Rabu, 30 Januari 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Menjadi tetamu alam akuatik

Posted:

Menjadi tetamu alam akuatik

Menjadi tetamu alam akuatik

Oleh FAHAMI AHMAD

PERSEMBAHAN pembukaan oleh sekumpulan ikan-ikan kecil berwarna-warni yang berenang mesra di sekeliling panel kaca dalam sebuah laluan terowong seolah-olah mengucapkan selamat datang kepada pengunjung.

Gelagat ikan-ikan tersebut yang begitu jinak apabila tangan dilekapkan ke cermin panel membuatkan Yan Chung Haykay, 36, dari Hong Kong hampir terlupa bahawa dia baru sahaja memulakan pengembaraan di akuarium lautan terbesar di dunia, S.E.A Aquarium.

"Saya amat teruja sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam akuarium ini, walaupun pada mulanya terasa sedikit gusar kerana suasana pencahayaan yang sedikit samar.

"Perasaan ingin tahu terus membawa kaki saya melangkah masuk ke dalam akuarium ini untuk melihat lebih banyak lagi koleksi marin yang ada di sini," katanya.

S.E.A Aquarium merupakan tarikan terbaharu di Resorts World Sentosa (RWS), Singapura selepas taman tema Universal Studio Singapura (USS).

Tarikan berkenaan merupakan salah satu segmen yang terdapat pada Marine Life Park yang mula dibuka kepada umum sejak November tahun lepas.

Sebanyak lebih 45 juta liter kapasiti air digunakan bagi mencipta habitat tiruan bagi lebih 100,000 hidupan marin daripada 800 spesies berbeza.

Di situ, pengunjung akan melalui sebanyak 10 zon berbeza mengikut pembahagian lautan terkenal dunia.

Antara zon berkenaan ialah Laut Jawa, Laut Andaman, Teluk Bengal, Laut China Selatan dan Laut Terbuka.

Chung Haykay berkata, kehidupan marin yang dipamerkan juga diasingkan mengikut kategori tersendiri seperti ikan batu karang, obor-obor, belut dan paya bakau bagi memudahkan pengunjung mempelajarinya.

Terdapat juga beberapa hidupan hampir pupus dan sukar dijumpai seperti ketam labah-labah gergasi menanti pengunjung yang hadir.

Ujarnya, terdapat banyak batu karang tinggi berwarna-warni menjadi taman permainan yang indah kepada ikan dipamerkan.

Bukan sekadar melihat ikan-ikan, pengunjung juga berpeluang mempelajari dengan lebih lanjut latar belakang asas kehidupan marin yang ada melalui panel sesentuh khas yang disediakan.


DUA kanak-kanak seronok dapat berinteraksi dengan petugas yang menyelam untuk membersihkan akuarium.


Menurut Kurator Kanan Marine Life Park, Grant Willis, S.E.A Aquarium juga merupakan pusat pembelajaran, konservasi dan kajian hidupan marin yang mudah difahami oleh pengunjung.

"Kami memberikan peluang kepada pengunjung terutamanya peserta lawatan sekolah untuk berinteraksi secara langsung dengan hidupan marin," katanya.

Jelasnya, tarikan utama di akuarium berkenaan ialah habitat Laut Terbuka yang pasti membuatkan pengunjung merasai seperti berjalan-jalan di dasar lautan yang dikelilingi oleh ikan pelbagai saiz.

Ujar Willis, pengunjung berpeluang melihat ikan berenang menerusi panel pemerhati terbesar di dunia yang berukuran 36 meter panjang dan 8.3 meter tinggi dengan ketebalan 70 sentimeter.

"Pengunjung pasti akan terpegun melihat beberapa ikan pari majestic manta yang seolah-olah terbang di sekeliling panel ini," ujarnya.

Pengunjung yang bertuah turut dapat melihat beberapa petugas menyelam skuba sambil memberikan ikan-ikan besar makan pada masa yang ditetapkan.

"Bagi ikan-ikan bersaiz kecil, kebiasaannya makanan akan diselerakkan, manakala ikan-ikan besar pula akan disuap oleh petugas bagi memastikan setiap satunya mendapat makanan yang mencukupi," jelasnya.

Ujarnya, beberapa petugas juga sentiasa berada di hadapan panel untuk menjadi rujukan kepada pengunjung yang ingin mendapatkan informasi.

Acara khas

Di hadapan panel kaca itu juga, pihak yang berminat untuk menganjurkan jamuan makan atau majlis khas boleh menghubungi pihak S.E.A Aquarium. Terdapat tiga aras yang boleh memuatkan kira-kira 300 orang disediakan untuk tempahan eksklusif.


PENGUNJUNG boleh merehatkan diri sambil menyusuri sungai buatan menggunakan pelampungkhas.


Sementara itu, pengembaraan pengunjung di pusat tersebut pasti disudahi dengan kepuasan apabila melalui zon terakhir iaitu Laut Jerung.

Lebih 200 ekor jerung daripada 12 spesies berenang di atas terowong panel yang menghubungkan pintu keluar akuarium tersebut.

Sebaik sahaja melangkah keluar daripada akuarium berkenaan, pengunjung berpeluang membeli cenderamata pada harga yang bepatutan. Banyak pilihan barangan boleh dibawa pulang sebagai tanda kenangan berjaya menjejakkan kaki ke pusat pembelajaran terbaik itu.

Sementara itu, bagi pengunjung yang menggemari aktiviti air yang mencabar, boleh menguji debaran adrenalin di Adventure Cove Waterpark.

Adventure Cove Waterpark merupakan tarikan kedua di Marine Life Park yang menawarkan keseronokan bermain air dengan pelbagai pilihan gelongsor yang disediakan.

Pengunjung dari Indonesia, Muhhamad Husin, 25, berkata, kesemua tarikan yang ada di taman tema itu sangat mengujakan untuk sesi riadah bersama keluarga.

"Permainannya amat sesuai untuk semua golongan pengunjung yang masuk," katanya.

Sungai buatan

Terdapat 14 kawasan permainan yang berlainan tema disediakan seperti kolam ombak Bluwater Bay, Adventure River, Spiral Washout, Big Bucket Treehouse dan Riptide Rocket yang merupakan gelongsor hidro magnetik pertama di Asia Tenggara.

Pengunjung juga berpeluang merehatkan badan sambil menyusuri sungai buatan sepanjang 620 meter dengan menggunakan pelampung khas.

Aspek keselamatan amat dipentingkan kerana pengunjung perlu mengikut semua peraturan yang ditetapkan sebelum bermain gelongsor yang disediakan. Terdapat ramai petugas yang bersedia menghulur bantuan di setiap kolam.

Selain itu, terdapat juga beberapa kerusi rehat berpayung dan pondok-pondok disediakan bagi mewujudkan suasana seperti berada di percutian mewah.

Bagi yang ingin memanjakan diri, terdapat juga perkhidmatan spa ditawarkan di Adventure Cove Waterpark, malah mereka juga boleh ke kolam jakuzi serta kolam air panas yang disediakan.


PERMANDANGAN indah resorts bersepadu yang boleh dilihat di Marine Life Park.


Ujar Muhhamad, pengunjung yang masuk ke taman tema berkenaan jangan lupa ke Rainbow Reef yang merupakan antara tarikan utama di Adventure Cove Waterpark.

"Paling mengujakan ialah pengalaman melakukan aktiviti snorkeling dalam zon yang dihuni 20,000 ekor ikan jinak. Terumbu karang yang cantik juga menanti di Rainbow Reef," katanya.

Semua pengunjung akan diberikan taklimat khas oleh penyelam profesional sebelum memulakan aktiviti snor keling.

Harga tiket masuk yang dikenakan kepada pengunjung ialah S$29 (RM73) untuk dewasa dan S$20 (RM50) untuk kanak-kanak bagi Adventure Cove Park atau S.E.A. Aquarium.

Marine Life Park dibuka kepada umum setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

Sisi berbeza di negara dua benua

Posted:

Sisi berbeza di negara dua benua

Sisi berbeza di negara dua benua


PENULIS (dua dari kiri) bergambar bersama para rombongan ketika menyertai lawatan ke Istanbul baru-baru ini.


MUNGKIN ramai di antara kita yang pernah membaca dan mengetahui tentang Turki, terutamanya kisah Istanbul, malah tidak kurang juga, yang pernah menjejakkan kaki ke sana.

Lazimnya, apabila bercerita mengenai Turki, ia sering dikaitkan dengan keindahan Masjid Biru, Muzium Aya Sofya, Grand Bazar dan Taksim. Tidak ketinggalan, kisah bandar pentadbirannya, Ankara yang terletak di tengah-tengah Turki.

Bagaimanapun, kunjungan saya ke Turki bersama teman-teman media lain atas tajaan syarikat Jamu Mak Dara di bawah pakej Plus & Plus Travel & Tours baru-baru ini memberi gambaran berbeza mengenai Turki.

Umumnya, negara Islam sekular itu indah dengan rakyatnya yang hidup dalam pertembungan budaya dan benua Asia serta Eropah sekali gus menjadikan ia unik.

Saya mencadangkan anda menetap lebih lama di Istanbul bagi meneroka sisi kota yang didiami lebih 13.4 juta penduduk itu dengan lebih dekat.

Jika mempunyai masa, anda bolehlah melawat bandar-bandar lain seperti Bursa, Kusadasi, Begama dan Cannakale yang memakan masa tiga hingga 15 jam perjalanan dengan menaiki bas.

Berbeza dengan Istanbul yang terkenal dengan sejarah kegemilangan empayar Uthmaniyyah, kunjungan ke bandar-bandar berkenaan membolehkan anda melihat kota-kota lama peninggalan empayar Acropolis, Troy, Asclepion dan Ephesus.

Ya, ia sesuatu yang agak menarik untuk diteroka sekiranya anda seorang yang suka mengembara dan meminati sejarah.

Namun, jika sebaliknya, nasihat saya, berbincanglah dengan ejen pelancongan agar mengatur lawatan ke destinasi-destinasi lain di Turki.

Tip membeli-belah

Jika anda seorang peminat produk kulit, Turki adalah tempatnya. Terdapat banyak butik khas di negara itu yang menjual pelbagai produk kulit bermutu tinggi.

Harganya agak berpatutan bergantung kepada jenamanya. Misalnya, sehelai jaket kulit berkualiti tinggi dijual sekitar harga RM3,000 dan sekiranya ia berjenama, harganya melonjak sehingga lima kali ganda.

Bagaimanapun, jangan terburu-buru membelinya. Lazimnya, selepas lawatan ke butik-butik berkenaan, ejen pelancongan akan membawa pelancong ke Grand Bazar, pasar tertua dan terbesar di Istanbul.

Terdapat lebih 4,000 kedai yang menjual aneka barangan bermula dari pakaian, makanan, kraf tangan dan sebagainya. Ia menawarkan produk yang sama pada harga yang jauh lebih rendah.


KOTA Istanbul sentiasa menggamit para pelancong dari seluruh dunia.


Sepanjang berada di Grand Bazar, sesiapa sahaja pasti rambang mata. Bagaimanapun, dinasihatkan anda perlu pandai memilih dan sentiasa tawar-menawar semasa membeli.

Selain peniaga di dalam bazar, terdapat juga peniaga haram di bahagian luar yang menjual dengan harga yang jauh lebih murah. Sehelai kemeja T yang tertera tulisan 'I Love Istanbul' dijual pada harga RM15 di dalam bazar, namun hanya RM7 di luar bazar. Semua itu bergantung pada cita rasa masing-masing.

Bagaimanapun, terdapat beberapa barangan yang hanya boleh dibeli di dalam bazar ini seperti lampu gantung Turki. Ia merupakan cenderamata yang wajib dibeli.

Harganya tidaklah terlalu mahal, sekitar RM100 sebuah, namun ia berbaloi dengan reka bentuknya yang cantik dan berseni.

Sekiranya berhajat untuk membeli manisan Turki, bolehlah berkunjung ke Pasar Rempah di kawasan Sultanehmet.

Sebut apa sahaja jenis rempah yang diingini, semuanya tersedia. Pasar itu juga popular dengan aneka kacang seperti walnut, pistasio, badam dan banyak lagi yang sukar ditemui di Malaysia.

Sekiranya mahu berjimat, kunjungi bahagian luar Pasar Rempah menuju ke kawasan dataran berhadapan Masjid Yeni di Eminonu. Terdapat ramai peniaga yang menjual aneka barangan seperti buah tin, pistasio dan kacang badam pada harga lelong.

Teh Turki

Kunjungan ke Turki tidak lengkap jika tidak menikmati teh Turki yang sangat terkenal di seluruh dunia.

Anda boleh menikmati aroma dan rasa teh sambil duduk di atas kerusi kecil di hadapan kedai. Cukup menyenangkan, lebih-lebih lagi sambil menjamu mata melihat pelbagai ragam manusia dan panorama di sekitarnya.

Harga secawan teh sekitar RM2.20. Ia dihidangkan dalam gelas kecil seperti juga teh Cina yang popular di Malaysia. Cara terbaik untuk menikmatinya ialah dengan menghirup sedikit demi sedikit.

Terdapat juga kafe-kafe jalanan yang menjualnya pada harga yang lebih tinggi sekitar RM4, namun cawannya lebih besar. Jika tidak bernasib baik, anda mungkin terpaksa membayar lebih kerana lazimnya caj yang dikenakan terhadap pelancong lebih tinggi berbanding penduduk tempatan.

Saya sendiri menjadi mangsa. Enam gelas teh O dikenakan caj sekitar RM40, jauh lebih tinggi daripada harga asalnya. Air suam, air panas atau ais kosong juga tidak terkecuali iaitu RM1 segelas. Insiden menaikkan harga itu sememangnya menduga kesabaran.

Bersolat di masjid

Sebagai sebuah negara pernah melakar kegemilangannya ketika pemerintahan empayar Islam suatu ketika dahulu, masjid bukanlah sesuatu yang asing di Turki.

Ia boleh dilihat di mana-mana sahaja dan kebanyakannya mempunyai reka bentuk yang hampir sama sehingga sukar untuk dibezakan. Di Istanbul sahaja terdapat hampir 3,000 masjid termasuk yang didirikan berdekatan antara satu sama lain.

Jika berkesempatan, ambil masa untuk bersolat di Masjid Biru atau juga dikenali sebagai Sultanahmet Cami, terletak di atas bukit di Sultanehmet.

Masjid yang dibina sekitar tahun 1609 hingga 1616, semasa pemerintahan Sultan Ahmet 1 itu sememangnya sangat indah dengan mozek Iznik kebiru-biruan yang dipasang di atas dinding dan siling masjid.


SELAIN terdapat deretan kafe, Jambatan Galata juga terkenal dalam kalangan kaki-kaki pancing.


Masjid ini direka oleh arkitek termasyhur Turki, Mehmet Aga. Ia agak unik kerana mempunyai enam menara berbanding kebanyakan masjid yang hanya mempunyai empat, dua ataupun satu menara.

Tempat wuduk untuk lelaki terletak di bahagian luar masjid dan lengkap dengan bangku yang diperbuat batu marmar. Tidak ada selipar disediakan, oleh itu para jemaah terpaksa menanggalkan kasut dan kemudian memakai semula kasut untuk ke masjid.

Pesta memancing

Jambatan Galata terletak di depan Masjid Yeni dan merentangi Selat Bosphorus mempunyai tarikan tersendiri. Selain menyediakan restoran makanan laut yang popular, ia juga menjadi tumpuan kaki-kaki pancing.

Saya dan para rombongan sempat melihat secara dekat aktiviti yang dilakukan. Ikan yang terdapat di situ dari spesies sardin, makerel dan trout.

Para pemancing terdiri daripada golongan muda dan tua yang menghabiskan masa berjam-jam untuk menaikkan ikan dengan menggunakan umpan sotong, ikan dan udang.

Walaupun Selat Bosphorus sibuk dengan laluan kapal dan feri, ia sedikitpun tidak mengganggu tumpuan para pemancing di situ.

Seterusnya, jika mahu menikmati makanan laut segar, bolehlah singgah sebentar di bawah bahagian jambatan berkenaan.

Tonton LIMA dari bumbung hotel

Posted:

Tonton LIMA dari bumbung hotel

Tonton LIMA dari bumbung hotel

Oleh NURUL IZZA ROSLY



SEBUT sahaja hotel bajet pasti kita tidak terlepas daripada membayangkan bilik bersaiz kecil dan penawaran perkhidmatan yang minimum.

Itu juga yang bermain-main di fikiran penulis ketika mendapat undangan ke Hotel Kuala Melaka Inn, Langkawi awal Januari lalu.

Namun, saat menjejakkan kaki ke hotel tersebut, definisi hotel bajet yang selama ini dipegang ternyata meleset sama sekali.

Ini kerana hotel yang dibangunkan oleh Tema Teladan Sdn. Bhd. (Tema Teladan) yang terletak di Padang Matsirat mempunyai kelainan daripada hotel-hotel bajet yang lain.

Tepat dengan konsepnya spacious, comfort dan value ia mempunyai 69 buah bilik yang menawarkan pilihan bilik daripada saiz besar hinggalah ke bilik berkembar.

Bukan itu sahaja, setiap bilik juga dilengkapi pendingin hawa dan televisyen bersaluran Astro.

"Walaupun dikategorikan sebagai hotel bajet, kami memberikan perkhidmatan lima bintang dengan menekankan aspek kemudahan kepada para pelanggan.

"Lebih menarik, Kuala Melaka Inn turut menempatkan sebuah spa yang dikenali sebagai Anise Spa selain menawarkan pelbagai pilihan makanan tradisional Melayu untuk pengunjung di Rooftop Food Stall sambil menikmati pemandangan indah," kata Pengerusi Tema Teladan, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar pada majlis perasmian hotel tersebut baru-baru ini.

Tambahnya, kewujudan hotel tersebut yang terletak lima minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mahsuri bakal membuka peluang untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan.

"Dengan menawarkan harga bilik serendah RM85 hingga RM280, pelancong bukan sahaja dapat menginap dan merasai sendiri pengalaman percutian yang menyeronokkan malah mereka tidak berdepan dengan masalah untuk melawat tempat-tempat menarik kerana terdapat hentian teksi khas beberapa meter dari hotel.

"Malah, saya berpendapat hotel ini merupakan lokasi strategik untuk menonton aksi akrobatik pesawat sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA '13) yang bakal berlangsung penghujung Mac ini," ujar beliau sambil memberitahu hotel itu sudah mendapat tempahan penuh sempena LIMA.

Selain menyediakan perkhidmatan spa dan Rooftop Food Stall, hotel enam tingkat yang mula beroperasi Julai lalu mempunyai kemudahan pasar mini Abu Hanan dan Atan Kopitiam buat para pelanggan.

Pada mulanya, operasi Kuala Melaka Inn ditumpukan kepada pasaran pelancong tempatan tetapi ia turut menarik minat pelancong dari luar negara.

Kuala Melaka Inn yang terletak 25 minit dari Pekan Kuah disifatkan sebagai salah satu hotel yang mempunyai nilai terbaik di Langkawi kerana mempunyai akses mudah kepada banyak tarikan utama seperti lokasi beras terbakar, Kompleks Makam Mahsuri dan Gunung Mat Cincang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved