Khamis, 8 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Selebriti turun padang berkempen

Posted:

Selebriti turun padang berkempen

Selebriti turun padang berkempen

RUANG pusat konvensyen Delta Center, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS), Sabtu lalu, yang pada mulanya sunyi sepi berubah sebaik sahaja kelibat Ratu Pop, Katy Perry muncul di atas pentas.

Mempamerkan vokal mantap dan persembahan bertenaga, Katy menghiburkan lebih 20,000 penonton yang hadir dengan beberapa lagu popular seperti Let's Stay Together, Teenage Dream, Part of Me dan Firework.

Katy kemudiannya mengajak penonton untuk keluar mengundi pada pilihan raya presiden negara itu yang berlangsung pada 6 November lalu.

"Nenek saya berusia 91 tahun dan dia masih boleh berjalan ke tempat pengundian dengan berjalan kaki. Jadi jika anda berusia 18 tahun ke atas dan anda mempunyai pakaian menarik, pakailah pada hari Selasa nanti. Jika anda memberi komen di laman Twitter saya, pasti saya akan membalasnya," katanya.

Katy tampak seksi dengan gaun mini ketat berwarna biru, tertera perkataan Forward, slogan rasmi kempen politik Presiden AS, Barack Obama, daripada parti Demokrat yang bertanding mempertahankan jawatannya bagi penggal kedua.


KATY mengenakan baju tertera slogan kempen Obama, Forward.


Ia merupakan penampilan ketiga penyanyi berusia 28 tahun itu dalam kempen jelajah politik Obama untuk meraih undi.

Pada 28 Oktober lalu, dengan memakai dres mini ketat yang tertera nama Obama dan Naib Presiden AS, Joe Biden, Katy menghiburkan lebih 13,000 penonton dalam siri konsert yang sama di Las Vegas. Katy juga terlibat dalam konsert bagi mengumpul dana kempen Obama di Los Angeles.

Sebaik Katy meninggalkan pentas, Obama memberitahu penyokong-penyokongnya: "Katy telah bekerja keras beberapa minggu kebelakangan ini. Saya kagum dengan semangat dan dedikasinya."

Selain Katy, Obama turut membariskan nama-nama besar Hollywood dalam kempennya. Antaranya Bruce Springsteen, George Clooney, Madonna, Stevie Wonder, Jay-Z, Marc Anthony, Pearl Jam, Chris Rock, Beyonce, Cher, Neil Diamond, Jennifer Lopez, Julianne Moore, Eva Longoria, Will Ferrell dan Scarlett Johansson.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Material Girl, Madonna sempat berkempen untuk Obama ketika mengadakan persembahan dalam siri konsert jelajah, MDNA Tour di New Orleans, baru-baru ini.

"Saya tidak kisah siapa yang mahu anda undi dalam pilihan raya nanti asalkan ia adalah Obama. Jangan sia-siakan apa yang kita peroleh pada hari ini. Pergilah mengundi," katanya.

Pencabar Obama, Mitt Romney bekas gabenor Massachusetts daripada parti Republikan juga tidak terkecuali daripada menikmati tempias Hollywood dan selebriti dalam kempen pilihan rayanya.

Dalam kempen yang dijalankan, beliau mendapat sokongan padu daripada beberapa selebriti seperti Clint Eastwood, Kid Rock, Kelsey Grammar, Chuck Norris, Honey Boo Boo, Meat Loaf, Donald Trump dan legenda golf dunia, Jack Nicklaus.


SOKONGAN dan kempen besar-besaran Oprah pada tahun 2008 diakui ramai pihak antara penyumbang kemenangan Obama.


Aktres kontroversi, Lindsay Lohan misalnya, menggunakan platform pelancaran filem terbaharunya, Liz & Dick baru-baru ini berkempen untuk Romney.

Katanya, dia menyokong kempen Romney untuk mengatasi masalah pengangguran yang semakin meningkat di negara itu.

"Saya berpendapat isu pengangguran sangat penting ketika ini dan saya rasa beliau (Romney) mampu mengatasinya," katanya.

Timbul persoalan, adakah penglibatan dan sokongan besar golongan selebriti dalam kempen pilihan raya presiden kali ini mampu memberi kemenangan kepada calon-calon yang bertanding.

Pengaruh pengundi, kumpul dana

Pengarah Annenberg Norman Lear Center, University of Southern California, Martin Kaplan berkata, selebriti mempunyai kuasa besar dalam mempengaruhi pengundi untuk memilih calon pilihan mereka.

"Selebriti memainkan dua peranan: mengumpul dana untuk calon dan meningkatkan popularitinya melalui liputan media secara percuma," katanya.

Tambah Martin, para pengundi tidak akan mudah mengundi seseorang calon hanya bersandarkan sokongan yang diberikan oleh golongan selebriti itu semata-mata.

"Namun, mereka sanggup membayar untuk menghadiri konsert atau parti koktel mengutip dana yang melibatkan selebriti ini.

"Ia juga akan menarik kehadiran pihak media sekali gus meningkatkan populariti calon-calon yang bertanding apabila wajah mereka kerap disiarkan di media massa," katanya.

Bagaimanapun, profesor sains politik dan pakar dalam pilihan raya, dari universiti yang sama, Darry Sragow berkata, biarpun kehadiran selebriti menarik perhatian media, ia tidak semestinya bersifat positif semata-mata.


EVA (depan lima dari kiri) menyeru peminat-peminatnya untuk terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada Obama bagi penggal kedua.


"Pengundi-pengundi tidak peduli apa mereka (selebriti) fikir siapa yang akan diundi nanti," katanya.

Ujar Darry, sekiranya kempen yang dilakukan keterlaluan, ia akan menjadi satu masalah kepada calon berkenaan.

"Contohnya dalam kempen pilihan raya presiden kali ini, kamu boleh menumpang populariti selebriti ketika berkempen, namun jika tidak berhati-hati, pengundi akan bertindak sebaliknya.

"Pada pandangan mereka selebriti tidak mempunyai pengetahuan mengenai realiti politik sebenar," ujarnya.

Darry berpendapat sokongan dan pengaruh selebriti tidak akan memberi kesan mendalam terhadap pengundi kecuali jika ia melibatkan seorang yang dihormati.

Kuasa Oprah

Bagaimanapun, Obama sendiri pernah merasai sejauh mana pengaruh seseorang selebriti dalam menentukan hala tuju karier politiknya daripada seorang senator dari Illinois yang tidak dikenali kepada seorang Presiden AS.

Ketika pemilihan pilihan raya presiden pada tahun 2008, kempen beliau mendapat publisiti meluas apabila menerima sokongan ikon media, Oprah Winfrey.

Satu kajian yang dilakukan oleh University Northwestern dan University of Maryland menunjukkan pengumuman Oprah itu berjaya meningkatkan undi Obama kepada 1 juta undi.

Sementara itu, wartawan kanan daripada majalah US Weekly, Jennifer Peros berpendapat mereka yang gemar membaca majalah hiburan dan gosip kemungkinan besar tidak akan melayari laman web politik.

"Bagaimanapun, apabila melihat gambar-gambar selebriti ini dalam majalah ketika kempen pilihan raya presiden, ia pasti mengundang perhatian mereka untuk mengetahui apa yang berlaku," katanya.

Rakyat AS sememangnya gemar membaca mengenai kisah kehidupan selebriti. Pembaca majalah Think People dan Access Hollywood sememangnya mengetahui di mana selebriti kesayangan mereka menjamu selera, membeli-belah dan melakukan janji temu.

"Dunia selebriti seakan menjadi satu obses kepada masyarakat di seluruh dunia pada hari ini. Tidak hairanlah, ahli politik memerlukan kehadiran selebriti untuk meraih sokongan, kemasyhuran dan wang ringgit dalam menjayakan agenda politik mereka," kata Jennifer.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved