Ahad, 10 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Awie-Erra tiada sembilu

Posted:

Awie-Erra tiada sembilu

Awie-Erra tiada sembilu

TIADA sembilu antara mereka, pastinya selepas ini banyak mata yang mahu melihat kolaborasi serasi dan hebat dua bintang ini.


MENGURAI simpulan emosi yang berbaki dalam hati Awie dan Erra Fazira merupakan satu misi yang menggetarkan mata pena. Ibarat menyelak buku lama, terkasar sedikit pasti helaian usang terkoyak. Bersarang juga kebimbangan, mampukah akal menguasai pertimbangan perasaan.

Itu sekadar bayangan awal. Tatkala mendekati pasangan dua sejoli yang telah lama bercerai kasih itu, segala tanggapan yang liar tadi meleset tanpa sipi.

Apa yang terlihat jelas, ada bunga-bunga kemesraan berkuntum daripada patah bicara mereka.

"Siapa yang menyebabkan awak terjebak dengan dunia permotoran ini," tebak Awie dalam satu temu ramah bersama wanita yang digelar primadona filem Melayu itu.

Jawab Erra: "Ala, saya ada ramai kawan lelaki lagi pun bekas saya dahulu pun (bekas teman lelaki), mat motor"

Segmen dalam program Tunggu Sekejap kendalian Awie yang mengundang Erra sebagai salah seorang tetamu di studio itu memecahkan hilai semua penonton. Situasi itu cukup sebagai pengenalan kepada penyatuan semula 'AwieErra' dalam satu dimensi yang cukup manis. Bukan itu sahaja, mereka juga melakonkan semula sebuah adegan romantik yang dipetik daripada filem Sembilu.

"Mula-mula hendak melangkah masuk menjadi tetamu Awie, perasaan gemuruh dan berdebar itu memang terasa. Saya terfikir anggapan orang luar terhadap kami. Anggapan itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Sebelum ini, saya dan Awie sendiri pernah bekerjasama dalam filem Cuci. Akhirnya, ini satu kolaborasi yang menyeronokkan," lentur Erra sekali gus melerai sedikit gusar pada temuramah yang eksklusif itu.

Selepas Cuci ditayangkan pada tahun 2008, inilah buat pertama kali dalam lima tahun kebelakangan ini, pasangan yang pernah memutuskan pertunangan pada hujung tahun 1998 itu diganding semula dalam sebuah program hiburan.

"Tipulah kalau tiada perasaan gementar. Penonton yang datang juga beri impak yang berlainan sehingga mendatangkan rasa kurang selesa. Tapi bila sudah lebih 30 minit rakaman, barulah okey. Apa yang dijangkakan oleh penonton? Lain jadinya. Kami hanya bekerja dan harus bertindak secara profesional," Awie pula melenturkan perasaannya.

Vokalis grup Wings itu menjelaskan, ura-ura untuk membawa masuk Erra bertamu ke ruang kerjanya sudah lama dibincangkan pihak produksi.

"Hal ini tidak menjadi satu masalah buat saya, seperti kata Erra, kami memang sudah pernah bekerjasama dalam Cuci. Orang luar sahaja merasa pelik bagaimana kami boleh bekerjasama. Sedangkan tidak pelik pun," sambung hero filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Moon dan Jin Pakai Toncit itu selamba.


BUAT Erra, ini merupakan titik mula sebagai pemberitahuan kepada khalayak bahawa dia dan Awie tidak berseteru.


Erra, Awie saling memuji

Sudah adat menjadi anak seni yang berkongsi gelanggang, bersilat ke kiri atau ke kanan, mereka pasti mendengar sorak yang sama. Mata penonton juga sering mahu melihat apa yang sudah lama mereka tidak saksikan.

Mencari simpulan kepada kisah cinta tak kesampaian antara hero dan heroin bernama Erra dan Awie, terserlah sebuah pernyataan yang selama ini jarang ditanya.

Di sebalik takdir yang tidak mengizinkan mereka bersatu, rupa-rupanya tidak memutuskan Erra dan Awie untuk saling mengagumi antara satu sama lain.

"Selepas filem Sembilu, Erra buat Janji Diana dan macam-macam lagi. Jika tidak tonton pun, saya boleh tahu daripada surat khabar. Sejujurnya, saya bangga dengan kesinambungan kariernya yang tidak putus-putus.

"Saya juga mengembangkan karier dan syukurlah kami masih diberi peluang. Bagi saya, apa yang berlalu biarlah berlalu. Kita tutup buku lama dan buka buku baharu. Ini terbaik untuk kami. Masing-masing sudah berkeluarga, ada karier dan kehidupan sendiri. Benda sudah baik dan tak perlu lagi hendak keruhkan keadaan. Jika ada lagi peluang untuk bekerjasama, saya okey," jelas Awie yang harus membayar 'hutang' atas penglibatan Erra ke dalam programnya kali ini.

"Haruslah, kalau dia tak mahu terima undangan saya ke Primadona, kira kami bermusuh semula," sampuk Erra secara berseloroh.

Tambah Awie: "Saya kagum dengan keseriusan dan kejujuran dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan Erra selama ini sehingga dia berjaya dapat pengiktirafan sebagai pelakon terbaik."

Tunduk sambil pandangannya dilabuhkan ke lantai tanpa menunjukkan reaksi bagaimana yang harus diberikan atas pujian Awie, Erra kemudian diminta mengulas topik yang sama.

"Satu perkara yang tidak berubah tentang Awie, dia tetap rockstar dari dahulu sampai sekarang. Dahulu dia penyanyi dan pelakon tapi sekarang lakonannya sudah pelbagai. Dahulu kalau bukan filem romantik, mesti filem aksi tapi sekarang dia sudah boleh buat komedi dan jadi lebih versatil. Sekarang, kehidupan dan kekeluargaannya berjalan seiring. Sebagai kenalan lama Awie, saya bangga dengannya," ungkap Erra sarat kejujuran dan melihat Awie tidak luput ditelan zaman.

Kenangan Awie dan Erra sebagai hero dan heroin filem Melayu masih terpahat kemas di hati ramai. Tidak mustahil, jika ada peluang dan ketentuan dipertemukan semula secara profesional, mereka tidak menolak.

Ujar Erra tentang kemungkinan kolaborasi ini terjalin, primadona anak satu itu menjawab: "Ini merupakan titik mula untuk memberitahu khalayak bahawa kami tidak ada masalah."

Tambah Awie: "Ya, selama ini pandangan orang ramai yang membuatkan kami susah dekat. Benda sudah lepas, jangan jadikan tembok untuk tidak bertegur sapa. Perkara yang lepas itu, lepaslah."

Tidak mustahil peminat akan melihat kerjasama lebih hebat membabitkan dua nama besar ini dalam naskhah tempatan. Apa yang pasti, banyak mata yang mahu melihat kerana keserasian mereka sebagai anak seni tidak pernah ditolak zaman dan rasa.

Afdlin Shauki mahu jauhi politik

Posted:

Afdlin Shauki mahu jauhi politik

Afdlin Shauki mahu jauhi politik

AFDLIN SHAUKI mahu beralih arah dalam kerja seninya. Dia memilih untuk karya kemanusiaan dan keagamaan selepas mengakui mendapat hidayah sekembalinya daripada kunjungan ke Gaza.


POLITIK dan bahang pilihan raya tidak hanya dirasai oleh ahli-ahli parti, bahkan golongan artis yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam politik negara juga berdepan impak yang sama. Video Bangkang Dari Longkang menjadi contoh paling dekat dan artis yang paling teruk terkena impak akibat penyiaran video-video berkenaan ialah penyampai radio popular, Salih Yaacob.

Ketika Salih dilihat benar-benar dihimpit rasa kecewa dan mahu bersara daripada dunia seni gara-gara video lakonannya mendapat kecaman khalayak, khususnya daripada peminat yang terdiri daripada golongan pembangkang, Afdlin Shauki pula berbeza pendirian.

Penerbit, pengarah, pelakon dan pelawak berkenaan menyifatkan penerbitan beberapa video Bangkang Dari Longkang itu sebagai sekadar video balas kepada video-video parodi yang pernah dihasilkan pihak pembangkang sebelum ini.

"Video itu dihasilkan tahun lepas, ketika itu saya belum lagi pergi ke Gaza. Saya memang penyokong UMNO dan sudah tentu saya juga menyokong usaha kerajaan. Semasa ditawarkan untuk melibatkan diri dengan video berkenaan saya bersetuju asalkan ia berkaitan dengan isu dan fakta dan bukan satu serangan peribadi kepada mana-mana individu," lentur Afdlin yang turut didakwa menjadi orang yang bertanggungjawab atas penerbitan video-video berkenaan.

"Itu semua fitnah. Saya cuma terlibat sebagai pelakon. Selepas Bangkang Dari Longkang, ada juga yang mendakwa saya sebagai pengarah sebuah lagi video iaitu Tongong. Video itu tiada kaitan dengan saya," katanya.

Bagi Afdlin itu semua pendiriannya ketika belum mengunjungi Gaza pada hujung tahun 2012 dan awal Januari lalu. Umum semua tahu, Afdlin kini dalam proses penghijrahan dan sedang mendalami Islam untuk memperbaiki diri dan menjadi muslim yang dekat kepada Allah.

"Sekarang saya mahu ambil pendekatan untuk cuba menjauhkan diri daripada politik. Saya melihat politik lebih banyak membiakkan kebencian. Memang kita berhak menyuarakan apa yang kita setuju dan apa yang kita tidak setuju. Media sosial hari ini semakin agresif membuka ruang kebencian kebanyakan komen-komen itu datang daripada orang-orang yang beragama Islam.

"Sekarang saya cuba untuk tidak membangkitkan kebencian mana-mana pihak, di kalangan sesama Islam dan seluruh rakyat Malaysia. Saya mahu tumpukan pembelajaran saya untuk memperbaiki diri," katanya yang sedang muncul dengan filem Lawak Ke Der di pawagam ketika ini.

Tidak pernah sesal kerana terbabit dalam video Bangkang Dari Longkang, Afdlin percaya tindakannya berlakon dalam video yang disifatkan sebagai menghina pembangkang itu bukan sesuatu yang menyalahi etika.

"Kalau diminta buat video itu selepas saya kembali dari Gaza (ketika ini), mungkin saya tidak akan terlibat. Kalau boleh saya mahu menghindarkan budaya benci-membenci dalam kalangan rakyat Malaysia apatah lagi sesama Islam.

"Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan satu-satu perkara tapi janganlah keterlaluan sampai menimbulkan kebencian. Kebencian boleh menghuru-harakan, kita harus ambil iktibar apa yang berlaku di Gaza. Sekarang pun macam-macam komen negatif di media sosial berhubung tragedi di Lahad Datu," katanya sedikit beremosi.

Membawakan karakter suara sebagai Sabuk dalam filem animasi Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac nanti, Afdlin juga tidak menjadikan penghijrahannya untuk menjadi muslim yang lebih baik menghalang dirinya untuk meneruskan kerja seni.

"Cadangan saya menghasilkan sebuah filem genre Islamik sudah diterima oleh sebuah syarikat produksi, saya harap karya itu akan bercerita secara jujur. Kerja-kerja saya sekarang isu kemanusiaan dan keagamaan dan saya juga masih akan buat komedi cuma dalam versi yang melanggar batas moral," katanya yang merasakan kekosongan dalam diri selama ini semakin terisi.

FFM25 maruah Bunohan

Posted:

FFM25 maruah Bunohan

FFM25 maruah Bunohan


REUNION. Para karyawan dan pelakon Bunohan berhimpun untuk meraikan pencapaian terbaik filem pada malam kemuncak FFM25 di Putrajaya, Sabtu lalu.


BUNOHAN secara sepenuh hati menjadi pujian dan pengiktirafan tertinggi pada penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25.

Menjulang megah lapan trofi termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik, anugerah-anugerah itu menyenaraikan filem karya Dain Said itu untuk masuk carta sebagai antara filem yang paling banyak memenangi anugerah dalam sejarah penganjuran sesebuah FFM selama ini.

Dalam FFM21, Kala Malam Bulan Mengambang karya Mamat Khalid pulang dengan tujuh trofi termasuk anugerah tertinggi iaitu Pengarah dan Filem Terbaik, Hikayat Merong Mahawangsa (FFM24) dengan lapan trofi. Pada FFM13, Layar Lara (Shuhaimi Baba) pernah pulang sembilan trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik manakala pada FFM13, Jogho (U-Wei Saari) pula dengan lima trofi juga dengan dua anugerah tertinggi Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Sekadar menyebut beberapa filem dan tahun penganjuran FFM, FFM12 juga memberikan angka tujuh yang bermakna kepad filem Sayang Salmah (Mahadi J. Murat).

DAIN SAID bersama sebahagian daripada trofi kemenangan besar menerusi Bunohan.


Biarpun bermula dengan banyak krisis termasuklah perebutan soal siapa yang paling berhak menganjurkan festival sama ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim). Penglibatan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) atas jemputan juga menimbulkan kekeruhan antara Gafim dan PFM sendiri.

Masalah penganjuran FFM tidak terhenti dengan pertikaian siapa berhak atau siapa yang layak, ia kemudian disusuli dengan penangguhan demi penangguhan tarikh festival sehingga membuatkan ramai pihak tertanya-tanya. Sekali lagi kredibiliti FFM sebagai acara paling berprestij industri filem negara tercabar.

Walau bagaimanapun, keputusan penuh dan penganjuran tanpa episod persembahan yang meleret-leret pada edisi ke-25 yang baru berlabuh Sabtu lalu memperlihatkan aura positif. Festival yang memilih Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu juga dilihat tidak menjana banyak bunyi kurang senang, tidak berlaku situasi 'rumah siap pahat berbunyi' seperti sesetengah penganjuran pada tahun-tahun terdahulu.

Untuk kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, kemenangan Bunohan memang menepati jangkaan awal. Biarpun kategori Pelakon Lelaki Terbaik tidak berjaya dipertahankan oleh Shaheiy Sam (Songlap) yang sudah memenangi kategori itu menerusi Anugerah Skrin hujung tahun lalu, kemenangan hero Bunohan, Faizal Hussein harus diakui semua.

Watak Ilham, seorang pembunuh upahan yang akhirnya sanggup mengorbankan diri kerana tidak sanggup membunuh adik sendiri lakonan Faizal ialah kemuncak kepada survival Faizal yang selama ini tidak bernasib baik untuk menjulang sebarang trofi di FFM.


PERSEMBAHAN penutup FFM25 daripada para pelakon Rock Oo! Rimba Bara Kembali.


Syafie Naswid pula tidak mampu ditanding calon-calon lain apabila sekali menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Songlap). Trofi FFM pertama dimenangi Syafie ialah pada FFM20 sebagai Pelakon Harapan Lelaki (Mukhsin) manakala trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula pada FF22 (Talentime).

Ucapan penuh emosi oleh pelakon senior Normah Damanhuri saat diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Songlap dikira sebagai ucapan terbaik pada FFM25 lalu.

"Sudah lama dah, 30 tahun saya tunggu barulah kali ini saya diiktiraf. Anugerah ini adalah pembakar semangat untuk pelakon-pelakon baharu untuk jujur dalam kerja seni," ungkap Normah Damanhuri bercampur sebak dan gembira

Festival sekali setahun itu juga sebuah cerminan kepada pembangunan filem Malaysia. Tahun ini karyawan filem tempatan meraikan tahun jubli emas atas edisi ke-25 yang berjaya dianjurkan. Semoga untuk tahun-tahun akan datang, bukan emas sahaja yang menjadi dambaan para karyawan filem tetapi kualiti dan nilai estetika filem dana konteks yang lebih bermaruah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved