Khamis, 29 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nelayan jadi mangsa perebutan pulau

Posted:

Nelayan jadi mangsa perebutan pulau

Nelayan jadi mangsa perebutan pulau

MALANG menimpa Tran Hien apabila bot nelayan miliknya dikesan sepasukan polis China ketika menangkap ikan di perairan yang menjadi rebutan beberapa buah negara. Kapal peronda dari China itu, kemudiannya bertindak merampas bot kayu, menahan tekong dan awak-awak serta menghumban mereka ke dalam penjara.

Selama beberapa generasi, nelayan di kepulauan Vietnam hanya berdepan bahaya seperti ribut ketika menangkap ikan di laut. Bagaimanapun kini, mereka semakin tertekan apabila Beijing menghantar kapal peronda bagi mengawasi perairan yang menjadi tuntutan pelbagai negara.

Para nelayan Vietnam terpaksa menangkap ikan di kawasan lebih jauh bagi mendapatkan hasil yang banyak. Akibatnya, mereka berada dalam dilema berikutan tuntutan kepulauan bertindih antara beberapa negara yang sehingga kini belum menemui titik noktah.


CHINA antara negara yang paling agresif apabila bukan sahaja meningkatkan jumlah kapal peronda bahkan menangkap nelayan di perairan Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel.


Menurut pegawai kerajaan dan nelayan Vietnam, beberapa tahun kebelakangan ini, China semakin agresif mengawal perairan di Kepulauan Paracel dan Spratly yang terletak di Laut China Selatan itu. Di Vietnam kawasan tersebut dikenali sebagai Laut Timur.

China menguatkuasakan larangan menangkap ikan dan mengarahkan pasukan peronda mereka menghalau bot-bot nelayan negara lain yang mendekati perairan tersebut.

"Mereka lengkap bersenjata, memaksa kami ke depan bot sebelum naik menangkap kami. Saya dipenjarakan di Penjara China selama 49 hari dan ketika itulah anak lelaki sulung saya dilahirkan," kata Tran Hien, yang ditangkap pada Mac lalu bersama 10 awak-awaknya berhampiran Pulau Paracel.

Kapten bot berusia 33 tahun itu menambah: "Tentera China merampas jaring dan GPS (Sistem Penentu Kedudukan) mengakibatkan saya kini menanggung hutang yang banyak."

Apa yang pasti, serangan tentera China itu bukan hanya dialami Tran Hien. Beberapa minggu sebelum itu, beberapa nelayan Vietnam turut ditahan kapal peronda China. Kedua-dua kapten dipukul dan kesemua 21 awak-awak bukan sahaja dipenjarakan tetapi tidak diberi makanan yang mencukupi.


HAMPIR kesemua negara yang membuat tuntutan mempunyai kubu tentera di beberapa pulau di Kepulauan Spratly dan Paracel.


Pihak berkuasa Vietnam menyatakan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ratusan nelayan dan bot telah ditahan pihak berkuasa China berhampiran kedua-dua kepulauan berkenaan.

Kekurangan sumber ikan di pesisir laut akibat peningkatan aktiviti nelayan dari Ly Son (terletak 30 kilometer di timur bandar Vietnam) memaksa mereka mencari rezeki ke kepulauan terlarang itu.

Perebutan maritim

Menurut pihak berkuasa Vietnam, pulau-pulau yang dipanggil Truong Sa dan Hoang Sa oleh penduduk tempatan terletak lebih dekat dengan Vietnam berbanding China.

"Kerajaan menggalakkan kami menangkap ikan di Kepulauan Paracel dan Spratly kerana terdapat banyak ikan, bahkan hakikatnya kami memang telah sekian lama mencari rezeki di situ," kata Le Khuan, 52, kepada AFP ketika ditemui di rumah kecilnya di Pulau Ly Son.


PENDUDUK Vietnam mengadakan demonstrasi membantah tindakan China yang meningkatkan kekuatan tenteranya sehingga mengancam nyawa nelayan.


Selain China, semua negara serantau yang membuat tuntutan ke atas Kepulauan Spratly dan Paracel telah menempatkan tentera di beberapa pulau di kepulauan tersebut.

Negara-negara lain yang terbabit dalam tuntuan berkenaan termasuklah Taiwan, Malaysia, Filipina dan Brunei.

Bagaimanapun, China yang menuntut keseluruhan semua pulau di Spratly dan Paracel sejak setahun lalu sudah meningkatkan kekuatan ketumbukan tenteranya.

Tenteranya bukan sahaja membina kubu di pulau dan membuat rondaan dengan kapal, bahkan turut menghalau para nelayan.

"Memang benar, negara-negara terbabit pasti memberi tekanan untuk mendapatkan hak di kawasan pertikaian ini. Bahkan, kebelakangan ini ia bertukar menjadi bertambah tegang," kata Simon Funge Smith, Ketua Pegawai Pertanian dan Makanan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambahnya, rahsia yang tersimpan di dasar kepulauan berkenaan bukan hanya ikan yang banyak, tetapi juga telaga minyak dan gas.


PULAU Thitu merupakan salah sebuah pulau di Kepulauan Spratly yang diduduki Filipina dan dilengkapi dengan landasan kapal terbang.


Perbalahan bila-bila masa

Orang Cina memanggil Pulau Paracel sebagai Xisha dan menuntutnya sejak Perang Vietnam 1974 dan kemudian turut menuntut Spratly.

Beijing memberikan alasan sejarah yang menyaksikan penguasaan mereka di Laut China Selatan untuk merebut kepulauan tersebut.

Apa yang pasti berdasarkan situasi semasa termasuk kehadiran pesawat Sukhoi dan J-10 di udara serta kapal peronda dan kapal selam di lautan, para pemerhati berpendapat perbalahan atau peperangan boleh tercetus pada bila-bila masa.

"Risiko peperangan amat tinggi. Tindak balas melampau antara pihak-pihak berkenaan boleh menjadi pencetus seperti peronda melepaskan tembakan terhadap nelayan," kata Sam Bateman, pakar keselamatan marin di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.


PETA menunjukkan kedudukan Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel yang menjadi rebutan China, Vietnam, Malaysia, Brunei, Filipina dan Taiwan.


Selain itu, nelayan Filipina juga tidak berpuas hati dengan kewujudan anggota peronda China bersenjata berhampiran Scarborough Shoal, kira-kira 230 kilometer dari pantai Filipina.

Malah, ketegangan memuncak apabila Manila menuduh nelayan China mengambil spesies terancam di kawasan berkenaan seperti terumbu karang.

Apa yang pasti komuniti nelayan yang mencari rezeki di perairan Spratly dan Paracel kini semakin tersepit dalam pertikaian antarabangsa yang turut mengancam nyawa mereka.

"Kami menganggap lokasi menangkap ikan, Truong Sa dan Hoang Sa umpama sebuah taman atau sawah padi," kata seorang nelayan dari Ly Son, Pham Hoang.

Katanya lagi, ditangkap pihak berkuasa China merupakan perkara paling ditakuti oleh 3,000 nelayan di pulau berkenaan.

"Kami berusaha mendidik para nelayan kami untuk menjauhi konflik, namun kawasan tersebut milik kami. Tidak sepatutnya kami takut untuk keluar menangkap ikan," tegasnya.

Jika pertelingkahan berlarutan, nelayan di Ly Son tiada pilihan selain meneruskan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut.

"Menangkap ikan adalah sumber utama pendapatan kami. Kawasan tersebut milik kami, laut kami dan kami akan pertahankan kedaulatannya. Kami akan terus memancing serta menangkap ikan," kata Pham Hoang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved