Rabu, 13 Mac 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Asah bakat di ChiliPadee Studio

Posted:

Asah bakat di ChiliPadee Studio

Asah bakat di ChiliPadee Studio

Oleh ADLAN JAAFAR

PARA pelajar ChiliPadee Studio berpeluang mempelajari teknik-teknik dalam penghasilan sesuatu animasi.


ANIMASI kegemaran Mohamed Uwais Mohamed Syairoz, 10, ialah SpongeBob SquarePants, Car dan Toy Story sama seperti rakan-rakan sebayanya. Namun, ibu bapanya dapat mengesan sesuatu yang lain dalam diri kanak-kanak itu.

Mohamed Uwais kelihatan sangat berminat dengan pergerakan dan emosi wajah setiap karakter berbanding kanak-kanak lain yang hanya terpesona pada jalan cerita yang kelakar serta penggunaan warna menarik.

Berikutan perkembangan tersebut, ayah Mohamed Uwais, Mohamed Syairoz Mohd. Odman, 35, mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak sulungnya itu ke kelas animasi kanak-kanak, ChiliPadee Studio (CPS) yang terletak di Batu Caves, Selangor.

CPS merupakan kelas animasi khusus untuk kanak-kanak yang pertama di Malaysia. Ia ditubuhkan pada November 2011 dengan menawarkan dua sesi kelas.

Menyasarkan kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun, ia bertujuan untuk meneroka minat kanak-kanak terhadap animasi sekali gus mengasah kemahiran dan mengekalkan minat.

Bilangan pelajar setiap kelas dihadkan bagi memastikan hubungan murid dan guru lebih berkesan serta tidak berlaku sebarang tekanan kepada mereka.

"Kami mahu anak saya meneroka bakat yang ada dalam dirinya dan sebagai ibu bapa, kami perlu memberi sokongan sepenuhnya," kata Mohamed Syairoz ketika ditemui Taman Industri Bolton, Selangor.

Ketika ditanya mengenai cita-cita, Mohamed Uwais yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor, pantas menjawab mahu menjadi juruterbang.


UWAIS (kanan) berminat untuk meneroka karakter animasi Toy Story di ChiliPadee Studio.


Skil sandaran

Walaupun berbeza dengan apa yang dipelajarinya, ibu kanak-kanak itu, Saidatul Ashikin optimistik bahawa setiap bakat yang ada dalam diri kanak-kanak itu boleh menjadi skil sandaran pada kemudian hari.

Pada awal Januari lalu, anaknya itu selesai menjalani upacara graduasi setelah tamat kelas peringkat pertama.

Setiap pelajar yang menamatkan pengajian peringkat pertama termasuk menyiapkan setiap tugasan yang ada akan dianugerahkan sijil pencapaian.

Mohamed Uwais seterusnya didaftarkan dalam kelas peringkat kedua. Menurut Mohamed Syairoz, anaknya itu seronok dapat bersama dengan kawan-kawan dalam kelas yang sama.

"Paling penting, Mohamed Uwais tidak pernah kelihatan tertekan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan gurunya.

"Penghayatan terhadap kartun juga semakin meningkat terutamanya dari segi mimik muka. Dia dapat memahami kesukaran dalam menghidupkan satu-satu karakter," terang Mohamed Syairoz yang bekerja sebagai pegawai bahagian perhubungan strategik sebuah syarikat swasta.

Antara muka mudah

Kelas animasi kanak-kanak di CPS setakat ini mempunyai dua peringkat yang menggunakan dua perisian yang berbeza iaitu Crazy Talk 6 (CT6) dan Crazy Talk Animator (CTA) masing-masing untuk peringkat yang berbeza.

Perisian CT6 adalah untuk peringkat pertama dengan memberi fokus pada ekspresi wajah dan pergerakan muka, manakala CTA pula, khusus pada pembinaan latar belakang serta pergerakan karakter.

Kedua-dua perisian itu sesuai untuk sistem operasi Microsoft dan merupakan animasi dua dimensi.

Sebenarnya, terdapat beberapa ciri pada perisian tersebut yang membolehkan kanak-kanak boleh mempelajarinya dengan mudah.

Hal itu bertentangan dengan tanggapan lazim yang sering terlintas dalam pemikiran orang ramai iaitu hampir semua perisian melibatkan animasi atau grafik terlalu sukar untuk dipelajari.

Menurut Pengarah CPS, Sazrul Zakri Zakariya, 36, kedua-dua perisian tersebut memberikan hasil akhir seperti karya juruanimasi profesional.

Namun, lelaki yang senang dipanggil Zack itu menambah, perisian tersebut dapat mempercepatkan masa pembikinan antara empat hingga lapan minggu.

Selalunya, bagi satu episod animasi berdurasi 30 minit memerlukan masa lebih kurang 35 minggu untuk disiapkan.

"Ciri jelas yang dapat dilihat ialah interface yang mudah digunakan sehingga kanak-kanak juga boleh menggunakannya," terang Zack yang berasal dari Pulau Pinang tetapi menetap di Seri Gombak, Selangor.

Interface (antara muka) bagi memilih ekspresi wajah dan pergerakan mulut agak senang dan prosesnya hampir berlaku secara automatik dengan suara yang dirakam.

Satu lagi ciri yang ada ialah tetapan (setting) yang telah dilaras lebih awal untuk pergerakan yang biasa dilakukan seperti berjalan, berlari atau menari.

Jadi, apabila pembikin animasi dua dimensi mahu karakter ciptaan mereka bergerak, watak yang sedia ada hanya perlu dimasukkan dan pilih pergerakan yang ada.

Pergerakan yang pelik seperti mahu menghasilkan tarian yang ada identiti seperti hip hop, juruanimasi harus menghasilkan gambar satu persatu.

Selain itu, banyak lagi ciri yang ada seperti watak yang dicipta boleh diberi dekorasi menarik. Contohnya, pakaian yang cantik berdasarkan kepada keinginan pereka.


PERISIAN CrazyTalk yang digunakan mudah untuk difahami oleh kanak-kanak.


Memupuk minat

Paling utama menerusi kelas bimbingan sebegitu adalah mencambahkan kreativiti anak-anak kecil. Melaluinya, minat kanak-kanak dapat dipupuk dan bakat mereka tidak disia-siakan malah dibentuk berdasarkan saluran yang betul.

Pendidikan awal dalam bidang animasi secara umumnya sangat penting dan untuk jangka masa panjang, ia dapat menyumbang kepada pembangunan negara sebagai persediaan sumber tenaga mahir dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Tambahan pula, dengan sokongan kerajaan yang memperkenalkan Dasar Industri Kreatif yang memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi pembangunan bidang tersebut, ia bakal merancakkan lagi industri.

Pada masa akan datang, industri tersebut bakal melonjak dan sudah pasti negara ini memerlukan ramai tenaga kerja kreatif mahir untuk mengisi permintaan dunia penerbitan filem, muzik, penyiaran dan juga animasi.

Kini, perkembangan dunia animasi Malaysia juga dilihat agak meriah dengan penerbitan kartun kegemaran ramai seperti Upin dan Ipin dan Boboiboy.

Selain industri kreatif dan hiburan, kata Zack, animasi juga sangat berkesan dalam proses pembelajaran di sekolah. Perisian itu sebenarnya sudah digunakan di sekolah-sekolah di Singapura sejak tahun 2010.

Para guru dilatih menggunakan perisian Crazy Talk supaya penyampaian ilmu dibuat dengan lebih kreatif dan menarik dan dalam masa yang sama ia mudah diselenggara.

"Ia boleh menjadi alat bantu mengajar sampingan bersama-sama peralatan sedia ada yang konvensional iaitu papan hitam.

"Kaedah tersebut (konvensional) sudah sangat lama diguna pakai dan barangkali boleh menyebabkan timbul rasa bosan sekali gus membantutkan pengajaran," kata Zack lagi.

Perancangan masa hadapan CPS adalah mahu memperkenalkan kelas untuk pelajar menengah yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Silibus kelas tersebut menggunakan perisian tiga dimensi, iClone. Kelas tersebut, untuk masa akan datang, turut menerima pelajar dewasa yang berminat untuk mengembangkan bakat dalam animasi.

Jepun bangkit selepas bencana terburuk

Posted:

Jepun bangkit selepas bencana terburuk

Jepun bangkit selepas bencana terburuk


KEROSAKAN yang berlaku di banyak bangunan reaktor nuklear (kiri) telah berjaya diperbetulkan.


GEMPA bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun berlaku di laut timur Jepun pada 11 Mac 2011 nyata membawa kemusnahan besar terhadap negara itu.

Apatah lagi, ekoran gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter itu turut mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter.

Susulan daripada kejadian itu, seramai 23,000 orang terkorban dan hilang. Bencana alam itu memusnahkan bangunan serta infrastruktur bernilai 16.9 trilion yen (RM639 bilion).

Walau bagaimanapun, jumlah tersebut tidak termasuk kos kerosakan akibat kemalangan loji nuklear Fukushima Daiichi dan kos-kos lain seperti bayaran ganti rugi bagi mangsa bencana dan mangsa-mangsa yang dipindahkan.

Bencana berkembar itu juga telah menyebabkan kemusnahan kawasan perumahan, kedai, bangunan pejabat, kilang, lapangan terbang, sistem air, gas, tenaga elektrik dan rangkaian telekomunikasi.

Kesan dahsyat itu juga meliputi kawasan pelabuhan dan menjahanamkan sistem pembetungan, sektor pertanian, perhutanan serta perikanan.

Kerosakan teruk yang melanda negara itu menyebabkan ia lumpuh sehingga memaksa seramai 300,000 orang penduduk meninggalkan kawasan Tohoku utara iaitu kawasan yang paling teruk terjejas.

Selain Tohoku, kawasan lain yang terlibat ialah bandar Sendai, Iwate, Miyagi dan Aomori, Gunma, Ibaraki, Tochigi, Kanagawa, Saitama dan Chiba.

Lebih teruk, kerosakan sistem pendingin di loji nuklear Fukushima yang hampir mencetuskan bencana nuklear dunia sehingga telah diisytihar darurat nuklear.

Berdasarkan sejarah Jepun, itulah kali pertama darurat nuklear diisytiharkan. Lantaran itu, operator stesen loji tenaga nuklear tersebut, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengambil keputusan untuk menutup loji itu atas faktor keselamatan untuk jangka masa panjang.

Rata-rata penduduk di negara itu menyatakan bahawa mereka tidak pernah menyaksikan bencana alam seburuk itu. Dalam pada itu, episod malang itu nyata memberi kesan yang sangat mendalam kepada kehidupan mereka.

Pemulihan pantas

Bagaimanapun, pada hari ini penduduk di negara itu mampu menarik nafas lega dengan menikmati pembangunan yang pesat di negara itu.

Genap dua tahun peristiwa tragis itu melanda Jepun. Hari ini, negara Jepun telah bangkit memandangkan berjaya membaik pulih bangunan serta infrastruktur dalam tempoh yang singkat.

Difahamkan, kerajaan Jepun membelanjakan hampir RM50 billion untuk projek pembangunan semula.

Pemerhati dunia kini dapat melihat kawasan-kawasan terjejas seperti lapangan terbang Sendai, TEPCO, jalan raya sekitar Miyagi, dewan gimnastik, pelabuhan di Kesennuma, pelabuhan Otsuchi dan bangunan-bangunan sekitar kawasan yang terlibat telah kembali pulih seperti sediakala.

Jika sebelum ini, kawasan-kawasan tersebut dipenuhi dengan timbunan sampah, ia telahpun dibersihkan manakala rangkaian jalan raya dibaiki.

Hakikatnya, imej-imej pembangunan semula ini membuktikan bahawa semangat warga Jepun tidak mudah patah.

Bidang fotografi yang tidak didendang

Posted:

Bidang fotografi yang tidak didendang

Bidang fotografi yang tidak didendang

POSTER yang dihasilkan bagi tujuan promosi sesebuah filem bermula dengan gambar yang dihasilkan oleh jurugambar rakaman pegun sebelum diolah oleh artis grafik.


STILL photo atau imej pegun merujuk kepada gambar yang diambil jurufoto bagi sesuatu adegan filem. Ia merupakan sebahagian daripada kru produksi yang berperanan merakam semua aktiviti penggambaran filem.

Tugas mereka bermula daripada praproduksi sehinggalah semasa dan sesudah penggambaran filem berkenaan selesai.

Biasanya, jurufoto rakaman pegun itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu satu khusus untuk penggambaran luar dan sekumpulan lagi bertugas di dalam studio.

Gambar-gambar yang dirakam oleh jurufoto digunakan sebagai bahan publisiti seperti papan iklan, poster dan juga hiasan untuk cakera padat digital (DVD) produksi filem. Selain itu, ia turut menjadi rujukan buat pengarah filem dan pengarah fotografi.

Semua gambar yang dirakam akan disemak dan dinilai semasa atau selepas sesi penggambaran filem oleh pihak yang berkepentingan seperti produser, pengarah, pengarah fotografi, penyunting, jurusolek dan kontinuiti.

Tidak ada sebarang kelulusan akademik yang khusus diperlukan bagi tugas tersebut. Cukuplah sekadar mengetahui asas operasi kamera dan berminat serta sanggup bekerja keras seperti kru filem yang lain dalam industri filem itu sendiri.

Kebanyakan jurufoto rakaman pegun adegan filem bergerak secara persendirian dan bebas atau mengikat kontrak terus dengan produksi filem. Harga yang ditawarkan pula adalah mengikut harga pasaran dan juga pengalaman seseorang jurufoto tersebut.

Sebahagian besar mereka menganggap industri filem sebagai universiti yang paling praktikal. Mereka dapat menimba ilmu secara tidak langsung dengan pengarah fotografi termasuk pemilihan lensa, pencahayaan, pengiraan nilai cahaya dan komposisi subjek.

Ada juga sebilangan besar daripada mereka mengembangkan bakat dengan menjadi pengarah fotografi. Antara yang bermula dengan kerja jurufoto itu ialah Indera Che Muda.

Filem Panglima Badul keluaran Sabah Filem merupakan tawaran pertama yang diterima Indera sebagai jurufoto untuk merakam imej pegun filem tersebut. Walaupun sudah dikenali sebagai antara pengarah fotografi paling berjaya, namun beliau tidak melupakan dunia still photo.

Di luar negara, jurufoto rakaman pegun sudah ada kesatuan yang membela nasib ahli mereka dari segi tuntutan bayaran mengikut jam serta masa hari bekerja dan lain-lain lagi supaya sumbangan mereka adalah setimpal dengan karyawan filem yang lain.


SALAH satu imej pegun yang dirakam oleh jurugambar Sarif Huddin dalam sebuah babak filem.


Perlu dihargai

Tetapi, di negara ini setahu saya, Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (Porfima) ada menyenaraikan bidang itu sebagai salah satu bidang yang turut membantu menaikkan pembangunan industri filem.

Agak malang, Profima tidak pernah mengambil sebarang inisiatif terhadap golongan itu seperti mendapatkan maklumat serta mengumpul data terkini atau duduk berbincang bagaimana cara terbaik membantu mereka.

Justeru, ada cadangan daripada para jurufoto dalam bidang itu agar diwujudkan satu bentuk penghargaan yang sesuai sama ada di Festival Filem Malaysia (FFM) atau festival yang dianjurkan oleh pihak Profima sendiri.

Apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Saya lihat sejak kebelakangan ini sebagai contoh dalam acara FFM, tidak ada satu pun anugerah khas untuk still photo terbaik diadakan.

Apa yang ada cuma anugerah Poster Terbaik. Sedangkan hakikatnya untuk menyediakan poster sebahagian besar daripada gambar yang dirakam oleh jurufoto terbabit diserahkan kepada pereka grafik yang kemudian menghasilkan rekaan terbaik. Bak kata pepatah, lembu punya susu, sapi yang dapat nama.

Apa pun, jangan ada yang terasa dengan isu yang dipaparkan ini. Ia sekadar luahan mengikut perspektif saya sepanjang pengalaman lebih dua dekad dalam arena fotografi negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved