasi jika terlibat dalam penyebaran berita-berita palsu atau khabar angin kerana ia boleh memberi imej buruk pada negara.

"Media baharu seperti laman sosial dan blog yang memaparkan cerita sesuatu khabar angin membawa kesan negatif pada negara. Ini kerana, kestabilan negara dilihat sebagai satu faktor utama untuk menarik kemasukan pelabur asing.

"Jika isu ini diperbesar-besarkan, situasi mungkin akan menjadi bertambah teruk. Justeru, setiap individu dan rakyat Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengelak penyebaran maklumat yang tidak sahih," ujar beliau ketika dihubungi Kosmo!.

Tambahnya, memandangkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin dekat, maka semakin ramai pihak yang mahu menangguk di air keruh.

"Nasihat saya kepada rakyat, lihat isu ini sebagai pencerobohan yang melibatkan keselamatan negara, jadi ia menjadi tanggungjawab semua tidak kira anda pemerintah atau parti pembangkang.

"Namun, jika anda pembangkang pula, jadilah pembangkang yang bijak dalam usaha untuk membantu ke arah kestabilan dan keamanan negara," tegasnya sambil mengakui kerajaan mampu menyelesaikan masalah yang melanda dengan baik, cuma ia mungkin mengambil sedikit masa kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Seniman Malaysia, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, perkara tersebut merupakan salah satu cara pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih undi pada pilihan raya akan datang.

Tindakan itu ujarnya, bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan ia dilakukan oleh mereka yang taksub pada parti-parti tertentu.

"Dalam hal ini, saya ingin menyeru rakan-rakan artis agar tidak terpengaruh dengan sebarang maklumat atau khabar angin yang didengar. Sebaliknya siasat dan tanya pada pihak yang berwajib.

"Sebagai artis dan selebriti, saya percaya masing-masing pasti mempunyai pengikut tersendiri. Justeru, gunakan pengaruh anda untuk mengajak peminat dan masyarakat daripada melibatkan diri dalam perkara yang tidak sepatutnya.

"Jangan disebabkan anda telah berubah, berhijab dan sebagainya, anda terus melemparkan tuduhan kepada orang lain," ungkapnya.

Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Abdul Mua'ati @ Zamri Ahmad pula mengakui, tidak kira dalam apa isu sekalipun, kredibiliti media sosial atau media baharu melaporkan sesuatu kejadian sering diragui.


JANGAN terus percaya terhadap setiap maklumat yang dibaca melalui blog atau laman sosial sebaliknya ia perlu ditapis dan diselidik terlebih dulu sejauh mana kebenarannya.


Namun, ada masa, ia menjadi alternatif kepada media konvensional atau arus perdana untuk orang ramai mendapatkan maklumat yang diinginkan.

"Hal ini berlaku kerana adakala media arus perdana dilihat tidak memberikan maklumat terperinci berhubung sesuatu kejadian atau peristiwa besar dalam negara. Jadi, ada pihak mula membuat spekulasi dan menyebarkan khabar angin yang mungkin adalah pandangan mereka sendiri.

"Apapun, ia terpulang kepada pembaca untuk menilai sejauh mana kebenaran dan fakta yang digunapakai dalam penghasilan artikel tersebut. Ada orang terus percaya bulat-bulat apa yang dibaca, tetapi ada juga yang menapis dan menyelidik sumbernya terlebih dulu.

"Bagi saya, individu yang cerdik perlu mempertimbangkan setiap berita yang diterima dan jangan sesekali membuat sesuatu yang mampu menggugat keamanan dan kestabilan negara," ujarnya penuh berhemah. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved