Sabtu, 8 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Empat 'nyawa' Merlin

Posted:

Empat 'nyawa' Merlin

Empat 'nyawa' Merlin

KEJAYAAN besar drama bersiri epik fantasi, Merlin boleh dianggap sebagai sebuah fenomena yang berlaku di seluruh dunia.

Ia sukses mengangkat nama empat pelakon utamanya iaitu Colin Morgan sebagai Merlin, Bradley James (King Arthur) Angel Coulby (Gwen/Queen Guinevere), Katie McGrath (Morgana).

Sejak tayangan musim pertama pada tahun 2008, drama bersiri pengembaraan epik fantasi ini berjaya mendapat tempat di hati penonton.

Merlin kini telah ditayangkan di lebih 180 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri.

Ternyata, sehingga ke musim keempat, rating Merlin di seluruh dunia begitu menggalakkan dan tinggi.

Bagaimanapun, tahun 2012 bakal menyaksikan pengakhiran pengembaraan epik Merlin dengan munculnya musim kelima yang dikatakan lebih dramatik.

Ia bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang menarik, malah karakter-karakter utamanya juga memberi impak yang mendalam kepada penonton.

Itulah apa yang diperkatakan Colin, Bradley, Angel dan Katie kepada Kosmo! dalam temu ramah menerusi perbualan telefon yang bertempat di Sri Pentas, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini.

Tuah Colin

Walaupun bukan pertama kali terlibat dalam lapangan seni terutamanya bidang lakonan, namun, pemilik nama Colin Morgan yang memegang watak utama dalam Merlin mengakui tuahnya semakin bersinar setelah siri TV tersebut berlangsung selama lima musim.

"Tidak dinafikan, setelah memegang watak sebagai Merlin, saya mula dikenali bukan sahaja di negara saya sendiri, malah di negara lain juga.

"Saya rasa sangat bertuah dan berterima kasih di atas sokongan yang peminat drama bersiri ini berikan sepanjang ia bersiaran di televisyen," tutur lelaki tinggi lampai bermata biru ini.

Tambahnya, dia sama sekali tidak menyangka siri Merlin akan menjadi fenomena seperti hari ini.

"Dari episod pertama lagi Merlin sudah menerima sambutan yang baik. Kami sebenarnya tidak dapat bayangkan bagaimana ia terjadi dan memang sangat terkejut dengan sambutan yang diberikan," jelasnya.

Katanya lagi, watak Merlin tidak banyak yang berubah, namun dalam musim terakhir ini, Colin menjelaskan, kali ini jalan cerita Merlin lebih bersifat sofistikated dan peminat pasti tidak akan kecewa dengan musim terakhir ini.

Idaman Bradley

Selain Merlin, satu lagi watak penting siri TV ini sudah tentu King Arthur lakonan Bradley James yang pada awalnya merupakan putera dan pewaris kerajaan Camelot.

Dia menaiki takhta menggantikan mendiang bapanya, Raja Uther.

Ujar Bradley yang merupakan kelahiran Devon, England ini, sememangnya King Arthur merupakan karakter yang sangat dinanti-nantikannya sepanjang penglibatannya dalam lima musim Merlin.


TUNJANG utama Merlin (dari kiri), Angel Coulby, Colin Morgan, Bradley James dan Katie McGrath.


"King Arthur merupakan watak yang dinanti-nantikan seumur hidup saya. Ini kerana King Arthur bukan sahaja karakter yang dikenali di United Kingdom sahaja, malah di seluruh dunia.

"Saya berasa sangat berbesar hati melakonkannya dan berbangga setiap kali mengingatinya," tutur Bradley.

Ditanya tentang apa yang paling digemarinya sepanjang terlibat dengan Merlin, jawab jejaka berusia 29 tahun ini, dia paling suka ketika babak melakukan adegan berperang bersama pelagak ngeri.

"Saya sangat teruja dan seronok bersama mereka sepanjang babak tersebut. Mereka sentiasa bertenaga dan sentiasa tampil dengan gerak aksi yang kreatif.

"Saya juga seorang yang lasak jadi, ia bagaikan keseronokan bagi saya melakukan aksi lagak ngeri tersebut bersama mereka semua," jelasnya sambil ketawa kecil.

Angel merindui Katie

Dalam musim kelima Merlin, Angel Coulby yang sebelum ini melakonkan watak pekerja istana, Gwen mula menjiwai watak Queen Guinevere selepas mengahwini King Arthur. Kali ini dia perlu lebih banyak bersemuka dengan wanita sihir jahat yang bernama Morgana.

Namun akuinya, setelah beberapa musim berlalu, penampilannya bersama Morgana yang dilakonkan oleh Katie McGrath itu, semakin kurang.

"Ya, memang kami sudah lama tidak bekerja bersama dalam Merlin. Rasanya mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun kami tidak ada babak yang menggandingkan kami secara langsung.

"Bagaimanapun ada beberapa babak saya kembali bergandingan dengan Katie menerusi beberapa siri terakhir dan saya sangat gembira bekerja bersamanya semula. Nantikan kemunculan babak kami kerana ia merupakan babak yang tegang berlaku antara Gwen dan Morgana," jelas wanita kelahiran London, England ini.

Katanya lagi, dia serta pelakon lain sangat berterima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh peminat saban tahun.

"Dahulu, ketika penggambaran bagi musim pertama Merlin, hanya empat orang sahaja yang duduk di tepi tembok dan menjadi penonton.

"Kini, ia telah meningkat kepada beratus-ratus peminat yang sanggup menonton 'secara langsung' di set penggambaran Merlin. Ia merupakan sebuah pengalaman yang paling mengujakan buat kami semua, " luah Angel.


MUSIM kelima Merlin menyaksikan Angel Coulby perlu menjiwai karakter Queen Guinevere.


Kuasa lebih Morgana

Sepanjang sesi temu ramah dengan media Malaysia, Katie McGrath merupakan individu yang paling banyak berceloteh dan memberikan jawapan terhadap soalan yang diajukan.

Katanya membuka bicara, kesemua mereka berasa bertuah kerana dapat terlibat dalam Merlin.

Selama lima tahun bersiaran di seluruh dunia, mereka sangat gembira dengan penerimaan peminat terhadap penampilan mereka dalam Merlin.

Bagi pengikut setia siri ini, pasti mengetahui jika sebelum ini, karakter Morgana boleh dianggap sebagai kurang pasti dan yakin dengan kuasa dan dirinya sendiri. Bagaimanapun dalam musim terakhir Merlin ini, Morgana menjadi lebih 'gelap' dan berkuasa.

"Saya suka dan sangat menikmati karakter baharu Morgana ini. Saya pernah lakonkan watak cerah (baik) dan gelap (jahat) Morgana namun watak gelap ternyata lebih mengujakan saya dan saya memang menggemari watak antagonis ini.

"Kali ini, Morgana seorang yang sangat bijak memanipulasikan keadaan dan menggunakan orang lain demi mencapai apa yang dimahukannya. Ya, saya sukakan semua itu!," ceritanya penuh teruja.

Katie mengakui dia dan para pelakon Merlin yang lain pasti akan merindui setelah lima musim berkerjasama untuk siri TV tersebut.

"Kami semua telah melakukan yang terbaik untuk menyajikan yang terbaik buat peminat siri Merlin ini. Harapan kami agar dapat memberi kepuasan kepada penonton dan peminat, itu yang paling penting," tuturnya bersulam emosi.

Atilia kahwin Februari 2013

Posted:

Atilia kahwin Februari 2013

Atilia kahwin Februari 2013

Oleh HARYATI KARIM


ATILIA belum mahu mendedahkan secara rasmi identiti bakal suaminya.


KECOH penyanyi genit Atilia, 38, khabarnya bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang jurutera bunyi pada tahun ini selepas bercinta selama empat tahun.

Sebelum ini perkahwinan Atilia dengan Ariff Johan Abdul Aziz selama 10 tahun berakhir dengan perceraian pada tahun 2009. Hanya tinggal sebulan sahaja sebelum masuk ke tahun 2013, namun berita atau kad perkahwinan Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron masih tidak kelihatan.

Isu tersebut terus sahaja diajukan kepada Atilia sewaktu Kosmo! bertemu dengan anak penyanyi Salamiah Hassan itu pada majlis makan malam Pinky Jazzy Affair dan pelancaran ambulans merah jambu oleh Hospital Gleneagles di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan perancangan perkahwinan Atilia yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini?

ATILIA: Sepatutnya mengikut perancangan awal, memang saya akan berkahwin sekitar bulan Disember ini, tetapi disebabkan jadual kerja yang sangat padat, perkahwinan saya akan ditunda ke bulan Februari tahun depan.

Mengapakah harus ditunda sedangkan umur anda bukannya muda lagi?

Ya, saya tahu. Tahun ini usia saya genap 38 tahun. Sebab itu, kalau boleh saya ingin berkahwin segera dan ingin beri ibu saya cucu (ketawa). Rasanya, ramai yang sudah lama dengar saya nak kahwin, malu pula mahu bercerita pasal kahwin sebab asyik ditunda tarikhnya.

Apakah yang menyebabkan anda sanggup menunda tarikh perkahwinan?

Terlalu banyak kerja yang harus diselesaikan seperti rakaman album ketiga pada bulan ini dan konsert mini saya di Indonesia pada bulan Januari tahun hadapan. Selepas itu barulah saya ada masa lapang, sebab itu saya pilih bulan Februari tahun depan. Bukan sengaja ingin tunda tarikh kahwin, jadi saya harap semua faham.

Apakah pula pandangan bakal suami dan keluarga apabila anda tentang perkara ini?

Alhamdulillah, tiada sebarang bantahan. Ibu saya tidak meletakkan sebarang tekanan dan amat memahami keputusan saya. Begitu juga dengan bakal suami. Sebenarnya, dia yang memutuskan supaya kami menunda tarikh perkahwinan kerana tidak mahu semuanya dilakukan secara terburu-buru.

Kenapa sembunyikan identiti bakal suami?

Bukan saya ingin sembunyikan identiti bakal suami. Kalau ada yang pernah terserempak dengan kami, saya tidak lari dan saya tidak kisah orang tahu dengan siapa saya bercinta. Cuma belum masanya untuk saya beritahu secara rasmi kerana dia orang biasa, bukannya artis. Cukup sekadar saya beritahu kami sudah beberapa tahun bercinta dan dia seorang jurutera bunyi.

Bagaimanakah persiapan perkahwinan?

Masih banyak yang harus diselesaikan, cuma bagi saya apa yang penting ialah majlis akad nikah. Majlis resepsi dilakukan kemudian atau lewat sedikit pun tidak menjadi masalah buat saya. Majlis perkahwinan pilihan saya berkonsep klasik dan ringkas.

Bekas suami tahu Atilia bakal berkahwin?

Walaupun kami telah berpisah, hubungan saya dengan bekas suami masih lagi baik dan kami kekal menjadi sebagai rakan. Ya, dia tahu dan saya harap perkahwinan kali kedua ini akan kekal sehingga ke akhir hayat. Harap semua dapat doakan yang terbaik buat diri saya.

Siti lelong tudung

Posted:

Siti lelong tudung

Siti lelong tudung

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


SITI NURHALIZA dan Fahrin Ahmad merupakan dua individu penting Malam Amal Tahajjud Cinta yang bakal berlangsung pada 30 Januari tahun depan.


PASTI ramai yang mahu bergaya dengan mengenakan tudung yang serupa dengan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza, atau paling tidak pun untuk memakai tudung yang pernah digayakan oleh bintang tersohor negara itu.

Hasrat itu bakal direalisasikan menerusi jualan lelong dua helai tudung yang dipakai oleh Datuk Siti Nurhaliza menerusi Malam Amal Tahajjud Cinta yang bertempat di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 30 Januari tahun depan.

Bukan calang-calang jualan kerana tudung pertama yang akan dilelong merupakan rekaan khas pereka tudung dan busana Muslimah terkenal, Fareeda yang direka eksklusif hanya untuk Siti.

Kata Siti yang teruja menantikan majlis tersebut, tudung yang digayakan itu bertepatan dengan citarasa dirinya. Siti sangat menyenangi tudung yang selesa dipakai.

"Tudung warna merah hitam ini selesa dipakai dan rekaannya juga ringkas serta senang digayakan. Untuk tudung kedua yang akan dipakai pada majlis tersebut lebih bercirikan elegan dan glamor. Mungkin juga tudung kedua akan direka sendiri oleh saya," ujarnya pada sidang akhbar Malam Amal Tahajjud Cinta di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tudung yang dipakai oleh penyanyi lagu Muara Hati itu sangat istimewa kerana selain rekaannya yang eksklusif, ia juga bertatahkan batu permata swarovski serta diperbuat daripada fabrik sifon. Ujar Siti, harga permulaan lelongan masih belum ditetapkan.

Selain lelongan tudung tersebut, malam amal yang bertujuan mengutip dana melalui penjualan meja makan bermula dari lingkungan harga RM10,000 hingga RM35,000 untuk disalurkan kepada dua buah pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia untuk membangunkan program pendidikan, pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan kepada pesakit HIV dan AIDS.

Pembabitan Siti menerusi program Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan AIDS Malaysia bermula sejak tahun 2009.

Khusus untuk majlis yang bakal dihoskan oleh aktor Fahrin Ahmad itu, Siti bakal mendendangkan beberapa buah lagu berkonsepkan kerohanian yang turut dipetik daripada album Tahajjud Cinta (2009) dalam durasi masa yang diperuntukkan selama 30 minit.

"Turut membuat persembahan pada malam itu nanti ialah kumpulan Mohram dan beberapa rakan artis, manakala susunan muzik pula diberikan nafas baharu oleh Aubrey Suwito," katanya yang bakal berangkat ke Indonesia pada 9 Disember ini untuk konsert Ekspresi Gemilang di Jakarta, Pekan Baru dan Banjar Masin, Indonesia.

Selain itu, majlis akan diserikan dengan pertunjukan koleksi tudung Fareeda yang merupakan penaja utama majlis Malam Amal Tahajjud Cinta.

Ujar Pengurus Pemasaran Fareeda merangkap jurucakap produk itu, Mawar Aminuddin, pihaknya menyandarkan harapan tinggi untuk mendapatkan sebanyak mungkin sumbangan menerusi penjualan meja dan lelongan tudung.

"Kami sasarkan untuk mengumpul lebih RM500,000 dana untuk disumbangkan kepada badan-badan kebajikan terbabit dan berharap agar usaha tanggungjawab sosial korporat ini mendapat sokongan ramai," ujarnya.

Pembelian meja, tempahan dan sumbangan penajaan untuk Malam Amal Tahajjud Cinta pada 30 Januari 2013 telah mula dibuka kepada syarikat, korporat atau individu yang berminat.

Keterangan lanjut hubungi Jasmin Jalil di talian 03-4047 4311/4277.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved