Selasa, 15 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kyogen bukan sekadar teater

Posted:

Kyogen bukan sekadar teater

Kyogen bukan sekadar teater

BERSANDAR pada kekuatan tiga pelakon dan seorang pembantu pentas, persembahan teater klasik Jepun, Kyogen bertajuk, Busu berlangsung penuh sederhana di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Kesemua pelakon hanya memakai persalinan tradisional khas ketika beraksi. Tanpa bergantung pada set pentas yang gah seperti yang diperlukan bagi sesebuah penghasilan teater, mereka sebaliknya hanya menggunakan kipas tangan dan sebuah bekas kayu hitam dengan sedikit corak rona emas sebagai prop.

Ironinya, teater itu juga dipersembahkan dalam bahasa Jepun seratus peratus dan tiada terjemahan yang dapat membantu penonton memahami butir bicara setiap pelakon.

Namun, lontaran suara dan mimik muka ternyata menjadi kunci kekuatan pada persembahan tersebut sekali gus berjaya mengundang tepukan gemuruh daripada penonton sebaik ia berakhir.

"Saya amat teruja menyaksikan persembahan teater Kyogen ini. Walaupun tidak memahami dengan jelas apa yang diperkatakan, tetapi melihat reaksi dan wajah mereka sudah cukup membuatkan saya dan semua penonton ketawa," ujar Catherine Walter, seorang pelancong dari Australia.

Hakikatnya, penonton bukan sekadar berpeluang menyaksikan persembahan, malah turut didedahkan dengan syarahan dan demonstrasi berkaitan seni teater tradisional Jepun.

Program yang dinamakan Laughter of 600 Years: Mansai Nomura Kyogen Lecture & Demonstration itu dibawakan khas oleh Yayasan Jepun Kuala Lumpur (JFKL) dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 Dasar Pandang ke Timur.

Kyogen merupakan salah satu daripada empat wakil seni teater klasik Jepun di samping Noh, Bunraku dan Kabuki. Ia merupakan satu bentuk komedi popular era pertengahan yang muncul di kawasan Kyoto dan sezaman dengan Noh pada awal abad ke-14.

Sifat positif

Jika teater Noh memberi tumpuan pada ingatan, meditasi, dosa dan penyelamat, Kyogen pula menegaskan sifat positif manusia menggunakan keindahan jenaka atau humor.

Pada tahun 2001, Noh dan Kyogen telah diiktiraf sebagai Warisan Kemanusiaan Lisan dan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diikuti dengan Bunraku pada tahun 2003 dan Kabuki pada 2005.

Diketuai oleh Mansai Nomura selaku penggiat teater Kyogen terkenal, syarahan dan demonstrasi tersebut turut dijayakan oleh sekumpulan pelajar jurusan seni dari beberapa institusi pendidikan di Malaysia.


LONTARAN suara dan mimik muka ternyata menjadi kunci kekuatan pada persembahan teater Busu.


Nomura, 46, merupakan salah seorang daripada 100 aktor Kyogen berdaftar di dunia. Dilahirkan sebagai generasi kelapan dalam keluarga pelakon Kyogen terkemuka, Nomura telah membuat penampilan sulung beraksi di pentas pada usia tiga tahun.

Datuknya, Manzo VI dan ayahnya, Mansaku telah diiktiraf sebagai Khazanah Hidup Nasional lantaran sumbangan besar yang diberikan dalam menjulang seni teater Kyogen di negara Matahari Terbit itu.

Menurut Mansai, memandangkan ini kali pertama membuat persembahan di Malaysia, beliau gembira kerana Busu mendapat perhatian penonton walaupun ia dilakukan sepenuhnya dalam bahasa Jepun.

"Penonton begitu terhibur terutama bila babak kami mengipas udara untuk menjauhkan bau Busu yang dikatakan berbahaya dan ketika babak Taro Kaja serta Jiro Kaja sedang memakan Busu iaitu sejenis makanan manis.

"Melalui kisah ini, kami ingin menunjukkan bahawa samurai sebenarnya mempunyai sisi jenaka mereka. Ia berbeza seperti apa yang sering dilihat di filem iaitu bersifat tegas dan garang dengan pedang terselit di pinggang," jelasnya mengenai persembahan Busu yang diharap menjadi permulaan untuk hubungan kebudayaan yang lebih erat antara Jepun dan Malaysia.

Bakat pelakon

Meskipun sudah menceburi bidang ini selama 43 tahun, namun masih banyak yang perlu dipelajari kerana ruang lingkup teater Kyogen terlalu luas.

"Secara umum, terdapat 254 karya atau penceritaan Kyogen yang boleh dipersembahkan kepada penonton. Setiap cerita mempunyai keistimewaan tersendiri manakala setiap pelakon pula memiliki bakat dan kemahiran tertentu dalam memainkan peranan atau watak dalam sesuatu penceritaan," ungkapnya sambil memberitahu pemakaian stokin amat penting dalam persembahan Kyogen untuk mengawal pergerakan setiap pelakon.

Di dalam Kyogen, kaedah pembelajaran kata memberi penekanan kepada pergerakan badan terlebih dulu. Ia disusuli dengan aspek spiritual dan diakhiri dengan elemen emosi.

Sehubungan itu, Mansai menjelaskan, motivasi untuk pergerakan adalah sama penting dalam Kyogen. Contohnya seperti tindak balas otot terhadap kemarahan.

"Ekspresi dan nada suara boleh menerangkan tentang keadaan marah, tetapi terdapat juga reaksi fizikal kepada kebangkitan kemarahan termasuk tekanan darah, mengetatkan otot dan peningkatan kadar nadi," terang Mansai sambil menunjukkan cara-cara melakukan teknik berkaitan.

Sementara itu, Kazunari Takano yang membawakan watak Master dalam teater Busu memberitahu, di dalam Kyogen terdapat variasi ketawa yang perlu dipelajari.

Justeru, seseorang itu perlu menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menjadi pelakon Kyogen yang mahir dan profesional.


SESEORANG perlu menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menjadi pelakon Kyogen yang mahir dan profesional.


"Saya sendiri sudah lebih dua dekad menceburi seni teater ini, namun hanya baru beberapa tahun yang lalu saya berpeluang menjadi antara pelakon utama di pentas Kyogen. Apa yang penting, minat dan kesungguhan untuk mendalami setiap kemahiran yang ada," kata Kazunari yang gembira melihat semangat pelajar untuk mempelajari teknik dalam teater ini.

Perkara ini diakui oleh sahabatnya, Hiroharu Fukata dan Shuichi Nakamura yang pertama kali membuat persembahan di Malaysia.

"Teater Kyogen sebenarnya penuh dengan emosi. Ia menuntut satu komitmen yang tinggi daripada setiap pelakon. Apa pun, saya seronok bersama kalian di sini. Walaupun ia satu lawatan yang amat singkat, tetapi kenangan berada di negara ini tidak akan kami lupakan," jelas Hiroharu.

Bagi Suichi pula, dia teruja melihat para pelajar yang duduk mengikuti sesi syarahan dan demonstrasi oleh Mansai secara melutut seperti cara orang Jepun.

"Ia seolah-olah menunjukkan mereka menghormati budaya kami dan mengalu-alukan kedatangan kami ke negara ini," tutur Shuichi yang masih dalam peringkat awal menimba ilmu dalam teater Kyogen dengan menjadi pembantu pentas.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved