Rabu, 13 Februari 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Keunikan sejarah dan alam

Posted:

Keunikan sejarah dan alam

Keunikan sejarah dan alam

Oleh NASRI JAMALUDIN

SUASANA pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor pagi itu tidak sibuk. Kenderaan bergerak lancar melalui deretan bangunan kedai lama.

Di luar bangunan kedai itu tertera angka 1930 menunjukkan tahun pembinaan bangunan tersebut yang sehingga kini masih kekal kukuh. Beberapa orang kelihatan sedang berurusan di kedai runcit dan ada juga yang sedang menjamu selera dalam restoran di bangunan lama berkenaan.

Dengan latar belakang bukit yang menghijau membuatkan pekan tersebut kelihatan unik dan seakan-akan sebuah taman besar.

Menjejak sejarah

Justeru, tidak hairanlah Kuala Kubu Bharu atau dahulu dikenali sebagai Kuala Kubu semakin menarik kedatangan pelancong sama ada menikmati keindahan alam atau menjejak sejarahnya.

Berdasarkan sejarah, daerah Hulu Selangor wujud semasa pemerintahan Inggeris di Kuala Kubu Bharu pada 12 Mei 1883, selepas sembilan tahun campur tangan British di negeri Selangor.

Pada zaman British, daerah tersebut pernah ditadbir oleh Cecil Ranking dan Mac Carthy iaitu semasa Frank Swettenham menjadi Residen British di Selangor.

Pada mulanya pentadbiran British terletak di Kuala Kubu lama yang kini dikenali sebagai Ampang Pecah. Perpindahan ke pekan sekarang berlaku pada 1 September 1930 berikutan kawasan lama tersebut dilanda banjir besar.


NIKMATI kesejukan air dan suasana tenang di Sungai Chiling.


Namun, bangunan-bangunan lama di pekan itu masih dapat disaksikan utuh berdiri antaranya, bangunan pejabat pos, bangunan kedai, menara jam dan pejabat polis trafik.

Bangunan pejabat pos yang terletak di tengah-tengah pekan Kuala Kubu Bharu masih terpelihara dan masih digunakan sehingga hari ini. Bangunannya juga telah dicat baharu menyerlahkan keunikan senibinanya.

Tidak puas menatap seni bina pejabat pos, singgahlah sebentar ke balai polis trafik. Seni bina Inggeris terserlah di bangunan itu.

Tidak jauh dari balai polis trafik, terdapat sebuah menara jam yang mempunyai sejarah tersendiri. Orang ramai dapat membaca tulisan di menara berkenaan yang dibina sebagai memperingati pertabalan King George VI dan Ratu Elizabeth pada tahun 1930-an.

Dari kawasan berkenaan, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan pekan Kuala Kubu Bharu yang mendamaikan. Pekan itu dipagari bukit-bukit menghijau yang menambahkan lagi suasana nyaman di situ.

Masjid lama

Malah, jika pengunjung pergi ke Ampang Pecah yang jaraknya kira-kira enam kilometer (km) dari pekan Kuala Kubu Bharu bolehlah singgah sebentar untuk bersolat di sebuah masjid lama iaitu Masjid Lama Al-Hidayah, Ampang Pecah. Di kubah masjid itu tertera tahun 1926.

Masjid itu mempunyai sejarah tersendiri. Seni bina bangunan begitu unik dan masih kukuh. Di bahagian luar masjid terdapat sebuah tabuh dan kolah air juga masih mengekalkan seni bina lama.

Bahagian dalam masih dihiasi lampu-lampu lama termasuk candelier antik. Mimbar kayu juga turut mempunyai ukiran yang unik.

"Keunikan-keunikan tersebut membuatkan Kuala Kubu Bharu sering menjadi tumpuan dan pilihan penerbit-penerbit untuk membuat rakaman filem, drama dan iklan. Pasangan pengantin baharu juga tidak ketinggalan mengabdikan foto indah mereka di pekan ini," kata Rusmi Minhat, Pengerusi Kelab Rekreasi dan Pelancongan Daerah Hulu Selangor ketika ditemui baru-baru ini.

Kolam air panas


BANGUNAN lama di pekan Kuala Kubu Bharu masih terpelihara dan menjadi lokasi tumpuan rakaman drama atau filem.


Beliau yang juga penghulu di Kuala Kubu Bharu berkata, selain peninggalan sejarah, pekan yang menjadi transit orang ramai dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser, Pahang itu turut mempunyai banyak tarikan pelancong.

Katanya, pengunjung juga boleh melawat kolam air panas, Kuala Kubu Bharu sama ada untuk mandi-manda atau sekadar merendam kaki. Jaraknya kira-kira satu kilometer dari pekan dan pengunjung perlu melalui kawasan perumahan untuk sampai ke kolam air panas tersebut.

"Walaupun, kolamnya tidak begitu besar dan tidak mempunyai kemudahan yang lengkap namun kualiti air panasnya begitu menyegarkan dan menyihatkan badan," katanya.

Penduduk-penduduk sekitar ramai yang berkunjung ke kolam air panas berkenaan terutamanya pada hujung minggu.

Pemandangan indah

Setelah puas berendam air panas, singgahlah ke Empangan Sungai Selangor atau lebih dikenali sebagai Empangan Kuala Kubu.

Persekitaran empangan itu amat mendamaikan dengan pemandangan takungan air sungai serta hutan yang menghijau. Meskipun panas terik tiupan angin menyejukkan badan.

Abadikan kenangan anda berkunjung ke situ dengan mengambil gambar-gambar bersama rakan-rakan atau ahli keluarga.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di atas tebing seperti tempat letak kereta dan pondok rehat.

"Kawasan empangan ini menjadi tumpuan orang ramai bagi menikmati keindahan air sungai yang terbentang luas serta kehijauan alam sekali gus dapat menenangkan fikiran," kata setiausaha kelab berkenaan, Hafidzan Maarof, 46,


AZMI (kiri) dan pembantunya menunjukkan parang dan keris yang dijual di kedainya.


Empangan tersebut beroperasi sejak tahun 2003 dan terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu.

Tidak jauh dari empangan tersebut juga, katanya, orang ramai boleh berkelah atau mandi-manda di Sungai Chiling.

Selain terkenal dengan keindahan air terjun dan aliran jeram yang jernih ia turut mempunyai satu lagi tarikan iaitu kewujudan spesies ikan kelah.

Kelebihan itu menjadikan kawasan perkelahan tersebut diiktiraf sebagai santuari ikan Sungai Chiling. Malah, ia merupakan habitat semula jadi ikan kelah yang terdekat untuk dikunjungi orang ramai di sekitar Lembah Klang.

"Air sungai yang dingin dengan suasana hutan membuatkan ramai orang berkunjung ke Sungai Chiling. Tidak ketinggalan kumpulan yang meredah hutan untuk pergi ke kawasan air terjun yang cantik di sini," kata Hafidzan lagi.

Cenderamata

Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin membeli cenderamata, berkunjunglah ke kedai Teras Bina Teknik Enterprise di Jalan Hospital, Kuala Kubu Bharu.

Kedai milik Azmi Azhar Ahmad tersebut menjual rantai kunci, parang, pisau, keris dan pedang. Ia dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

"Saya juga turut mengambil tempahan untuk membuat sarung parang atau pisau dengan kadar bayaran tertentu. Setiap barangan yang dijual harganya bergantung kepada kualiti sesuatu barangan itu.

"Sebilah pisau lapah berharga antara RM120 hingga RM500 setiap satu. Kebanyakan barangan yang dijual, saya hasilkan sendiri.

"Rantai kunci yang saya buat juga istimewa kerana dihasilkan daripada kayu penawar hitam yang boleh menjadi penawar bisa binatang," katanya.

Mendaki cenuram Gua Damai

Posted:

Mendaki cenuram Gua Damai

Mendaki cenuram Gua Damai

Oleh NASRI JAMALUDIN


KETIKA mendaki cenuram, seorang rakan akan memegang tali di bawah bagi memastikan keselamatan anda terjamin.


BERDEBAR tetapi seronok. Itulah pengalaman pertama penulis mendaki cenuram atau rock climbing bersama Kelab Rekreasi Badan Keluarga Utusan Malaysia (KRUM) di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves. Selangor baru-baru ini.

Taman Ekstrem Dua Damai merupakan antara lokasi popular yang menjadi tumpuan peminat aktiviti berkenaan. Ia mempunyai kira-kira 70 laluan mendaki cenuram.

Sebelum mendaki cenuram, penulis memakai harness atau abah-abah berfungsi sebagai sokongan antara tali dan tubuh.

Apabila peralatan lengkap dipakai perasaan semakin teruja untuk mendaki. Tambahan pula, setelah menyaksikan beberapa orang dengan mudah berjaya mendaki beberapa laluan cenuram di Gua Damai itu.

Rupa-rupanya, aktiviti itu tidak semudah disangka. Setiap laluan di Gua Damai tersebut telah dipetakan dengan gred-gred tertentu daripada gred 5a sehingga kepada 6c+. Gred 6c+ adalah gred paling mencabar.

Cabaran hebat

Penulis memilih laluan yang tingginya kira-kira 10 meter dengan bantuan seorang rakan memegang tali dari bawah tebing. Bila sudah memegang dan memijak tebing cenuram barulah penulis tahu cabaran hebat menanti.

Baru beberapa meter mendaki, tangan dan kaki mulai berpeluh. Jari-jari yang meraba-raba tempat untuk berpaut bagaikan tidak berupaya untuk menampung badan.

Hanya beberapa meter untuk sampai ke tempat sasaran, mental penulis mulai lemah. Tangan serta kaki terasa lenguh dan perasaan meronta-ronta hendak turun kerana tidak sanggup untuk meneruskan pendakian.

Bagaimanapun, kata-kata semangat daripada rakan-rakan di bawah tebing menyentap semangat penulis untuk meneruskan pendakian. Jari-jari terus meraba-raba tempat berpegang sehingga penulis berjaya mengangkat tubuh naik ke tempat sasaran.

Hati rasa puas apabila berjaya mencapai tempat sasaran dan segala kepenatan ketika mendaki bagaikan hilang. Selepas menikmati seketika kejayaan itu, barulah penulis turun dan ketika turun ia lebih mudah dilakukan.


SELAIN dapat membina otot-otot badan, para pendaki dapat melihat keindahan alam ketika berada di kedudukan yang tinggi.


Mental kuat

Dalam pada itu, ahli KRUM, Azliza Hailani, 25, menyifatkan setiap aktiviti lasak mempunyai cabaran dan risiko tertentu.

"Saya baru kali kedua mendaki cenuram ini, namun rasa seronok dan teruja untuk menyertai aktiviti ini. Perasaan berdebar itu memang ada tetapi cuma sewaktu mula mendaki sahaja.

"Mendaki cenuram ini bukan sahaja memerlukan kekuatan otot, tetapi juga mental terutama ketika tangan dan kaki mulai penat," katanya yang meminati sukan-sukan ekstrem.

Bagi Nurul Azizi Mat Jusoh, 33, sejak terbabit empat bulan lalu, dia terus jatuh cinta dengan aktiviti lasak tersebut hingga sanggup melakukannya setiap minggu dan cuti umum.

Dia yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, berkata, setiap kali berjaya mendaki sesuatu laluan, pasti rasa gembira dan puas malah tidak sabar pula untuk membuat pendakian lain.

"Saya memang minat aktiviti lasak. Mula-mula cuba dahulu memang rasa takut, lepas itu rasa seronok dan kini saya telah membeli peralatan mendaki," katanya yang telah membelanjakan kira-kira RM1,500.

Pemandangan indah

Pelajar Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Hazman Hazizan, 23, pula terbabit dengan sukan tersebut sejak tahun 2009. Sejak itu, pelbagai lokasi telah dijelajahnya bagi memenuhi minat berkenaan.

"Aktiviti ini membuatkan badan sihat dan menguatkan otot badan. Saya juga kena berfikir ketika hendak memilih tempat berpegang dan mental kena kuat. Selain itu, berada di tempat tinggi kita dapat menyaksikan pemandangan yang indah di kawasan berkenaan.

"Ketika ini, Bukit Keteri, Chuping di Perlis merupakan cenuram dengan pemandangan paling cantik pernah saya daki iaitu panorama sawah padi yang luas. Saya juga mendapat ramai kawan terdiri daripada pelbagai bangsa, negara dan latar belakang," katanya yang merancang untuk mendaki cenuram di Krabi, Thailand tahun ini.

Ciri kemelayuan Ombak Villa

Posted:

Ciri kemelayuan Ombak Villa

Ciri kemelayuan Ombak Villa

Oleh NURUL IZZA ROSLY

OMBAL Villa menampilkan seni bina tradisional Melayu.


BAGI mereka yang mahukan percutian jauh daripada suasana hiruk-pikuk kesibukan kota, apa kata singgah ke Pulau Langkawi. Percutian di pulau legenda itu, bukan sahaja menawarkan keindahan pantai bahkan, pelbagai lokasi menarik.

Jika anda sukar mencari penginapan yang sesuai saat bertandang tamu ke Langkawi, Ombak Villa yang terletak di Jalan Kuala Muda, Padang Matsirat sedia menyambut para tetamunya dengan menampilkan konsep seni bina tradisional Melayu dan mesra alam.


BEGINILAH keadaan Premier Villa menurut lakaran artis apabila ia sudah disiapkan.


Pembangunan Ombak Villa yang bernilai RM48 juta tersebut merupakan projek terbaharu Langkawi Lagoon Resort yang dibangunkan oleh Tema Teladan Sdn. Bhd. (Tema Teladan)

"Ombak Villa bakal menampilkan 79 unit bilik mewah yang mengenengahkan seni bina tradisional Melayu.

"Ia mempunyai 76 suite premier selain dua suite bulan madu dan satu unit Premier Villa," kata Pengerusi Tema Teladan, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar di Langkawi awal Januari lalu.

Tambahnya, Ombak Villa yang dibina menghadap Laut Andaman bakal menawarkan suatu pengalaman percutian lengkap.

Ombak Villa akan memulakan operasi fasa pertamanya Mac ini sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013.

Bermula pada harga RM600 semalam, fasa kedua Ombak Villa dijangka selesai September ini.


RUANG bilik air dihias ringkas namun elegan.


Seni bina Melayu

Melangkah masuk ke sebuah suite, kelihatan kedudukan katil berada di tengah-tengah bilik. Ia menghadap beranda memperlihatkan Laut Andaman yang luas terbentang

Ombak Villa bukan sahaja menekankan konsep seni bina tradisional Melayu dalam reka bentuk bangunan tetapi hiasan dalaman suite juga disuntik dengan elemen kemelayuan.

Idea ringkas dan elegan yang diterapkan oleh pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim dapat dilihat menerusi penggunaan songket pada hiasan kepada katil.

Kemasan lantai bahagian beranda yang menawarkan pemandangan mendamaikan pula diperbuat daripada Wood Plastic Composite yang kelihatan seperti kayu sebenar supaya tahan lebih lama.

Mengadaptasi elemen mesra alam dalam pembangunannya, Ombak Villa mempunyai tangki Rain Water Harvesting iaitu tadahan air hujan yang digunakan untuk penyiraman landskap.


TIDAK seperti hotel-hotel lain, kedudukan katil berada di tengah-tengah menghadap beranda membolehkan pengunjung menikmati pemandangan indah laut yang terbentang luas.


Tidak ketinggalan penggunaan mentol jimat tenaga, ruang lobi bersiling tinggi bagi mengelakkan rasa panas dan penanaman pokok-pokok herba mengindahkan landskap.

Kedudukan Ombak Villa yang berjiran dengan Langkawi Lagoon Resort dan Kuala Melaka Inn yang bernaung di bawah Tema Teladan juga memberikan pilihan penginapan kepada pelancong serendah RM85 hingga RM8,000 semalam.

"Tidak seperti hotel-hotel mahupun resort lain, kemudahan surau disediakan di tengah-tengah ketiga-tiga resort ini untuk kegunaan para pelancong yang beragama Islam," ujarnya.

Surau Hajah Felina yang dibuka pada 6 Mac 2012 mampu menampung 60 jemaah pada satu masa mempunyai imam dan bilalnya sendiri.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved