Selasa, 12 Februari 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tragedi pilu masuk hutan

Posted:

Tragedi pilu masuk hutan

Tragedi pilu masuk hutan

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK dan M. RIZAL NOR
berita@kosmo.com.my

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat salah seorang mangsa yang terperangkap di dalam 4WD yang tergelincir ke dalam Sungai Pahang di Jerantut kelmarin.


KUANTAN – Hasrat tiga rakan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas dipercayai keluar berburu di hutan Matau Balak dekat Kota Gelanggi berkecai apabila kesemuanya ditemui lemas selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki tergelincir ke dalam sungai kelmarin.

Kejadian pukul 11.20 malam itu mengakibatkan pemandu 4WD jenis Jeep Cherokee itu, Hamzah Muhammad, 52 serta dua penumpang, Abd. Zahran Asran, 28, dan Roshaizad Abd. Rashid, 29, maut selepas gagal menyelamatkan diri.

Mayat mangsa pertama ditemui pada pukul 3.55 pagi, diikuti mayat kedua selang 20 minit kemudian dan mangsa ketiga pada pukul 4.25 pagi di sekitar 100 meter dari tempat kenderaan itu tergelincir ke dalam Sungai Pahang.

Difahamkan, kemalangan itu disedari oleh seorang Orang Asli yang tinggal berdekatan sebelum dia menghubungi polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, kejadian tersebut berlaku di kawasan laluan pembalakan yang berselut.

Katanya, ketiga-tiga mangsa dipercayai pergi berburu di hutan tersebut ketika operasi pembalakan dihentikan sementara sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

"Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang selepas berburu di situ. Kenderaan mereka terjatuh ke dalam sungai semasa menyeberangi jambatan kerana hilang kawalan.

"Mayat mereka berjaya ditemui dan dikeluarkan dari hutan tebal itu pada pukul 5 pagi tadi (semalam). Polis tidak menemui senjata atau binatang buruan di dalam 4WD itu," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu di Maran, isteri Abd. Zahran, Badariah Daud, 31, mendakwa, suaminya masuk ke hutan itu untuk melakukan aktiviti lasak bersama dua rakannya dan bukan berburu.

"Mereka memulakan aktiviti itu sejak pukul 9 pagi Sabtu lalu. Ketika tiba di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, suami menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) menyatakan mereka sudah sampai sebelum meneruskan perjalanan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat di sini.

Badariah memberitahu, sebelum keluar, suaminya sempat mengejutkan dan mencium anak sulungnya, Amar, 4, dan memaklumkan dia ingin masuk ke hutan.

"Arwah bekerja di Maran Golf Hill Resort bersama Hamzah. Empat bulan lalu, kami kehilangan anak kedua kami, Adib, sembilan bulan, kerana demam panas," katanya sedih.

Dalam pada itu, keluarga Hamzah dan Roshaizad enggan ditemu bual.

Muflis akibat rumah tidak siap

Posted:

Muflis akibat rumah tidak siap

Muflis akibat rumah tidak siap

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my


SEMAKIN ramai rakyat di negara ini diisytiharkan muflis ekoran rumah yang dibeli melalui pinjaman bank gagal disiapkan oleh pemaju. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Projek perumahan terbengkalai merupakan antara punca ramai penduduk di Malaysia diisytiharkan muflis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (gambar kecil) berkata, setiap tahun semakin ramai rakyat di negara ini terdedah dengan risiko muflis ketika berusia 22 hingga 48 tahun.

Katanya, kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan menjadi punca pembeli dibebani dengan hutang dan pinjaman yang akhirnya menyebabkan mereka berdepan tindakan mahkamah.

"Jumlah individu yang muflis akibat rumah terbengkalai cukup membimbangkan iaitu seramai 200,000 orang di bawah projek perumahan pemaju tidak berlesen.

"Bagi pemaju berlesen pula seramai 150,000 orang diisytiharkan muflis. Kedua-dua jumlah itu adalah yang direkodkan sejak tahun 1990," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Nadzim memberitahu, nasib yang dialami pembeli rumah terbengkalai dilihat tidak adil apabila pihak bank tidak mendesak pemaju untuk melangsaikan hutang akibat projek yang tidak siap.

"Pihak bank memang tidak akan mencari pemaju sebaliknya pembeli yang perlu berhadapan dengan risiko pembelian rumah terbengkalai," jelasnya.

Sehubungan itu, Nadzim meminta institusi perbankan supaya bersifat berperikemanusiaan dan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mengambil tindakan muflis ke atas mana-mana individu yang berhutang.

Beliau turut mencadangkan sistem Perbankan Islam di seluruh negara diperbaiki supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat terutamanya dalam hal tanggungan hutang akibat rumah yang dibeli tidak dapat disiapkan.

Pemberian BR1M 3.0 akan diteruskan

Posted:

Pemberian BR1M 3.0 akan diteruskan

Pemberian BR1M 3.0 akan diteruskan

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


NAJIB (tengah) mengangkat nombor cabutan pada majlis cabutan undi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia Nusantara PR1MA sambil disaksikan Rosmah (kanan) di Dewan Raya Putra Kulaijaya semalam. Di sebelah kiri ialah Abdul Ghani.


KULAIJAYA - Perdana Menteri semalam mengumumkan akan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 dan BR1M4.0 kepada kumpulan sasar terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi meneruskan dasar itu, rakyat harus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau mahukan transformasi dilaksanakan dengan sempurna, ia juga bergantung kepada mandat politik daripada rakyat. Jika rakyat berikan (mandat), kita akan dapat sebuah kerajaan yang kuat, negara akan mempunyai masa yang cukup hebat dan cemerlang," ujarnya ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Econsave di sini semalam.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Tertutup UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru dekat sini pada sebelah pagi.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Lebih 10,000 masyarakat pelbagai bangsa membanjiri pekarangan pasar raya itu.

Perdana Menteri pada majlis sama turut menyampaikan bantuan BR1M 2.0 kepada 20 penerima dari kawasan Parlimen Kulai.

Ujar Najib lagi, pemberian BR1M termasuk 139 produk jenama 1Malaysia merupakan pulangan semula kepada rakyat negara ini hasil daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang semakin meningkat.

"Saya dah katakan, sebagai sebuah kerajaan, kita harus mendahulukan rakyat. Kita mesti wujudkan dasar bersifat inklusif dan adil, bukan saja kepada pelabur tetapi juga kepada rakyat.

"Saya telah mula dengan menyatakan, kita mesti merasai denyut nadi rakyat, sebab itu kita buat BR1M.

"Kini BR1M 2.0 yang banyak memberi faedah dan selepas ini BN akan teruskan dengan BR1M3.0, BR1M4.0 dan seterusnya jika diberi mandat sekali lagi," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi program transformasi ekonomi telah berjaya meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia daripada RM20,759 pada penghujung 2009 kepada RM30,210 pada penghujung 2011.

"Dalam tempoh empat tahun, kita telah tunjukkan bahawa ekonomi negara kita berkembang dan ia turut diperakui sendiri oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, Christine Lagarde," ujar beliau.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved