Isnin, 17 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bedroom Sanctuary hanya Bo

Posted:

Bedroom Sanctuary hanya Bo

Bedroom Sanctuary hanya Bo

BO mahu menggunakan namanya sahaja iaitu Bo bermula tahun hadapan sebagai pengenalan diri. Dia akan meninggalkan nama Bedroom Sanctuary yang telah banyak menimbulkan kekeliruan terhadap status karier solonya.


MENANTIKAN kelibat berdua atau mungkin bertiga pemilik nama Bedroom Sanctuary pada petang hari Jumaat minggu lalu selepas janji untuk mengadakan sesi fotografi bersama Kosmo!, secara total telah mengubah persepsi asal.

Hanya yang muncul si vokalisnya. Pada telahan, barangkali ahli-ahli kumpulan itu yang biasa dilihat berdua atau bertiga tidak dapat hadir atas alasan tertentu.

Hakikatnya, apabila disapa oleh penyanyi yang memperkenalkan dirinya sebagai Bo, jangkaan semakin meleset. Hanya seorang diri, dia pantas mahu melunaskan sesi fotografi itu tanpa membuang masa.

"Bedroom Sanctuary adalah saya dan jenama itu diperoleh menerusi projek-projek lagu saya sebelum ini. Maka, Bedroom Sanctuary adalah artis solo yang hanya akan melibatkan ahli-ahli lain (kawan rapat) apabila perlu saja.

"Sama juga seperti Five for Fighting yang bergerak secara solo walau namanya berbunyi seakan-akan berkumpulan," jelasnya yang mengaku banyak kali mengelirukan beberapa pihak.

Belum pun nama Bedroom Sanctuary menjelajah minda umum, Bo atau empunya nama sebenar Mohd. Amir Iqram Mohd. Zaidi, 26, memberitahu agenda kariernya pada tahun depan.

"Saya akan menukarkan nama Bedroom Sanctuary ke Bo sahaja, rasanya lebih mudah.

"Saya juga tidak fikir perkara ini akan ada masalah. Ini kerana muzik saya masih sama cuma nama sahaja yang akan berubah. Saya percaya kekuatan itu datang dari muzik dan bukan bergantung kepada nama," ujarnya.

Memulakan karier di dalam bidang pengiklanan, Bo mengaku dia kini mahu lebih serius dalam bidang nyanyian.

"Saya merupakan penyanyi sepenuh masa dan bergerak di bawah label saya sendiri iaitu Pixelated Waves.

"Peralihan daripada muzik indie ke dalam arus perdana bukan mudah, namun itu cabaran yang perlu saya hadapi," katanya.

Album tiga bahasa

Berteraskan genre muzik akustik, jazz, pop dan sedikit raggae, tambah Bo lagi, perkembangan seninya dipacukan dengan kelahiran album sulungnya berjudul I Cant Draw So I Sing yang disasarkan pada awal tahun 2013.

"Album yang mengandungi 16 buah lagu itu sudah siap sepenuhnya dan akan dipasarkan kemungkinan besar pada bulan Januari 2013.

"Istimewa album itu kepada saya kerana mengumpulkan lagu-lagu terbaik sepanjang pembabitan saya dalam dunia seni bermula pada tahun 2008," jelas Bo yang tidak menyasarkan perkembangan genre muziknya pada masa akan datang.

BO melihat keterbukaannya berkongsi kisah peribadi seperti pengakuannya sudah mempunyai kekasih bernama Tina, tidak akan membuat popularitinya merudum.


Album terbaharu itu menggabungkan tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin. Kata Bo lirik berbahasa Mandarin diterjemahkan oleh nenek dan teman-teman rapatnya daripada lirik asal tulisannya yang berbahasa Malaysia.

"Sebenarnya, saya lebih suka mencipta lagu daripada menjadi penyanyi. Rasanya lebih selesa untuk berada di belakang tabir, bagaimanapun saya percaya setiap peluang itu memberi lebih sebab untuk kita berada lebih jauh ke hadapan," simpulnya.

Tuah Lagu

Terpilih antara finalis Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) yang akan berentap bersama 11 buah lagu lain pada 6 Januari ini, Bo tidak sama sekali menduga akan kejayaannya hingga tahap ini.

"Single saya berjudul Lagu itu sebenarnya dicipta untuk sebuah iklan komersial tidak lama dulu. Bagaimanapun lagu itu mula popular apabila saya memuat naik video saya menyanyikan lagu itu ke laman YouTube.

"Lagu ini sebenarnya mengenai perjalanan kisah saya dan seorang wanita," katanya berkias.

Tersenarai antara 12 lagu yang bakal bertanding dalam AJL 27 nanti, kata Bo sasarannya cuma mengharapkan Lagu diputarkan di corong-corong radio.

Memberi reaksi terhadap kem'araannya ke final AJL 27, Bo menjelaskan: "Terkejut apabila diumumkan lagu ini bakal bertanding di sebuah pentas berprestij.

"Saya memang tidak menduga, namun dalam masa yang sama teruja sebenarnya. Ini buktinya bahawa muzik saya sudah diterima berbanding populariti atau persembahan.

"Bukan sekadar mencari kemenangan di pentas AJL, saya percaya pencalonan ini merupakan batu loncatan buat karier saya kelak," kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Kekasih pengurus


BO mengaku lagu Lagu akan menjadi batu loncatan buat dia menempah nama sebagai penyanyi baharu.


Belum pun melangkah ke pentas AJL 27, sudah timbul bicara nakal yang kurang berpuas hati dengan pencalonannya tahun ini, apatah lagi berjaya pula menambat hati juri untuk mara ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, Bo mempunyai prinsip mudah. Percaya bahawa peminat kini mampu membuat pilihan terbaik dan muzik pula beredar sejajar dengan masa.

"Saya fikir pada peringkat ini, orang masih belum kenal siapa saya, bukan mereka tidak berpuas hati terhadap karya saya, mungkin hanya mempersoalkan siapa saya.

"Perkara itu tidak menjejaskan saya. Saya sudah terlibat dengan bidang muzik agak lama, cumanya muzik yang saya pilih ini belum lagi dikenali.

"Kebangkitan beberapa kumpulan muzik seperti Salam Musik secara tidak langsung menyebabkan genre muzik yang saya bawa ini mula mendapat perhatian," ulasnya.

Terbuka dalam melontarkan kata-kata atau berkongsi kisah peribadi, kata Bo dia tidak segan untuk memperkenalkan kekasihnya yang juga merangkap pembantu peribadinya kini.

Jelas Bo dia bahagia bersama wanita bernama Tina yang dikenalinya lebih dua tahun lalu dan yakin bahawa keterbukaannya tidak memberi kesan terhadap populariti.

"Terus-terang saya sudah ada kekasih dan dia merupakan pengurus saya.

"Mudah untuk kami, dia akan berada di mana-mana sahaja bersama saya, bukan apa dia lebih memahami saya berbanding orang lain. Soal kahwin saya tidak fikir ia akan berlaku dalam waktu terdekat," ulas Bo.

Rahsia awet muda Hudson

Posted:

Rahsia awet muda Hudson

Rahsia awet muda Hudson


KATE HUDSON


SUDAH memasuki usia 33 tahun, aktres Kate Hudson masih kelihatan seperti wanita berusia 20-an.

Melalui temu bual bersama The Huffington Post, ibu kepada dua anak tersebut memberitahu, dia masih kelihatan muda bukan atas bantuan pembedahan.

Sebaliknya, rahsia untuk kekal cantik dan awet muda terletak kepada cara dia bersederhana dalam solekan.

"Saya sama seperti ibu. Kami tidak percaya kepada alat solek untuk kelihatan cantik. Ya, kami bersolek, tetapi bukan terlalu tebal dan mengambil masa yang lama.

"Kami hanya memerlukan masa selama lima minit dan tidak memerlukan cermin untuk bersolek. Barangkali itu antara punca saya masih kekal awet muda, kerana tidak terlalu bergantung kepada kosmetik," ujar Hudson.

Anak kepada aktres Goldie Hawn itu juga menjelaskan, secara jujur, pada usia sekitar 20-an tidak begitu menitikberatkan soal penjagaan kulit dan kecantikan.

Namun selepas melewati usia 20-an, dia mula menyedari kepentingan menjaga kulit.

Ujarnya: "Jadi saya mula melakukan rawatan muka dan kulit sekerap mungkin selain memakai krim yang disyorkan. Saya juga mula meminum air dengan banyak."

Hudson juga menegaskan, dia hanya perlu bergantung kepada rutin yang telah dilakukannya dan menolak untuk melakukan sebarang suntikan.

"Saya tak percaya kepada suntikan atau pengambilan serum," katanya yang turut memastikan dia tidur dengan cukup sebagai salah satu rahsia awet mudanya.

Tun Mahathir mentor SRK

Posted:

Tun Mahathir mentor SRK

Tun Mahathir mentor SRK

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


SRK mengaku dia mahu mempunyai pemikiran luar biasa seperti yang dimiliki oleh Tun Mahathir. Dia begitu mengagumi Tun Mahathir.


WALAUPUN sudah berusia 87 tahun, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi idola kebanyakan rakyat Malaysia. Jasa beliau selama 20 tahun mentadbir negara sentiasa dikenang oleh masyarakat.

Demi menghargai jasa Tun Mahathir yang merupakan salah seorang pelanggan setia butik mereka, Lord's Tailor telah mengadakan sebuah majlis ulang tahun yang dihadiri oleh 200 tetamu VVIP dan selebriti di Hotel Le Meridien, KL Sentral, Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu.

Selain itu, pihak Lord's Tailor juga membuat kejutan kepada Tun Mahathir dengan membawakan aktor tersohor Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan sebagai 'hadiah' kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu.

Sementara menunggu kehadiran Shah Rukh Khan, majlis diserikan dengan persembahan penyanyi kegemaran Tun Mahathir, Datuk Yusni Hamid serta Amanda Imani dan seorang penyanyi India, Dr. Burns sebagai pembuka tirai majlis tersebut diiringi muzik Datuk Mokhzani Ismail.

Shah Rukh Khan yang tiba sejam selepas majlis bermula terus memberi penghormatan kepada Tun Mahathir dengan menyanyikan lagu Happy Birthday dan Kuch Kuch Hota Hai yang katanya khas buat mentornya itu.

"Saya amat mengagumi Tun Mahathir dan beliau merupakan mentor serta inspirasi terbaik buat diri saya.

"Sejak mengenali beliau 15 hingga 20 tahun lalu, saya sentiasa mencuba untuk mempunyai pemikiran luar biasa sepertinya dan mengikut falsafah yang dimiliki beliau.

"Mereka (Tun Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah) juga sangat sukakan saya, jadi saya tidak boleh menolak dan perlu juga berada di sini untuk menyambut majlis ulang tahun yang ke-87 beliau.

"Paling penting, saya juga mahu mengambil restu dari mentor yang juga rakan baik saya ini," ujar bintang tersohor Bollywood yang mendapat gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka beberapa tahun lalu itu penuh teruja.


SRK mendendangkan lagu Kuch Kuch Hota Hai khusus buat Tun Mahathir.


Shah Rukh Khan yang juga digelar SRK membuka rahsia, setiap tahun, dia pasti tidak akan ketinggalan dan meluangkan masa untuk bertemu Tun Mahathir beberapa kali setahun.

Sementara itu, sepanjang majlis berlangsung, Tun Mahathir sentiasa mengukir senyuman dan kelihatan gembira.

Beliau juga amat berterima kasih di atas kehadiran aktor tersebut serta tetamu yang sudi hadir meraikan hari ulang tahunnya yang jatuh pada 10 Julai lepas.

"Terima kasih kepada Shah Rukh Khan yang sudi meluangkan masa terbang dari London untuk bersama-sama raikan majlis ulang tahun ini," ujarnya.

Tun Mahathir kemudian secara berseloroh memberitahu: "Saya ingin berkongsi rahsia untuk sentiasa kekal muda. Sambutlah ulang tahun dua kali setahun seperti saya.

"Secara tidak langsung juga, anda akan dapat banyak hadiah dan saya berterima kasih kepada bapa saya kerana dia telah fikirkan perkara ini secara ke hadapan."

Antara tetamu selebriti yang turut meraikan ulang tahun idola kesayangan ramai tersebut ialah Datin Paduka Umie Aida dan suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Esma Daniel dan isteri, Eja dan suami, Sofea Jane dan Fizz Fairuz.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved