Ahad, 16 Disember 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Indigo pilihan Eric Leong

Posted:

Indigo pilihan Eric Leong

Indigo pilihan Eric Leong

Oleh NIZHA PERIASWAMY

WARNA memainkan peranan penting dalam hidup manusia. Warna boleh menceriakan suasana, menjadi perlambangan sesuatu keadaan, cermin diri seseorang dan bermacam-macam lagi. Disebabkan itu juga, dalam bidang rekaan dalaman, warna mempunyai fungsi begitu penting dalam menjelaskan tema sesuatu ruang.

Bagaimanapun, sama seperti busana fesyen yang berputar seperti roda, permainan warna cat terutamanya di dinding kediaman juga mempunyai trend tersendiri setiap tahun.

Selaku latar kepada ruang dan mampu memberi persekitaran statik untuk tempoh yang lama, warna cat perlu mengikut trend semasa atau melambangkan pilihan cita rasa peribadi.

Baru-baru ini Urban, berpeluang bertemu dengan Duta Jenama Dulux Paint, Eric Leong yang berkongsi tentang trend pilihan warna Dulux Paint untuk tahun 2013.

Bersama-sama Eric, turut memberi cadangan ialah Pengarah Urusan ICI Paints Malaysia, C. W. Goh.

Warna perhubungan

Mengupas trend warna dan juga konsep 2013, sambil menghulurkan sebuah katalog warna-warna pilihan terbaharu Dulux, Eric berkata warna indigo dijadikan warna 2013.

Baginya campuran warna biru tua yang mewakili sifat komunikasi dan warna ungu yang mewakili magis mempunyai percikan cita rasa hebat untuk tahun ini.

Eric mengakui, ia akan memberikan satu suasana mewah pada sesuatu ruang dan pada masa yang sama membawa elemen fantasi.


ERIC yang juga Duta Dulux sentiasa tampil dengan idea-idea bernas dalam konsep dekorasi.


Walau bagaimanapun, Eric berterus terang, apa jua trend warna semasa, seseorang itu masih boleh berpegang kepada warna pilihan atau kesukaan.

Menguatkan lagi cadangan Eric mengenai trend warna 2013, Goh pula memberitahu, Dulux memilih warna yang disifatkan sebagai rona perhubungan itu kerana mahu memberi laluan untuk saling berhubung, mewujudkan rangkaian, dialog dan inovasi.

"Kelajuan dalam menelaah maklumat menyebabkan kita perlu selalu berhubung tidak kira apa juga medium termasuk percikan warna cat," katanya.

Konsep dekorasi

Selain warna itu, Akzonobel iaitu syarikat induk Dulux juga memperkenalkan beberapa trend konsep dekorasi 2013 iaitu Collective Passion, Switching Off, The Art Of Understanding, Home Factory dan Visual Solace.

Goh mengakui, trend itu bersesuaian dengan pelbagai usia dan latar generasi yang inginkan variasi dan eksperimen biarpun dalam menghias ruang.

"Semua konsep dekorasi ini boleh berpadanan dengan usia, sikap atau nilai artistik seseorang.

"Collective Passion, misalnya berkonsepkan cita rasa generasi Y. Menggunakan warna-warna berani dan gembira seperti oren dan kuning, ia boleh diaplikasi pada dinding ruang tamu supaya menyerlahkan suasana terang," kata Goh.

Switching Off pula mempamer warna yang lebih lembut, senyap dan merehatkan. Ia menitikberatkan kedalaman ruang yang lazimnya diubahsuai menggunakan pencahayaan yang betul.


WARNA dinding memainkan peranan penting untuk menaikkan mood dan tema sesuatu ruang.


Bagi The Art of the Understanding pula, Eric mencadangkan warna-warna panas dan warna berorientasi keluarga seperti hijau. Katanya warna itu akan menyerlahkan persekitaran tampak moden.

"Home Factory menjadi pilihan ramai apabila kita melihat individu gemar melakukan pengubahsuaian sendiri, DIY. Konsep Home Factory menggunakan prinsip yang sama di mana menyerlahkan persekitaran yang lebih klasik, malap dan vintaj."

"Terakhir sekali ialah trend Visual Solace yang menggunakan warna-warna pilihan wanita, feminin seperti ungu, merah jambu dan sebagainya," ujar Eric pula.

Tambahnya, Visual Solace juga merupakan trend moden kontemporari yang mampu meningkatkan mod dalam persekitaran senyap.

Menurut personaliti yang pernah mengacarakan program TV, Deko Bersama Eric itu, pilihan warna harus seiring dengan identiti diri selain cita rasa.


DULUX menghasilkan pelbagai pilihan cat untuk memudahkan pengguna menata rias dinding kediaman atau pejabat.


Kesilapan memilih warna, boleh memberi impak. Eric memberi contoh paling umum, di mana lazimnya cat warna merah jambu untuk bilik anak perempuan dan biru untuk anak lelaki yang menjadi pilihan umum. Namun, ia sebenarnya boleh membentuk jiwa dan personaliti yang mungkin tidak berpadanan dengan sifat semula jadi mereka.

"Merah jambu bersifat manja dan tidak boleh dijangka. Itulah sebabnya anak perempuan kita bersikap demikian (manja), manakala warna biru menjadikan seseorang bersikap berdiam diri atau kurang bersosial.

"Jika anak anda hiperaktif, elakkan warna oren. Jika anda mahu persekitaran romantik pilihlah ungu," kata Eric yang baru-baru ini menerima Ijazah Kedoktoran daripada Universiti Teeside di United Kingdom.

3.5 juta pengunjung ke MAHA

Posted:

3.5 juta pengunjung ke MAHA

3.5 juta pengunjung ke MAHA

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


KAKITANGAN Mardi, Yusof Othman memberi makan baka ayam kampung yang baru dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertaniandan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd. Johari Baharum.


DIANJURKAN setiap dua tahun, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2012 ternyata merupakan salah satu acara yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pameran 10 hari yang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor baru-baru ini merupakan acara yang menggabungkan pelbagai teknologi industri pertanian dan perniagaan tempatan serta luar negara untuk mempromosikan produk hasil keluaran mereka.

"Saya amat teruja melihat pelbagai inovasi pertanian yang dimajukan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Sebagai contoh alat untuk membuang kulit buah-buahan. Ia dibina dengan teknologi canggih dan ini memberikan satu informasi baharu kepada saya," ujar seorang pengunjung, Mohd. Akmal Mohd. Raffi, 24.

Tidak hanya tertumpu kepada tujuh dewan pameran utama sahaja, pengunjung dapat melihat sektor pertanian serta ternakan haiwan tanah air di Laman Florikultur, Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Ikan, Laman Jentera, Laman Nanas serta Laman Sayur dan Herba.

Menerusi setiap laman itu, pengunjung dapat melihat inovasi yang digunakan oleh petani dan penternak Malaysia.


MOHAMMADREZA SHAMS menunjukkan produk-produk Fravashis yang dibawa dari Iran.


Pengunjung juga berpeluang menaiki trem yang disediakan oleh pihak penganjur untuk mengelilingi seluruh kawasan Maeps dan berhenti di laman pilihan mereka.

Promosi harga

Pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) juga membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk mempromosikan barangan keluaran mereka ke pasaran yang lebih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Toyyibah Network, Mohamad M. Said memberitahu, sempena MAHA 2012, syarikat miliknya yang menjual produk penapis air mengadakan promosi harga sehingga 50 peratus.

"Produk penapis air Hijrah Toyyibah Network kebiasaannya dijual pada harga RM1,000 dan ke atas. Untuk MAHA 2012, semuanya dijual pada harga kilang iaitu bawah RM1,000.

"Penapis air ini juga telah disahkan halal dan mengadakan promosi skim ansuran tanpa riba untuk pengunjung yang berminat membeli produk kami," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sehingga ke hari terakhir MAHA 2012, dianggarkan seramai 3.5 juta pengunjung telah menghadiri pameran itu.


PENGANJURAN MAHA 2012 dilihat antara yang terbaik pernah dianjurkan sebelum ini.


"Saya lihat MAHA 2012 mempunyai variasi pendedahan produk sektor pertanian dan ternakan jika dibandingkan dengan MAHA 2010. Gerai-gerai yang terlibat juga memberi informasi yang terperinci kepada saya walaupun hanya sekadar bertanya," ujar seorang lagi pengunjung, Nur Hafizah Mohd. Azmi, 30.

Tambahnya, dia berkesempatan membeli produk garam bukit buluh dari Korea Selatan yang berupaya meneutralkan asid dalam badan.

Produk luar negara

Sebuah syarikat dari Iran yang menjual manisan untuk digunakan dalam masakan dan minuman, Fravashis teruja apabila pihaknya diberi peluang untuk turut sama dalam MAHA 2012.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammadreza Shams memberitahu, Fravashis merupakan syarikat yang menjual manisan pertama dari Iran yang berjaya menembusi pasaran Malaysia.

"Produk ini boleh digunakan dalam penyediaan teh dan ia digunakan untuk menggantikan gula. Selain itu, ia juga mempunyai pelbagai perisa dan ternyata ia tidak memudaratkan kesihatan," ujarnya.

Menara lampu Natal Plaza Low Yat

Posted:

Menara lampu Natal Plaza Low Yat

Menara lampu Natal Plaza Low Yat

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


SUASANA malam di Plaza Low Yat bertambah meriah dengan limpahan lampu dan dekorasi Krismas.


APABILA berbicara mengenai telefon pintar, tablet dan peralatan komputer, Plaza Low Yat, Kuala Lumpur merupakan salah satu destinasi tumpuan seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan gajet terkini yang menjengah pasaran.

Harga yang ditawarkan di plaza yang terletak di Bukit Bintang itu amat berpatutan sekiranya dibandingkan dengan beberapa pusat teknologi maklumat lain di ibu kota.

Menjelang Hari Natal yang akan berlangsung pada minggu hadapan, Plaza Low Yat tidak ketinggalan dalam menawarkan pelbagai promosi hebat sempena perayaan tersebut.

Tidak hanya menawarkan promosi harga, dekorasi lampu dan perhiasan Hari Natal mewarnai segenap sudut plaza itu.

Antara yang akan menarik perhatian pengunjung ialah menara lampu Hari Natal warna-warni yang terletak di pintu utama. Ia merupakan simbolik kepada kerjasama plaza itu dengan syarikat telekomunikasi, Nokia Malaysia.

Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Operasi Plaza Low Yat, Michael Lee memberitahu, pihaknya sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik untuk pengunjung terutamanya menjelang hari perayaan.

"Setiap tahun, lampu-lampu yang bercirikan Hari Natal pasti menghiasi Plaza Low Yat. Ini merupakan salah satu cara kami untuk meraikan pengunjung dengan suasana meriah.

"Setiap kali Hari Natal, tradisi pemberian hadiah merupakan salah satu acara wajib dalam perayaan ini. Pengunjung boleh mendapatkan gajet terkini di sini untuk dihadiahkan kepada yang tersayang," ujarnya dalam majlis pelancaran Plaza Low Yat Christmas Tree Light Up baru-baru ini.

Pusat beli-belah bertaraf dunia


MENARA lampu Krismas Plaza Low Yat yang dibina berwarna-warni hasil kerjasama dengan Nokia.


Dengan jumlah 13 juta pengunjung yang berkunjung ke Plaza Low Yat sepanjang tahun ini, ia jelas menunjukkan bahawa plaza tersebut berada dalam kelasnya tersendiri.

Barangan elektronik yang dijual di Malaysia dikategorikan sebagai barangan bebas cukai sekali gus menarik pelancong untuk bertandang ke ibu negara sebagai destinasi membeli-belah mereka.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen memberitahu, Kuala Lumpur kini berada di tangga keempat daripada 10 negara yang mempunyai pusat beli-belah terbaik dunia menerusi tinjauan agensi berita antarabangsa CNN.

"Plaza Low Yat merupakan salah satu faktor Kuala Lumpur dipilih untuk menerima pengiktirafan itu berdasarkan jumlah pengunjung dan barangan elektronik serta gajet yang dijual secara bebas cukai.

"Menara lampu yang tersergam indah di Plaza Low Yat sempena Hari Natal ini diharap dapat memberi mood perayaan tahunan kepada pengunjung," ujarnya yang hadir merasmikan upacara menyalakan lampu menara itu baru-baru ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved