Kosmo Online |
- Kien Keat/Tan Boon, Wei Feng mara ke suku akhir
- Pengurus ladang dan penolongnya diculik
- Mayat kanak-kanak ditemui selepas 5 hari hilang
Kien Keat/Tan Boon, Wei Feng mara ke suku akhir Posted: Kien Keat/Tan Boon, Wei Feng mara ke suku akhir15/11/2012 10:48pm KUALA LUMPUR – Beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon melangkah ke suku akhir Kejohanan Terbuka China selepas menundukkan beregu tuan rumah Liu Xiaolong/Qiu Zihan pada pusingan kedua di Shanghai, China, malam ini. Beregu negara, yang menduduki ranking keempat dunia, dengan mudah mengatasi beregu China itu dengan keputusan 21-8, 21-19 untuk berdepan dengan beregu Taiwan Chen Hung Ling/Lu Chia Bin pada suku akhir esok. Terdahulu, beregu Taiwan itu menempah slot suku akhir selepas menjinakkan beregu negara Gan Teik Chai/Ong Soon Hock 21-4, 21-14. Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor tiga negara Chong Wei Feng mengekalkan rentak kemenangan apabila mengalahkan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus 21-13, 21-19 untuk melangkah ke pusingan suku akhir. Bagaimanapun, rakan senegara dan juara Terbuka Perancis, Liew Daren gagal meneruskan saingan apabila tumpas di tangan pemain dari pusingan kelayakan, Gao Huan dari China dengan 21-13, 21-18. Dalam acara beregu campuran, gandingan negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying turut mencapai kemenangan pada pusingan kedua dengan mengatasi Kim Sa Rang/Choi Hye In dari Korea Selatan dengan 21-15, 21-14. – BERNAMA |
Pengurus ladang dan penolongnya diculik Posted: Pengurus ladang dan penolongnya diculik15/11/2012 8:15pm KOTA KINABALU – Seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata api dari sebuah ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Sabah, semalam. Ladang tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai, bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50km dari pekan Lahad Datu. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kedua-dua mangsa lelaki itu berusia 25 dan 33 tahun itu, dari Semenanjung, dan mempunyai tali persaudaraan itu menggunakan nama keluarga Tung. Beliau berkata, kedua-dua mangsa itu dipercayai diculik antara pukul 3.30 petang dan 4.30 petang dan setakat ini, tiada tuntutan atau pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam penculikan tersebut. Hamza berkata, semasa kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama dua pekerja mereka yang sedang menjalankan kerja harian di rumah sarang burung walit (dalam kawasan ladang kelapa sawit) telah didatangi lima lelaki yang bersenjata api dan seorang daripada mereka memakai topeng. "Mereka yang menggunakan loghat "Suluk" kemudian telah menculik mangsa dan membawa mereka dengan menaiki bot enjin sangkut lalu menghilangkan diri dari pantai Lahad Datu," katanya pada media di ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kepayan, dekat sini, hari ini. – BERNAMA |
Mayat kanak-kanak ditemui selepas 5 hari hilang Posted: Mayat kanak-kanak ditemui selepas 5 hari hilang15/11/2012 8:08pm SANDAKAN – Usaha mencari seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilapor hilang di Kampung Garinono di sini sejak Sabtu lepas, berakhir dengan penemuan mayatnya semalam. Mayat Hadziq Hassan ditemui dalam kawasan ladang kelapa sawit oleh juruukur swasta yang melakukan tugas mengukur tanah di kawasan itu kira-kira pukul 4 petang. Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat terakhir dia dilihat iaitu di kawasan hadapan sebuah rumah. Punca kematian kanak-kanak itu belum diketahui dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut, katanya ketika dihubungi hari ini. Katanya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat. Hadziq dilapor hilang pada 10 November lepas, ketika dia dan kedua-dua ibu bapanya yang tinggal di Kampung Kenangan Manis di Batu 12, ke kampung tersebut untuk menghadiri majlis perkahwinan anggota keluarga mereka. – BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan