Khamis, 1 November 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Lori padi terbabas, empat maut

Posted:

Lori padi terbabas, empat maut

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

MAYAT empat sekeluarga mangsa kemalangan ditutup dengan
kertas surat khabar di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau, Pokok Sena, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Empat beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau dekat sini semalam.

Mangsa yang maut ialah pesara tentera, Shafie Abd. Hamid, 57; isterinya, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka iaitu Nurul Faiz, 24, dan Mohd. Iptihar, 26.

Anak bongsu mereka, Mohd. Iqbal, 15, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Lokasi kemalangan terletak kira-kira enam kilometer dari rumah keluarga mangsa di Kampung Kubang Pisang, Pendang.

Kejadian pada kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika keluarga malang itu dalam perjalanan untuk menziarah keluarga mereka di sini dengan menaiki kereta Perodua Viva dari arah Pendang menghala ke Kebun 500, Pokok Sena.

Bagaimanapun, ketika melalui tempat kejadian, sebuah lori padi tanpa muatan dari arah Kebun 500 dipercayai mengalami kerosakan stereng dan brek lalu terbabas dan bertembung dengan kereta tersebut yang dipercayai dipandu Mohd. Iptihar.

Dalam pada itu, anak kedua mangsa, Mohd. Anuar Shafie, 32, menjelaskan, dia yang berada di Jabi berasa tidak sedap hati apabila ternampak dua buah ambulans memasuki persimpangan Kebun 500.

Dia kemudian segera pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Pisang, namun sebaik dia tiba di tempat kejadian, perasaan tidak sedap hatinya menjadi kenyataan apabila kereta yang terbabit kemalangan itu adalah milik bapanya berdasarkan nombor pendaftaran KCS 396.

"Masa saya tiba, kesemua mereka sudah tidak ada lagi di tempat kejadian dan orang ramai meminta saya pulang ke rumah untuk membuat kepastian.

"Bila saya tiba di rumah, itulah kenyataan apabila empat ahli keluarga meninggalkan kami sekali gus tetapi saya tetap reda dan pasrah," katanya.

Dia menjelaskan, ibu bapanya ada mengunjungi rumahnya di Guar Kepayang, Pendang bagi menziarahi dua cucunya yang berusia lima dan setahun.

"Mereka datang ke rumah kira-kira pukul 10 malam kelmarin untuk melihat cucu tetapi mereka sudah tidur.

"Ibu dan bapa saya kurang bercakap dan tidak duduk lama sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian," katanya yang bekerja sebagai buruh di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Sementara itu, menurut anak ketiga mangsa, Mohd. Fashah, 28, kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kubang Pisang malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Rohana Omar mengesahkan kemalangan berlaku apabila lori terbabit yang mengalami kerosakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Viva yang dinaiki lima beranak tersebut.

"Akibat pertembungan itu, empat mangsa mati di tempat kejadian dan mayat kesemua mereka dihantar ke HSB.

"Pemandu lori dipercayai hanya mengalami cedera ringan dan dia ke balai polis untuk diambil kenyataan," katanya.

Dua konstabel maut digilis treler

Posted:

Dua konstabel maut digilis treler

IPOH - Dua anggota polis berpangkat konstabel yang sedang melakukan rondaan di kawasan Simpang Pulai di sini maut apabila motosikal ditunggangi mereka digilis sebuah treler di Jalan Lahat-Simpang Pulai malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Konstabel Mohd. Nor Adirizan Md. Desa maut di tempat kejadian selepas dia cedera parah pada keseluruhan anggota badan.

Rakan Nor Adirizan, Konstabel Mohd. Zaihasrul Reza Mohd. Zaini pula mati dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Kedua-dua anggota polis terbabit berusia 22 tahun dan masing-masing berasal dari Perlis dan Kedah.

Pemandu treler berusia 26 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kemalangan itu.

Jurucakap polis berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-254 2222 bagi membantu siasatan.

AEON beli Carrefour

Posted:

AEON beli Carrefour

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

PASAR raya besar Carrefour di seluruh Malaysia akan dijenamakan semula sebagai AEON Big Malaysia.


KUALA LUMPUR – Syarikat peruncitan utama Jepun, AEON Co Ltd. (AEON) mengambil alih operasi Carrefour Malaysia (Carrefour) melibatkan 26 buah unit pasar raya besar melalui penjenamaan semula sebagai AEON Big Malaysia dengan harga belian sebanyak 15.1 bilion yen (RM575.5 juta).

Usaha itu sekali gus mengangkat AEON sebagai kumpulan peruncitan kedua terbesar di Malaysia.

AEON menandatangani perjanjian pembelian saham untuk mengambil alih kesemua saham anak syarikat operasi pasar raya besar Carrefour Malaysia, Magnificent Diagraph Sdn. Bhd. (MD) dan Carrefour Malaysia Sdn. Bhd. yang mempunyai 9.3 peratus hak pengundian dalam MD, daripada Carrefour S.A. dan anak-anak syarikatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan ASEAN AEON, Nagahisa Oyama (gambar kecil) berkata, AEON, di bawah pelan pengurusan jangka sederhana bagi tempoh tiga tahun sehingga tahun 2013, menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang di China dan ASEAN.

"Malaysia dilihat mampu menjadi hab perniagaan bagi mengembangkan operasi AEON sedia ada kerana negara ini menjadi kawasan pertembungan ekonomi dan pengangkutan yang penting bagi rantau ini.

"Sehubungan itu, kami mengambil keputusan menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kumpulan AEON di ASEAN untuk mengurus operasi perniagaan syarikat di rantau ini," katanya pada sidang akhbar ketika membentangkan strategi perniagaan AEON di sini semalam.

AEON pada masa ini beroperasi di enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Kemboja.

AEON, dalam laporan Reuters pada 20 September lalu, telah menafikan bahawa mereka sedang mengadakan perbincangan bagi memperoleh perniagaan Carrefour di Malaysia.

Laporan itu turut menyatakan bahawa penjualan tersebut akan melibatkan transaksi berjumlah RM960 juta.

Bagaimanapun, pembelian saham yang dimuktamadkan pada 31 Oktober lalu itu telah menamatkan spekulasi itu.

Menurut Oyama, pengambilalihan itu dibiayai secara tunai dan menjangkakan ia tidak memberi kesan kepada keadaan kewangan AEON.

"Susulan usaha ini, kami merancang membuka 100 buah premis perniagaan menjelang tahun 2020 dengan pelaburan mencecah 300 bilion yen (RM11.5 bilion)," katanya sambil memaklumkan pengambilalihan Carrefour Malaysia tidak menjejaskan pekerja sedia ada.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved