Selasa, 12 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Neelofa, Tasha berdamai

Posted:

Neelofa, Tasha berdamai

Neelofa, Tasha berdamai

NEELOFA teruja bersama ahli kelab peminatnya, Neelofa Team yang hadir memberikan sokongan moral pada majlis hari jadinya yang ke-24 ini.


SEPANJANG dua tahun bergelar anak seni, Noor Neelofa Mohd. Noor boleh dikatakan antara artis yang cukup bertuah apabila kerjaya seninya berkembang dalam tempoh yang agak singkat.

Kini, pada usianya yang baru sahaja mencecah 24 tahun, Neelofa pastinya boleh berbangga dengan pencapaian yang dimilikinya, terutama dari segi karier serta populariti yang diraihnya sekarang.

Selain bergelar pelakon yang semakin dikenali ramai menerusi beberapa buah filem dan drama lakonannya, kariernya dalam bidang seni turut berkembang dengan bergelar pengacara rancangan Nona dan Meletop, dua buah program yang sememangnya mendapat sambutan baik daripada penonton.

Pintu rezekinya semakin terbuka luas apabila menjadi pilihan pelbagai jenama produk popular yang telah memilihnya menjadi duta atau jurucakap.

Ketika ditanya sama ada dia puas dengan kejayaan yang diraihnya itu, Neelofa dengan rendah diri menyatakan bahawa dia sebenarnya masih belum berhasil menjadi seorang anak seni yang berjaya.

"Saya tidak menganggap diri saya sudah berjaya sekarang ini kerana perjalanan seni saya masih lagi panjang. Cuma saya memang menyasarkan untuk mencapai kejayaan dalam usia yang muda.

"Jadi, saya perlu berusaha dengan lebih keras lagi dan tidak boleh cepat berpuas hati dengan apa yang saya nikmati sekarang ini.

"Namun begitu, saya gembira kerana mendapat sokongan daripada orang yang berada di sekeliling serta peminat," ujarnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-24 dirinya yang berlangsung di Sunway Giza, Kota Damansara pada minggu lalu.

Menurut Neelofa, selain mahu terus mengembangkan bakatnya dalam dunia seni sebagai pelakon dan pengacara, dia juga menyatakan mahu menjadi seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya.

Ujarnya, buat masa ini dia sedang memberi fokus kepada perniagaan produk kesihatan BellaVita yang mula diusahakannya pada tahun lalu dan kini semakin berkembang baik.

Bagi memastikan perniagaannya itu membuahkan hasil yang lumayan dan memberangsangkan, Neelofa memberitahu dia terpaksa membuat pelaburan yang banyak.

"Saya telah melaburkan puluhan ribu ringgit semata-mata membeli sedikit slot dalam rancangan Wanita Hari Ini pada setiap hari Rabu untuk mempromosikan produk BellaVita ini.

"Boleh dikatakan sudah banyak wang yang dibelanjakan sehingga membuat pinjaman bank bagi memastikan produk yang saya usahakan ini berjaya di pasaran sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun yang akan datang," ujarnya.

Menurutnya, selain produk kesihatan BellaVita dia juga sudah merancang untuk menghasilkan lagi beberapa produk lain bagi meluaskan lagi perniagaan yang diusahakannya sekarang ini.

Perkahwinan

Pada usianya yang sudah mencecah 24 tahun, sudah tentu ramai yang beranggapan ia merupakan usia yang cukup sesuai buat seorang wanita untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Bagaimanapun, Neelofa yang pernah digosipkan dengan penerbit dan pelakon Hans Isaac sebelum ini menganggap dirinya masih lagi muda untuk menuju ke gerbang perkahwinan.

"Buat masa ini saya tidak terfikir untuk berumah tangga kerana sasaran saya sekarang ini mahu mengecap kejayaan dalam bidang yang saya ceburi terlebih dahulu. Lagipun, kini saya sedang berusaha gigih agar segala usaha yang dilakukan berjaya.

"Apabila tiba masanya saya berkahwin nanti, kalau boleh saya mahu menjadi seorang isteri yang tidak terlalu berharap kepada suami dan menggunakan duit sendiri untuk membeli apa sahaja yang diingini," tegasnya.

Menurutnya, memandangkan jadualnya yang cukup padat sebagai seorang pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, dia akan memikirkan tentang perkahwinan kira-kira tiga atau empat tahun akan datang.

Konflik

Sebelum ini sudah ramai yang mengetahui mengenai sedikit konflik yang berlaku Neelofa dengan seorang lagi pelakon iaitu Tasha Shilla gara-gara komen yang dibuatnya terhadap pelakon tersebut mengenai kemenangan dalam Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu.

Namun begitu, Neelofa mendedahkan dia dan Tasha pernah terserempak baru-baru ini dan mereka telah bertegur sapa dengan mesra, seolah-olah seperti tiada masalah yang pernah berlaku sebelum ini.

"Selepas konflik yang berlaku itu agak lama juga kami tidak berjumpa, namun ketika terserempak kami sempat berbual bersama-sama dalam tempoh yang agak lama.

"Apa yang ingin saya katakan, secara jujurnya saya begitu hormati dengan sikap yang ditunjukkan oleh Tasha dan merasakan dia sebagai seorang pelakon yang sangat profesional," ujarnya yang menganggap hubungan mereka berdua kini kembali jernih.

Menurut Neelofa, dia juga berkesempatan meminta maaf kepada pelakon berkenaan atas apa yang telah berlaku dan gembira Tasha menerimanya dengan hati terbuka serta sudah melupakan semua yang telah berlaku antara mereka berdua.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu timbul lagi sebarang masalah dengan rakan-rakan pelakon lain. Mulai tahun ini saya berharap supaya perjalanan karier seni saya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kisah kontroversi lagi," ujarnya.

Ainan teruja diminati lelaki lembut

Posted:

Ainan teruja diminati lelaki lembut

Ainan teruja diminati lelaki lembut

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


BIARPUN sering dilanda kontroversi, Ainan menjadi semakin kuat dalam mengharungi perjalanan dunia seninya.


PENYANYI kelahiran YouTube, Ainan Tasneem tidak menduga, baru setahun menjadi artis dia sudah mempunyai ramai peminat bukan sahaja dalam kalangan remaja tetapi juga dewasa.

Malah, peminat penyanyi lagu Aku Suka Dia itu juga terdiri daripada lelaki lembut. Buktinya, baru-baru ini, bertempat di Restoran Rebung, Bangsar, satu pelancaran kelab peminat Ainan Tasneem telah diadakan.

Seramai 40 orang peminat hadir. Pandangan Kosmo! lantas memfokus ke arah satu meja bulat yang diduduki oleh 10 lelaki lembut.

Ikuti temu bual bersama pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu mengenai perasaannya diminati oleh lelaki lembut, selain mengupas lebih lanjut mengenai single terbaharu dan ketiganya (selepas dua single iaitu Aku Suka Dia dan 150 juta) yang digarap oleh dirinya sendiri berdasarkan pengalaman lalunya.

Kosmo!: Apakah perasaan anda bila melihat kehadiran peminat pada majlis hari ini?

AINAN: Secara jujurnya saya tidak sangka mempunyai peminat yang ramai. Pada mulanya, saya ingat 10 orang sahaja yang hadir. Sebabnya, saya baru setahun berada dalam industri nyanyian.

Apakah perasaan anda bila peminat anda juga terdiri daripada lelaki lembut?

Saya teruja kerana diminati oleh peminat yang terdiri daripada pelbagai umur dan jantina.

Bagaimanakah penerimaan peminat terhadap Ainan dan lagu-lagu anda?

Saya sedar ada orang yang menyukai lagu Aku Suka Dia dan ada juga orang yang tidak menyukainya. Jadi, saya berharap dapat menghasilkan lagu yang lebih bagus pada masa-masa akan datang.

Apakah maksud anda, lagu Aku Suka Dia tidak bagus?

Lagu tersebut lebih kepada pendengar remaja. Selepas ini, saya akan hasilkan lagu yang lebih matang untuk meraih penerimaan lebih meluas dalam kalangan kesemua peminat muzik.

Selepas single pertama, Aku Suka Dia dan single kedua, 150 juta muncul, jadi apakah single ketiga anda?

Single ketiga saya yang akan muncul berjudul, Luka. Lagu ini sangat istimewa buat saya kerana ia menceritakan mengenai kontroversi yang membelenggu saya selama setahun dalam industri nyanyian.

Kontroversi apakah yang dimaksudkan anda itu?

Lagu itu ditulis berdasarkan pengalaman sedih saya yang difitnah mencuri lagu orang (single, 150 juta). Bukan itu sahaja, lagu itu juga ditulis selepas saya difitnah keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi.

Siapa sebenarnya yang memfitnah anda keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi?

Walaupun ada yang menyukai saya tetapi ramai juga yang tidak menyukai saya di UniMAP. Saya tidak pernah dating dengan teman lelaki sehingga pagi. Kolej kami juga tutup pukul 12 tengah malam, jadi mana mungkin saya boleh dating dengan dia sampai pagi.

Apakah perasaan anda apabila berdepan dengan kontroversi-kontroversi seperti itu?

Kontroversi-kontroversi itu tidak melemahkan saya sebaliknya menjadikan saya lebih kuat.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Lapan lagu ciptaan saya sudah dirakamkan. Syarikat rakaman saya iaitu MVM Production bercadang untuk terbitkan album sulung saya, berkemungkinan pada pertengahan bulan ini.

Akim kembali dengan Menunggu

Posted:

Akim kembali dengan Menunggu

Akim kembali dengan Menunggu

Oleh HARYATI KARIM

AKIM tidak menolak andai ditakdirkan bertemu jodoh dengan Stacy.


SELEPAS popular dengan lagu Bengang, Inikah Cinta, Janji dan Mesti Ada Cinta duet bersama Fiq, penyanyi Afiq Hakim Ahmad atau Akim kembali dengan lagu ciptaannya sendiri berjudul Menunggu.

Selain melancarkan lagu single, Akim turut melancarkan klip video lagu tersebut di Red Box, The Gardens baru-baru ini.

Menurut Akim, klip video itu cukup bermakna buat dirinya apabila telah diarahkan oleh pengarah berbakat besar, Ghaz Abu Bakar.

"Saya tidak pernah bekerja dengan Ghaz tetapi saya tahu produk yang dihasilkannya cukup berkualiti dan kreatif. Memang agak teruja apabila mendapat tahu saya akan bekerja dengannya.

"Alhamdulillah, melihat hasil penuh klip video Menunggu, saya amat berpuas hati," kata Akim.

Ditanya, bagaimana pengalaman bekerja dengan Ghaz di samping pelakon Bront Palarae dan seorang model baharu pilihan Ghaz, Akim menjelaskan, dia mempunyai masa yang seronok sepanjang proses penggambaran dilakukan.

"Penggambaran mengambil masa sebanyak tiga hari, proses suntingan dan sehingga klip video disiapkan mengambil masa sehingga sebulan.

"Tiada tekanan dan saya cukup seronok bekerja dengan Ghaz. Jalan cerita klip video semuanya idea daripada Ghaz seperti menutup akaun Facebook dan segala laman sosial selepas putus cinta.

"Walaupun, kekasihnya telah berkahwin, dia tetap menunggunya. Itu jalan cerita daripada Ghaz," ujar Akim.

Ditebak mungkinkah, lagu Menunggu ini ditujukan khas buat penyanyi Stacy, Akim membalas, lagu itu dedikasi buat Rasulullah SAW.

"Lagu Menunggu bukan menggambarkan saya sedang tunggu Stacy. Saya cipta sepenuhnya lagu ini sebagai gambaran saya menunggu Rasulullah di akhirat kelak.

"Saya akui mesej yang saya sampaikan pun agak berat. Namun, saya dedikasikan lagu ini demi Rasul tercinta. Saya mohon bantuan Baginda di Padang Mahsyar nanti.

"Selain daripada itu, saya tidak kisah andai orang yang mendengar lagu ini memberi gambaran berbeza seperti berkenaan cinta dan perkara lain kerana judul Menunggu itu sangat umum. Saya dapat ilham buat lagu ini selepas saya mendapat petunjuk dari Allah," jelasnya.

Akim sebelum ini yang kerap digosip bercinta dengan penyanyi Stacy bakal muncul dengan lagu single terbaharu yang berjudul Kembali, duet bersama Stacy pada penghujung bulan ini selepas lagu Menunggu.

Jodoh

Kerjasamanya bersama Stacy bakal menghangatkan kembali gosip yang semakin hilang ditelan waktu. Bagaimanapun anak kelahiran Johor Bahru ini, mengakui sudah penat dan bosan cerita gosipnya bersama Stacy.

"Penat dan bosan jugalah untuk saya menjawab soalan yang sama. Memang kami rapat sebagai rakan dan untuk mengulas lebih lanjut belum tiba masanya kerana fokus saya hanya kerjaya buat masa ini," katanya.

Menguatkan lagi gosip cintanya itu, selepas lagu Menunggu, Akim bakal muncul dengan lagu single Kembali duet bersama Stacy.

Disoal mengapa memilih Stacy, sambil tersenyum, Akim mengatakan Stacy merupakan tiga penyanyi wanita terbaik yang pernah ditemuinya dari segi vokal dan penghayatan lagu.

"Saya pilih dia kerana kami serasi dan mudah untuk menyanyikan lagu duet bersama. Bagi saya Stacy seorang penyanyi yang hebat.

"Kualiti vokal serta penghayatannya dalam lagu cukup bagus. Jadi, tidak ada sebab lain saya berduet dengannya ditambah lagi dia merupakan rakan saya," kata Akim.

Disoal sejauh manakah hubungannya dengan Stacy dan tidak terfikirkah untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat?

Jawab Akim: "Kami rakan yang rapat dan saya juga cukup selesa berkawan dengannya. Buat masa ini kami berdua fokus terhadap kerjaya sahaja, tidak ada agenda lain.

"Jika ditakdirkan jodoh bersama, itu takdir Allah, saya sebagai hambanya reda dengan ketentuan yang diberikan. Rasanya untuk menamatkan zaman bujang belum lagi kerana saya baru 22 tahun.

"Masih muda untuk berkahwin. Jika saya ingin berkahwin mungkin 25 tahun ke atas sebelum usia 30 tahun. Doakan yang terbaik buat saya."

Lagu Menunggu dan Kembali dimuatkan dalam album pertama Akim berjudul Akim Ahmad yang dilancarkan pada Jun tahun lalu bersama lapan buah lagu yang lain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved