Jumaat, 18 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kejar anugerah taktik bersih

Posted:

Kejar anugerah taktik bersih

Kejar anugerah taktik bersih

JADUAL aktres berbintang Capricorn itu tersusun padat, sarat dengan penggambaran drama bersiri Maskara yang bertemu penghujungnya semalam, menyusul pula Bangkitnya Seorang Perempuan untuk mengisi slot Samarinda TV3 tidak lama lagi.

Anzalna Nasir nampak semakin jelas mengatur strategi kariernya, selain sisi peribadi yang difikirkannya tidak perlu terlalu banyak pendedahan buat seketika.

Bertemu dan menetapkan resolusi tahun 2013, kata Anzalna, 25, dia mahu membersihkan namanya daripada kontroversi tahun lalu sekali gus membuktikan bahawa dia bukan tin kosong atau sekadar wajah pelaris di layar kaca mahupun layar perak.

"Siapa mahu diri dilingkari kontroversi? Seboleh-boleh saya mahu elakkan diri daripada kontroversi terutama cerita yang kurang enak didengar. Kontroversi ini bukan saja menjatuhkan maruah kita, kadangkala merosakkan nama kita dan keluarga serta mengaibkan.

"Orang sekeliling pun meluat juga kalau terlalu banyak buat kontroversi, kalau sudah berada dalam industri hiburan, tunjukkan bakat dengan cara yang elok.

"Jangan bagi orang tengok kita sebagai sampah dalam industri, bakat tiada tapi kontroversi lebih. Lambat-laun lenyap kena bawa arus!" hujahnya berkenaan prinsip kerjayanya tahun ini.

Membulatkan tekad, kata Anzalna yang ditemui ketika sesi fotografi eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini, dia mahu memfokuskan bidang lakonan terlebih dahulu sebelum terjun ke bidang lain termasuk pengacaraan dan nyanyian.

"Tawaran untuk mengacara datang tidak putus-putus tapi saya sendiri sudah memilih untuk fokus satu persatu. Selagi tidak berpuas hati dengan kualiti lakonan saya, tawaran tersebut terpaksa diketepikan sementara waktu sampai saya betul-betul bersedia," katanya yang bakal muncul dalam sitkom Buletin Cinta TV3 dan filem Tyickoouns tahun ini.

Bakat lakonan yang kian menyerlah dan semakin mencuri tumpuan sejak akhir-akhir ini kata Anzalna resepinya bukan penilaian sendiri.

"Saya tidak akan sesekali memuji lakonan saya sebaliknya mengambil kira pandangan penonton dan pengarah. Bukan senang untuk orang puji kita secara ikhlas tetapi Alhamdulillah penonton dapat menerima cara lakonan saya.

"Semuanya atas usaha kita dan sentiasa mencari kesalahan diri. Jangan ingat semua perkara kita lakukan itu betul dan dari situ kita dapat memperbaiki," tambah Anzalna.

Trofi anugerah

Ditanya mengenai penghargaan atau anugerah dalam industri, jawab Anzalna dia bukan seorang pelakon yang terkejar-kejar untuk diiktiraf sedangkan bakat tidak seberapa.

Jelasnya, biarlah pengiktirafan itu datang secara semula jadi, mengikut fitrah dunia seni dan bukannya menggunakan taktik kotor.

"Semua mengimpikan untuk memegang sebuah trofi anugerah dan tidak disangkal penghargaan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan tapi persoalannya adakah anugerah itu diberikan berdasarkan bakat?

"Seseorang boleh popular kerana dua faktor, pertama kerana bakat yang luar biasa dan keduanya kerana terlalu banyak kontroversi.

"Berada dalam industri seni kerana mahu mencari duit dengan cara betul dan tidak mahu meraih populariti kerana kontroversi.

"Cara saya adalah berjuang dengan ikhlas, taktik bersih dan tiada perasaan iri hati apatah lagi menyekat rezeki orang. Biar peminat sendiri nampak bakat kita berbanding kontroversi," katanya.

Semahunya Anzalna enggan berada dalam situasi selesa dalam kanvas seninya. Tegas bintang muda itu biar pengiktirafan datang lambat asalkan maruah diri tidak tercela dan rezeki tidak terhenti separuh jalan.


ANZALNA mengakui agak kecewa dengan pihak yang telah memanipulasi namanya di Instagram.


Instagram palsu

Tidak terlepas daripada lingkaran kontroversi apabila baru-baru ini Anzalna juga menjadi mangsa penipuan akaun palsu Instagram yang menggunakan nama Anzalna Nasir dan gambar-gambar peribadinya.

Luah Anzalna, dia kecewa dengan tindakan individu terbabit yang dirasakan terlalu obses sehingga memiliki gambar peribadi yang dia sendiri tiada.

"Saya pernah membuka akaun Instagram ketika penggambaran drama Indera Jonet suatu ketika dulu tetapi tidak aktif kerana saya tidak suka menunjuk-nunjuk.

"Tiba-tiba saya mendapati ada sebuah akaun menggunakan nama saya (Anzalna_Nasir) dan memuat naik gambar-gambar peribadi saya seolah-olah dia berada di situasi yang sama dengan saya.

"Oleh itu, saya membuka sebuah akaun baharu (AnzalnaNasir88) supaya orang ramai tidak tertipu. Sejujurnya saya tidak kenal dan sukar menjejaki individu yang melakukannya," tambah Anzalna.

Tidak terburu-buru untuk mengambil tindakan undang-undang namun Anzalna memohon supaya akaun itu tidak digunakan untuk mengaibkan namanya.

Program pencarian pelapis pendakwah

Posted:

Program pencarian pelapis pendakwah

Program pencarian pelapis pendakwah

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


BARISAN peserta yang bakal terbabit dengan program Da'i Pendakwah Milenia.


PROGRAM realiti terbaharu TV3, Da'i: Pendakwah Milenia diterbitkan untuk mengasah 12 peserta yang dipilih untuk menjadi pelapis pendakwah. Berbeza dengan program Imam Muda di Astro Oasis yang lebih memfokuskan untuk mencari pelapis imam.

Ini diakui oleh penerbit Da'i: Pendakwah Milenia sendiri, Shukri Ibrahim, apabila ditanya mengenai kelainan yang cuba ditonjolkan melalui program tersebut.

Jelasnya: "Kami hanya mencari da'i (pendakwah) bukannya imam. Kini, ramai orang mencari tempat untuk menuntut ilmu sedangkan pendakwah muda dilihat kurang. Ia adalah tanggungjawab sosial kami untuk mencari generasi pelapis golongan pendakwah selain memartabatkan program keagamaan di TV3."

Mengulas mengenai tugasan yang bakal dihadapi oleh peserta, ujar Shukri, seramai 12 peserta yang dipilih perlu melakukan tugasan seperti berceramah, mengimarahkan masjid, membimbing adik angkat di sekolah agama berasrama dan sehari bersama saudara baharu.

Seramai 12 peserta yang dipilih ialah Nasaruddin Samsudeng, Che Faizal Amir Che Mat, Mohd. Taqwudin Mohd. Yazid, Noraida Jamlie, Mohamad Azamudin Zainal, Mohamed Hazwan Padzil, Muhammad Haizat Kamaruddin, Khairul Amar Samsuri, Mohamad Shazwan Zakaria, Ahmad Kahirul Ikhwan Abdullah, Nor Adibah Razain dan Muhammad Tajdid Hadhari Romli.

Jelas Shukri, apa yang pasti, keutamaan program Da'i yang bakal bersiaran sebanyak 13 episod itu pastinya menguji keupayaan minda dan bakat berdakwah 12 peserta Da'i: Pendakwah Milenia.

"Kesemua peserta nanti akan berdepan cabaran berat dalam melaksanakan 11 tugasan untuk dinilai oleh dua juri tetap dan juga juri jemputan setiap minggu.

"Hanya seorang sahaja yang layak menyandang gelaran juara Pendakwah Milenia dan juga berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000," ungkapnya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar.

Dua juri tetap Program Da'i: Pendakwah Milenia iaitu Zainal Ariffin Ismail dan Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie bakal bertanggungjawab menilai keterampilan semasa peserta dan pemarkahan tugasan yang diberikan.

Da'i: Pendakwah Milenia bakal diacarakan oleh pengacara popular, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin manakala untuk segmen khas mingguan ia akan diacarakan oleh Mohd. Zhafran Mohd. Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris.

Da'i: Pendakwah Milenia akan mula bersiaran langsung pada 19 Januari ini, setiap hari Sabtu, pukul 6 petang.

Penonton yang terlepas menyaksikan episod mingguan Da'i juga boleh menonton program tersebut melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Britney pulangkan cincin pertunangan

Posted:

Britney pulangkan cincin pertunangan

Britney pulangkan cincin pertunangan


JASON TRAWICK dan Britney Spears.


BINTANG pop terkenal, Britney Spears, 31, yang memutuskan pertunangan dengan Jason Trawick, 41, selepas 13 bulan bertunang dilaporkan telah memulangkan cincin pertunangan 3.5 karat kepada bekas tunangnya itu baru-baru ini.

Menurut laman gosip TMZ.com, Britney yang mempunyai dua orang anak lelaki, Sean Preston, 7, dan Jayden James, 6, hasil perkahwinannya sebelum ini dengan Kevin Federline bertindak memutuskan pertunangan tersebut kerana Jason enggan memiliki anak.

"Jason amat menyayangi anak-anak Britney tetapi dia tidak mahu memiliki anaknya sendiri," kata sumber yang rapat dengan pasangan itu.

Tambah sumber itu lagi, pasangan tersebut kerap bertengkar tentang penambahan bilangan anak dan ia menjadi punca utama mereka berpisah. Britney tidak diminta untuk memulangkan kembali cincin yang diberi ketika Jason melamarnya tetapi dia membuat keputusan itu sendiri.

Trawick merasakan hubungannya bersama Britney telah merampas sikap individu dirinya sehingga dia tidak boleh mengambil pelanggan lain dan kini dia tidak sabar untuk kembali fokus terhadap kerjayanya sebagai agen publisiti di Hollywood.

Pasangan itu dikatakan telah berpisah secara baik. Britney merupakan pemilik tunggal kepada rumah yang didiami mereka berharga RM25 juta dan tidak mempunyai sebarang masalah kewangan.

Penyanyi yang mengumumkan perpisahan mereka pada 11 Januari lalu mengatakan dia selalu kagum dengan Trawick dan akan kekal sebagai teman baik.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved