Khamis, 14 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sos pedasTabasco dijual di 165 negara

Posted:

Sos pedasTabasco dijual di 165 negara

Sos pedasTabasco dijual di 165 negara

PERWATAKAN Paul yang periang dan penuh lawak jenaka dirindui oleh keluarga, sahabat dan para kakitangan McIlhenny Company.


"ANDA memang patriot sejati. Tabasco telah menghantar banyak botol sos kepada tentera-tentera di Vietnam. Terima kasih tuan. Saya benar-benar menghargai kemurahan hati tuan."

Demikian ungkapan salah satu ayat yang ditulis oleh JJ Xiagos, salah seorang peminat dan penggemar jenama sos pedas Tabasco yang begitu dikenali di seluruh dunia.

Xiagos menulis komen tersebut ekoran pemergian Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) McIlhenny Company, Paul McIlhenny pada 23 Februari lalu.

Berita yang disiarkan menerusi laman web Yahoo! News itu turut mendapat ratusan komen dari seluruh dunia.

Seorang lagi pembaca menulis: "Kesemua botol-botol kecil sos Tabasco yang dihantar kepada para tentera menjadikan banyak hidangan menjadi lebih sedap. Patriotik dan genius dalam satu pakej."

Kesemua kata-kata yang dikirim itu membuktikan betapa masyarakat dunia begitu menghargai produk sos jenama Tabasco.

Penulis buku

Justeru, tidak hairanlah jika kehilangan orang kuat pengeluar legasi 145 tahun sos terkemuka dunia itu, memberi kesan besar bukan sahaja kepada seluruh kakitangan syarikat tersebut, malah pengguna setia mereka.

Paul meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat serangan jantung di rumahnya yang terletak di New Orleans. Mendiang Paul dikenali sebagai individu yang mempunyai cita rasa tinggi yang gemar berburu dan memancing.

Beliau juga merupakan penulis bersama bagi buku Tabasco Cookbook yang diterbitkan pada tahun 1993 sempena sambutan 125 tahun Tabasco. Mendiang merupakan generasi keempat daripada keluarga McIlhenny yang hidup selama lebih empat dekad di Avery Island.

"Seluruh kakitangan McIlhenny Company dan keluarga McIlhenny serta Avery amat sedih dengan berita kematiannya. Sudah pasti kami akan merindui kepimpinan Paul.

"Karakternya yang sentiasa periang, dipenuhi lawak jenaka, pintar dan mempunyai daya tarikan tersendiri tidak mungkin kami lupakan," ujar Tony Simmons yang merupakan Presiden McIlhenny Company merangkap generasi kelima ahli keluarga McIlhenny.

Syarikat McIlhenny diasaskan pada tahun 1868 di Avery Island oleh moyangnya, Edmund McIlhenny, seorang pencinta makanan dan ahli hortikultur.

Ketika itu, Edmund memperoleh benih lada jenis capsicum frutescens dari Mexico untuk ditanam. Selepas menyedari rasa pedas yang terhasil daripada lada tersebut, Edmund mendapat ilham untuk mencipta sos pedas bagi menghidupkan rasa hambar dalam diet wilayah selatan Amerika Syarikat (AS).

Ironinya, beliau sendiri tidak mengetahui bahawa ciptaannya itu menjadi satu peninggalan yang amat bernilai buat cucu-cicitnya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan McIlhenny Company, Paul disifatkan sebagai perintis terhadap produk cenderamata Tabasco sekali gus memainkan peranan penting dalam perniagaan katalog barangan berlesen.

Kenyataan itu memberitahu, Paul merupakan penggerak di sebalik perkembangan global yang dicapai produk jenama Tabasco yang kini terjual di lebih 165 buah negara dan wilayah.

Dilahirkan di Houston pada 9 Mac 1944, Paul membesar di New Orleans dan tanah milik keluarga di Avery Island, Louisiana, AS.

Beliau mula menyertai perniagaan keluarga pada tahun 1967. Antara tugas pertama beliau termasuklah memetik dan mengumpul lada dari ladang. Paul juga membantu menghasilkan lada lenyek dan memuatkan bungkusan sos ke dalam kereta rel.

Lada-lada segar yang dipungut dan dibersihkan akan dihancurkan. Ia kemudian digaul dengan garam batu serta cuka sebelum diletak tarikh dan dibungkus dalam botol kecil.


SOS ikonik Tabasco yang dibungkus dalam botol kecil mempunyai peminat di serata dunia.


Selia sos

Rentetan daripada itu, Paul terus menyelia pengeluaran sos selama 13 tahun sehingga tahun 1980. Beliau berjaya mengembangkan variasi sos pedas sedia ada sebagai pilihan kepada pengguna. Antaranya termasuklah sos lada hijau, sos lada merah, sos lada putih dan sos habanero.

Beliau juga menampilkan kelainan dengan menghasilkan pelbagai barangan cenderamata di bawah jenama Tabasco. Antaranya apron, tali leher, patung beruang dan cawan. Kesemua produk itu mempunyai logo Tabasco dengan warna rasmi hijau merah.

Sebagai ketua firma sos pedas terkenal dunia, Paul telah mencetus perubahan rasa dalam seleksi makanan hambar sejak berdekad lalu.

Paul dilantik menjadi presiden syarikat pada tahun 1998 sebelum memegang jawatan ketua pengarah eksekutif dua tahun kemudian. Mendiang merupakan ahli keluarga keenam yang memegang jawatan tersebut.

Menurut laporan akhbar melalui laman webnya, Tabasco telah membekalkan sos pedas untuk pesawat rasmi Presiden AS, Air Force One.

Selain itu, pada tahun 2009, Ratu Elizabeth II turut mengeluarkan waran diraja yang membolehkan firma tersebut menjadi pembekal rasmi sos pedas kepada keluarga Diraja Britain.

Justeru, sebagai penghormatan dalam sambutan Jubli Berlian Ratu Elizabeth tahun lepas, syarikat tersebut telah mengeluarkan edisi terhad kotak sos Tabasco yang berhias imej berlian untuk pasaran Britain.


LADA spesies Capsicum frutescens dari Mexico merupakan ramuan utama dalam penghasilan sos pedas Tabasco.


Pulihara alam sekitar

Dalam aspek alam sekitar pula, Paul boleh dianggap aktivis yang sentiasa mengambil berat tentang persekitaran tempatan di negerinya. Lantaran sikap dan tanggungjawab yang ditunjukkan, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Suruhanjaya Gabenor untuk Pemulihan Pantai, Perlindungan dan Pemuliharaan New Orleans.

Portfolio beliau turut diisi dengan jawatan Naib Pengerusi Yayasan Wetland Amerika Syarikat (AWF) yang ditubuhkan sejak tahun 2003. Logo pertubuhan tersebut turut terpapar pada setiap kotak Tabasco yang dijual di AS.

Pengerusi AWF, R. King Milling memberitahu, selama beberapa generasi, keluarga McIlhenny telah menjadi pembela dalam usaha pemulihan pantai dan melakukan inisiatif luar biasa untuk memelihara beberapa kawasan tanah paya paling kritikal di AS.

"Loji pengeluaran Tabasco dikelilingi oleh taman-taman menghijau, tumbuhan asli dan kawsan hidupan liar yang dibuka kepada pelawat.

"Setiap botol sos Tabasco boleh dikitar semula 100 peratus. Kebanyakan sisa daripada pengeluaran sos turut diguna semula.

"Contohnya, biji lada dan kulitnya akan dijadikan baja kompos yang mampu mengurangkan penggunaan tanah timbus sehingga 312 tan setahun. Usaha yang dilakukan syarikat beliau amat dihargai," ujar Milling.

Meraikan seluruh kehidupannya sebagai seorang lelaki yang ceria, Paul juga tidak pernah jemu berkhidmat dan memegang watak sebagai Raja Karnival, Rex sempena New Orleans Mardi Gras sehingga 2006 iaitu setahun selepas Taufan Katrina melanda bandar tersebut.

Sewaktu majlis peletakan jawatan dan jamuan makan malam selamat tinggal, topik sos pedas beliau tetap disebut.

"Saya ingin mengatakan bahawa hanya ada satu bentuk 'pemanasan' global yang tetap akan dilakukan. Itu adalah cara kami menyelamatkan dunia daripada makanan yang rasanya hambar," ujarnya dalam jenaka yang merujuk soal pemanasan tersebut dengan kepedasan sosnya.

Meninggalkan warisan perniagaan yang berkembang maju, dianggarkan bahawa 750,000 botol sos Tabasco dihasilkan di Louisiana setiap hari.

Paul meninggalkan isteri, Judith Goodwin McIlhenny; dua anak perempuan, Barbara McIlhenny Fitz-Hugh dan Rosemary McIlhenny Dinkins serta empat cucu. Selain itu, beliau turut meninggalkan seorang adik, Sara McIlhenny Ringle dan abang, Gustaf McIlhenny.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved