Jumaat, 14 Disember 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Mahu bantu wanita melalui laman web

Posted:

Mahu bantu wanita melalui laman web

Mahu bantu wanita melalui laman web

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

KE mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Peribahasa Melayu tersebut paling tepat menggambarkan peribadi wanita berusia 43 tahun ini yang dinobatkan sebagai Wanita Ikon 2011/2012 pada majlis Anugerah Wanita Ikon 2011/2012 pada 30 November lalu.

Anugerah anjuran majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) itu merupakan acara kali ketiga. Ia merupakan penganugerahan kepada wanita-wanita yang mempunyai pendidikan cemerlang, berkepimpinan tinggi, berpersonaliti menarik, berjaya dalam kerjaya, berkeperibadian murni dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menjadikan ibunya Puan Sri Halijah Aji yang banyak membuat kerja-kerja amal sebagai inspirasi, jalan hidup peguam bela dan peguam cara, Adillah Ahmad Nordin sarat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan.

Halijah selalu mengingatkan Adillah dan adik-beradiknya supaya menderma dan bersedekah terutama kepada anak-anak yatim. Setiap kali melihat orang dalam kesusahan, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak betah berpeluk tubuh.

"Saya aktif dalam kerja-kerja kebajikan sejak lima tahun lalu. Bermula dengan kerja-kerja amal di sekolah anak, saya membantu membaik pulih prasarana dan mengumpul dana hingga terbinanya blok bangunan baharu.

"Kemudian ia berkembang ke rumah-rumah amal yang lain. Saya juga sering dipanggil untuk memberi ceramah dalam seminar-seminar berkenaan hak wanita dan berpeluang bertemu secara langsung dengan ramai wanita yang memerlukan bantuan," kata kolumnis ruangan Wanita dan Undang-Undang majalah Wanita sejak Disember 2010.

Kerja-kerja kebajikan

Sejak menjadi kolumnis, pemilik sebuah firma guaman di Melaka itu dapat memperluaskan kerja-kerja kebajikan yang melibatkan wanita.

Keseriusannya membela nasib wanita jelas terbukti apabila beliau memberi nasihat undang-undang secara percuma kepada wanita-wanita yang memerlukan bantuan khidmat guaman.


RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun (dua dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Wanita Ikon 2011/2012 kepadai Siti Norma.


Malah, Adillah juga mengendalikan kes rumah tangga secara percuma untuk ibu-ibu tunggal di sekitar Melaka.

Adillah bertuah berkongsi hidup dengan Ahmad Zaharim Abdul Aziz, 49, yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

"Tanpa keredaan suami sudah tentu saya tidak dapat mencapai apa yang saya kecapi kini.

"Suami sentiasa di sisi semasa saya menjalankan aktiviti kebajikan terutamanya ketika di rumah anak-anak yatim. Kami berganding bahu, cuma dia tiada pada bengkel atau seminar bersama wanita sahaja," ujarnya sambil memberitahu anak-anak turut meluangkan masa dalam sebahagian aktiviti.

Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, terlalu banyak pengalaman dilalui yang banyak mengajarnya erti hidup.

Beliau mengakui begitu tersentuh tatkala berada di samping golongan yang kurang bernasib baik.

"Kita mesti tunjukkan keceriaan, sikap positif dan memberi harapan bahawa mereka semua mempunyai masa depan yang cerah jika berusaha bersungguh-sungguh," jelasnya yang berpegang kepada falsafah selalu berjuang melakukan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan.

Ditanya mengenai perancangan selepas menerima anugerah itu, anak kelahiran Ipoh, Perak itu mahu mewujudkan satu laman web atau portal wanita untuk memberikan nasihat undang-undang dalam talian secara percuma kepada wanita yang memerlukan bantuan.

Selama dua tahun menjadi kolumnis majalah Wanita, Adillah mengakui ramai wanita yang memerlukan pertolongan dan khidmat nasihat tetapi takut bertemu dengan peguam mungkin kerana malu atau tidak mampu membayar kos guaman.

"Melalui laman web atau portal ini, saya harap ia boleh membantu lebih ramai pembaca wanita.

"Selain itu, saya juga akan memperluaskan kerja-kerja amal khususnya menjalankan aktiviti di rumah-rumah kebajikan dan anak yatim," kata lulusan undang-undang Universiti Nottingham, England itu.

Adillah yang menewaskan empat pesaingnya yang lain dalam pencarian Wanita Ikon 2011/2012 menyifatkan wanita hari ini memikul tanggungjawab yang amat berat sebagai isteri dan ibu.

Tanggungjawab tersebut semakin mencabar apabila seseorang wanita itu berkerjaya.

Luangkan masa

"Wanita perlu mengimbangkan masanya di tempat kerja dan di rumah supaya kehidupannya lebih sejahtera. Apalah erti kejayaan dalam kerjaya sekiranya hubungan dengan suami tegang dan anak-anak terbiar.

"Bagi saya, wanita perlu bijak membahagikan masa dan perlu mempunyai kekuatan dalaman. Luangkan masa berkualiti dengan keluarga kerana tanggungjawab kita yang utama ialah keluarga," ujar bekas pendebat bahasa Inggeris Kolej Tunku Kurshiah, Seremban pada tahun 1985 hingga 1986. Bapa Adillah, Ahmad Nordin Md. Amin merupakan veteran UMNO dan Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).

Dengan kemenangan tersebut, Adillah membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, rantai choker tajaan D'or Rue, rantai mutiara Rafflesia dan barang kemas Habib selain pakej percutian ke Australia tajaan Plus & Plus Travel & Tours serta hamper L'Oreal Paris.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun berkenan mencemar duli menghadiri majlis dan menyempurnakan upacara penyampaian hadiah bagi pemenang Anugerah Wanita Ikon.

Sementara itu, Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman memberitahu, lima finalis wanita dipilih daripada 30 penyertaan individu dan jumlahnya amat menggalakkan.


MAJLIS turut dimeriahkan dengan persembahan penuh tenaga daripada Datuk Khatijah Ibrahim.


"Pencalonan terdiri daripada barisan wanita hebat Malaysia yang mempunyai kelebihan tersendiri dan telah mencapai kejayaan membanggakan dalam bidang yang diceburi," katanya.

Empat finalis lain ialah Timbalan Pengarah Perhubungan Akademik, Kolej Mara Banting, Selangor, Dr. Saaidah Abdul Rahman; Pengarah Urusan Nazra Sdn. Bhd., Ratna Nainy; Ketua Unit Kualiti, Kolej Profesional Mara, Melaka, Dr. Mumtaz Begam Abdul Kadir dan Pengarah Eksekutif Talasco Dagang Sdn. Bhd., Narthreza Puteri Abdullah.

Generasi muda

Pemilihan Wanita Ikon 2011/2012 pada malam itu diadili oleh lapan juri profesional. Mereka ialah Pengarang Wanita, Normala Hamzah selaku Ketua Juri; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Nursiah Arshad; Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara, Datuk Hanisah Omar; Presiden Management and Science University, Datuk Wira Dr. Mohd. Shukri Abdul Yazid.

Turut menjadi juri ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani; Pengasas Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr. Nora Ashikin Ahmad Mokhtar; pakar motivasi, Profesor Dr. Muhaya Mohammad dan Faridah Hashim selaku juruaudit.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali.

Selari dengan perkembangan semasa, penganjur turut mengiktiraf peranan wanita muda dalam pembangunan negara meliputi pelbagai bidang seperti sukan, pendidikan, sosial dan keusahawanan.

Sehubungan itu, satu kategori baharu telah diperkenalkan iaitu Anugerah Gadis Ikon bagi mengiktiraf peranan dan kejayaan yang telah diraih oleh generasi muda.

Anugerah Gadis Ikon kategori Sosial diberikan kepada Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Utara Malaysia, Arnida Abdullah; Pengarah Urusan Naturalife Solution Sdn. Bhd., Ili Zawani Ismail (Keusahawanan); Penembak Negara, Muslifah Zulkifli (Sukan) dan Penyelidik dan Pensyarah Kanan Jabatan Perkhidmatan & Pengurusan Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Wan Melissa Wan Hassan (Pendidikan).

Dalam pada itu, pihak penganjur turut memberikan pengiktirafan kepada tokoh wanita negara yang telah memainkan peranan besar dalam pembangunan negara dan masyarakat.

Tokoh Wanita Ikon 2011/2012 dianugerahkan kepada Tan Sri Siti Norma Yaakob yang merupakan bekas Hakim Besar Malaya di atas sumbangan beliau dalam bidang kehakiman di peringkat nasional dan antarabangsa.

Anugerah Wanita Ikon pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007 menyaksikan ahli perniagaan Syarikat Megah Padu merangkap usahawan produk kecantikan Kayla Beverly Hills, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon 2007.

Bagi tahun berikutnya, Anugerah Wanita Ikon 2008 dirangkul oleh pemilik D'Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd., Datuk Azlina Che Abdullah.

Selepas dua tahun diadakan, Anugerah Wanita Ikon turut menobatkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar sebagai Tokoh Anugerah Wanita Ikon 2007, manakala Tan Sri Rafidah Aziz sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita 2008.

Pengiktirafan dibuat berdasarkan jasa dan sumbangan mereka terhadap kemajuan ekonomi negara dan pembangunan wanita.

Semangat juang pesakit kanser

Posted:

Semangat juang pesakit kanser

Semangat juang pesakit kanser

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


PARA peserta menyalakan lilin dalam beg kertas Luminaria yang disusun panjang di sepanjang trek bagi menghargai perjuangan pesakit kanser.


TEPAT pukul 6 petang pada 13 Oktober lalu, suasana Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi gamat dengan sorak dan tepukan segerombolan manusia.

Kegamatan tersebut bukan kerana berlakunya demonstrasi jalanan atau piket yang mengundang konfrontasi tetapi hanya ledakan semangat penyokong kuat pesakit-pesakit kanser yang menyertai program larian Relay For Life - KL 2012 (RFL KL) anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

RFL merupakan acara komuniti yang berlangsung semalaman. Ia menuntut para peserta membuat larian atau berjalan selama 16 jam secara bergilir-gilir di atas trek tanpa henti bermula pukul 6 petang 13 Oktober dan berakhir pukul 10 pagi keesokan harinya.

Tahun ini merupakan tahun keenam NCSM mengadakan acara RFL KL sejak ia diperkenalkan pada tahun 2007. Jun lalu, dua acara RFL telahpun berlangsung di Melaka dan Pulau Pinang.

Diilhamkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Amerika, tahun ini merupakan ulang tahun RFL yang ke-28 dan ia disambut di 21 buah negara.

"Relay For Life menghubungkan masyarakat. Melalui perhimpunan ini, kami berharap dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa kanser adalah sesuatu yang tabu.

"Kami ingin menampilkan bahawa di sebalik penyakit kanser, wujudnya semangat keazaman, kekuatan dan ketabahan," kata Pengerusi Relay For Life Malaysia, Datuk Zuraidah Atan merangkap Penasihat Kehormat NCSM.

Tambahnya, RFL dianjurkan bagi meraikan setiap bekas pesakit kanser dan ketabahan mereka menjadi inspirasi kepada semua.

"Di sini juga kami memperingati mereka yang telah pergi disebabkan kanser dan saya berharap semua yang hadir akan berikrar untuk melawan penyakit ini.


ACARA Relay For Life ini berjaya menarik penyertaan orang ramai tidak mengira peringkat usia.


"Saya sangat gembira melihat sukarelawan-sukarelawan muda pada tahun ini. Kami berharap mereka akan menjadi penyokong dan penyebar maklumat berkaitan kanser terutamanya melalui saluran media sosial," ujarnya.

Tarik minat

Pada tahun ini RFL KL berjaya menarik minat sekurang-kurangnya 3,500 peserta termasuk bekas pesakit-pesakit kanser dan sukarelawan dari segenap lapisan masyarakat.

Sebanyak RM200,000 telah dapat dikumpulkan daripada penajaan, sumbangan dan pendaftaran RFL KL 2012. Dana tersebut akan disalurkan kepada NCSM Helpdesk.

NCSM Helpdesk merupakan sebuah sistem sokongan untuk para pesakit kanser dan penjaga mereka yang dikendalikan oleh bekas-bekas pesakit kanser.

Pesakit dan pelawat NCSM akan mendapat tunjuk ajar mengenai perkara yang bakal mereka lalui apabila didiagnosis menghidap kanser dan soalan-soalan yang patut diajukan kepada doktor selain diberikan bahan bacaan berkaitan kanser.

Selain daripada itu, dana terkumpul juga akan disalurkan untuk rawatan radioterapi di Pusat Rawatan Kanser NCSM dan penginapan kanak-kanak menghidap kanser di Rumah Kanak-Kanak Home of Hope.

Sebagaimana biasa, acara RFL dimulakan dengan larian Survivor Lap yang menyaksikan bekas-bekas pesakit kanser berjalan pada pusingan pertama.

Perjalanan mereka diiringi sorakan orang ramai bagi menaikkan semangat mereka seumpama menghantar bala tentera pergi berperang. Dalam konteks diri mereka, peperangan itu ialah untuk menewaskan musuh utama iaitu kanser.

Ada antara mereka menyempurnakan pusingan di balapan stadium dengan menaiki kerusi roda. Sorakan yang mengiringi perjalanan mereka semakin gamat apabila bekas-bekas pesakit kanser itu melengkapkan pusingan pertama.

Aneka ragam

Sejurus kemudian, para peserta lain mula berjalan mengelilingi trek bergilir-gilir sepanjang tempoh 16 jam yang seterusnya untuk menzahirkan sokongan mereka.

Pelbagai aksi dan ragam dapat dilihat. Kelihatan ibu bapa berjalan sambil mendukung anak kecil, peserta memakai uniform sekolah melompat girang malah ada yang memakai baju mengikut tema Arab.


KANAK-KANAK ini sempat berlatih terlebih dahulu sebelum membuat persembahan di atas pentas.


Sementara yang lain sibuk meneruskan perjuangan berjalan mengelilingi trek tanpa henti, pasukan khas sukarelawan sibuk bertugas mengutip sampah bagi memastikan persekitaran tidak dicemari sampah.

Walaupun masing-masing sibuk berjalan bagi mencapai objektif acara tersebut diadakan, masing-masing masih memberikan tumpuan pada pentas utama yang menyediakan pelbagai persembahan yang dilakukan oleh sukarelawan sendiri.

Antara persembahan yang menarik perhatian ramai ialah tarian penuh tenaga daripada Candy Girls yang terdiri daripada ibu-ibu yang hebat.

Selain daripada persembahan, para peserta boleh mengunjungi gerai-gerai yang menyediakan pelbagai aktiviti iaitu urut kaki, bergambar dengan selebriti dengan bayaran RM5, penjualan cenderamata, seni rias kuku dan seni pasir berwarna.

Acara kemuncak yang menyentuh hati ialah acara Luminaria. Sebaik sahaja matahari terbenam, seluruh stadium digelapkan untuk memulakan acara dedikasi Luminaria.

Beg kertas Luminaria yang lengkap dihias dinyalakan dan disusun di sepanjang trek stadium untuk menghargai perjuangan mereka yang sedang menghidapi kanser selain memperingati mereka yang telah pergi.

Beg tersebut akan terus dinyalakan sepanjang malam sebagai simbol harapan kepada para pejuang kanser. Salah satu beg Luminaria tertulis 'I'll see you on the other side' menggoyah emosi sesiapa yang membacanya.

Bagi peserta yang merancang bermalam di stadium, banyak khemah disediakan untuk disewa.

RFL merupakan acara amal unggul NCSM dan ia diharapkan dapat dianjurkan di seluruh negara pada tahun-tahun akan datang.

RFL KL 2012 disokong oleh Astro & Mix FM, Timberland, UKM, Brother International, Oriental Metal Industries, Murphy Oil, Northport, Spritzer, Giant, Sabah Tea dan para penaja lain di samping sokongan daripada para bekas pesakit kanser, sukarelawan, selebriti dan rakan-rakan media.

Mudarat daripada minuman tenaga

Posted:

Mudarat daripada minuman tenaga

Mudarat daripada minuman tenaga


KAITAN kesan kafein terhadap kandungan ibu hamil masih banyak diperdebatkan. - Gambar hiasan


KEBIMBANGAN terhadap kesan berbahaya daripada minuman tenaga, terutamanya apabila ia digabungkan dengan alkohol, telah berkembang dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Sebuah berita dalam akhbar New York Times pada pertengahan November lalu menambahkan kebimbangan tersebut apabila Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) mendedahkan bahawa mereka telah menerima laporan 13 kematian yang dikaitkan dengan minuman tenaga, 5-Hour Energy.

Minuman tersebut mengandungi kira-kira 215 miligram (mg) kafein, bersamaan kira-kira dua cawan kopi.

Berikut merupakan lima isu kesihatan membimbangkan yang dikaitkan dengan minuman rangsangan:

Jantung

Menurut akhbar New York Times, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat yang memasarkan minuman tenaga 5-Hour Energy telah memfailkan 30 laporan kecederaan serius kepada FDA berkaitan dengan produk termasuk serangan jantung.

Pada tahun 2007, seorang lelaki Australia berumur 28 tahun mengalami masalah jantung yang terhenti melebihi tujuh jam selepas mengambil lapan tin minuman tenaga. Setiap tin mengandungi 80mg kafein. Pesakit tersebut juga tidak mempunyai sejarah sakit dada.

Profesor Madya Perubatan, Dr. John Higgins dari University of Texas di Houston, Amerika Syarikat berkata, kafein dan lain-lain sebatian dalam minuman tenaga boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.

Kata Higgins, kafein boleh menyebabkan sel-sel jantung mengeluarkan kalsium yang boleh menjejaskan denyutan jantung hingga membawa kepada aritmia (penyimpangan ritma jantung).

Minuman tersebut juga boleh mengganggu keseimbangan normal garam dalam badan yang turut dikaitkan dengan aritmia.

Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang cukup untuk menekankan bahawa minuman tenaga menyebabkan masalah jantung.

Lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk menentukan amaun pengambilan minuman tenaga yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kesan-kesan negatif.


MINUMAN tenaga banyak diambil oleh generasi muda yang aktif. - Gambar hiasan


Keguguran

FDA juga menerima satu laporan yang mengaitkan pengambilan minuman tenaga 5-Hour Energy dengan keguguran.

Begitupun, terdapat dua hasil kajian berbeza mengenani kesan kafein terhadap keguguran. Kajian pada tahun 2006 mendapati lebih daripada 1,000 wanita hamil mengambil lebih daripada 200mg kafein sehari (kopi, teh, soda atau coklat panas) berhadapan dua kali ganda risiko keguguran berbanding wanita hamil yang tidak mengambil minuman berkafein.

Walau bagaimanapun, kajian yang diterbitkan pada tahun 2008 mendapati tiada kaitan antara pengambilan kafein (tanpa mengira jumlah) dan risiko keguguran pada usia dua minggu kehamilan.

Oleh kerana dapatan kajian belum muktamad, American College of Obstetricians and Gynecologists menasihatkan bahawa wanita hamil mengehadkan pengambilan kafein kepada 200mg sehari.

Kesan alkohol

Kajian menyatakan bahawa menggabungkan alkohol dan minuman tenaga boleh membahayakan.

Walaupun kafein merupakan perangsang, ia tidak dapat mengatasi kesan sedatif alkohol.

Berdasarkan Journal of the American Medical Association (JAMA) yang diterbitkan tahun lalu, terdapat kebimbangan bahawa campuran alkohol dan minuman tenaga boleh menyebabkan seseorang itu berjaga untuk tempoh masa yang panjang, seterusnya membolehkan mereka mengambil alkohol lebih daripada biasa.

Satu kajian pada 2011 mendapati kira-kira 1,100 pelajar kolej yang mengambil minuman tenaga secara kerap, 2.5 kali ganda cenderung memenuhi kriteria diagnostik pergantungan alkohol daripada mereka yang tidak mengambil minuman tenaga.

Ia mungkin disebabkan oleh amalan mencampurkan alkohol dan minuman tenaga atau pengambilan kafein bagi memulihkan mabuk. Kemungkinan juga ia pengaruh kafein pada otak yang menyebabkan ketagihan.

Penyalahgunaan dadah

Satu lagi kajian yang melibatkan 1,060 pelajar mendapati pengambilan minuman tenaga pada tahun kedua pembelajaran di kolej telah dikaitkan dengan peningkatan risiko preskripsi penyalahgunaan dadah (penggunaan perangsang atau ubat penahan sakit tanpa preskripsi) pada tahun ketiga kolej.

Dalam isu 2010 yang ditulis oleh penyelidik dalam Journal of Addiction Medicine menjelaskan mengenai kaitan penyalahgunaan dadah dengan minuman tenaga.

Minuman tenaga umpama ubat-ubatan preskripsi dan ia mungkin dianggap oleh sesetengah pelajar sebagai normatif yang lebih selamat atau boleh diterima secara sosial berbanding dadah haram jalanan.

Gangguan kognitif

Walaupun sesetengah pelajar bergantung pada minuman tenaga untuk berjaga sepanjang malam untuk mengulang kaji bagi persediaan menghadapi peperiksaan, terdapat beberapa bukti bahawa tahap kafein yang berlebihan dalam minuman boleh menjejaskan upaya kognitif.

Satu kajian kecil pada tahun 2010 mendapati pengambilan jumlah kafein yang sederhana iaitu kira-kira 40mg dapat memberikan prestasi lebih baik pada ujian tindak balas. Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein berlebihan iaitu menyamai tahap yang didapati dalam setin air tenaga memburukkan prestasi ujian tindak balas.

Sumber: http://www.myhealthnewsdaily.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved