Isnin, 21 Januari 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Gabungan Asia Barat dan Eropah

Posted:

Gabungan Asia Barat dan Eropah

Gabungan Asia Barat dan Eropah

Oleh ALIF ABU BAKAR

RINGKAS dan biasa sahaja. Dua pandangan awal yang dilontarkan kebanyakan orang apabila pertama kali melihat koleksi pakaian muslimah Habibi by Alkenali. Selepas diamati dengan terperinci atau menyarungkannya pada tubuh, perspektif anda pasti berubah kerana jubah Habibi by Alkenali merupakan rekaan istimewa yang jarang ditemui di pasaran.

Menekankan konsep gabungan Arab dan Eropah, sentimen Islam dan Inggeris bersatu dalam setiap persalinan Habibi. Meskipun mengangkat elemen luar negara, setiap rekaan disesuaikan dengan suasana negara terutama dari segi pemilihan fabrik.

Jubah labuh atau singkat dan jaket kolar lebar menjadi antara item panas jenama itu. Pakaian Habibi by Alkenali sesuai digayakan untuk acara santai, keluar berhibur atau ketika menghadiri majlis formal.

"Alhamdulillah, sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, Habibi telah berjaya menarik kelompok pengikut yang tersendiri. Kami sasarkan kepada pelanggan wanita berumur 18 hingga 60 tahun dan berkerjaya.

"Keistimewaan kami terletak pada saiz yang ditawarkan. Ia bermula daripada saiz kecil (36) sehingga yang paling besar (52). Selain itu, Habibi turut menyediakan koleksi untuk remaja wanita yang dinamakan Habibi Teen.


NAZRAH menunjukkan antara jubah Habibi yang mendapat sambutan ramai.


"Antara pakaian Habibi yang kerap menjadi pilihan wanita Malaysia ialah jubah dan 3Q, blaus paras lutut yang diperbuat daripada kapas dan denim. Pelanggan dari Singapura dan Brunei pula lebih menggemari koleksi daripada material kapas poliester," jelas Pengurus Besar Alkenali Trade Sdn. Bhd. dan pemilik Butik Habibi, Nazrah Noor Rahmat, 28.

Permulaan Habibi

Pengalaman merantau ke United Kingdom, Perancis, Syria dan Jordan mewujudkan ilham kepada Nazrah untuk menceburi bisnes pakaian muslimah. Wanita yang berasal dari Johor itu juga pada awalnya bercadang untuk membantu mengembangkan cabang perniagaan suaminya, Ahmad Hafeedzullah Wan Lah.

Bekas wartawan penyiaran dan pengacara program Al-Hidayah stesen TV3 itu kemudiannya nekad melepaskan kerjayanya itu demi memberi fokus kepada jenama pakaian yang diusahakan sendiri.

Tanpa pengalaman perniagaan, Nazrah mengambil risiko memperkenalkan jenama Habibi menerusi internet. Setiap pakaian dijual secara talian dan apabila semakin mendapat sambutan, dia yang turut dibantu suami terus membuka kedai kecil di Gombak, Selangor.

Kini, jenama Habibi semakin kukuh dan dikenali ramai. Nazrah membuat keputusan membuka butik yang diidam-idamkan selama ini di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

"Setiap rekaan Habibi merupakan gabungan idea saya dan suami. Kami juga mempunyai pasukan pereka yang turut menyumbangkan idea bagi koleksi pakaian Habibi. Kami juga menggalakkan para peniaga atau mereka yang baru memulakan perniagaan untuk menjadi pengedar Habibi," ujar Nazrah.

Menyentuh soal penggunaan material, koleksi Habibi Elegant yang merangkumi jubah dan 3Q banyak menggunakan fabrik kapas, denim dan kapas poliester. Tambah Nazrah, material dipilih berdasarkan rekaan tetapi paling penting ia perlu menepati keselesaan muslimah di Malaysia.

Selain jubah dan blaus, Habibi juga menawarkan kardigan, dres dalam (inner), skirt, selendang dalam dan rangkaian tudung yang menawan. Kebanyakan item tersebut dihasilkan daripada kapas, sifon dan rayon.

Aurat dan fesyen

Konsep asal Habibi yang diinspirasikan daripada gabungan Asia Barat dan Eropah menjadikan ia pakaian moden yang menjaga aurat wanita.

Labuh, sopan dan tidak jarang menjadi pegangan rekaan Habibi. Sehubungan itu, Habibi menyediakan pelbagai saiz agar semua individu dengan bentuk badan yang berbeza dapat bergaya dalam persalinan Habibi.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, iaitu al-Quran dan sunnah. Jika kamu berpegang kepada dua hal tersebut, maka tidak akan tersesat selama-lamanya."

"Berdasarkan sabda tersebut, saya berpendapat bahawa sebagai seorang muslimah, panduan itulah yang wajar diikuti. Setiap perkara yang kita lakukan termasuklah berpakaian perlulah berpandukan perintah Allah dan pesan Nabi.


WALAUPUN hamil enam bulan Natasha tetap anggun dalam jubah paras betis ini.


"Pemodenan dan globalisasi telah menawarkan pelbagai jenis fesyen khususnya buat golongan wanita. Namun, ia tidak bermaksud kita boleh membelakangkan apa yang dituntut agama.

"Menjadi seorang muslimah moden, perlu bijak dalam berpakaian. Jadi, kita perlu membezakan gaya yang sesuai sebagai seorang muslimah.

"Patuhilah garis panduan yang telah digariskan Islam dan anda pasti selamat di dunia dan Insya-Allah selamat di akhirat," demikian pandangan yang dikongsi Nazrah. Beliau memberitahu bahawa pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus juga pernah membeli salah satu koleksi pakaian Habibi untuk anak perempuannya.

Nazrah turut memberitahu, menutup aurat adalah perkara wajib kerana ia merupakan perintah Allah dan telah dinyatakan dalam al-Quran. Apa sahaja fesyen yang digayakan perlu dipastikan agar aurat terjaga.

"Tidak salah untuk berfesyen kerana naluri manusia memang sukakan kecantikan. Bagaimanapun, jangan melepasi garis panduan yang telah ditetapkan syariat," pesan Nazrah.

Gaya comel Mickey

Posted:

Gaya comel Mickey

Gaya comel Mickey

Oleh ALIF ABU BAKAR


MICKEY MOUSE juga menawarkan seleksi pakaian untuk bersantai atau berpiknik.


KARAKTER kartun popular, Mickey Mouse telah diperkenalkan sejak tahun 1928. Ia kemudiannya disusuli dengan karakter sahabat-sahabat Mickey seperti Minnie Mouse, Pluto, Donald dan Daisy Duck.

Selama 85 tahun animasi keluaran Walt Disney itu menemani kanak-kanak, ia telah berkembang daripada rancangan kartun yang menghiburkan kepada satu jenama pakaian dan aksesori terkenal di serata dunia.

Menariknya, setiap helaian pakaian Mickey tidak pernah lapuk ditelan zaman, malah ia sentiasa tampil segar bersama koleksi baharu.

Sempena musim bunga/panas 2013 kali ini, Mickey dan rakan-rakan sekali lagi menarik perhatian penggemar jenamanya menerusi koleksi terkini yang disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja berumur enam hingga 16 tahun.

Bertemakan Nobody Does Fashion Like Mickey & Minnie, pementasan fesyen sempena pelancaran koleksi baharu itu berlangsung dengan meriahnya di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kecomelan model-model cilik memperagakan pakaian mereka ternyata mencuit hati hadirin yang turut disajikan dengan persembahan daripada pasukan sorak Cheers Aces dan flash mob.

"Koleksi musim bunga/panas 2013 Mickey & Minnie sangat berwarna-warni, ceria dan sesuai dengan kehendak fesyen kanak-kanak masa kini. Kami sangat fokus dalam menyediakan variasi gaya daripada baju T, jean atau bermuda sehingga kepada pakaian santai," jelas Pengurus Besar BUM Holdings (M) Sdn. Bhd., Ivy Hew.


MICKEY MOUSE menawarkan pelbagai jenis pakaian dan aksesori untuk digayakan kanak-kanak seluruh dunia.


Mickey & Minnie perlu diberi pujian dalam mengekalkan kelembutan gaya yang wajar dimiliki setiap gadis. Blaus dan baju T dengan potongan mengikut bentuk badan berserta cetakan imej Minnie menjadi mainan utama koleksi untuk si kecil jelita.

Aksesori wajib iaitu cekak kepala dengan reben polka dot merah jambu sememangnya gaya signatur Minnie yang sering kali menjadi pilihan kanak-kanak perempuan. Kardigan beropol yang digandingkan dengan kemeja berkotak dan jean pula menyerlahkan personaliti ringkas seorang gadis yang sedang meniti alam remaja.

Koleksi pakaian Mickey buat kanak-kanak lelaki juga tidak kurang hebatnya. Selain baju T dan kemeja bercetak, jaket memainkan peranan penting dalam musim kali ini. Ia memperlihatkan ciri kelelakian yang dimiliki si pemakai walaupun tubuh dibaluti pakaian bercorak kartun yang comel.

Koleksi Mickey & Minnie kali ini dijual bermula pada harga RM39 sehingga RM139 mengikut jenis barangan. Ia boleh didapati di semua gedung beli-belah utama di seluruh Malaysia.

Kasut kanvas lukisan tangan

Posted:

Kasut kanvas lukisan tangan

Kasut kanvas lukisan tangan

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR


KREATIVITI yang diterjemahkan Kah Sim dan Shio Fung ke atas barangan jualan mereka memberi pulangan yang lumayan berikutan mendapat sambutan menggalakkan.


CANTIK dan berwarna-warni. Begitulah keunikan yang dapat dilihat pada sepasang kasut yang dilukis dengan pelbagai corak menarik hasil kreativiti pelukis barangan kanvas.

Lukisan kreatif itu bukan hanya dicorakkan pada kasut yang diperbuat daripada bahan kanvas, malah beg dan baju juga kelihatan menarik dengan sentuhan dua pelukis dari Happy Cutie House, Alor Setar, Kedah.

Pemiliknya, Yee Shio Fung, 28, berkata, perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu turut dibantu ibu saudaranya, Ng Kah Sim, 43, yang juga meminati bidang lukisan.

Biarpun trend memakai kasut atau beg hasil lukisan tangan telah lama popular di bandar besar namun kini ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat terutamanya di kawasan utara.

"Pernah terlintas perasaan bimbang dan takut sewaktu awal memulakan perniagaan, tetapi perasaan itu berubah apabila sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Kami menerima tempahan hampir 50 pasang kasut setiap bulan yang bukan sahaja daripada pelanggan setempat malah ada juga dari negeri lain termasuk Johor," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Shio Fung, sentiasa memastikan produk keluaran Happy Cutie House adalah yang terbaik dengan menghasilkan setiap lukisan dengan lebih teliti.


KAH SIM (kiri) dan Shio Fung di hadapan premis niaga mereka.


Dia berkata, kebanyakan pelanggan diberi peluang memilih sendiri corak yang mahu dilukis pada setiap kasut yang telah disediakan atau dibawa sendiri oleh mereka.

"Apa sahaja corak yang mereka mahu, kami lukis. Kebiasaannya pelanggan gemar gambar kartun animasi terkini dan corak bunga.

"Selain memastikan lukisan yang dihasilkan menyerupai watak sebenar, warna juga memainkan peranan untuk memastikan gambar tersebut menonjol," katanya yang memiliki latar pendidikan dalam bidang perakaunan.

Bagi corak yang mudah dihasilkan, mereka mampu menyiapkan hampir tujuh pasang kasut dalam tempoh satu minggu manakala masa yang lebih diperlukan bagi melukis corak yang rumit dan halus.

Kata Shio Fung, cabaran yang terpaksa dihadapi juga ialah melukis kasut bayi kerana saiznya yang kecil dan perlu bermain dengan warna yang ceria.

"Corak yang dilukis pada kasut bayi adalah lebih kecil berbanding saiz biasa dan masa yang diperlukan juga agak lama.

"Bagi kasut bayi, kami menyediakan pelbagai jenis corak untuk bayi bermula dari usia sebulan, katanya.


PELBAGAI corak lukisan menarik mewarnai produk-produk ini.


Shio Fung berkata, walaupun menjual pelbagai jenis produk daripada kain kanvas namun mereka mendapat permintaan tinggi terhadap kasut terutama pada musim perayaan.

Harga yang ditawarkan kepada pelanggan adalah serendah RM40 sepasang kasut, namun ia bergantung pada corak yang dihasilkan.

Menurut Shio Fung dia ingin menambah pelbagai jenis produk lukisan tangan agar karya seni ini tidak terhad pada penduduk di kawasan bandar.

"Kami juga telah memasarkan produk Happy Cutie House menerusi facebook selain meletaknya di beberapa kedai kasut sekitar kawasan ini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved