Rabu, 30 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Lebih dihargai di luar negara

Posted:

Lebih dihargai di luar negara

Lebih dihargai di luar negara

KURANG aura atau tidak cukup publisiti? Biarpun sudah empat tahun berada dalam industri hiburan tempatan, nama Amanda Imani Iskandar, 22, dilihat tenggelam timbul. Malah, ada yang tidak menyedari akan kehadirannya dalam arena seni.

Mungkin perkara yang sama pernah terjadi kepada pemenang Asian Wave 2012, Shila Amzah yang bintangnya mula bergemerlapan sekitar tahun lalu setelah lebih 12 tahun bergelar penyanyi.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Amanda Imani, malah dia tidak melihat usia pembabitannya dalam industri seni sudah cukup matang untuk mengecapi populariti.

"Setiap orang ada jalan sendiri dan saya tidak pernah cuba untuk bertanding dengan bintang baharu yang ada antaranya menyerlah secara mendadak.

"Kehidupan bukan satu trek perlumbaan sebaliknya kita perlu melangkah setapak demi setapak daripada menjadi terkenal tiba-tiba.

"Saya lebih selesa berada dalam situasi sekarang dan tidak suka menghebohkan perkara peribadi. Fokus saya adalah muzik dan kerjaya," katanya yang ditemui pada sidang akhbar dan pelancaran dua buah single iaitu Fobia Cinta dan Like A Boss di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbangga dengan pencapaian yang diraih sepanjang bergelar penyanyi, Amanda bagaimanapun mengakui pelik dengan fenomena dirinya yang kurang dihargai di tempat sendiri.

"Jemputan mengadakan persembahan atau menyertai pertandingan di luar lebih banyak berbanding di negara sendiri, jelas sekali keadaan ini amat pelik bagi saya.

"Sejak bergelar penyanyi secara serius dua tahun lalu, saya memang mahu fokuskan muzik saya di Malaysia tetapi rezeki datang dari luar negara lebih banyak," ujar Amanda yang berhasrat untuk terus memahat namanya di tanah tumpah darahnya sendiri.

Dwisingle

Berkongsi kisah menarik mengenai single, Fobia Cinta dan Like A Boss yang dilancarkan serentak pada Selasa minggu lalu, kata Amanda kedua-dua lagu itu ditulis lirik dan diciptanya sendiri.


FIGURA putih melepak ini mengakui pernah melalui pengalaman putus cinta.


"Saya gembira akhirnya berjaya menghasilkan single ciptaan saya sendiri seratus peratus. Karya itu merupakan hadiah dalam bentuk abstrak untuk dikongsikan bersama peminat," katanya.

Sebelum ini, tambah Amanda, dia diberikan peluang menulis lirik lagu menerusi melodi yang diberikan oleh komposer.

Ujar Amanda lagi, dia kini lebih yakin dan matang untuk menulis dan menggubah lagu serta tahu arah tuju karier seninya.

"Fobia Cinta dihasilkan pada tahun 2012 dan sepanjang mencipta lagu itu, saya sering berjumpa dengan pemain biola, Dennis Lau yang menjadi inspirasi untuk saya menambahkan bunyian instrumen asing dalam lagu ini.

"Hasilnya, lagu ini lebih unik dan menjadi lagu kemuncak karier saya tahun ini. Klip video yang dihasilkan pula berkonsepkan vintaj sekitar era 1960-an," kata Amanda yang belum merancang untuk mengeluarkan album dalam masa terdekat ini.

Amanda mengakui pembabitan Dennis Lau dalam Fobia Cinta sedikit sebanyak membuka perspektif pasaran lagunya menembusi pasaran muzik masyarakat Cina.

"Secara tidak langsung memberikan pendedahan dan pengalaman baharu untuk saya. Lagi pun, pasaran muzik mereka mempunyai pendengar yang berbeza dan sudah pasti ini adalah langkah terbaik memberikan pendedahan pada masa akan datang," tuturnya.

Lagu lepas geram

Ditanya adakah kedua-dua buah lagu yang dihasilkan itu merujuk kepada pengalaman hidupnya yang sebelum ini pernah dikecewakan dalam percintaan, jawab Amanda: "Fobia Cinta dan Like A Boss bukan lagu lepas geram atau patah hati."


CUBA mencipta kelainan, Amanda turut mendapatkan khidmat pemain biola, Dennis Lau untuk singlenya yang berjudul, Fobia Cinta.


"Memang saya ada pengalaman cinta yang tidak menjadi sebelum ini tapi bukan dengan penyanyi, lagu Fobia Cinta khususnya bukan ditujukan untuk individu yang spesifik.

"Ramai lagi lelaki lain yang pernah muncul dalam hidup saya sebelum Syarif (Sleeq). Lagu itu merujuk kepada beberapa kisah cinta silam saya yang tidak menjadi," jelasnya yang menyifatkan pengalaman gagal bercinta berbaloi sehingga mencetuskan keinginannya mencipta lagu.

Like A Boss pula kata Amanda, menceritakan turun dan naik kehidupan dan lebih bercirikan feminisme. Menurutnya, lagu itu menyalurkan tenaga baharu untuk dia terus berusaha sebagai seorang penyanyi dan tidak mudah putus semangat.

"Lagu itu membuatkan saya rasa saya perlu melupakan semua perkara negatif dalam hidup, yakin diri, tahu matlamat dan berdikari.

"Saya mahu memberikan kuasa terutama kepada wanita berkerjaya seperti saya untuk memahami diri sendiri dan memperingati satu sama lain untuk tidak lekas putus asa," tambah pemenang vokal terbaik wanita, Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 itu.

Saida sukar didekati lelaki

Posted:

Saida sukar didekati lelaki

Saida sukar didekati lelaki

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

KAKAK kepada Siti Nurhaliza ini mengakui belum ada lelaki yang melamar dirinya untuk dijadikan isteri buat masa ini.


PENYANYI Siti Nursaida Tarudin atau Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza kini memegang status ibu tunggal kepada empat orang anak selepas bercerai dengan suaminya pada Oktober 2011.

Sejak menjanda, banyak gosip hangat yang melanda dirinya termasuklah dia dikatakan bercinta dengan orang kenamaan. Ada juga gosip kononnya dia mahu berkahwin dengan seorang penerbit drama.

Namun, sehingga hari ini Saida, 37, kekal dengan status janda. Ketika ditemui pada majlis Jom Fiesta anjuran Utusan Karya Sdn. Bhd., Bangi, Selangor pada Sabtu lalu Saida mengakui, dia tidak serik untuk kembali bercinta. Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.

Kosmo!: Kenapakah berat badan Saida kelihatan semakin menurun? Adakah kerana susah hati?

SAIDA: Sebenarnya bukan sebab makan hati tetapi saya memang mahu kurus. Sebelum ini berat badan saya 57 kilogram (kg) sekarang 54 kg. Saya kini mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk kekal cergas.

Bagaimanakah dengan kehidupan selepas bergelar janda?

Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa. Pagi sibuk menguruskan anak sekolah, saya masih memegang jawatan sebagai pengurus akaun di Siti Nurhaliza Production. Pada hujung minggu, jika masa mengizinkan saya akan memenuhi undangan pentas.

SAIDA menegaskan dia kini dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengekalkan berat badan.


Tidak ada lelaki yang melamar anda untuk dijadikan isteri?

(Ketawa) Setakat ini belum lagi. Saya masih solo, belum berpunya. Bukan tidak mahu berkahwin lagi kerana jodoh ketentuan itu ketentuan Allah tetapi buat masa sekarang, jadual harian saya sangat padat sehingga tidak ada masa memikirkan tentang teman hidup. Paling penting untuk saya buat masa sekarang sudah tentu anak-anak dan kerjaya.

Jika ada yang ingin melamar anda, apakah kriteria utama lelaki pilihan anda?

Paling utama, lelaki itu harus menerima saya seadanya. Maknanya, bukan sahaja menerima diri saya tetapi juga empat orang anak saya. Jika tidak dapat terima anak-anak saya, lelaki itu bukanlah lelaki pilihan. Memang bukan mudah untuk lelaki mendekati saya kerana ke mana sahaja saya pergi pasti akan ditemani ahli keluarga.

Adakah anda meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman janda?

Tiada sebarang sasaran kerana jodoh itu bukan kuasa saya tetapi Allah. Jika ditakdirkan saya menemui jodoh selepas ini, saya akur tetapi tidaklah buat masa sekarang kerana sibuk sangat.

Jika sudah sibuk dengan jadual harian bagaimana pula dengan dengan kerjaya nyanyian?

Mungkin orang sangka saya sudah tidak menyanyi kerana saya sudah tidak muncul di televisyen, akhbar dan majalah. Walaupun sibuk dengan kerja tetap dan mengurus keluarga, minat menyanyi itu sudah sebati dengan diri saya. Memanglah tidak aktif seperti dahulu tetapi setiap hujung minggu pasti saya akan mengadakan persembahan pentas. Tahun lalu saya telah menghasilkan sebuah single berjudul Cinta Kayangan dan jika tiada aral melintang saya akan muncul dengan single baharu.

The Dream Sisters sedia dikritik

Posted:

The Dream Sisters sedia dikritik

The Dream Sisters sedia dikritik

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my


BARISAN adik-beradik Umarudin, (dari kiri), Aisya, Aimi, Anis dan Amira merupakan tarikan utama program realiti TV, The Dream Sisters.


BAYANGKAN program realiti TV yang membabitkan adik-beradik dan keluarga Kardashian yang terdiri daripada Kim, Khole, Kourtney dan Rob iaitu Keeping Up With Kardashian dan Kourtney and Kim Take New York dibikin dalam versi Malaysia.

Ia sebenarnya telah menjadi kenyataan di TV9. Dikenali sebagai The Dream Sisters, program baharu TV9 itu kisah realiti adik-beradik Chef Anis Nabilah Umaruddin.

Mula bersiaran pada 28 Januari pada pukul 10.30 malam, ia merupakan percubaan pertama TV9 dalam menghasilkan rancangan berbentuk drama realiti TV.

Chef Anis, 27, yang sebelum ini terkenal dengan telatahnya memasaknya akan bersama adik-beradiknya, Amira, 28, Aimi, 26, dan Aisya, 23, dalam program itu.

Program lapan episod itu akan menampilkan kisah kehidupan empat adik-beradik itu mencapai impian dan cita-cita mereka di samping memberi inspirasi kepada penonton nanti.

Kata Anis, sebelum disiarkan program itu, sudah ramai yang beranggapan The Dream Sisters seperti program keluarga Kardashian tetapi sebenarnya tanggapan itu salah.

"Berbanding Keeping Up With Kardashian yang lebih condong kepada hiburan, The Dream Sisters sebaliknya berkisar tentang soal karier kami berempat.

Ia juga memaparkan impian kami dalam merealisasikan cita-cita masing-masing," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program-program baharu TV9 di The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Anis, program itu menampilkan kesukaran yang dihadapinya untuk membuka sebuah restoran. Kakaknya, Amira pula lebih kepada kelas kesihatan seperti yoga, Aimi bergelut dengan pekerjaan dalam bidang produksi serta perkahwinan dan Aisya terpaksa mencari tajaan melanjutkan pengajian di London.

"Kami hendak tunjukkan bahawa untuk mencapai kejayaan dihajati itu tidak mudah, walaupun orang di luar nampak kami macam urban tetapi itu tidak menjamin kesenangan.


PROGRAM Hot TV menampilkan gelagat para penyampai stesen radio Hot FM termasuklah (dari kiri), Keiran, Suraya, Faizal, Fara, Deen dan Chad.


"Walaupun kami tinggal di Subang Jaya, Selangor, keluarga kami ajar kami bersikap tidak putus asa dalam hidup dan berusaha untuk dapat duit poket sendiri, itu untuk memberi inspirasi kepada penonton nanti," ujarnya.

Bersedia dikritik melalui program berkenaan, adik-beradik Anis yang lain sepakat untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan mereka melalui program itu nanti.

Selain The Dream Sisters, TV9 kini menampilkan beberapa program baharu lain dengan sasaran penonton muda yang berumur antara 15 tahun hingga 29 tahun pada tahun ini.

Bermula 28 Januari juga, program Fuzz Food yang dikendalikan oleh DJ terkenal Fuzz membawa penonton menikmati hidangan lazat di samping menjaga gaya hidup sihat pada pukul 11 malam.

Hot TV pula akan bersiaran setiap Isnin hingga Rabu selama 15 minit bermula 11.30 malam.

Program berkenaan, akan menampilkan gelagat penyampai radio Hot FM seperti Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG, Leya, Suraya, Kieran, Ikhwan, Deen dan Chad melalui segmen Selebrti KO!, Hotscoop, Babak Hangit, Top 5 Am Krew, Oh, My Video! dan Di Bibir Fifi.

Selain itu, Hot TV Ekstra pula akan bersiaran setiap Jumaat pada pukul 7.30 malam hingga 8 malam.

Fly FM Stripped pula bersiaran pada setiap Isnin hingga Rabu, pukul 11.45 malam dan Teen Wolf bermula 29 Januari lalu disiarkan setiap Selasa, 10.30 malam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved