Selasa, 29 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Rajagobal perlekeh Badri

Posted:

Rajagobal perlekeh Badri

Rajagobal perlekeh Badri

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

PRESTASI cemerlang yang dipamerkan oleh Badri (kanan) ketika beraksi dengan Kelantan tetap gagal untuk menambat hati Rajagobal.


"KENAPA tanya saya, beliau jurulatih, seharusnya beliau tahu pemain macam mana yang beliau mahu. Saya tak faham kenapa dia suruh tanya saya. Jawapan macam mana yang anda jangka boleh saya berikan?"

Itu komen ketua pasukan Kelantan, yang berjaya menjulang tiga piala musim lalu, Badri Radzi selepas namanya terus tersisih daripada kem skuad kebangsaan biarpun ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kini dalam situasi terdesak selepas kehilangan 11 pemain akibat kecederaan.

Menurutnya, selepas berjaya membawa Kelantan ke tahap yang begitu tinggi termasuk memenangi tiga kejuaraan musim lalu, kelibatnya di padang masih tetap gagal memikat hati Rajagobal yang terus meragui keupayaannya.

"Saya tidak tahu apa masalahnya, komen beliau (Rajagobal) dalam akhbar hari ini (semalam) seolah-olah memberi gambaran bahawa corak permainan saya tidak sesuai dengan corak latihan beliau.

"Beliau tidak perlu mengajukan soalan berkenaan kepada saya atau bekas jurulatih saya, Datuk M. Karathu atau B. Sathianathan. Kami semua tidak ada jawapan kerana jawapan itu ada pada beliau sendiri," kata Badri ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, jika Rajagobal menganggap dia bukan seorang pemain yang bagus dan tidak menepati kriteria yang diperlukan, dia sedia menerima kritikan berkenaan kerana jurulatih skuad kebangsaan itu lebih berpengalaman.

Katanya, impiannya untuk bermain dan menabur bakti dalam skuad kebangsaan tidak pernah padam dan akan berusaha untuk terus memikat hati pengendali skuad kebangsaan itu.

"Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu beraksi dengan pasukan kebangsaan adalah kemuncak dalam karier anda. Semua pemain mengidamkan untuk menyarung jersi kebangsaan, begitu juga saya. Kalau tidak baik tak payah main bola.

"Kali terakhir saya dipanggil pada tahun 2010, ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas Kelantan muncul juara Piala Malaysia. Pembantunya (Tan Cheng Hoe) telefon saya minta nombor pasport.

"Dia beri tempoh dua jam untuk saya dapatkan nombor pasport, saya beritahu pasport ada di rumah, macam mana saya hendak beri. Sukar untuk saya dapatkan nombor pasport ketika itu kerana kami terpaksa singgah di Gua Musang dulu untuk menemui peminat. Selepas itu senyap begitu saja," ujarnya.

Jelas Badri, sebelum ini ada yang berpendapat pemain sepertinya, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin hanya mampu bermain dalam tempoh 30 minit sahaja ekoran faktor usia, dan keputusan Rajagobal memilih pemain muda mungkin satu pilihan yang tepat.

Kali pertama dan terakhir 'jeneral padang' berusia 30 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan adalah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

'Kami tidak gentar'

Posted:

'Kami tidak gentar'

'Kami tidak gentar'


NORFARHAN mengakui tidak gentar berdepan pasukan hebat seperti Qatar.


PENYERANG skuad Harimau Malaya, Norfarhan Muhammad berkata, mereka tidak gentar menghadapi Qatar pada aksi pertama kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha pada 6 Februari ini.

"Sungguhpun pasukan dihambat dengan isu kecederaan besar-besaran, namun itu tidak menjadi masalah untuk membentuk kombinasi mantap menjelang perlawanan itu nanti," kata Norfarhan yang merupakan tonggak baharu yang bakal ditampilkan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada kempen kelayakan Piala Asia kali ini.

Pemain tengah Kelantan itu yang kali terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2008 mengakui, barisan pemain baharu termasuk dirinya tidak menghadapi kesukaran untuk mencipta keserasian pada perlawanan tersebut nanti.

"Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih jika terpilih untuk beraksi (menentang Qatar)," katanya sebelum berlepas ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq di Dubai esok sebelum berlepas ke Doha untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mahali Jasuli turut senada dengan Nor- farhan dan menurutnya, persiapan pasukan negara tidak terjejas sekalipun ramai pemain baharu mengisi senarai skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain yang cedera.

Berikutan kepincangan dalam skuad negara akibat masalah kecederaan ke atas pemain utama, Rajagobal hanya menyenarai 24 pemain daripada perancangan asal 26 orang.

Antara tonggak yang disisihkan ialah penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali selain pemain tengah, S. Kunanlan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbat dan K. Gurusamy.

Rajagobal pasrah

Posted:

Rajagobal pasrah

Rajagobal pasrah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


PEMAIN-PEMAIN skuad Harimau Muda meninggalkan pusat penginapan mereka di Kelana Jaya untuk berlepas ke Dubai petang semalam.


'BAGAIKAN telur di hujung tanduk'. Mungkin pepatah itu tidak keterlaluan untuk menggambarkan situasi terkini skuad Harimau Malaya menjelang aksi pembukaan kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Ini kerana, usaha untuk menyaksikan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia itu dilihat sukar selepas menyaksikan beberapa tonggak utama terus dihantui kecederaan.

Ketiadaan pemain skuad utama, antaranya Mohd. Safee Sali, S. Kunanlan dan Mohd. Bunyamin Umar, jelas memberikan tamparan hebat kepada pengendali berusia 57 tahun itu dalam usaha memberikan keputusan lebih positif ketika menentang Qatar pada aksi pembukaan kelayakan Piala Asia, 6 Februari nanti.

Selepas Rajagobal 'mengintip' kekuatan lawan pada kejohanan Piala Teluk 2013 yang berlangsung di Bahrain baru-baru ini, beliau menyedari skuad negara bakal berdepan dengan tugas sukar.

Walaupun menyedari jurang besar di antara Harimau Malaya dengan Qatar, Rajagobal tetap tidak gentar malah menuntut barisan pemainnya untuk memberi tentangan sebaik mungkin.

"Tidak dapat dinafikan bahawa Qatar adalah antara pasukan terbaik Asia, malah mereka hampir berjaya mara ke pusingan akhir Piala Dunia 1998 Perancis.

"Kini, Qatar tampil dengan pasukan berbeza apabila mereka memiliki lapan pemain dari Brazil, Uruguay, Eropah, Ghana dan Senegal.

"Biarpun kita dihantui dengan krisis kecederaan, saya lebih suka berfikiran positif dan mahukan semua pemain beraksi dengan sebaik mungkin untuk memberi tentangan.

"Bukan selalu kita dapat beraksi menentang pasukan hebat seperti ini. Jadi, saya berharap mereka akan lebih bersemangat dan berkeyakinan dalam usaha meraih keputusan yang positif," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, Rajagobal mengakui beliau masih belum pasti siapa yang bakal diturunkan dalam skuad utama ketika berkunjung ke Qatar kelak.

Apa yang pasti, beliau mahu menguji kesemua 24 pemain Harimau Malaya dalam satu perlawanan pemanas badan menentang Iraq esok sebelum bertemu Qatar pada 6 Februari ini.

"Saya akan menilai semula prestasi semua pemain sebelum membuat keputusan menurunkan kesebelasan utama pada aksi menentang Qatar kelak.

"Apa yang bermain di fikiran saya kini ialah mahu melihat dahulu prestasi anak-anak buah saya ketika menentang Iraq sebelum bertemu Qatar," katanya.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala Asia 2015 menentang Qatar (6 Februari) sebelum bertemu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved