Isnin, 11 Februari 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Aksi Psy memukau pengunjung

Posted:

Aksi Psy memukau pengunjung

Aksi Psy memukau pengunjung

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


CUACA panas tidak menghalang Psy memberikan persembahan terbaik kepada peminat dan penonton yang datang berhimpun di padang Kolej Han Chiang, George Town.


GEORGE TOWN – Persembahan bertenaga bintang ternama Korea Selatan, Psy menggegarkan sambutan majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya di padang Kolej Han Chiang di sini semalam.

Kira-kira 80,000 pengunjung memenuhi kawasan kolej tersebut termasuk di hadapan pentas utama sejak pukul 7 pagi lagi.

Pengunjung termasuk kanak-kanak kecil melaung-laungkan nama Psy sebaik beliau muncul di pentas kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Psy yang mengenakan kot tanpa lengan dengan seluar serba putih memberitahu, dia teruja tiba di Malaysia dan mengucapkan selamat Tahun Baru Cina. Penyanyi itu berterima kasih kepada BN Pulau Pinang kerana menjemputnya membuat persembahan.

Sebaik muzik dimainkan, orang ramai menjerit-jerit nama Psy sebelum dia muncul diiringi 12 penari mempersembahkan lagu popularnya, Oppa Gangnam Style.

Psy atau nama sebenarnya Park Jae Sang mencipta nama apabila klip video Oppa Gangnam Style ditonton sebanyak 1.3 bilion kali dalam YouTube.

Sambil beraksi dengan muka bersahaja, Psy turut mengajak ribuan pengunjung menari tarian kuda bersamanya.

Selepas menamatkan persembahan, dia turun dari pentas tetapi sorakan para peminat memanggil-manggil namanya mendorong Psy kembali semula untuk nyanyian kali kedua lagu Oppa Gangnam Style.

Cuaca panas juga menyebabkan bintang berusia 35 tahun itu terpaksa menanggalkan cermin mata hitamnya untuk mengesat peluh beberapa kali ketika menyanyi.


PERSEMBAHAN Psy menerusi lagu Oppa Gangnam Style menghiburkan ribuan pengunjung pada majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina di George Town semalam.


Dia sempat berceloteh dengan berkata: "Saya faham cuaca panas di sini menyebabkan anda (penonton) juga nampak letih."

Psy bersama rombongannya tiba dengan jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira pukul 6 pagi semalam selepas mengadakan persembahan di Rio de Janeiro, Brazil.

Difahamkan, beliau menginap di sebuah hotel mewah di bandar raya ini selama dua hari dan dibawa melawat ke beberapa lokasi menarik sebelum pulang ke Korea Selatan.

Ini merupakan persembahan pertama Psy di Asia Tenggara yang didatangkan khas oleh sebuah syarikat pengurusan acara dari Kuala Lumpur, Mega Ultimate Sdn. Bhd. bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina.

Turut mengadakan persembahan ialah juara Asian Wave 2012 di Shanghai, China, Shila Amzah yang menghiburkan pengunjung dengan lagu Patah Seribu, Set Fire to the Rain dan dua lagu Mandarin, Zheng Fu dan Forever Love.

Kemunculannya turut mendapat tepukan gemuruh pengunjung yang menyanyi bersama-samanya.

80,000 sertai PM di Pulau Pinang

Posted:

80,000 sertai PM di Pulau Pinang

80,000 sertai PM di Pulau Pinang


SOKONGAN PADU... NAJIB disambut oleh ribuan pengunjung yang hadir pada majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina di George Town.


GEORGE TOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mendapat suntikan semangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi apabila program Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjurannya di sini dihadiri lebih 80,000 orang semalam.

Program yang berlangsung di padang Kolej Han Chiang, George Town itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib dalam ucapannya menyatakan rasa gembira kerana inilah kali pertama beliau menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama-sama penduduk Pulau Pinang.

"Terima kasih kepada warga Pulau Pinang kerana telah menyambut kedatangan saya dan isteri serta keluarga dengan begitu meriah.

"Saya rasa bertuah dan amat gembira kerana pada tahun ini dapat melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan iaitu menyambut Tahun Baru Cina dengan warga Pulau Pinang," katanya.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Nor Ashman serta Nooryana Najwa bersama tunangnya, Daniyar Nazarbayev tiba kira-kira pukul 10.50 pagi. Mereka disambut Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Sesuai dengan semangat 1Malaysia, Najib menyeru masyarakat Pulau Pinang agar saling menghormati kebudayaan setiap kaum bagi mengukuhkan perpaduan untuk masa depan yang lebih harmoni.

Katanya, perpaduan kaum serta sikap saling memahami sangat penting sebagai pemacu kemajuan dan perkembangan ekonomi negara di persada antarabangsa.

"Ini adalah kerajaan yang berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia. Ini adalah kerajaan yang mempunyai rancangan sebenar untuk masa depan semua rakyat Malaysia.

"Rakyat Pulau Pinang mahu rumah yang lebih baik dan rumah mampu milik dan kerajaan akan menunaikannya... percaya pada janji ditepati," katanya yang disambut tepukan gemuruh orang ramai.

Dalam ucapannya, Najib menyampaikan berita baik kepada masyarakat Cina di Pulau Pinang dengan mengumumkan rancangan menaik taraf Kolej Han Chiang menjadi Kolej Universiti yang memberi pengkhususan dalam bidang pengajian komunikasi massa.

Terdahulu, anak beliau, Nor Ashman menyampaikan ucapan selamat Tahun Baru Cina dalam bahasa Mandarin dan mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai, manakala Rosmah menyertai kumpulan koir menyanyikan dua buah lagu Mandarin iaitu Gong Xi, Gong Xi dan Da Di Hui Chun.

Majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina itu dimeriahkan dengan persembahan Chingay, tarian tradisional naga, persembahan tarian pelbagai kaum serta persembahan bintang rap Korea Selatan, Psy menerusi lagu Oppa Gangnam Style dan penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah.

Selain penduduk Pulau Pinang, majlis itu turut menarik kehadiran pengunjung dari Kedah dan Perak.

Sambutan hebat terjemahkan semangat 1Malaysia

Posted:

Sambutan hebat terjemahkan semangat 1Malaysia

Sambutan hebat terjemahkan semangat 1Malaysia

GEORGE TOWN - Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow (gambar) mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang yang hadir memeriahkan sambutan majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran BN di padang Kolej Han Chiang semalam.

Beliau berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum memeriahkan majlis itu menterjemahkan semangat 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya mahu ribuan pengunjung yang hadir sama-sama gembira menonton persembahan yang disediakan artis-artis yang dijemput khas.

"Ini bukan ucapan bagi meraih sokongan politik, sebab itu saya hanya mahu orang ramai bergembira," katanya.

Terdahulu, Chang Yeow mengiringi Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba ke majlis tersebut kira-kira pukul 10.50 pagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved