Selasa, 29 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Semangat jitu Tania

Posted:

Semangat jitu Tania

Semangat jitu Tania

NAMA Tania Nadira Hudson semakin terpinggir dan kurang mendapat liputan sejak lebih setahun lalu. Hal itu berlanjutan sehinggalah kemunculannya di set penggambaran drama Surat Dari Langit Biru di Desa Park City, pinggir bandar raya Kuala Lumpur pada petang hari Selasa lalu.

Polos tanpa olesan bahan soleken, wajah yang mirip seperti kakaknya, Natasha Hudson itu bagaimanapun nampak sugul dan kurang bermaya.

Ditanya mengenai kesihatannya, jawab Tania, 28, dia kini berada dalam keadaan yang sihat tanpa kesan sampingan selepas menjalani pembedahan sekitar empat tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya kini lebih sihat. Cuma, saya perlu kawal corak hidup dan tekanan sekeliling dengan lebih cermat. Rawatan susulan cuma tiga tahun selepas pembedahan dan sekarang semua kembali normal, tetapi kepala ada berdenyut sekali-sekala.

"Saya bersemangat untuk kembali bekerja seperti sebelum ini. Fokus saya adalah karier lakonan yang nampak sudah semakin menyusut sejak akhir-akhir ini," katanya.

Tania sebelum ini pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) pada tahun 2009.

AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tumbuh pada bahagian otak dan penyakit yang dialami pelakon itu menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman.

Tania menegaskan, ketiadaannya dalam industri selepas kemunculannya menerusi drama bersiri Tiramisu dua tahun lalu bukan kerana merajuk. Sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk memerhatikan suasana dunia seni dan pada masa sama, masih aktif di pentas peragaan fesyen.

"Jauh sekali untuk saya merajuk kerana berlakon juga sumber pencarian saya selain peragaan. Cuma saya sengaja memberikan rehat untuk diri sendiri sebelum kembali semula dengan lebih aktif dan fokus.

TANIA perlu mengawal corak dan tekanan dalam kehidupan dengan penuh cermat.


"Saya masih aktif membuat peragaan dan berlakon iklan. Selain itu, ada juga membantu bisnes kek ibu saya (Ratna Hussin)," ujarnya.

Kahwin

Diajukan soalan nakal sama ada dirinya sudah mempunyai calon suami dan kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, balas pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu, dia masih solo.

"Belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin. Usahkan berkahwin, calon pun belum ada," kongsinya bersulam ketawa.

Tambah Tania, harapannya ingin berjaya terlebih dulu dalam kerjaya sebelum memutuskan untuk berumah tangga.

"Kalau boleh saya ingin menamatkan zaman solo sebelum mencecah usia 30 tahun tetapi susah nak cakap, sebab jodoh bukan kita tetapkan," ujar Tania.

Meletakkan beberapa kriteria lelaki yang diidamkan, kata Tania dia mahukan seseorang lelaki yang berupaya membimbingnya, matang dan lebih berusia daripada dirinya.

"Lagi tua seseorang itu lagi matang pemikirannya. Paling tidak pun dia boleh membimbing saya. Selain itu, saya mahukan seorang lelaki yang kelakar, berjaya dalam kerjaya, menghormati saya dan berpegang pada janji. Ikhlas itu penting dalam sesebuah perhubungan," jelasnya.

Jahat

Berkongsi karakternya dalam drama Surat Dari Langit Biru, kata Tania, dia terkejut ketika ditawarkan untuk melakonkan watak Lisa. Ia merupakan salah seorang pemegang watak antagonis dalam drama itu.

TANIA menafikan dirinya merajuk selepas tidak aktif berlakon sejak kali terakhir muncul menerusi drama bersiri, Tiramisu pada tahun 2009.


"Pertama kali saya diberikan watak antagonis yang bermulut jahat dan licik, malah Lisa juga bertanggungjawab memporak-perandakan keluarganya sendiri. Biarpun kemunculan saya hanya sekejap tetapi sebenarnya meninggalkan impak mendalam," katanya yang pertama kali berlakon dibawah arahan pengarah terkenal, Rashid Sibir.

Drama bersiri 15 episod terbitan Rashbir Media dan mendapat sentuhan skrip Basri Musa itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan As'ari, Yana Samsudin, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Iqram Dinzly, Nabila Dally dan Ika Nabila.

Surat Dari Langit Biru mengisahkan ikatan persaudaraan antara Zarul (Johan) dan Salmi (Yana) yang sangat rapat dan serba sederhana. Menginjak dewasa, Salmi berjaya bergelar seorang doktor. Namun, Zarul terpaksa berkorban masa depannya demi melihat kakaknya itu berjaya.

Pada masa sama, bapa mereka, Pak Hassan (Datuk Rahim) mengahwinkan Salmi dengan anak penghulu kampung Heykal (Fizo) kerana telah banyak terhutang budi sedangkan Heykal sendiri menyimpan dendam terhadap keluarga itu.

Rumah tangga Salmi tidak bahagia ditambah pula Zarul yang diperangkap oleh Heykal dan adiknya Lisa (Tania) sehingga dihalau keluarga. Lantas Zarul pergi menghilangkan diri.

Segalanya bakal terjawab dalam Surat Dari Langit Biru yang akan disiarkan mulai 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3.

Kontrak RM28 juta Salman Khan

Posted:

Kontrak RM28 juta Salman Khan

Kontrak RM28 juta Salman Khan


SALMAN KHAN


AKTOR tersohor Bollywood, Salman Khan mencatat rekod baharu apabila menandatangani perjanjian bernilai Rs. 500 (RM28 juta) dengan Star TV Network untuk iklan rangkaian televisyen antara yang terbesar di India itu.

Sehingga tempoh lima tahun yang lepas, pelakon berusia 47 itu muncul menerusi filem pecah panggung, Ready, Dabangg, Bodyguard, Ek Tha Tiger dan Dabangg 2 yang mana setiap satunya mengumpul kutipan mencecah Rs.100 (RM5.6 juta).

Pengurus Besar Star Gold, Hemal Jhaveri, memberitahu portal berita India, IANS, Salman Khan adalah pilihan yang tepat memandangkan pencapaian yang telah diraih menerusi rekod filem-filem pecah panggung lakonannya.

"Salman merupakan pelakon yang konsisten dari segi kutipan pecah panggung filem-filem lakonannya. Dari segi tersebut, dia merupakan pelakon yang memiliki nilai tertinggi dalam kalangan pelakon di Bollywood," ujarnya.

Tambahnya, mengikut kepada perjanjian, saluran TV itu akan memiliki hak siaran eksklusif televisyen menerusi semua filem terbaharu Salman.

"Selepas perjanjian yang dibuat pada tahun ini, kami mempunyai hak penyiaran eksklusif terhadap kesemua filem lakonan Salman atau apa-apa penerbitan yang berkaitan dengan pelakon itu," katanya.

Salman yang mempunyai masalah kesihatan dan bakal mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat akan memulakan penggambaran tidak lama lagi untuk filem Kick, No Entry Mein Entry dan Sooraj Barjatya.

Nabil berkorban demi anak

Posted:

Nabil berkorban demi anak

Nabil berkorban demi anak

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

SELAIN bergelar pelawak, pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan Nabil pernah mengembangkan bakat seninya apabila menjadi penyampai radio di Suria FM.

Bagaimanapun, jodoh Nabil bersama stesen radio berkenaan tidak panjang apabila dia mengambil keputusan untuk mengundur diri selepas kontraknya tamat pada akhir tahun lalu.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Lawak Ke Der 2 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur minggu lalu, Nabil tetap bersyukur apabila rezekinya semakin bertambah sejak dikurniakan cahaya mata.

Menurut suami kepada Nazirah Ayub itu, sekarang ini dia perlu bekerja dengan lebih keras memandangkan tanggungjawabnya sudah semakin bertambah.

Kosmo!: Apakah perkembangan kerjaya Nabil sekarang?

NABIL: Dalam tempoh terdekat ini saya akan terbabit dengan program komedi Karoot Komedia X dan Lawak Minggu Ini. Selain itu saya akan membintangi dua buah telefilem iaitu Elly Dan Epit dan Geng Bas Sekolah.

Kemudian pada bulan Mac ini pula saya berkemungkinan besar akan pergi ke Belanda untuk rakaman sebuah program Astro. Mengikut perancangan, saya akan bawa isteri dan anak ke sana, namun ia bergantung kepada keadaan.

Bagaimanakah dengan kehidupan Nabil sekarang, setelah dua bulan bergelar bapa kepada Naira Mikayla?

Kehidupan saya sekarang tidak banyak jauh berbeza berbanding sebelum ini, tetapi kehadiran Naira merupakan pelengkap kepada kehidupan kami sekeluarga.

Sepanjang bergelar bapa ini, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaga Naira, kadang-kadang terpaksa bangun pukul 4 pagi untuk bancuh susu dan tukar lampin pakai buang kerana kami tidak ada pembantu rumah.

Adakah anak menjadi salah satu faktor Nabil mengundur diri daripada menjadi penyampai radio?

Saya tidak nafikan kehadiran cahaya mata merupakan salah satu faktor saya tidak menyambung kontrak bersama Suria FM. Selepas memiliki cahaya mata, saya rasa perlu memberikan komitmen yang lebih kepada keluarga.

Sekiranya mata pencarian saya hanya sebagai penyampai radio saya tidak kisah, tetapi saya masih lagi berlakon dan lebih baik memberikan tumpuan kepada lakonan dan terpaksa mengorbankan kerjaya di konti radio demi anak.

Bagaimanakah perasaan Nabil sepanjang setahun menjadi penyampai radio?

Ia memberikan satu pengalaman baharu dalam kehidupan saya sebagai seorang artis. Dapat bergabung dengan Kenchana Devi dan penyampai hebat seperti Halim Othman memang sesuatu yang menyeronokkan.

Adakah Nabil tidak kisah sekiranya Naira mengikut jejak anda sendiri apabila dia sudah besar nanti?

Sejujurnya saya tidak kisah kalau suatu hari nanti Naira turut mengikut jejak saya menjadi artis. Namun begitu, saya mahu dia membesar sebagai seorang gadis yang berilmu dan berpelajaran tinggi.

Bagi saya, pelajaran itu merupakan perkara yang paling utama dan sudah tentu saya tidak mahu dia menjadi seperti saya yang tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved