Rabu, 16 Januari 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Damai di Taman Wetlands Putrajaya

Posted:

Damai di Taman Wetlands Putrajaya

Damai di Taman Wetlands Putrajaya

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

LELAKI itu leka memerhatikan air tasik yang terbentang luas di hadapannya. Warnanya agak keruh, mungkin disebabkan musim tengkujuh yang sedang melanda seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Sesekali matanya melihat dua rod pancing miliknya yang diletakkan di tebing tasik itu. Belum ada tanda-tanda menunjukkan umpan dedak pada mata kailnya sudah mengena.

"Memancing selalu macam inilah, ikut nasib. Kadang-kadang letak saja umpan ikan dah sambar, jika tidak tunggulah berjam-jam sekali pun, nak dapat seekor pun payah," kata Suffian Zulkarnain, 27.

Lelaki yang menetap di Putra Perdana dekat Puchong, Selangor itu sememangnya minat memancing. Boleh dikatakan hampir seluruh tasik dan kolam ikan di sekitar Puchong sudah ditawannya

Cuma kali ini, dia mahu mencuba nasib di Taman Wetland Putrajaya. Itu pun selepas rakan-rakan pemancingnya memberitahu, lokasi yang terletak di Presint 13, Putrajaya itu terkenal dengan pelbagai spesies ikan air tawar seperti seperti lampam, belida, toman dan jelawat.

Biarpun dikenakan caj sebanyak RM20 bagi setiap rod pancing yang dibawa, namun baginya ia tetap berbaloi.

Lebih-lebih lagi kawasan sekitarnya dilengkapi kemudahan tempat meletak kenderaan, tandas awam, surau, kafe serta wakaf bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Biarpun baru pertama kali memancing di sini, saya sangat seronok dan selesa. Sambil memancing saya dan keluarga boleh berkelah di tepi tasik sambil menikmati panorama flora dan fauna di sekitarnya," kata kakitangan Mahkamah Persekutuan Malaysia itu.

Sejarah Wetland


AKTIVITI rekreasi air antara tarikan yang ditawarkan di Taman Wetland Putrajaya.


Menyusuri sejarahnya, Taman Wetland Putrajaya dibangunkan pada Mac 1997 sebelum dibuka secara rasmi pada 2 Februari 1999 iaitu sempena Hari Wetland Sedunia.

Mempunyai keluasan 197.2 hektar, ia merupakan taman buatan manusia yang pertama di Malaysia serta antara kawasan tanah lembap yang terbesar di rantau ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi dan Pendidikan Taman Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Mohd. Tajuddin Idris berkata, umum mengetahui Putrajaya direka berkonsepkan bandar yang dikelilingi tasik-tasik buatan manusia.

Justeru katanya, ia memerlukan satu sistem penapisan air yang cekap bagi mengelakkan air tasik itu daripada tercemar sekali gus menjejaskan keindahannya.

"Di sinilah peranan utama taman ini. Umpama 'buah pinggang', ia merawat dan menapis pelbagai bahan enap cemar dan toksik yang disalirkan dari sungai-sungai berhampiran secara semula jadi sebelum memasuki Putrajaya.

"Pada masa yang sama, ia juga menjadi habitat kepada pelbagai pelbagai jenis tumbuhan dan hidupan akuatik bagi membentuk asas rantaian makanan serta mengekalkan biodiversiti tanah lembap," ujarnya.

Tambah Mohd. Tajuddin, Taman Wetland Putrajaya terbahagi kepada dua komponen utama iaitu kawasan tanaman dan pusat rekreasi air yang menawarkan aktiviti rekreasi serta pembelajaran yang menarik minat pengunjung.

"Antara tarikan utama ialah menara pandang jauh setinggi 80 meter yang menawarkan panorama taman dan sebahagian besar Putrajaya dari udara. Bagi peminat haiwan pula terdapat pelantar tinjau burung yang menempatkan pelbagai spesies burung seperti undan putih, angsa putih, angsa mesir dan bangau. Terdapat juga kolam flamingo yang terletak dalam kawasan itu," jelasnya.

Katanya, ketika ini pelbagai kemudahan yang disediakan agak lengkap seperti dewan seminar, dewan makan, surau, bilik serba guna dan tapak perkhemahan.

"Taman ini bukan sahaja sesuai untuk pengunjung yang mahu beriadah sambil menikmati panorama alam semula jadi, malah sesuai juga dijadikan lokasi untuk acara seperti mesyuarat, hari keluarga, bina semangat, majlis perkahwinan dan sebagainya," ujarnya.


DENGAN ketinggian 80 meter, pengunjung boleh melihat panorama indah sekitar taman ini di Menara Pandang Jauh.


Salah satu tarikan terbaharu di Taman Wetland Putrajaya ialah Pusat Penghayatan Alam yang beroperasi pada Ogos tahun lalu.

Pusat pembelajaran

Penolong Pegawai Tadbir Pusat Penghayatan Alam, Nur Ayuni Liana Abd. Razak berkata, pengunjung ke pusat itu berpeluang mendapatkan maklumat mengenai ekosistem tanah lembap dengan lebih dekat.

Katanya, ruang dan galeri pameran di pusat itu dibahagikan kepada lapan zon berbeza.

"Bermula dari zon pertama sehingga ke zon lapan pengunjung akan dibawa mengenali ekosistem tanah lembap di Malaysia dan di Putrajaya serta pelbagai hidupan yang menghuni di dalamnya.

"Semua maklumat disampaikan dalam bentuk interaktif lengkap dengan audio visual, imej tiga dimensi dan model ekosistem tanah lembap.

"Ia menjadikan penjelajahan yang dilakukan tidak membosankan kerana pengunjung khususnya kanak-kanak boleh bermain dan mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan," jelasnya.

Setinggi tiga tingkat, beliau berkata pusat itu turut menempatkan bilik tayangan, perpustakaan, bilik perbincangan, kafetaria dan kedai cenderamata.

Ujarnya, pusat itu dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, seorang pengunjung, Zuraida Mat Kilau, 28, berkata, Taman Wetland Putrajaya bukan sekadar pusat pelancongan atau rekreasi orang ramai semata-mata.

"Ia lebih kepada pusat pembelajaran yang membolehkan pengunjung memahami, menghayati dan menikmati alam semula jadi khususnya ekosistem tanah lembap dengan lebih dekat," ujarnya.

Gadis yang menetap di Seri Kembangan, Selangor itu berkata, pelbagai tarikan yang terdapat di taman itu turut menjadikan ia antara destinasi yang wajib dilawati di Putrajaya seperti Taman Putra Perdana, Taman Botani, Taman Alam Rimba, Taman Cabaran dan taman-taman lain di sekitarnya.

"Saya pernah beberapa kali ke sini, namun tidak pernah jemu kerana ia menawarkan aktiviti berbeza yang jelas tidak membosankan.

"Pengunjung bukan sahaja boleh memancing, menunggang basikal, menaiki kayak dan bot, malah jika bernasib baik berpeluang melihat pelbagai spesies burung penghijrah yang memenuhi ruang angkasa," ujarnya.


PADANG Merbuk menjadi lokasi peminat aktiviti permainan kapal terbang kawalan jauh berkumpul saban minggu.


Bagi Mohd. Azmi Darman, 45, pula, lokasi itu merupakan tempat dia dan rakan-rakannya daripada Kelab Wetlands EP Geng berkumpul saban minggu untuk bermain kapal terbang kawalan jauh.

"Kami memilih lokasi di Padang Merbuk yang lapang dan luas sebagai lokasi pertandingan kerana kesesuaiannya.

"Sejak dimulakan pada 2006 sehingga kini, sedikit sebanyak ia menjadi daya penarik kepada pengunjung sekali gus mempopularkannya," katanya.

Pulau sepi yang kaya potensi

Posted:

Pulau sepi yang kaya potensi

Pulau sepi yang kaya potensi


TERLETAK di Lautan Hindi, Kepulauan Comoros terasing daripada ledakan pembangunan pelancongan ekoran sejarah pulau tersebut yang banyak masalah.


KEWUJUDANNYA 'bertaburan' di Lautan Hindi antara Madagascar dan Mozambique. Empat buah pulau kecil Comoros itu dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Moroniwhose iaitu 'bulan' dalam bahasa Arab.

Nama tersebut agak pelik, namun ia sesuai memandangkan pulau-pulau itu terasing daripada ledakan pembangunan pelancongan di Lautan Hindi.

Seperti jirannya Zanzibar, kepulauan itu menerima pengaruh tamadun Arab dan Afrika. Warisan kebudayaan Arab dapat disaksikan di bangunan masjid berwarna putih di pulau berkenaan.

Comoros juga seperti satu lagi jirannya Seychelles, mempunyai ciri-ciri sebagai pulau fantasi, cuaca tropika yang panas, air laut membiru dan pokok-pokok kelapa yang menghijau. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang datang melawat Comoros, meskipun mereka telah mendengar namanya.

Ia disebabkan sejarah pulau tersebut yang banyak masalah. Sejak mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1975, Kesatuan Comoros tetap bersatu walaupun salah sebuah pulau, Mahore mengundi untuk kekal di bawah kekuasaan Perancis. Ketiga-tiga pulau lain pula sejak itu sering kali berlaku rampasan kuasa iaitu tidak kurang daripada 20 kali. Tragedi rampasan yang terbaru adalah pada tahun 2008 diketuai oleh pembunuh upahan terkenal dari Perancis, Bob Denard.

Kawasan terpencil

Justeru, tidak hairanlah ketika saya mendarat di kawasan pantai utama, Ngazidja, ia merupakan kawasan yang terpencil tetapi aman. Jalan rayanya juga dipenuhi lubang, kambing-kambing menggeledah sampah di tepi jalan, teksi-teksi usang, hotel bajet dengan hanya sebuah air paipnya berfungsi 24 jam.

Begitupun, kekurangan pelancong asing membuatkan penduduk tempatan menjadi mesra dan gembira untuk berbual bersama anda.

Setelah saya melawat beberapa pantai yang cantik dan menghabiskan masa petang dengan berkaraoke di salah sebuah restoran terbaik di Moroni (ibu kota), saya mulai merasa bosan dengan aktiviti karaoke tersebut. Ekoran itu, hanya satu pengembaraan yang tinggal, mendaki gunung berapi Karthala.

Gunung berapi

Terletak di kedudukan 2,361 meter di atas pelabuhan Moroni, hutan hujan tropika itu diselubungi kepulan awan. Karthala merupakan antara gunung berapi yang aktif di dunia iaitu telah 20 kali meletus pada abad yang lalu.

Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, gunung berapi tersebut tidak meletus, jadi pendakian saya berjalan lancar dan selamat. Saya mengupah seorang jurupandu kerana treknya yang mengelirukan dan kurang panduan pendakian.

Pada hari pendakian, jurupandu tersebut menjemput saya dengan menaiki teksi di hotel seawal 5 pagi. Kemudian kami menjemput pula seorang warga Perancis bernama Ludovic dan kemudian kami meneruskan perjalanan ke kawasan kampung yang memakan masa kira-kira sejam.

Jurupandu itu memakai pakaian tidur yang kelihatan seperti seluar trek, sweater berkain lembut serta kasut but terpakai, manakala Ludovic dan saya hanya memakai pakaian biasa dan sepasang kasut sukan.


CUACA tropika yang panas dan air laut membiru sesuai untuk aktiviti pelancongan.


Mereka berdua kerap berhenti menghisap rokok. Jadi, penduduk kampung banyak memintas kami yang memulakan pendakian dari kawasan ladang pisang melalui wangian pokok cengkih dan pokok vanila. Vanila menjadi sumber pendapatan utama kepada penduduk kampung.

Jurupandu yang saya upah tersebut kurang pengetahuan tentang kehidupan binatang liar. Apabila ditanya 'ada ularkah di sini?', dia sekadar menjawab 'ya, ada'. Apabila ditanya, 'apakah jenis burung kakak tua itu?', lalu dia menyahut 'ya, ia burung kakak tua'.

Suasana indah

Selepas sejam berjalan, kami keluar dari hutan dan merentasi laluan tanah berwarna merah hitam. Kami dapat menyaksikan keseluruhan Pulau Comoros yang indah dengan air laut yang membiru. Kami berhenti seketika dan memetik strawberi liar yang cair di dalam mulut dengan rasanya sangat manis.

Kemudian kami meneruskan perjalanan mendaki dengan memijak pokok-pokok mati menuju ke kawasan tanah berwarna kelabu.

Kami memanjat tebing terakhir dan terbentanglah pemandangan yang indah di hadapan mata. Kami memacak khemah di situ. Kawasan padang luas pula berwarna hitam abu dengan batu-batu yang bertaburan.

Kami melintasi kawasan tersebut menuju ke bahagian paling hujung iaitu kawasan seperti kawah dipanggil caldera. Beratus-ratus meter di bawah kami, kelihatan dua fumarol yang kecil. Fumarol merupakan lohong kecil dalam kerak bumi pada kawasan gunung berapi iaitu tempat gas dan wap keluar pada suhu tinggi.

Dari puncak itu kami hanya mendengar bunyi tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Kami bersantai seketika menikmati suasana indah berkenaan, Ludovic menulis di atas pasir, la vie est belle (kehidupan yang indah). Selepas itu, kami berpatah semula ke tapak perkhemahan.

Keesokan harinya, kami menuruni kawasan gunung dan menuju ke sebuah kampung. Kanak-kanak kelihatan teruja menunjuk ke arah kami sambil melaungkan 'mzungus' bermaksud orang putih. Saya menempuh hari yang menyeronokkan di kampung berkenaan dan berfikir, jika kawasan ini lebih membangun pasti akan menarik ramai pengunjung.

Manalah tahu suatu hari nanti, kanak-kanak di pulau ini tidak lagi menganggap orang luar atau pengunjung sebagai suatu yang pelik.

Aura klasik Jambatan Golden Gate

Posted:

Aura klasik Jambatan Golden Gate

Aura klasik Jambatan Golden Gate


JAMBATAN Golden Gate menjadi laluan buat 120,000 kenderaan setiap hari.


SESUAI dengan statusnya sebagai sebuah metropolitan, San Francisco sememangnya mempunyai pelbagai keunikan.

Terkenal dengan sejarah pelombongan emasnya satu ketika dahulu, kota yang berpusat di California, Amerika Syarikat (AS) itu menawarkan pelbagai pengalaman gastronomi, seni, budaya dan tarikan pelancongan yang mempesonakan para pengembara dari seluruh dunia.

Sebut apa sahaja, Pulau Alcatraz, Fisherman Wharf, San Franciso Zoo, Chinatown, North Beach, Golden Gate Park, California Academy of Sciences dan sebagainya, semua menjanjikan keistimewaan tersendiri.

Bagaimanapun, kunjungan ke San Francisco seakan tidak sempurna sekiranya tidak melawat salah satu mercu tandanya yang paling terkenal di dunia iaitu Jambatan Golden Gate.

Dibangunkan dalam konteks bandar dan dalam gaya moden berstruktur, jambatan sepanjang hampir tiga kilometer itu menghubungkan kota itu di hujung utara Semenanjung San Francisco ke Marin County merentangi Golden Gate, bukaan Teluk San Francisco dari Lautan Pasifik.

Direka oleh arkitek, Joseph B. Strauss, jambatan itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan iaitu dari tahun 1933 hingga 1937 dengan kos sekitar AS$35 juta (RM107 juta).

Mengaplikasikan binaan kerangka logam dan kabel logam sebagai bahan asas binaanya, ia turut diiktiraf sebagai jambatan kabel terpanjang dan tertinggi di dunia sehingga 1964 sebelum diambil alih oleh Jambatan Verrazano-Narrows di New York.

Sebaik siap, jambatan itu pantas mengundang perhatian masyarakat dari seluruh dunia.

Keunikan Jambatan Golden Gate terletak pada dua buah menara unik setinggi 250 meter yang merentanginya di samping penggunaan warna jingga sebagai tema keseluruhan strukturnya yang memukau pandangan mata.

Pada masa yang sama, ia juga diserlahkan dengan keindahan panorama di sekitar jambatan itu yang berlatarbelakangkan Lautan Pasifik yang membiru.

Jambatan itu direka dengan spesifikasi keselamatan tinggi dan mampu menampung bebanan sehingga 25 juta kilogram.

Terdapat plaza tol yang disediakan bagi pengguna jalan raya yang ingin merentasi jambatan itu. Menyediakan laluan kenderaan enam lorong, dianggarkan ia dilalui kira-kira 120,000 kenderaan setiap hari.

Di samping kenderaan, jambatan itu juga turut menyediakan laluan pejalan kaki untuk orang ramai dan pengguna basikal di kedua-dua arah.

Biarpun direka untuk menampung berat yang ekstrem, namun satu malapetaka hampir berlaku di atas jambatan itu pada 1987 apabila lebih 400,000 penduduk kota itu berkumpul di atasnya bagi meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-50.

Biarpun tiada tragedi buruk yang berlaku, struktur jambatan yang tiba-tiba bergoyang akibat lebihan muatan dan angin kencang turut mencemaskan orang ramai.

Sejak itu pihak berkuasa tidak lagi mengadakan perhimpunan besar-besaran di atasnya demi keselamatan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved