Sabtu, 16 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Hotel kucing kalis nyamuk

Posted:

Hotel kucing kalis nyamuk

Hotel kucing kalis nyamuk

SANGKAR ini ditutup jaring halus bagi menghalang nyamuk daripada menggigit penghuninya.


SEPERTI seorang wanita yang mementingkan penjagaan diri dengan mengunjungi spa, haiwan peliharaan seperti kucing juga memerlukan penjagaan rapi dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Tidak sekadar memastikan bulu sentiasa terurus, beberapa bahagian badan seperti tapak kaki, kuku, dubur dan telinga lain juga harus diberi perhatian.

Pusat sehenti haiwan peliharaan, Pets Heaven Store di Bandar Baru Bangi, Selangor, antara yang menawarkan perkhidmatan spa kucing seperti itu. Kedai milik bumiputera berkonsepkan butik itu menyediakan khidmat spa seluruh badan.

Pengarah Urusannya, Layla Lazim, 43, menjelaskan rawatan badan kucing dapat mengelakkan haiwan itu daripada mudah terkena penyakit sekali gus memudaratkan pemiliknya.

"Melakukan grooming (tata rias) perlu bagi kucing peliharaan kerana aspek kesihatan dan kebersihannya dapat dijaga.

"Ia seelok-eloknya dibuat sebanyak dua kali sebulan. Jika bulunya berpintal terutamanya bagi kucing berbulu lebat, ia seharusnya sentiasa dileraikan dengan sikat khas agar kekotoran tidak melekat," kata anak kelahiran Sepang, Selangor ini.

Tata rias

Perkhidmatan tersebut merangkumi proses membersihkan mata, telinga, alat sulit, memotong kuku serta memandi dan mengeringkan bulu. Proses mengurut lembut tubuh kucing pula membantu memperbaiki peredaran darah.

Bagi memastikan proses tersebut dibuat secara rapi dan teliti, ia dilakukan di kawasan hadapan kedai agar pengunjung melihat sendiri kerja tersebut berlangsung.

"Semuanya dijalankan di bilik khas berdinding kaca ini. Ia dilakukan dengan cara yang paling lembut. Daripada memandi hinggalah kepada proses memotong kuku," katanya.

Aktiviti membersih tubuh haiwan itu tidak dibuat secara semberono. Sebaliknya ia dilakukan sendiri oleh Layla yang mendapat pentauliahan daripada Akademi Dandanan Haiwan Peliharaan di Kuala Lumpur.


PETS Heaven cuma menerima haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan hamster.


Bagi memperoleh sijil yang diperakui di Jepun, Korea dan Amerika Syarikat itu, Layla sebelum ini mengikuti kursus singkat selama tiga hari tentang cara-cara menata rias haiwan tersebut.

Bukan sahaja menawarkan khidmat spa, Pets Heaven seolah-olah menjadi sebuah pusat peranginan buat kucing apabila turut memuatkan 'hotel' dengan beberapa buah sangkar.

Terdapat kira-kira 20 buah sangkar yang bertindak sebagai 'bilik' bagi kucing yang ditinggalkan pemiliknya di situ. Setiap bilik pula hanya menempatkan seekor kucing.

Seakan-akan hotel lima bintang, setiap sangkar akan ditutup dengan jaring khas bagi mengelakkan penghuninya digigit nyamuk.

Gigitan nyamuk boleh menyebabkan penyakit kepada kucing. Walaupun kucing dilindungi oleh bulu yang tebal tetapi nyamuk boleh mengigit telinga dan hidung mereka.

Selain kegatalan, penyakit yang menjadi kebimbangan utama adalah jika gigitan nyamuk menyebabkan hipersensitiviti dan penyakit cacing jantung pada kucing. Apabila nyamuk menggigit kucing, cacing jantung di dalam nyamuk akan berpindah pada kucing.

Cacing

Di dalam badan kucing, cacing jantung tadi boleh berkembang menjadi parasit. Bilangan cacing yang sedikit sahaja sudah mencukupi untuk membunuh kucing.

Gejala penyakit ini ini ialah kelesuan, muntah-muntah, batuk dan sukar bernafas.

Menurut pakar, gigitan nyamuk boleh memberi kesan yang buruk pada sistem imun kucing. Kesan pada luaran yang boleh dilihat adalah, luka-luka, bersisik atau ulser pada kawasan gigitan nyamuk di samping kehilangan bulu dan perubahan warna pada kawasan gigitan.

"Apabila kucing dihantar ke sini, kami akan memberi makan dua kali sehari mengikut keperluannya. Tetapi ia juga tertakluk mengikut cara asal penjaganya memberi makan.

"Kucing-kucing tersebut tidak dibiarkan di dalam sangkar sepanjang hari. Ia akan dibiarkan bebas antara 15 hingga 30 minit di taman khas mengikut giliran.

"Pada sebelah malam pula, kesemuanya akan ditemani dengan alunan zikir atau muzik ala spa bagi memberikan suasana yang selesa. Kaedah itu begitu popular di Thailand," kata ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.

Walaupun baru dibuka bulan lalu, pusat tersebut kini telah mendapat tempahan daripada pemilik kucing yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan layanan terbaik.

Menurut Layla, pusat sehenti tersebut tidak seharusnya diragui oleh pemilik yang beragama Islam kerana kebersihannya dipantau sepanjang masa.

"Bukan sahaja sangkar yang sentiasa dibersihkan, bahkan kami tidak menerima anjing untuk diletakkan di sini.

"Kami cuma menerima haiwan-haiwan seperti kucing, arnab dan hamster," katanya yang memiliki tiga orang pekerja.


PEMILIK boleh melihat sendiri proses menata rias kucing peliharaan mereka di Pets Heaven.


Layla telah menimba banyak pengalaman dalam bidang itu.

Biarpun dalam masa yang sama menjalankan bisnes pengiklanan, demi minat yang mendalam terhadap haiwan itu, dia telah mempelajari selok-belok haiwan peliharaan di beberapa buah negara yang terkenal dengan perkembangan bidang berkaitan.

"Perkara ini sudah lama berkembang di Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Thailand dan Vietnam. Saya juga mendapat ilham daripada kejayaan negara-negara tersebut dalam menaikkan industri penjagaan haiwan peliharaan.

"Saya perlu mengetahui tabiatnya dengan banyak membaca. Minat dan pengalaman membela kucing sejak kecil menjadi penyumbang terbesar untuk saya mengenali kelakuan kucing," katanya yang kini memiliki tiga ekor kucing jenis campuran parsi.

Seperti menjaga seorang kanak-kanak, haiwan itu boleh dimanjakan dengan pelbagai cara. Cuba mempopularkan budaya memakaikan aksesori kepada kucing, jelas Layla memakaikan aksesori akan memperlihatkan haiwan itu seperti lebih manja.

"Mula-mula memang berasa tidak selesa, lama-kelamaan ia akan selesa apabila dikenakan baju, stoking, klip kepala dan topi," tambahnya.

Lendir siput babi licinkan wajah

Posted:

Lendir siput babi licinkan wajah

Lendir siput babi licinkan wajah

Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN


RASA siput babi panggang dikatakan lebih enak berbanding cara masakan yang lain.


JIKA di Malaysia gulai lemak siput sedut menjadi makanan kegemaran ramai namun berbeza pula halnya di China, Peru, Latvia dan negara-negara Afrika Utara yang menganggap siput babi sebagai hidangan istimewa.

Malah haiwan perosak tanaman khususnya sayur-sayuran itu diternak secara komersial di ladang-ladang pembiakan. Selain dipasarkan secara segar di pasar awam, siput babi itu juga dijual dalam bentuk paket dan tin di pasar raya.

Menurut laman web www.21food.com, produk sejuk beku haiwan itu mendapat sambutan ramai. Sebagai contoh, sebuah ladang di Pachacamac dekat Lima, Peru menjadi pembekal siput babi jenis Helix aspersa.

Ladang ini membekalkan siput babi sehingga 3,000 kilogram (kg) seminggu dengan harga antara RM15 hingga RM16 sekilogram.

Ladang yang diberi nama Mynshop Sac ini ditubuhkan pada tahun 2007 yang bertujuan meningkatkan dan mengkomersialkan siput spesies tersebut. Siput ini dijual segar dan boleh dijadikan krim kecantikan.

Di China pula, ladang yang diusahakan sudah berusia lebih 17 tahun. Ladang yang terletak di Xinqiao, Beijing itu, Jinmengxuan Snail Breeding Co. Ltd. juga membekalkan siput baka aspersa.

Bekalan siput ini sentiasa berterusan sepanjang empat musim setiap tahun.

Bermula daripada ladang yang kecil, kini ia merupakan ladang pembiakan siput babi terbesar di China. Ladang ini membekalkan 9,000 kg hingga 11,000 kg siput sebulan.

Penyelaras bagi program Inisiatif Afrika Barat dan Pembangunan Pertanian Lestari (UMCOR), Yehezkiel. C Freeman, berpendapat siput babi adalah bagus untuk manusia dan sedap dimakan terutamanya jika dibakar.

Tambahnya, siput ini mempunyai banyak khasiat dan tinggi kandungan protein. Ia selalu dimakan oleh individu yang mengamalkan diet.

"Pada awalnya, masyarakat Afrika memakan siput apabila mereka ke hutan untuk mencari madu lebah.

"Namun, selepas program UMCOR, kami telah mengajar mereka membina sangkar siput dan cara memberinya makan," jelas Freeman.


DI benua Afrika tempat asal siput babi, haiwan itu dianggap sebagai makanan istimewa.


Kecantikan

Menurut Catlin Cottage dalam www.snailfacialcream.com, siput dan manusia berkongsi banyak elemen kulit yang sama. Siput membekalkan serum yang kaya antioksida yang berfungsi mengatasi masalah penuaan.

"Penggunaan serum atau krim siput juga boleh mengatasi masalah kulit yang terbakar dan terdedah kepada cahaya matahari," jelasnya.

Pelakon terkenal Hollywood, Katie Holmes merupakan salah seorang pengguna krim siput menurut akhbar Daily Mail. Krim yang digunakan Holmes itu juga didakwa boleh menghilangkan parut pada wajah.

Antara jenama produk krim siput yang terkenal ialah Missha, Dr. Jart+ dan Labcconte

Selain daripada dijadikan krim kecantikan, siput babi juga dikatakan boleh dijadikan alat urutan terapi di salun kecantikan.

Menurut pemilik sebuah salun kecantikan di bandar Krasnoyarsk, Rusia, Alyona Zlotnikova, siput babi mampu mempercepatkan pertumbuhan semula kulit, menghilangkan kedutan, parut dan kesan terbakar.

Alyona akan meletakkan siput hidup di muka dan badan pelanggannya. Siput yang bergerak dan mengengsot di sekitar wajah tersebut dianggap sebagai terapi.

Lendir dan sisa kumuhan yang dikeluarkan siput tersebut mengandungi asid gloikolik dan elastin.

Pengarah Institut Pembedah Laser Dermatologi di Amerika Syarikat, Dr. Elizabeth Tanzi, berkata, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan krim daripada lendir siput boleh menenangkan dan antiradang.

"Namun tiada kajian saintifik yang boleh membuktikan kesahihannya. Jadi, saya masih ragu-ragu tentangnya," jelasnya.


GULAI lemak siput sedut menjadi kegemaran sesetengah rakyat negara ini.


Kawasan darat

Hakikatnya terdapat lebih daripada 74,000 spesies siput yang berlainan saiz dan warna cangkerang dengan pelbagai nama saintifik.

Haiwan ini berasal dari benua Afrika. Jangka hayatnya pula mencecah hingga 10 tahun. Saiz siput dewasa boleh mengembang sehingga 20 sentimeter panjang.

Kebiasaannya, siput babi mengembang dengan aktif untuk enam bulan pertama selepas kelahirannya, dan selepas setahun, pertumbuhan itu akan terus berlaku. Haiwan yang bercangkerang ini mempunyai berat sehingga 600 gram.

Pengarah Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan, Jabatan Pertanian Malaysia, Jabar Shaik Mohideen berkata, di negara ini siput babi lebih dikenali sebagai haiwan perosak.

"Siput babi ini bukan sahaja merosakkan tanaman jenis makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan malah turut memakan pucuk-pucuk pokok hiasan," ujarnya.

Jelasnya, setakat ini pihaknya belum menerima laporan wujudnya ladang ternakan siput babi komersial di negara ini seperti yang dilakukan dalam ternakan lintah dan cacing.

"Mungkin ada rakyat Malaysia yang memakan siput babi tapi saya rasa bilangannya kecil sahaja," katanya sambil menambah, taraf hidup yang semakin tinggi menyebabkan masyarakat di negara ini lebih mementingkan kualiti makanan yang diambil.

Salji di Gurun Sahara

Posted:

Salji di Gurun Sahara

Salji di Gurun Sahara

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


PENEMUAN mayat ibu dan anak di Gurun Sahara.


GURUN Sahara yang berkeluasan 4.6 juta kilometer persegi dengan keadaan suhu ekstrem mencecah 38 darjah Celsius pada waktu siang dan -5 darjah Celsius pada waktu malam bukan sahaja tidak menyukarkan pergerakan manusia malah tidak mesra haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Namun, terdapat beberapa kisah menarik gurun yang meliputi beberapa buah negara antaranya Senegal, Mauritania, Mali, Niger, Libya dan Mesir ini.

Percaya atau tidak, Gurun Sahara sebenarnya dihiasi sebuah tasik yang indah.

Tasik Ounianga yang terletak di Chad bergantung kepada sumber air bawah tanah yang wujud sejak zaman purba memandangkan iklim Sahara yang lembap pada masa itu.

Purata hujan tahunan tidak melebihi 2 milimeter (mm).

Pakar-pakar mendakwa 5,500 tahun dahulu tasik itu merupakan sebuah takungan besar yang panjangnya merentasi beratus-ratus kilometer.

Namun, perubahan iklim menyebabkan keluasan tasik itu menyusut.


SALJI memenuhi Gurun Sahara pada awal tahun lepas yang menimbulkan misteri kepada pengkaji.


Fosil dinosaur

Selain kisah tasik unik itu yang menjadi ikon pelancongan Chad, pada tahun 2008 pengkaji menemui kubur seorang wanita bertubuh kecil dengan dua kanak-kanak yang dipercayai berusia kira-kira 5,000 tahun. Mereka disemadikan bersama hamparan bunga-bungaan.

Peliknya, lengan kurus kanak-kanak tersebut masih 'memeluk' wanita itu seakan-akan pernah berlaku kejadian besar ketika itu.

Paul Sereno dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat dan rakan-rakannya sebenarnya sedang mencari fosil dinosaur di kawasan gurun itu di Niger.

"Kami telah menemui sesuatu yang paling tidak dijangkakan.

"Apabila kami menemui perkara seperti ini di tengah-tengah kawasan gurun ini, kami berasa aneh," katanya.

Kira-kira 200 kubur manusia ditemui dalam usaha pencarian fosil dinosaur di situ pada tahun 2005 dan 2006. Tidak ketinggalan juga tulang haiwan seperti ikan besar dan buaya.

"Di mana sahaja anda pergi, anda akan menemui tulang-tulang haiwan yang tidak mendiami gurun ini.

"Kami mula sedar bahawa kami berada di 'gurun' yang hijau," katanya.

Kubur-kubur tersebut yang tersembunyi di sebalik laluan angin gurun yang panas dipercayai terletak berdekatan tasik pada masa itu.

Dahulu, perubahan orbit matahari menyebabkan angin monsun bertiup jauh hingga ke utara yang membentuk landskap bertasik dan kawasan subur sekali gus menarik kedatangan haiwan dan manusia.

FOSIL ini didakwa berusia 5,000 tahun.


Syurga penternakan

Para pengkaji juga membuat kesimpulan sekitar 10,000 tahun lalu, Gurun Sahara mengalami fasa lembap Holosen Afrika menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh subur di benua itu.

Ini mendorong kepada kewujudan kawasan penternakan lembu susu.

Penyelidikan ini berdasarkan gambar yang terdapat pada tembikar dan batu-batu kuno menunjukkan bahawa sekitar 7,000 tahun lalu di Gurun Sahara terdapat lembu, sapi, biri-biri serta kambing.

Lebih meyakinkan apabila terdapat gambar pemerahan susu dan penternak yang sedang mengolah susu untuk dijadikan yogurt, keju dan mentega.

Menurut seorang pakar arkeologi dari Universiti Bristol, Kanada, Julie Dunne, ini berdasarkan hasil analisis pecahan tembikar kuno yang ditemui di Libya.

"Apa yang paling menarik adalah penemuan sebuah kendi yang didapati mengandungi sisa susu. Pakar mengandaikan susu merupakan bahan makanan yang sangat berguna bagi masyarakat zaman prasejarah. Mungkin masyarakat zaman dahulu sudah faham istilah khasiat makanan," kata Dunne.

Tambahnya, aktiviti itu berlaku mungkin disebabkan manusia bermigrasi dari sekitar kawasan Mediterranean ke Mesir yang mendorong penghasilan susu untuk makanan di Afrika Utara.

"Ketika para imigran baru yang datang ke Afrika memulakan penternakan, maka orang pribumi (orang asli Afrika) dengan cepat melihat manfaat luar biasa daripada aktiviti penternakan.

"Anda benar-benar melihat evolusi dalam tindakan dalam jangka waktu yang sangat singkat, hanya 1,000 hingga 2,000 tahun," kata Dunne.

Selain itu, pada tahun 2012 berlaku kejadian salji turun di Bechar, Algeria.

Kejadian selama 24 jam itu membawa salji dan hujan lebat. Malah, salji turut memenuhi jalan dan bangunan di bandar itu.

Apa yang menghairankan, pakar meteorologi sebelum itu meramalkan cuaca baik.

Namun, kejadian itu disambut baik oleh penduduk sekitar kerana salji yang tidak diduga itu dapat membunuh parasit yang terdapat pada pokok kurma sekali gus dapat menghasilkan lebih banyak kurma.

Kejadian sama dikatakan pernah berlaku pada tahun 1979 namun berlaku selama 24 jam sahaja.

Pakar-pakar cuaca agak bingung dengan keadaan ini dan mereka mendakwa ia disebabkan fenomena pemanasan global.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved