Sabtu, 2 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Disemadi dalam kendi berlian

Posted:

Disemadi dalam kendi berlian

Disemadi dalam kendi berlian

Susunan SITI NOR AFZAN KASIMAN

JUMAAT lalu, ratusan ribu rakyat Kemboja membanjiri jalan-jalan utama di Pnom Penh sebagai menghormati upacara perarakan prapersemadian bekas Raja Kemboja, Raja Norodum Sihanouk.

Dengan mengenakan pakaian putih dan hitam, lautan manusia mula berkumpul sejak waktu Subuh untuk memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin terulung dalam sejarah Kemboja moden itu.

Sihanouk dilihat sebagai tokoh utama yang sentiasa ingin bersama rakyatnya.

Biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman dan kesukaran, kebijaksanaan dan kesabaran Sihanouk akhirnya berjaya membawa kedamaian buat rakyat dan negaranya.

Baginda mengambil keputusan untuk turun takhta pada 2004 selepas enam dekad bergelar raja.

Sihanouk memberi peluang kepada puteranya, Raja Norodom Sihamoni untuk meneraju tampuk kepimpinan negara, biarpun pada ketika itu, ramai yang beranggapan Sihamoni keberatan untuk mengambil alih jawatan tersebut daripada ayahandanya.

"Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, Kemboja mendapat kemerdekaan daripada Perancis, berdepan dengan perang saudara, kerajaan dirampas puak Khmer Rouge yang zalim malah baginda juga pernah dibuang negeri.

"Baginda telah melakukan banyak perkara hebat untuk negara ini. Saya sangat menyayanginya.

"Kemangkatan baginda adalah perkara yang cukup menyedihkan kami semua," ujar Suon Toch, 70, yang tidak lepas-lepas memegang potret Sihanouk sepanjang perarakan berlangsung.


SAMI antara pihak penting yang ditugaskan menjalankan ritual agama sepanjang tempoh berkabung.


Pedati bersalut emas

Dalam perarakan tersebut, ribuan rakyat Kemboja berjalan mengiringi pedati bersalut emas yang membawa jenazah Sihanouk ke istiadat persemadian di Gunung Suci yang terletak bersebelahan istana, kawasan yang sama baginda ditabalkan sebagai raja lebih 70 tahun lalu.

Sebelum ini, jenazah bapa kepada 14 orang anak itu ditempatkan di Istana Diraja selama tiga bulan selepas ia diterbangkan pulang dari Beijing Oktober lalu.

Bagi generasi lama warga Kemboja, kemangkatan Sihanouk cukup dirasai.

Sebagai tanda sanjungan hormat dan ketaatan yang tidak berbelah bagi, ramai yang melutut dan menggenggam tangan sambil berdoa apabila perarakan jenazah melewati mereka.

Turut mengiringi pedati tersebut ialah Raja Sihamoni dan isteri keenam mendiang Sihanouk, Permaisuri Norodom Monineath.

Baginda berdua kelihatan sugul, adakalanya menangis teresak-esak ketika berjalan di belakang pedati yang membawa keranda Sihanouk yang menyerupai wat yang dilitupi bungaan putih setinggi lebih 2 meter.


PEDATI bersalut emas dibawa berarak ke sekeliling bandar dengan penuh istiadat persemadian diraja.


Jenazah Sihanouk akan disimpan di tapak pembakaran selama tiga hari bagi acara keagamaan selain memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum istiadat pembakaran diraja dilakukan pada pukul 6 senja esok.

Bagi memastikan kelancaran istiadat persemadian tersebut, satu jawatankuasa khas terdiri daripada pegawai-pegawai kanan istana ditubuhkan sebaik sahaja kemangkatan Sihanouk diumumkan Oktober lalu.

"Kami bekerja keras selama beberapa bulan untuk memastikan upacara perarakan dan persemadian berjalan lancar.


SIHAMONI dan ibunya membakar colok sebelum pedati yang membawa jenazah Sihanouk berarak.


"Bukan itu sahaja, kami juga perlu memastikan istiadat diraja ini dijalankan dengan penuh adat dan tradisi, sama seperti istiadat persemadian Raja Suramarit, ayahanda Sihanouk yang berlangsung pada 1960," ujar ahli jawatankuasa kecil agama, Nhek Bun Chhay.

Bagi mengelak sebarang kekurangan dan kelemahan, mereka diwajibkan menjalankan penyelidikan tentang istiadat persemadian dengan menonton video dan membaca dokumen bertulis di muzium berulang kali.

"Kami hanya duduk di sana untuk membaca dokumen dan menonton video. Selain itu, kami juga mencari beberapa pegawai istana yang masih hidup untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang istiadat ini," kata Bun Chhay lagi.

Tidak hanya menumpukan adat istiadat persemadian, jawatankuasa ini turut menitikberatkan kelancaran program lain seperti perarakan dan persembahan.

"Upacara persemadian adalah ritual biasa yang boleh ditemui di mana-mana di Asia Tenggara.

"Namun, untuk istiadat persemadian diraja, ia memerlukan perancangan teliti dan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk menghantar jenazah ke dunia yang lebih baik," jelasnya.

Dalam istiadat persemadian Sihanouk, seramai 5,000 petugas memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran perarakan di 11 lokasi di seluruh bandar.


WANITA ini membotakkan kepala tanda menghormati kemangkatan Sihanouk.


Pecah tradisi

Dianggarkan lebih sejuta rakyat Kemboja keluar berarak bersama pedati yang membawa jenazah Sihanouk di bandar Pnom Penh kelmarin.

Mengikut adat persemadian, kerabat lelaki akan memulakan upacara membotakkan kepala sebagai tanda berkabung.

Ia diikuti oleh para menteri, pegawai mahkamah, hakim, polis, tentera, sami Buddha, wakil-wakil etnik dan rakyat sama ada lelaki dan perempuan yang memasang niat untuk berkabung sebagai tanda hormat dan kasih kepada Sihanouk.

Sebelum kemangkatannya, Sihanouk pernah berpesan, andainya baginda mangkat, baginda enggan jenazahnya diletakkan di dalam sebuah kendi seperti raja-raja sebelumnya.

Menurut anakandanya, Putera Norodom Ranariddh, ayahandanya mahu memecah tradisi kuno.

"Baginda mahu diletakkan di dalam keranda hingga ke saat persemadiannya. Itu wasiat terakhirnya yang perlu dipatuhi," ujar Ranariddh.


KEPRIHATINAN figura ulung pada era Kemboja moden ini meninggalkan kenangan manis di hati rakyatnya.


Secara tradisinya, Sihamoni dan ibunya akan memulakan istiadat dengan menyalakan api unggun untuk membakar jenazah Sihanouk.

Sebaik sahaja keranda pertama dibakar, pihak tentera akan melepaskan 101 das tembakan meriam.

Ia disusuli dengan letusan bunga api selain alunan orkestra tradisional pinpeat yang mengiringi bacaan ratib keagamaan di kuil.

Pada senja yang sama, lebih 400 banduan dijangka diberi pengampunan. Beberapa hari selepas istiadat pembakaran selesai, Sihamoni dan ibunya akan menabur sedikit abu mayat Sihanouk di Sungai Mekong. Baki abu tersebut kemudiannya disimpan di dalam kendi berlian untuk ditempatkan di ruang penyimpanan abu mayat kerabat diraja di istana.

Syiling Yasin boleh tarik duit, jumpa bidadari

Posted:

Syiling Yasin boleh tarik duit, jumpa bidadari

Syiling Yasin boleh tarik duit, jumpa bidadari


MOHD. SUKOR memiliki lebih 200 keping syiling Yasin dari pelbagai jenis.


SYILING lama sering dikaitkan dengan nilai pasaran yang tinggi lebih-lebih lagi jika usia mata wang tersebut sudah mencecah ratusan tahun dan semakin sukar ditemui.

Begitupun, tidak semua syiling lama bernilai tinggi. Ada juga beberapa jenis syiling, biasanya yang tidak dapat dipastikan asal usul dan tahun pengeluaran, nilainya lebih rendah walaupun sesetengah pihak mendakwa ia sudah berusia ratusan tahun.

Antara syiling lama yang masih kabur nilainya ialah syiling Yasin. Jika ditanya kepada komuniti pengumpul syiling lama, kajian untuk mengesan kewujudan syiling jenis ini dari sudut numismatik masih tidak jelas.

Malah, ramai yang mengaitkan syiling ini lebih banyak digunakan dalam beberapa amalan mistik seperti dijadikan tangkal azimat dalam upacara 'menarik duit' selain dijadikan pendinding diri berbanding digunakan sebagai mata wang.

Menurut pengumpul barangan antik, Mohd. Sukor Abdul Rahman, 48, ada peminat syiling Yasin sanggup mengeluarkan belanja puluhan ribu ringgit untuk memiliki sekeping syiling Yasin bagi tujuan menarik duit.

"Segelintir pengumpul dan penjual syiling Yasin mendakwa mereka memperoleh syiling tersebut semasa bertapa, selepas berzikir mahupun melalui mimpi. Dek kerana unsur mistik itu, ada yang sanggup membelinya walaupun harga yang diletakkan kadang-kadang tidak masuk akal iaitu sehingga mencecah jutaan ringgit.


SYILING Empat Sahabat ini memiliki tema yang sama tetapi ukiran permukaannya berbeza antara satu sama lain.


Wali tujuh

"Berlainan pula jika syiling itu warisan turun-temurun yang bukan diperoleh dengan cara pertapaan dan pemujaan, harganya lebih murah," ujarnya yang mengumpul lebih 200 keping syiling Yasin sejak dua tahun lalu.

Jenis dan corak syiling Yasin juga berbagai-bagai. Ada gambar Kaabah, gambar orang tua mengandar buntil, gambar perahu dan juga gambar lelaki dipercayai para wali.

Selain itu, ada juga syiling yang mencatatkan ukiran kalimah suci seperti bismillah, kalimah syahadah, nama Allah dan Muhammad, kalimah Yasin, nama empat sahabat nabi dan bermacam lagi.

Jelas Mohd. Sukor, permintaan tinggi peminat syiling lama terhadap syiling Yasin jenis Wali Tujuh menyebabkan harga syiling tulen dari jenis tersebut mahal.

"Tidak dinafikan ada peminat syiling lama yang begitu takjub dengan cerita mistik yang mendakwa syiling yang jarang ditemui ini boleh menarik duit.

"Pernah juga saya menjualnya dengan harga RM1,000 kepada seorang pembeli.

"Pesan tok guru pembeli itu, syarat utama menarik duit ialah dengan menggunakan syiling Yasin Wali Tujuh yang dibeli dengan mahar sebanyak RM1,000.

"Bila ada orang hendak membeli dengan harga yang munasabah, saya tidak menolak untuk menjualnya. Saya hormati pendiriannya dan enggan mempersendakan tujuannya membeli syiling tersebut walaupun saya sendiri tidak percaya tentang kebolehan sekeping syiling menarik duit," ujar Mohd. Sukor.

Disimpan dalam bungkusan kain kuning, lelaki ini memberitahu, sudah menjadi rutin hariannya membelek setiap keping syiling Yasin miliknya.

Selain memiliki koleksi pelbagai jenis syiling Yasin, dia turut mengumpul syiling semah, iaitu syiling yang pernah dikeluarkan kerajaan Jawa kuno ratusan tahun dahulu.

"Pada pendapat saya, syiling-syiling ini bukan diperbuat di Malaysia kerana ratusan tahun dahulu, masyarakat di negara ini belum memiliki teknologi melebur tembaga.

"Ia juga dicetak tanpa menggunakan acuan besi sebaliknya dihasilkan daripada acuan tanah liat.

"Kepingan tembaga juga tidak ditempa seperti barangan logam lain. Kerana itu, biarpun ia memempunyai imej dan ukiran timbul di permukaan syiling, hasil buatannya cukup halus," kata Mohd. Sukor yang mempunyai syiling Yasin diperbuat daripada tembaga kuning, timah hitam dan nikel.

Corak berbeza

Jelasnya, kepingan syiling yang diperbuat daripada tembaga kuning dianggap lebih lama dan bernilai jika dibandingkan dengan syiling yang diperbuat daripada timah hitam ataupun nikel.


DUIT lama dari kerajaan Jawa kuno mudah dikenali kerana ia mempunyai lubang di tengahnya.


"Syiling Yasin yang diperbuat daripada nikel lebih baharu buatannya. Ia agak kasar dan hujungnya lebih tajam berbanding syiling tembaga," kata Mohd. Sukor.

Menarik tentang syiling ini, corak ukiran yang terdapat pada sejenis syiling tidak sama antara satu sama lain.

"Cuba lihat syiling Yasin Empat Sahabat ini. Walaupun saya memiliki hampir 10 keping, namun ia diperbuat daripada bahan berlainan dan coraknya berbeza antara satu sama lain.

"Begitu juga dengan syiling Yasin Rama-Rama. Terdapat perbezaan dalam setiap ukiran rama-rama ini," katanya.

Bagi pengamal perubatan tradisional, Yahya Abdul Manaf, 51, dia mengakui pernah melihat ritual menarik duit menggunakan duit syiling Yasin.

"Dalam upacara itu, pengamal akan duduk berzikir untuk satu tempoh yang telah ditetapkan. Malah, ada sanggup pergi bertapa di Pulau Besar, Melaka dan tempat-tempat terpencil untuk melakukan upacara tersebut.

"Apa yang saya tahu, wang yang berjaya 'ditarik' bukanlah jatuh dari langit atau keluar dari tanah, sebaliknya ada yang dijumpai di bawah alas duduk pengamal. Ada juga yang ditemui di dalam buntil berhampiran tempat pengamal berzikir.

"Ramai percaya upacara ini disertai oleh khadam, terdiri daripada jin yang bertindak sebagai pihak tengah dalam proses menarik duit.

"Duit yang diperoleh itu pula dikatakan diambil daripada bank dari dunia bunian, yang mana apa yang ada di alam nyata, turut ada di sana.

"Jika Bank Negara keluarkan not wang baharu, bank di alam ghaib juga akan mengeluarkan not wang baharu," ujarnya yang pernah melihat rakannya memegang beberapa keping not RM50 hasil upacara tersebut.

Yahya turut mengakui, kejayaan sesetengah pihak mendapat wang secara percuma ini secara tidak langsung telah menarik ramai peminat duit syiling lama yang taksub untuk menyertai ritual misteri tersebut.

Azizah obses baju Melayu

Posted:

Azizah obses baju Melayu

Azizah obses baju Melayu

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

AZIZAH mempunyai hobi mengumpul kereta klasik jenis Volkswagen.


AZIZAH OMAR tidak lekang dengan senyuman manisnya ketika ditemu bual kru Jurnal Jumaat lalu di Butik Omar Ali di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Walaupun penampilannya ringkas, beliau bijak mengenakan warna tudung serta baju yang sedondon sekali gus membuatkannya tampil elegan.

Beliau yang merupakan anak bongsu daripada 11 orang anak Omar Ali berasa bangga dapat meneruskan legasi bapanya yang mengasaskan jenama butik itu lebih 78 tahun lalu.

"Kesungguhan arwah ayahlah yang telah memberikan inspirasi kepada saya. Beliau bekerja kuat sepanjang hari tetapi tetap mempunyai masa untuk bersarapan dan makan malam bersama anak-anak.

"Sebenarnya, itu sahaja waktu terluang untuk kami bersama dan menceritakan perihal kami adik-beradik," katanya membuka bicara.

Azizah yang merupakan pasangan hidup kepada Idris Mokhtar, 49, teruja menceritakan asas perniagaan ayahnya bermula setelah dia bekerja dengan seorang usahawan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.


KEPUASAN pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Azizah.


Menteri

Katanya, lelaki Jepun itu mengusahakan sebuah butik pakaian. Ayahnya bekerja selama dua tahun sebelum mengambil keputusan membuka butik sendiri di Bazaar Melayu yang kini dikenali sebagai Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada tahun 1945.

Tutur Azizah, walaupun tempoh belajar yang singkat, mentornya (Omar Ali) itu tidak kering dengan idea untuk menghasilkan baju Melayu tradisional yang berkualiti tinggi.

"Itu sifat dan pendirian yang saya cuba kekalkan untuk memuaskan hati pelanggan dengan kualiti, jahitan dan corak terkini.

"Bukan senang untuk memuaskan hati pelanggan yang menempah baju Melayu sejak zaman 1945 lagi sehingga sekarang. Bukan sahaja untuk mereka tetapi diwarisi sehingga cucu dan cicit," ujarnya bersemangat.

Tambahnya, butik Omar Ali pernah menerima tempahan baju Melayu daripada menteri, tokoh terkenal dan artis popular.

Lupakan sebentar kisah mengenai ayahnya dan beralih pendapatnya sendiri mengenai baju Melayu.

Tutur wanita berjiwa besar ini, imej dan identiti baju tradisional negara itu harus dikekalkan.

Jelasnya, ada segelintir anak muda inginkan fesyen yang agak keterlaluan.

"Tidak salah tetapi kalau sampai seluar baju Melayu berwarna lain, baju dan poket pula warna berbeza, ini agak tidak kena.

"Penampilan sedemikian kurang menyerlah. Biasanya saya tidak menerima tempahan seperti itu namun ia terpulang kepada gaya masing-masing," katanya.

Tambahnya, beliau tertarik dengan penampilan lelaki yang mengenakan baju tradisional itu dengan lengkap menyarung kain sampin, butang serta songkok.

"Cukup bergaya cuma takut ada isteri yang risau sekiranya suami sering memakai pakaian sedemikian. Sama ada buang tabiat atau khuatir pasangan mereka akan kahwin lagi," cerita Azizah berjenaka.

Wanita ini juga gemar mengumpul kain sampin. Sungguhpun memiliki butik pakaian, Azizah sebenarnya tidak mahir menjahit.

"Saya lebih tertarik untuk memberikan komen selain mereka rekaan moden dan berbeza," katanya.


BUTIK Omar Ali yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.


Beliau juga memberikan syarat kepada suami dan seorang anak lelakinya supaya memakai baju Melayu lengkap semasa menunaikan solat Jumaat di masjid dan hari pertama sambutan Aidilfitri selain memenuhi jemputan kenduri kahwin.

Kereta antik

"Kita perlu bangga dengan warisan kita. Jika saya bukan seorang wanita saya akan memakainya," katanya sambil ketawa.

Walaupun perwatakannya agak lembut, Azizah turut mempunyai hobi mengumpul kereta antik.

"Setakat ini, saya mengumpul tiga kereta jenis Volkswagen lama iaitu Beetle, Karmann Ghia dan Bus. Ketiga-tiga kenderaan ini masih berfungsi dengan baik.

"Malah, saya sering memandu Volkswagen Bus untuk pergi kerja dan bersiar-siar sehingga ada yang pelik dengan perbuatan itu," jelasnya.

Azizah memberitahu, barangan klasik tidak semestinya mahal dan sukar diperoleh, cuma perlu menjaganya dengan baik dan membaikinya dengan segera sekiranya rosak.

"Ibarat kata pepatah, jika tiada yang lama tidak akan ada yang baharu," katanya.

Pengarah Urusan Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. ini juga bercadang melancarkan laman beli-belah dalam talian pada bulan Mac ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved