Isnin, 21 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Usaha Zizan, pengorbanan Johan

Posted:

Usaha Zizan, pengorbanan Johan

Usaha Zizan, pengorbanan Johan

KEGAGALAN kumpulan Jozan untuk bergelar juara sewaktu menyertai rancangan Maharaja Lawak setelah tumpas kepada Sepah, dua tahun lalu tidak bermakna mereka gagal menambat hati peminat komedi di Malaysia.

Buktinya, pada Jumaat lalu kumpulan yang dianggotai oleh Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan dan Mohd. Razizan Abd. Razak telah dinobatkan sebagai juara pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2012.

Dalam saingan yang berlangsung di hadapan kira-kira 5,000 penonton yang membanjiri Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jozan berjaya mengetepikan saingan terdekat mereka iaitu kumpulan Jambu untuk bergelar juara.

Ketika ditemui pada sidang akhbar selepas acara berakhir, Zizan berkata dia sememangnya tidak menjangka sama sekali dengan kemenangan tersebut, meskipun mereka sudah mendominasi tangga teratas sejak dari minggu pertama lagi.

"Pada malam ini kami tidak terlalu yakin untuk menang kerana kumpulan-kumpulan lain yang turut bersaing di pentas akhir ini memang kuat dan mereka turut menampilkan persembahan yang mantap.

"Namun begitu, saya bersyukur apabila usaha gigih kami selama 10 minggu bersaing dalam pertandingan ini begitu berbaloi dan ia bukan sahaja kemenangan buat Jozan, malah ia merupakan kejayaan istimewa buat para peminat yang banyak menyokong kami," ujarnya.

Ditanya tentang perasaannya atas kemenangan yang diraih, Zizan mengakui sangat sebak dengan kembalinya Johan setelah dua kali terpaksa beraksi secara solo menjelang saingan final.

Ujarnya, dia sangat terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakan gandingannya itu, meskipun berada dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

"Saya ada bertanya kepada Johan supaya tidak memaksa diri sekiranya tidak mampu, namun dia kelihatan bersemangat untuk turut serta. Tidak dinafikan persiapan yang kami lakukan sekadar ala kadar dan saya anggap kemenangan ini adalah rezeki daripada Allah," ujarnya.

Sementara itu, Johan yang terpaksa berkerusi roda ketika hadir pada sidang akhbar tersebut menyatakan sikap kental diri Zizan yang berseorangan untuk mempertahankan kedudukan Jozan sehingga layak bersaing ke peringkat akhir sesuatu yang wajar dipuji.

Ujarnya, dengan kejayaan kumpulannya itu mara ke pentas akhir MLM 2012 sememangnya telah menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk turut beraksi bersama-sama dengan Johan.

"Kalau diikutkan doktor memang tidak mengizinkan kerana keadaan saya yang belum benar-benar sembuh sepenuhnya. Namun begitu, saya tetap berkeras dan akhirnya doktor memberikan kebenaran dan dia berpesan supaya saya tidak bergerak terlalu aktif.


JOHAN (kanan) dan Zizan sama-sama berusaha dan banyak berkorban demi keutuhan dan kejayaan buat Jozan.


"Sebenarnya ini merupakan pengorbanan yang paling besar harus saya lakukan sehingga terpaksa menanggung risiko. Apa yang lebih penting saya lakukan ini semata-mata untuk keluarga, rakan gandingan saya dan para peminat Jozan yang banyak memberikan sokongan," ujarnya yang sudah menjalani pembedahan di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 29 Disember lalu.

Menurut Johan, setengah jam sebelum memulakan persembahan dia terpaksa meletakkan ais di bahagian lututnya itu supaya tidak mendatangkan sebarang kesakitan dan bersyukur kerana masih mampu menampilkan persembahan yang baik.

"Mungkin ramai yang perasan saya memang tidak menggunakan tongkat dan itu saya lakukan kerana tidak mahu mendapat undi simpati daripada orang ramai. Apapun saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami," ujarnya.

Keputusan akhir MLM 2012 menyaksikan Jozan mengungguli kedudukan teratas dengan markah sebanyak 22.9 peratus dan diikuti Jambu yang muncul selaku naib juara dengan markah sebanyak 21 peratus.

Shiro yang berada di kedudukan ketiga pula memperoleh markah sebanyak 19 peratus. Boboi pula sekadar berpuas hati di tangga keempat dengan 18.8 peratus, manakala Saywho pula meraih markah sebanyak 18.3 peratus untuk berada di kedudukan kelima.

Dengan kemenangan tersebut Jozan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 serta trofi, Jambu (RM250,000), Shiro (RM150,000), Boboi (RM50,000) dan Saywho (RM15,000).

Konsisten

Biarpun gagal menyaingi Jozan dalam persaingan merebut gelaran juara MLM 2012, namun kumpulan Jambu tetap meluahkan kegembiraan dengan kedudukan naib juara yang diraih.

Menurut Taukeh atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, mereka menerima keputusan berkenaan dan mengakui Jozan sememangnya layak untuk dinobatkan sebagai juara.

"Secara keseluruhannya kami sangat berpuas hati dan layak beraksi di pentas akhir merupakan satu kejayaan yang cukup istimewa. Lagipun persaingan lain-lain kumpulan juga sangat sengit dan ia agak merisaukan kami sedikit.

"Cuma kelebihan yang ada kepada kumpulan Jambu ini apabila kami kekal dengan persembahan yang konsisten dari minggu pertama sehingga terakhir, berbanding ketika kami bersaing di pertandingan Maharaja Lawak dua tahun lalu," ujarnya.

Mengenai hadiah kemenangan yang diterima pula, seorang lagi ahli kumpulan Jambu iaitu Yusry Edoo atau lebih sinonim dengan panggilan Yus berkata, dia dan Taukeh sudah sepakat yang sedikit wang berkenaan akan digunakan untuk mengadakan majlis bersama para peminat.

Ujarnya, majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan kepada mereka yang terlalu banyak memberikan sokongan sehingga mereka berada pada kedudukan sekarang ini.

"Insya-Allah, saya juga akan menggunakan wang yang dimenangi ini untuk belanja perkahwinan saya. Namun begitu, saya tidak pasti bila akan mendirikan rumah tangga, sama ada tahun ini atau tahun hadapan," ujarnya, Yus yang mengakui sudah mempunyai kekasih hati.

Tersingkir awal


BARISAN finalis Maharaja Lawak 2012 sudah memberikan persembahan berdaya saing hebat pada malam final yang berlangsung di Johor Bahru, kelmarin.


Sementara itu, kumpulan Shiro yang dianggotai Mohamad Hanaffi Razak (Ajak) dan Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) yang meraih kedudukan di tempat ketiga pula menganggap kejayaan mereka merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.

Menurut Ajak, mereka menjangkakan menjadi kumpulan pertama yang akan tersingkir iaitu pada minggu keempat, namun rezeki ternyata berpihak kepada mereka apabila berjaya layak ke final.

"Meskipun Shiro pernah menjuarai pertandingan Raja Lawak 6 pada tahun lalu, namun kami anggap masih lagi baharu dalam industri hiburan tempatan dan perlu bersaing pula dengan pelawak yang lebih berpengalaman.

"Jadi, dapat bersaing sehingga ke pentas akhir pastinya sudah kami anggap sebagai satu kemenangan. Lebih istimewa lagi saingan akhir telah diadakan di Johor yang juga merupakan negeri kelahiran kami," ujarnya.

Mengenai perancangan mereka selepas berakhirnya MLM 2012, Ajak berharap mereka akan mendapat lebih banyak peluang berlakon dalam usaha untuk mengembangkan lagi kerjaya seni pada masa akan datang.

Anne Ngasri akui sudah mual-mual

Posted:

Anne Ngasri akui sudah mual-mual

Anne Ngasri akui sudah mual-mual

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


ANNE kini semakin aktif bukan sahaja dalam bidang lakonan tetapi juga sebagai pengacara program TV.


SIAPA tidak kenal dengan nama Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, yang suatu ketika dahulu pernah menceriakan program televisyen Malaysia menerusi drama arahan Aziz M. Osman, Cili Padi.

Baru-baru ini dunia hiburan tempatan telah digemparkan dengan tindakan ibu kepada tiga orang anak itu apabila dia mengambil keputusan untuk bertunang dan mengakhiri zaman jandanya dengan seorang ahli politik atau lebih tepat Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Mohd. Sumali Reduan, 41, pada 22 Disember lalu.

Keputusan Anne, 29, itu sekali gus juga telah menutup segala kontroversi kisah perkahwinan terdahulu serta hubungan cintanya dengan penyanyi muda dan tampan Alif Aziz.

Setelah menempuhi pelbagai onak dan duri kehidupan, Anne masih tetap bertahan sehingga ke hari ini dalam dunia seni, malah pada Rabu lalu dia dan dua lagi anak seni tempatan telah dipilih untuk mengacarakan satu program baharu menerusi slot Raudhah untuk siaran TV9.

Anne, pelakon Diana Amir dan seorang model berhijab yang terkenal, Shabana, bakal muncul dalam program terbaharu TV9 Semangat Intelek Swadaya atau SIS pada 26 Januari ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Anne pada sidang akhbar program tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanakah kehidupan Anne setelah bergelar isteri kepada ahli politik kelahiran Pontian, Johor?

Alhamdulillah, saya bahagia. Akhirnya saya telah jumpa seseorang yang saya cari-cari selama ini.

Anne sudah tahu apakah selera makanan suami?

Kami berdua keturunan Jawa, jadi selera pun sama. Bab memasak makanan kegemarannya tidak menjadi sebarang masalah kerana ia adalah menu makanan yang sama saya masak.

Bolehkah bertanya, setelah hampir sebulan berkahwin, sudah adakah tanda-tanda bakal mendapat cahaya mata baharu?

Saya ada rasa mual-mual, tapi takut pula nak pergi buat pemeriksaan. Saya rasa macam ada.

Kenapa pula takut? Adakah Anne tidak bersedia?

Saya sentiasa menerima rezeki dari Allah. Saya pasti bayi itu nanti akan menambah seri dan membahagiakan lagi hidup saya.

Setelah sekian lama bergelar anak seni, adakah suami Anne membenarkan untuk terus bergiat dalam dunia hiburan ini?

Ya, dia seorang yang sangat memahami akan kerjaya saya, malah pada hari ini dia turut datang bersama bagi memberi sokongan kepada isterinya ini.

Adakah Anne juga akan memberi sokongan dengan kerjaya dunia politik suami?

Sudah tentu saya akan menyokong cara suami saya mendapatkan rezeki kami sekeluarga dan sentiasa memberi dorongan kepadanya.

Melihat kepada kerjaya suami dalam politik, adakah Anne mahu mengikut jejak langkahnya?

Tidak. Walaupun banyak persamaan dan persefahaman antara kami, namun bila ia melibatkan bidang kerjaya, ia sama sekali berlainan . Saya tidak minat bidang politik, lagipun saya lebih cintakan dunia seni saya.

Adakah Anne selalu menemani suami pergi ke jamuan-jamuan korporat atau yang melibatkan dunia politiknya?

Kalau saya ada masa, saya akan temankan dia. Namun, memandangkan anak sulung saya akan memulakan alam persekolahannya tidak lama lagi, saya rasa tidak dapatlah temankan dia selalu.

Apakah perkembangan terbaharu Anne dalam dunia seni?

Saya ada berlakon dalam filem di bawah Grand Brilliance berjudul Pengapit. Tunggulah kemunculan filem itu di pawagam nanti. Saya bersama kakak saya, Darling, juga akan menerbitkan rancangan kanak-kanak, Nujum Kenit yang bakal disiarkan menerusi saluran TV1, RTM. Selain itu, sebagai pengacara program baharu, SIS, yang menggandingkan saya bersama Diana Amir dan Shabana. Saya amat berharap para peminat akan sama-sama memberi sokongan kepada saya. Saya akan cuba berikan yang terbaik. Program itu akan bermula pada 26 Januari ini, pukul 11 pagi di TV9. Program bual bicara itu nanti banyak mengupas isu-isu yang sering dialami kaum wanita, terutamanya remaja.

Paramore kembali ke KL

Posted:

Paramore kembali ke KL

Paramore kembali ke KL

Oleh MAHFUZ MOHAMAD


PARAMORE bakal membuat kemunculan buat kali kedua di Malaysia.


PARA peminat kumpulan rock alternatif terkenal Paramore pasti ternanti-nanti kehadiran mereka ke Malaysia sekali lagi. Band yang terkenal dengan lagu, The Only Exception itu bakal mengadakan konsert untuk kali kedua di negara ini pada 17 Februari depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Konsert yang diadakan sempena dengan pelancaran album terbaharu yang mengambil tajuk sempena nama band mereka menjadikan Malaysia antara tiga negara Asia yang bertuah untuk destinasi persinggahan selain Thailand dan Filipina.

Pada konsert di Malaysia tiga tahun lalu, mereka berjaya menarik lebih 12,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, namun tahun ini, para peminat terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan tiket disebabkan tempat yang dihadkan kepada 6,000 sahaja.

Walau bagaimanapun, konsert kali ini akan menjanjikan kepuasan yang lebih berbanding tiga tahun lalu dengan durasi yang lebih panjang dan lagu yang lebih banyak.

Konsert yang dibawakan oleh Tune Talk dan BlackBerry itu turut digamatkan dengan persembahan pembukaan band tempatan, One Buck Sort atau OBS dan kumpulan rock indie AS, MewithoutYou.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan band tersebut untuk mengadakan konsert mereka buat kali kedua di sini.

"Kami memulakan tahun 2013 ini dengan The Return of Paramore Live in Kuala Lumpur dan ia adalah satu keseronokan bagi kami untuk bekerjasama sekali lagi dengan band yang sangat berbakat dan kreatif ini.

"Selain itu, kami juga ada merancang sesuatu yang besar pada bulan Mei ini untuk peminat industri hiburan tanah air, tetapi saya tidak dapat dedahkan lagi apakah rancangan tersebut, cuma tunggu dan lihat sahaja," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Bangsar Village baru-baru ini.

Para peminat juga berpeluang memenangi 30 pas percuma untuk sesi beramah mesra dengan band tersebut melalui peraduan anjuran Tune Talk dan BlackBerry yang akan diumumkan melalui Facebook dan Twitter mereka.

Tiket yang berharga RM270, RM200, RM150, RM130 dan RM110 boleh di dapati secara online di www.ticketpro.com.my atau hubungi talian hotline 03-7880 7999 untuk maklumat lanjut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved