Sabtu, 19 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Hirup minyak tanah keluar api

Posted:

Hirup minyak tanah keluar api

Hirup minyak tanah keluar api

AKSI sebegini memerlukan latihan yang berterusan dan tahap kesabaran yang tinggi. - Gambar hiasan.


AKSI memasukkan api ke dalam mulut sebelum melakukan hembusan berapi bak seekor naga yang berang sememangnya sukar dilakukan.

Namun, kini persembahan itu sudah menjadi penghias utama upacara tertentu termasuk majlis perkahwinan.

Sebenarnya, sejarah penghibur pemakan api bermula dengan satu amalan spiritual penganut agama Hindu tegar.

Ia cuma terkenal sebagai pertunjukan awam pada 1880-an apabila Robert Powell dari Britain memperkenalkan acara itu untuk tontonan orang ramai.

Lelaki itu bukan sahaja meniup dan memakan api bahkan memasukkan arang, besi dan batu panas ke dalam mulutnya.

Kebolehan memakan api tidak terhad kepada lelaki tetapi juga wanita. Seorang nenek, Qian Chu yang berusia 70 tahun turut memiliki kebolehan itu.

Chu yang tinggal di Wilayah Hunan, China mampu menggigit bara api tanpa mengalami kecederaan.

Namun, Chu tidak melakukannya secara komersial sebaliknya mengadakan pertunjukan secara kecil-kecil di kampungnya.

Katanya. dia mempelajarinya selepas insiden termakan cebisan kayu arang semasa berumur enam tahun. Kemudian, nenek itu membuat latihan secara berterusan sehingga mahir.

Rakyat Malaysia pula berbangga dengan Muhammad Syawal Muhammad Ali Napiah, 21, yang boleh mempamerkan aksi sedemikian.

Kemahiran

Muhammad Syawal mengakui aksi sebegitu sukar dibuat.

"Aksi ini mencabar minda dan kebolehan anda tetapi ia boleh menjana pendapatan yang lumayan," katanya dalam satu temu ramah beberapa tahun lalu.

Dia yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur mempunyai 11 orang adik-beradik. Kerjayanya itu bermula sejak umur 15 tahun.

"Saya mempelajarinya melalui laman perkongsian video YouTube dan membuat latihan di rumah. Syukur kerana saya boleh memperoleh sehingga RM2,300 sebulan dengan kerjaya ini," katanya.

Realitinya, aksi ini juga boleh dilakukan oleh badut.

D. Ravindran, 30, yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur telah lebih 10 tahun menjadi seorang badut tetapi baru kini menggunakan kemahiran itu dalam persembahannya.

Dia dan adik kembarnya Rajendra telah tiga tahun bergelumang dengan 'silap mata' itu.

"Biasanya pertunjukan itu dijadikan sebagai acara pembuka majlis. Kadang-kadang pelanggan inginkan sesuatu yang baharu dan berbeza.

"Tetapi ada banyak perkara yang perlu diambil kira seperti pertunjukan itu harus dibuat di luar bangunan kerana ia boleh mengganggu sistem keselamatan kebakaran bangunan," katanya.

Selain itu, faktor angin, jarak dengan penonton dan keadaan cuaca akan diambil kira.

"Lebih baik dilakukan di kawasan terbuka dan lapang untuk keselesaan penonton dan saya sendiri.

"Soal pergerakan angin juga dititikberatkan. Lebih baik saya meniup dan memasukkan api ke dalam mulut secara bertentangan dengan arah angin bagi mengelakkan minyak kerosin atau minyak tanah terpercik ke muka dan badan," katanya.


ADA yang terbakar muka kerana melakukan aksi ini.


Tutur Ravindran, aspek lain yang diteliti ialah kuantiti minyak tanah yang diminum.

"Ada tahap tertentu minyak boleh disimpan di dalam mulut selain perlu menyimpan air bagi mengelakkan terlalu panas.

"Bahagian lidah juga akan disapu dengan krim khas bagi menghindari kesan terbakar," katanya.

Lain pula ceritanya jika membuat persembahan api di pergelangan tangan. Tangan akan disapu dengan krim selaran matahari terlebih dahulu.

Kata Ravindran, ini bagi meminimumkan kesan terbakar pada bulu roma dan kulit.

Jelasnya, faktor helah dan silap mata juga memainkan peranan.

"Kadang-kadang api itu tidak dimasukkan ke mulut serta tidak mengenai tangan. tetapi penonton melihatnya seolah-olah benar.

"Namun untuk melakukannya, ia perlukan latihan yang maksimum selain bantuan warna pakaian dan rentak muzik.

"Warna pakaian memberi bantuan dari sudut pencahayaan manakala rentak muzik boleh mengalihkan sudut pandang mereka," ujarnya.

Katanya lagi, persembahan menggunakan api lebih baik dilakukan secara berpasangan. Ia bukan sahaja untuk memberi keyakinan kepada diri sendiri malah dapat membantu sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Muka terbakar

Lelaki berperwatakan serius ini berkata, faktor kurang latihan menyebabkan ada segelintir rakannya yang tersilap teknik sehingga sebahagian muka mereka terbakar.

Katanya, dia sendiri belajar daripada seorang guru dari Indonesia selama lima tahun sebelum mencubanya dalam persembahan.

Ravindran memberitahu, sebelum membuat pertunjukan kepada khalayak, dia melakukan ribuan kali eksperimen di rumah sehingga lidahnya lali dengan api.

"Sampai makan makanan yang baru dimasak seperti sup pun tiada masalah kerana sudah biasa. Mulut dan tangan cedera ringan itu lumrah.

"Lihatlah kesan luka di pergelangan tangan dan mulut saya ini," katanya.

Bukan itu sahaja, dia juga mengakui telah terminum minyak tanah sehingga beberapa liter.

"Orang lain minum minuman seperti jus oren dan milo tetapi saya minum minyak tanah.

"Ini memaksakan saya menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan bagi memastikan bahagian dalaman tubuh tidak terjejas," ujarnya.

Katanya, mereka yang ingin mahir bermain dengan api perlu menjalani latihan berterusan.

"Tiada istilah sudah mahir. Latihan berterusan menjadi pemacu utama.

"Saya sendiri masih tidak dapat bermain api menggunakan kedua-dua tangan," ujarnya.

Jelasnya, teknik itu sukar.

"Tersilap teknik kayu api boleh terlepas daripada genggaman dan mengenai penonton," terang Ravindran.

Bercerita mengenai material, kayu, kapas dan kain untuk menyalakan api mesti berkualiti dan sesuai.

"Kayu yang digunakan ialah kayu jati yang tebal dan tahan lama selain kapas dan kain tebal. Jika tidak, kita akan terbakar sebelum persembahan bermula," katanya ketawa.

Sambil menunjukkan beberapa aksi kepada kru Jurnal, dia meminta kami membuat aksi yang serupa.

Bagaimanapun, memandangkan di meja kami juga terdapat piza dan minuman berkarbohidrat, adalah lebih baik menikmati makanan tersebut daripada memakan api!

Silap mata serigala jadian

Posted:

Silap mata serigala jadian

Silap mata serigala jadian

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


ACEVES menganggap sindrom hipertrikrosis yang dihidapnya sebagai satu rahmat.


SEBAIK sahaja nama Chuy Aceves diumumkan untuk muncul, lampu pentas utama sarkas dimatikan. Cahaya lampu limpah menyorot tubuhnya yang berbaju kemeja putih dan bertali leher merah sambil berjalan mengambil tempatnya di tengah pentas.

Tepukan gemuruh yang diterima meluapkan lagi semangatnya untuk menghiburkan ribuan penonton yang ternanti-nantikan persembahan sulungnya di Britain.

"Tak sangka kelainan yang ada pada saya ini boleh diterima masyarakat. Lebih mengharukan, layanan yang saya terima cukup positif walaupun saya akui, ada segelintir yang menghina kami," ujar pemilik nama sebenar Jesus Fajardo Aceves ini.

Lahir dengan sindrom hipertrikrosis atau sindrom serigala jadian 31 tahun lalu, Chuy bukanlah satu-satunya manusia yang berbulu lebat di muka.

Sindrom

"Mendiang bapa saudara saya, Manuel Diaz Aceves, ialah orang pertama dalam keluarga kami yang lahir dengan sindrom ini. Dialah yang banyak memberi semangat dan memperkenalkan kami kepada dunia luar," ujar Chuy yang lahir di Loreto, Zacatecas, Mexico.

Sementara itu, dalam kalangan adik-beradiknya, Chuy adalah insan kedua, diikuti oleh oleh adik perempuannya Lili, serta dua sepupu mereka, Danny dan Larry.

"Genetik sindrom ini diwarisi daripada bapa saudara saya. Ibu dan bapa saya adalah manusia normal," katanya yang lebih dikenali ramai sebagai Budak Serigala atau Budak Monyet.

Menurut Chuy yang mempunyai lebih 60,000 helai bulu di mukanya, selepas kelahirannya, semakin ramai ahli keluarganya yang terutamanya lelaki menghidap sindrom tersebut.

"Hari ini, seramai 24 ahli keluarga saya menghidap sindrom serigala jadian, termasuk anak perempuan saya, Carla, 10. Namun keadaan mereka ada yang teruk ada yang tidak.

"Hipertrikosis bukanlah satu penyakit. Apabila ditanya kepada doktor, mereka menjelaskan ia keadaan kelainan genetik di mana bulu-bulu halus tumbuh berlebihan pada tubuh tanpa diketahui puncanya. Namun, ada juga yang percaya, keadaan ini diwarisi sejak turun-temurun kononnya manusia dikatakan lahir dengan bulu pada seluruh tubuh seperti mawas," katanya.

Menurut Pakar Kesihatan Keluarga, Dr. Philip Zaret dari Chicago, Amerika Syarikat (AS), hipertrikosis berlaku sekali dalam 10 juta kelahiran.

"Seluruh tubuh penghidap sindrom ini akan ditumbuhi bulu, terutamanya pada muka, dada dan belakang badan.


ACEVES menggunting bulu di mukanya sama seperti menggunting rambut.


Mutasi

"Akibat mutasi genetik dan sel ini, bulu dalam jumlah yang luar biasa akan tumbuh di kawasan yang jarang ditumbuhi bulu seperti kelopak mata dan dahi.

"Dikenali juga sebagai sindrom serigala jadian, ia boleh hadir semasa bayi dilahirkan atau mula menampakkan simptom semasa kanak-kanak tersebut membesar," katanya.

Cerita Chuy lagi, sebelum dia dilahirkan, ibunya dapat merasakan salah seorang daripada anaknya akan lahir dengan sindrom tersebut.

"Daripada lima beradik, hanya saya dan Lili lahir dengan hipertrikosis. Adik-adik perempuan saya yang lain mempunyai bulu-bulu halus kebanyakannya di dahi dan torso. Namun keadaan mereka tidak seteruk kami.

"Walaupun lahir dalam keadaan begini, ibu amat menyayangi dan menyokong kami. Ada juga saudara-mara yang menasihatkan ibu supaya berhenti mengandung namun ibu menganggap hipertrikosis sebagai satu rahmat buat anak-anaknya," ujar Chuy.

Ditanya tentang pembabitannya dalam bidang persembahan pentas, dia memberitahu, bapa saudaranya Manuel mencadangkan mereka menyertai pertunjukan sarkas.

"Ketika itu umur saya baru 12 tahun, Lili enam tahun manakala kedua-dua sepupu berumur lima dan tujuh tahun.

"Roberto Kampa dari Sarkas Kebangsaan Mexico berminat untuk melatih dan menawarkan slot persembahan sarkas kepada kami. Namun, disebabkan bantahan daripada keluarga, hanya Larry dan Danny yang menyertai sarkas manakala Manuel, saya dan Lili merantau untuk menonjolkan keadaan diri sebagai satu keajaiban perubatan," ceritanya.

Mengimbas kembali kenangan ketika membuat persembahan pertama, Chuy menganggap ia adalah momen yang cukup menguja dan menggembirakannya.

"Pada tahun 1999, Manuel, saya, Lili serta seorang sepupu, Veekay menjelajah ke seluruh AS untuk membuat persembahan bersama Sarkas Adik-Beradik Sterling & Reid.

"Berpeluang mengelilingi AS dan berjumpa dengan rakan baharu adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan.

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Saya terkejut apabila berjumpa dengan ramai wanita yang sukakan lelaki berbulu seperti saya. Malah ada yang mengajak saya berkahwin," katanya.

Bertemu dengan orang yang kagum dengan kebolehannya membuat persembahan sarkas ternyata mampu membangkitkan semangatnya untuk tampil lebih yakin di khalayak umum.


DI SEBALIK wajah berbulu, ramai wanita menawarkan diri untuk berkahwin dengan lelaki ini.


Syaitan

Begitupun, Chuy dan ahli keluarganya tidak dapat lari daripada pandangan serong sebilangan orang terutamanya yang takut dengan rupa mereka.

"Saya sudah biasa berdepan dengan reaksi negatif sesetengah orang yang melihat kami tidak ubah seperti melihat syaitan dalam rupa manusia.

"Keadaan muka yang dipenuhi bulu lebat ini juga menyukarkan kami mendapat kerja biasa.

"Selain itu, kami juga sering menjadi tumpuan orang ramai ketika berada di kawasan awam.

"Tidak kisah sekiranya ada yang memandang kami dengan pandangan pelik, tetapi hati saya cukup terguris apabila ada yang menghina dan melemparkan kata-kata kesat kepada kami apatah lagi jika saya sedang keluar berjalan dengan Carla atau sepupu-sepupu yang masih muda.

"Tindakan begitu cukup menyakitkan hati saya kerana ia boleh mengurangkan keyakinan mereka untuk berada dalam masyarakat," luah Chuy yang pernah melakukan persembahan sarkas menjelajahi New Zealand, Australia, Nauru, Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan negara-negara Amerika Selatan.

Selain melakukan persembahan sarkas bersama ahli keluarganya, Chuy juga pernah dijemput menyertai program bersama Ripley's Believe or Not selama enam bulan di Taiwan sehinggakan hatinya terpaut untuk menetap lebih lama di negara tersebut.

Chuy juga muncul dalam rancangan The Most Extreme yang disiarkan di saluran Animal Planet selain satu temu bual eksklusif, Tiger Aspect, untuk siaran di Britain.

"Apa yang saya cukup suka dengan program tersebut, saya diberi penghormatan dan layanan sama seperti manusia normal yang lain. Mereka tidak membezakan saya dan tidak terlalu menganggap saya sebagai satu kejadian pelik.

"Saya turut berpeluang melakukan banyak perkara menarik terutamanya bermain boling," katanya yang pernah muncul dalam video muzik kumpulan Turbonegro dari Norway.

Ikut jejak tujuh tahun

Posted:

Ikut jejak tujuh tahun

Ikut jejak tujuh tahun


PAUL SALOPEK


SUKAR untuk membayangkan jarak dan rintangan yang terpaksa diharungi seorang wartawan Amerika Syarikat, Paul Salopek yang sedang berjalan kaki dari Ethiopia di Afrika Utara hingga ke Chile di Amerika Selatan bagi projek Out of Eden.

Dia yang pernah memenangi Anugerah Pulitzer sebanyak dua kali pada tahun 1998 dan 2001 akan mewujudkan potret keluarga manusia dengan mendokumenkan perjalanan sejauh 34,000 kilometer (km) di lebih empat benua, dari Lembah Great Rift di Ethiopia hingga ke Amerika Selatan bagi mengikuti jejak manusia pada zaman awal yang meninggalkan Afrika kira-kira 70,000 tahun yang lalu.

Afrika merupakan penempatan asal manusia sebelum mereka tersebar ke serata benua seperti hari ini.

Titik mula perjalanan Paul ialah di Herto Bouri yang terletak di timur laut Ethiopia yang pernah dihuni oleh manusia Zaman Batu Pertengahan.


PAUL Salopek berdiri di sisi barangan keperluan yang akan dibawanya di sebuah perkampungan diHerto Bouri, Etiopia.


30 juta langkah

Perjalanan yang memerlukan kira-kira 30 juta langkah itu akan menyeberangi Laut Merah dan Asia Barat. Kemudian, Paul akan melalui China dan Siberia selain merentasi Selat Bering menuju ke Alaska.

Dia juga bakal berjalan di pantai barat Amerika Utara dan Amerika Selatan termasuk menempuh beberapa kawasan politik yang paling berbahaya di dunia iaitu Iran dan Amerika Tengah.

Setiap 160km, kisah pengembaraan itu akan disiarkan dalam laman web projek tersebut. Paul turut menulis untuk National Geographic bagi merakamkan persekitaran dan masyarakat berbeza yang ditemuinya.


SEBELUM memulakan perjalanannya, Paul Salopek sempat melawat Djibouti semasa negara itu dilanda ribut debu.


Beliau yang juga berkarya untuk akhbar Chicago Tribune, membandingkan dirinya dengan penyair atau pemuzik yang menjadi tukang cerita pada zaman itu.

"Ia adalah cara lama untuk bercerita, sama seperti penyair yang mengembara. Saya tertanya-tanya bagaimana semua ini menjadi kenyataan. Ia juga ibarat cerita yang sering kita dapati dalam semua budaya, iaitu anda perlu pergi jauh dari tempat asal untuk mempelajari budaya orang lain.

"Saya percaya cabaran mental adalah lebih sukar berbanding halangan fizikal memandangkan tempoh untuk melengkapkan perjalanan ini begitu lama," ujarnya yang akan ditemani isterinya, seorang artis visual, Linda Lynch, di beberapa lokasi.

Walaupun pengembaraan itu dijangka mengambil masa selama tujuh tahun, Paul tidak berjalan setiap hari.

"Saya tidak berjalan setiap hari sebaliknya saya menetap di sesebuah lokasi selama beberapa minggu atau bulan. Saya juga diiringi oleh penterjemah semasa merentasi 36 buah negara.

"Bagi peralatan pula, saya hanya boleh membawa tidak lebih daripada 20kg beban. Pada awal perjalanan, seekor unta dibekalkan kepada saya untuk membawa barangan tersebut.

"Barangan yang dibawa adalah keperluan asas selain peralatan komunikasi supaya saya boleh menghantar cerita dan gambar kepada pengendali projek ini," jelasnya yang mengakui idea berjalan kaki jarak jauh itu menyeronokkan walaupun beliau terdedah kepada pencuri dan perompak.


PEMENANG Anugerah Pulitzer sebanyak dua kali, Paul Salopek, akan berjalan kaki sejauh 34,000 kilometer.


Projek

"Saya amat berharap projek ini membolehkan saya menjalin hubungan dengan dunia menerusi liputan meluas yang diberikan.

"Perkara ini jarang dipaparkan dalam akhbar," ujar Paul.

Seorang pensyarah genetik di Universiti Cambridge, United Kingdom, Dr. Toomas Kivisild memberitahu, pada 45,000 tahun dahulu, manusia telah tiba di Eropah dengan berjalan kaki. Mereka juga pergi ke Australia dengan menaiki bot.

"Mereka mungkin meninggalkan Afrika beberapa kali berdasarkan bukti pada 60,000 tahun dahulu," tambahnya.

Projek Out of Eden yang mendapat sokongan Yayasan Knight, Yayasan Harvard Neiman untuk Kewartawanan dan Pusat Pulitzer untuk Laporan Krisis, adalah yang terbaharu dalam senarai laporan paling berani oleh Paul tetapi tidak dapat dicatatkan oleh Guinness World Records kerana kesukaran untuk mengukur jarak perjalanan manusia pada zaman sebelumnya.

Paul juga pernah meneroka Mexico sejauh 1,300 kilometer dengan menggunakan keldai dan berkayak melalui Republik Demokratik Congo serta ke Sudan, negara dia pernah ditangkap kerana didakwa menjadi perisik.

Selain Paul, Rory Stewart yang kini merupakan Ahli Parlimen Britain pernah berjalan kaki selama 21 bulan merentasi Iran, Pakistan, Nepal dan Afganistan pada tahun 2005. Kisah Rory kemudian dibukukan dalam The Places In Between. - NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved